Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2: Sambutan Mesra Hari Pertama

Tangannya laju mencoret formula matematik di atas kertas. Penuh berisi nombor dan simbol yang rumit, dengan garisan panjang, sebelum simbol hash sebagai kesimpulan akhir.

Keningnya berkerut-kerut cuba memahami. Matanya yang sepet semakin dikecilkan, fokus terhadap ayat yang berusaha membunuh DNA otaknya. Tanda nama di poket dijahit merah - Julien.

"Haha! Hari ni aku bertuah!"

"Argh! Duit aku habis!"

"Oi! Kalau pandai main, pandai bayarlah!"

Jeritan marah pelajar kelas Tingkatan Empat Murni langsung tidak diendahkan.

Apalah yang mereka fikirkan?

Menjerit-jerit di tengah kelas sambil menghempas kad di lantai. Meja dan kerusi pula dialihkan sehingga berterabur. Duit berkepuk-kepuk pula bertukar tangan. Dahsyat.

Julien mengetap gigi, menahan geram. Rambutnya sudah berserabut diramas.  Ditambah lagi dengan tepukan bingit pelajar sekelas.

Dia menjeling pula guru di hadapan. Senang betul kerjanya, hanya duduk dan scroll telefon. Lelaki itu bersandar malas, menyerlahkan butang-butang bajunya yang nyaris terlepas.

Sekali lagi, seluruh kelas bingit dengan laungan. Kelas bergegar mengejek si gempal yang kalah berjudi.

Hampir pecah gegendang telinga Julien. Mata pena pensilnya terus patah

Remaja itu nyaris menjerit, "Hei ...!"

"Wow, aku menang!" Seorang remaja menepuk meja puas hati.

Sekali lagi, kelas itu bising dengan sokongan teruja. Kumpulan si lawan pula memenuhi kelas dengan makian, tidak mahu mengalah.

Julien menaikkan suara, "H-hei!"

"Diamlah!"

Julien terkaku apabila sebuah kerusi ditendang nyaris mengenainya. Pecah kerusi itu melanggar dinding.

Seorang remaja gempal sudah bangkit, dan nafasnya bergetar dengan amarah. "Kau nak apa dari tadi, hah!"

Seluruh kelas lantas bertukar senyap. Perhatian beralih ke arah si mata sepet, juga ahli kumpulan remaja gempal tadi.

"A-aku ...," Julien bersuara cemas, entah di mana keberaniannya hilang. "T-tadi ...."

Kakinya sudah menggeletar. Wajahnya memucat. Jantungnya berdegup kencang seperti mahu mati. Matanya berkaca-kaca, tiba-tiba sahaja ayat yang mahu disebut hilang sekelip mata.

"Oi, Jumbo."

Perhatian mereka teralih apabila remaja yang menang besar tadi, tertawa sinis menampakkan gigi kacip besarnya. Kakinya bersila panggung. Santai. Rambut merahnya berpacak digayakan seperti Ultraman. Tanda namanya tiada, tetapi semua orang mengenalinya sebagai Zack.

Zack menyelak rambut sejemputnya sambil menyengih. "Kalau tak puas hati kalah, baik kau menangis bawah ketiak mak kau sajalah."

"Apa kau cakap?" Suara Jumbo mula dikeraskan. Tangan sosejnya menyeluk saku. "Kau dah puas hidup?"

Zack laju bingkas sehingga kerusinya terjatuh. Rakan-rakan di belakang turut bangun sambil mendongak. Pengepal sudah digosok-gosok. Panas pula tangan mereka hari ini.

Julien terketar-ketar, meneguk cemas. Wajahnya semakin pucat.

Aduh ... lain pula jadinya ....

Kedua-dua kumpulan itu saling berhadapan. Guru di hadapan masih bersama telefon. Remaja sepet itu pula terkumat-kamit berdoa.

Tolonglah, sesiapa sahaja!

Dia berusaha untuk berharap.

Aku cuma mahu belajar dengan tenang!

Tanpa dijangka, pintu kelas diketuk seseorang.

Jumbo menjerkah, "Kacaulah!"

Zack mendengus sambil ikut menoleh. Guru mereka pula membetulkan kaca mata bulat, tidak percaya dengan apa yang dilihat.

Mustahil!

Guru itu bertanya sedikit tergagap, "Kau, kau budak ... tak salah masuk sekolah?"

Seorang remaja bertubuh sederhana dan sedikit bongkok membawa beg berat, hanya tersenyum di muka pintu. Kaca mata petaknya yang retak, terletak elok di wajah. Tali leher merah pula dibetulkan agar lebih kemas. Kedua-dua tali beg dipegang penuh semangat.

"Hai, saya Rayyan!" kata remaja itu penuh semangat. "Saya baru pindah sini."

"Kau diam!" Jumbo melaung ke arah Rayyan. Dia mencekak kolar Zack dan berdesis tajam, "Heh, kau, tarik balik ayat kau tadi!"

Zack masih tersengih, dan gigi kacipnya semakin besar apabila mengejek, "Kau ingat aku takut?"

"Argh!"

Julien terundur apabila semua kumpulan Jumbo terus menyerang kumpulan Zack. Mereka berteriak seperti haiwan liar. Meja dan kerusi habis dirempuh dan ditendang. Buku latihan dan alat tulis Julien terjatuh berterabur.

Guru lelaki itu pula mengeluh perlahan. Dia tidak mengendahkan Rayyan yang masih tersenyum-senyum di depan kelas, melangkah keluar sambil menggeleng. "Tsk, tsk tsk, budak zaman sekarang bermasalah betul."

"Tadi berani sangat!" Jumbo menumbuk Zack, tetapi sempat dielak. "Sekarang jadi tikus pula main elak, hah?"

Zack masih santai, mengelak tendangan Jumbo. Dia membongkok ke belakang mengelak tumbukan. Seperti spring dia menanduk dahi Jumbo sekuat hati.

Jumbo terundur perlahan-lahan, dan matanya terbeliak marah. Urat-urat terjojol dari wajahnya. Benjol di kepala bujurnya semakin menyerlah. Hidung bulatnya semakin kembang apabila bernafas kuat.

"Kau!"

Julien sudah menggigil cemas. Kiri-kanannya hanya ada orang yang bertumbuk. Dia berusaha mencari jalan keluar, tetapi tiada. Sekejap dia tertunduk mengelak buku dilempar.

Macam mana aku mau keluar! Hatinya menjerit panik.

"Hai."

Tersentak Julien apabila seseorang menegur di sebelah. Apabila dia menoleh, keningnya terjongket.

"Kau budak baru... Rayyan ...?" Suara Julien terketar-ketar.

"Ya, saya."

Terjerit Julien apabila sebuah pasu dibaling ke arah Rayyan. Remaja itu meneleng sedikit, dan pasu itu tersasar ke dinding. Pecah berkecai.

"Kau nampak lagi bijak dari diorang," kata Rayyan sambil mengutip buku latihan Julien yang terjatuh. Kebetulan kasut seseorang pula melayang melepasi atas kepalanya.

Rayyan menyerahkan buku dan berkata, "Boleh kau ajar aku?"

"Sempat lagi kau ...?" Soal Julien cemas, "Cepat! Kita cari jalan keluar dulu!"

"Tak guna kau, Zack! Sini, aku tumbuk biar berterabur gigi kau!"

Jumbo berteriak dan melempar meja ke arah lawan. Zack sempat mengelak. Meja itu tersasar.

Tetapi, meja itu terhala laju ke arah Julien dan Rayyan.

Julien terbeliak. Rayyan pula membulatkan mata.

Meja itu terlalu laju!

Julien terjerit sambil bersilang tangan di wajah. Matanya dipejam rapat. Pasrah. Tidak sangka, harinya akan jadi lebih malang dari sebelumnya.

PRANG!

Terjongket bahu Julien apabila bunyi sesuatu yang patah, menerjah gegendang telinga. Nyaris jantungnya tercabut. Jeritan cemas beberapa pelajar kedengaran. Terkejut.

Sesaat.

Dua saat.

Tiga saat.

Anehnya.

Julien masih menunggu.

Aik, kenapa senyap betul ini?

Perlahan-lahan, Julien membuka mata. Kepalanya diberanikan untuk mendongak. Nafasnya masih laju. Dadanya berdebar hebat.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Mata Julien terbeliak.

Bukan Julien sahaja, malah pelajar sekelas itu juga sudah terkaku, tidak percaya. Jumbo terlopong buat seketika, manakala Zack masih tersengih-sengih menayang giginya. Hanya, peluh sudah merenek di dahi.

"Itu ...," Salah seorang pelajar berbisik tidak percaya, "Dia budak baru, 'kan? M-Macam mana ...."

Seorang lagi menjerit, "Dia tahan serangan Jumbo, weh!"

Julien tidak berkelip, menatap Rayyan yang berdiri di hadapannya.

Remaja itu masih berdiri tegak, dan sebelah pengepalnya dijulang ke hadapan. Langsung tiada kesan goresan yang terlihat. Meja yang dilempar Jumbo pula sudah terpatah dua di sudut kelas.

Rupa-rupanya, Rayyan sempat menumbuk semula meja yang meluru ke arah mereka. Dahsyat, sehingga semua yang menonton tidak berani bersuara.

"Hei."

Rayyan bersuara keras, dan tangannya diturunkan perlahan-lahan. Tatapan tajamnya terserlah di sebalik kaca mata retak itu.

"Kau tak nampak ada orang nak belajar, sekarang?"

Wajah bulat Jumbo yang terkejut, mula berubah semerah tomato. Pengepalnya digenggam kuat.

"Kau siapa, hah?" Jerkah Jumbo, "Baru sampai sini dah berani naik kepala?"

Julien berdecit panik. Terketar-ketar dia berbisik ke arah Rayyan, "S-Sudahlah itu Rayyan. Diorang ramai ... Habislah kalau dorang mengamuk nanti ...."

"Haha! Betul cakap dia!" Zack tergelak menayang gigi arnabnya. "Pergi jilat air tandas depan kami dulu, baru kami lepaskan kau!"

"Tak."

Seluruh kelas berpandangan mendengar jawapan mudah Rayyan. Remaja itu masih menatap kedua-dua samseng itu, membuatkan mereka berkeringat tanpa sebab. Semacam ada sesuatu tekanan yang dirasakan, sehingga dada mereka terasa sesak.

Jumbo dan Zack menahan nafas, dan peluh sudah mengalir di wajah mereka.

Aura ini ... siapa dia sebenarnya!

Rayyan membuka bicara, "Kita buat perjanjian."

Jumbo menghela malas. "Perjanjian apa pulak?"

Sempat Rayyan membetulkan kaca matanya sewaktu berkata, "Kalau aku menang, berhenti kacau kami lagi."

"O hoho, kau mahu lawan, ya!" Zack sudah bertepuk sambil ketawa teruja. "Menarik, menarik!"

"Heh, kenapa pula aku mahu tolak?" Jumbo berpeluk tubuh, menyambung ayatnya dengan nada keras, "Dan kalau kau kalah ...."

Sengihan Zack mati apabila menyebut, "Kau berdua mesti jadi hamba kami."

Julien sudah agak, tiada gunanya merayu agar Rayyan berhenti sahaja. Dia hampir tidak boleh bernafas dengan tekanan suasana yang semakin memberat. Mata-mata pengikut Jumbo dan Zack juga semakin tajam.

Menakutkan, seperti sekawan gajah dan harimau yang mahu menghancurkan mereka!

"Apa lagi?" Rayyan tersenyum kecil, dan posisi bersedia dipasang.

"Lagi cepat, lagi bagus."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro