Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

19

Jin duduk di tempatnya, meletakkan beg merah jambunya di sebelah mejanya dan mengayunkan kakinya ke depan dan ke belakang.

Semua rakan sekelasnya sedang berada dalam kumpulan seramai dua, tiga atau empat orang, berbual dan bergelak ketawa.

Tapi Jin keseorangan, hanya mengayunkan kakinya ke depan dan ke belakang.

Dia beritahu pada adik-adiknya yang dia paling popular dalam kelas, yang mereka semua berkawan dengannya, yang semua orang sukakan dia.

Tapi itu apa yang dia beritahu sahaja. Realitinya, Jin keseorangan.

Dia cuma melihat mereka semua dan mencuri dengar. Kadang-kadang, dia berpura-pura yang dia termasuk dalam perbualan mereka, cuma dia hanya memilih untuk diam. Kadang-kadang, dia tergelak sendiri seperti mereka menceritakan sesuatu yang kelakar padanya. Kadang-kadang, dia rasa dia salah seorang dari mereka.

Tapi sebenarnya tidak.

Dia cuma salah seorang budak lelaki dengan beg merah jambu, duduk sendirian, senyum seorang-seorang dan mengayun kakinya ke depan dan ke belakang.

Apa yang dia beritahu Yoongi juga satu penipuan semata-mata. Mereka semua tak pernah bagi air kotak padanya. Sebab mereka semua bukan pernah bersembang dengannya pun.

Jin cuma tersenyum, mengayun kakinya ke depan dan ke belakang.

Kadang-kadang, mereka ada berbual tentang dia. Jin okey sahaja kerana baginya itu pun dah memadai. Lebih kurang saja kan?

Jin kawan kegemaran saya sama saja maksudnya dengan Kenapa budak lelaki tu pakai beg warna merah jambu?

Jin kawan baik saya sama saja maksudnya dengan Kenapa mukanya lembut macam muka budak perempuan?

Jin sangat baik dan kacak sama saja maksudnya dengan Kenapa budak yang seorang tu tak pernah bercakap dengan sesiapa?

Kan?

Ada kalanya Namjoon bertanya pada Jin kalau dia ada kawan di sekolah. Jin selalu senyum dan menjawab dia ada ramai kawan dan semuanya bagus dan menyeronokkan.

Sebab Jin adalah anak sulung. Dia perlu jadi seseorang yang nampak hebat di mata adik-adiknya. Sebab dia yang perlu jaga dan lindungi mereka.

Tapi hakikatnya Jin duduk di belakang sekali, masih mengayunkan kakinya ke depan dan ke belakang, tersenyum sendiri bukan kerana dia cuba berpura-pura gembira di depan semua rakan sekelasnya, tapi semua kerana adik-adiknya.

Dia tak kisah sendirian di dalam kelas kerana tepat loceng balik sekolah berbunyi, dia dapat berlari ke arah kelas Yoongi, menjemputnya dan Namjoon akan tiba untuk mengambil mereka berdua dan balik ke rumah. Rumah. Di mana tiada siapa akan memandangnya pelik dan mengejeknya kerana beg merah jambunya, di mana mereka semua berbual dengannya, tak mengasingkannya tapi mengambil kira dia sekali.

Semuanya sudah cukup untuk Jin.

Sentiasa cukup untuk Jin.

"Baiklah semua, tolong duduk," arah guru mereka yang baru tiba.

Jin tak perlu berlari ke tempatnya kerana dia memang sudah sedia duduk, mengayunkan kakinya ke depan dan ke belakang. Kadang-kadang, cikgunya akan menjerit padanya—

"Jin, berhenti goyangkan kaki. Letak kaki atas lantai elok-elok."

—tapi dia tak pernah menurut, dia lebih selesa mengayunkan kakinya. Seolah-olah dia mengajuk gaya jam, setiap saat akan berlalu jika dia mengayunkan kakinya dan dia boleh berjumpa dengan keluarganya.

Rakan sekelasnya tertawa kerana cikgu mereka selalu menegurnya namun dia tak pernah serik. Jin tahu mereka semua pasti menganggapnya pelik. Mungkin sebab itulah mereka mengasingkannya.

Tapi Jin tak mampu berbuat apa-apa. Dia tahu dia patut cuba membuat kawan, tapi setiap kali dia terfikir dengan siapa paling dia ingin bersembang sekali – dengan siapa dia paling ingin bergelak ketawa sekali – dengan siapa dia paling ingin menceritakan sesuatu yang kelakar sekali – dia tak nampak bayang siapa pun dalam kelasnya. Dia terbayang wajah Yoongi, Hoseok, Jimin, Taehyung dan Jungkook. Termasuk Namjoon sekali. Walaupun Namjoon ada kecewa dengannya kadang-kadang, Namjoon tak pernah asingkan dia, tak pernah anggap dia salah atau pelik kerana dia sukakan sesuatu yang lain dari orang lain – warna merah jambu – atau rupanya yang lain dari orang lain – iaitu seperti budak perempuan.

"Jin, kalau kamu masih tak nak berhenti, kamu akan berdiri dekat luar."

Dua minit kemudian, Jin berdiri di luar kelasnya, tersenyum sendiri, kerana sebenarnya tiada apa pun yang berubah, cuma dia tidak dikelilingi oleh budak-budak yang tidak ingin berkawan dengannya dan seorang guru yang mahu dia jadi normal seperti yang lain.

Jin berdiri sehinggalah waktu cikgunya tadi tamat. Kemudian dia keluar dan membebel sedikit tentang perlakuan Jin. Setelah itu dia membenarkan Jin masuk dan Jin pun masuk semula ke dalam kelas.

Sebaik saja dia duduk, Jin sekali lagi mengayunkan kakinya ke depan dan ke belakang, cuma sedikit perlahan dari sebelum ini kerana dia tak mahu dihantar ke luar kelas lagi.

Dia memandang papan putih yang penuh dengan ayat matematik. Dah banyak dia tertinggal kerana dia didenda berdiri di luar tadi. Matematik ialah subjek yang paling dia kurang faham tapi dia masih seorang abang sulung. Dia tak boleh bertanya pada Yoongi bukan sebab Yoongi tak tahu juga, tapi sebab dia abang yang patut jadi serba boleh tentang semuanya. Dia boleh bertanya pada Namjoon, tapi dia tak mahu Namjoon tahu yang dia tak baik-baik sahaja di sekolah sebagaimana dia beritahu pada ayahnya itu.

Jadi dia cuma berpura-pura yang 2 x 3 = 6 walaupun mengikut logiknya 2 x 3 = 23.

Jin pandai berpura-pura.

Jin makan berseorangan dan juga ditendang keluar dari kelas sekali lagi semasa subjek terakhir kerana dia terlebih teruja bila hampir tiba waktu untuk balik.

Kemudian loceng pun berbunyi, dan dia berlari masuk ke dalam kelas dan menggalas begnya sebelum berlari ke deretan kelas budak gred pertama, menunggu di hadapan kelas Yoongi. Dia menjengket sedikit untuk mencari kelibat Yoongi sehinggalah dia ternampak dan dia pun tersenyum. Dia memeluk lengan Yoongi.

"Okey tak hari ni?" tanya Jin, masih tersenyum pada adiknya yang sangat disayangi.

Yoongi mengeluh dengan muka masam. "Tak okey. Budak-budak lain tak nak bercakap dengan saya sebab diorang takut saya tikam mereka guna pen atau ambil krayon mereka."

Jin berdecit. "Yoongi, mana boleh macam tu! Awak kena cari kawan!" Dia berpusing sedikit. "Hyung kawan dengan semua orang tau! Barulah sekolah jadi lebih seronok! Janji dengan hyung, esok awak akan cari kawan?"

Yoongi mengeluh lagi, menunduk sebelum menghadap Jin semula. "Yalah. Saya akan cuba esok." Dia teragak-agak. "Ada dua orang budak lelaki yang duduk di sebelah saya, Kihyun dan Wonho. Diorang bersembang pasal muzik. Saya nak bersembang dengan diorang tapi saya takut. Esoklah saya cuba bersembang dengan diorang."

Jin mengangguk. "Bagus! Mesti diorang boleh jadi kawan awak sekelip mata. Awak boleh cuba rap untuk mereka!"

Yoongi terkelu. "Hyung rasa... diorang suka ke?"

Jin mengangguk laju. "Mestilah! Kalau diorang tak suka, awak tak perlukan diorang sebagai kawan."

Yoongi tersenyum sedikit. "Betul tu. Esok saya akan bercakap dengan diorang."

Jin tersenyum, membawa adiknya ke kereta. Ini dah cukup buatnya. Dia tak perlukan kawan sebab dia ada adik-adiknya.

Dia boleh buat apa sahaja untuk adik-adiknya.

Tak.

Dia akan buat semuanya untuk adik-adiknya.

"Oh ya! Hyung lupa nak beritahu! Hyung buat masalah lagi hari ni," kata Jin, tergelak dan Yoongi menggulingkan matanya.

"Hyung ambik air kotak orang lagi ke?"

"Diorang yang bagi! Sumpah! Perisa mangga, tau."

"Oh. Kalau mangga, saya pun tak nak."

"Itulah!"

Mereka berdua meloncat naik ke dalam kereta. Jin mengambil tempat di depan dan meletakkan beg merah jambunya ke atas riba.

"Macam mana sekolah? Dapat kawan tak?"

Jin tersenyum ceria. "Seronok! Saya dapat ramai kawan!"

Yoongi mengangkat bahu. "Okey je, rasanya."

"Kamu berdua ada kena denda tak?" tanya Namjoon, mengangkat keningnya sedikit dan melihat Yoongi dan Jin secara bergilir-gilir.

Jin tergelak. "Mestilah tak!" Dia berpaling ke belakang dan mengenyit matanya pada Yoongi, yang cuba membalas dengan kenyitan mata juga tapi tak berjaya. Matanya tertutup kedua-dua belah.

"Mestilah tak," ulang Yoongi.

Namjoon tersenyum. "Bagus." Kemudian dia pun mula memandu pergi.

Jin melihat ke luar tingkap, tersenyum sehinggalah sekolah hilang dari pandangannya. Kakinya tak sampai ke lantai kereta, tapi dia pastikan kakinya tak berayun langsung, sebab dia tak mahu satu saat pun berlalu jika dia bersama keluarganya.

Dia tak mahu masa berlalu sedikit pun.

dah start sedih guys 😚 dan lepas ni chapter-chapter sehari dalam hidup budak-budak ni! dekat sekolah masing-masing.

make sure ada tisu ;)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro