
2020 part 15
Takbir berbunyi menandakan Hari Raya Aidilfitri telah menjelma. Tetapi hari raya kali ini suasananya hiba.
Orang ramai tidak dapat pulang ke kampung halaman, masjid pula sunyi sepi dan orang cuma bersolat sunat Aidilfitri di rumah masing-masing.
Di 2 Jalan Cendana, Azlan menyampaikan khutbah solat Aidilfitri kepada keluarga serta pekerja-pekerja di rumahnya di padang sebelah tasik rumahnya.
Dalam khutbah yang disampaikannya itu, Azlan berkata janganlah anggap penjarakan sosial ini sebagai merosakkan syiar Islam, sebaliknya sebagai satu ujian.
Ucapan Azlan itu disiarkan secara langsung menerusi FB Live, IG Live dan TikTok Live, serta YouTube dan video pendek di Twitter.
Azlan menyamakan keadaan hari ini sama seperti zaman perang dunia kedua dahulu, di mana orang Islam bersolat di dalam hutan, atau di dalam tempat persembunyian untuk mengelakkan diri dari askar musuh.
Tetapi hari ini musuhnya tidak kelihatan dengan mata kasar, dan ia mudah merebak.
Selepas memberi khutbah, Azlan dan saudara-mara bersalam-salaman. Tapi sebelum bersalaman kena pakai hand sanitizer dulu.
Sebelum itu, seminggu sebelum hari raya, pihak Baitulmal, yang kini mempunyai aset sebanyak hampir RG200 billion, mengagihkan bantuan wang kepada semua umat Islam di Gelanggayu setiap keluarga RG 1,000 untuk persiapan hari raya, manakala yang masih bujang seorang RG500.
Selain itu, melalui zakat harta keluarga al-Daulah, Azlan menghulurkan sebanyak RG35 billion kepada Baitulmal, yang Azlan tidak pernah gagal bayar sejak menerima amanah menjaga harta keluarga al-Daulah sejak 2008.
Wang tersebut kemudian disalurkan untuk bantuan rakyat tanpa perlu menggunakan dana dari kantung kerajaan.
Azlan pakai baju Melayu yang dijahit oleh Adilah, baju teluk belanga warna putih dengan sampin hitam bersulam emas yang ditenun khas dari Melaut.
"Peeeehh, daddy punya baju Melayu ni, lawanya! Beli kat Haji Tarmimi ke ni?" tanya Jugra.
"Baju ni? Bakal mak mertua kau yang jahit untuk aku."
"Bakal mak mertua?" Merlina pandang Azlan.
"Haah, Adilah yang jahit ni untuk aku."
"Peh, betul-betul all out dia jahit untuk kau ni. Kemas gila jahitan dia. Macam jahit pakai tangan."
"Jom, kita jumpa dia? Mili, Alif!"
Mili dan Alif datang menghadap Azlan.
"Ada apa, Uncle?" tanya Mili.
"Jom, jumpa mama?" tanya Azlan.
"Alif tak nak. Uncle nak jumpa dia, uncle jumpa je lah."
"Alif, tak ingat ke apa yang Alif cakap dulu depan uncle masa raya dulu?" Mili tegur Alif.
"Kalau papa takpe lagi. Alif tak nak jumpa orang yang hina anak dia sendiri, lepas tu terlibat bunuh Uncle Ali, orang yang dah khianat teruk pada negara ni."
"Tapi dia masih mama Alif."
"Tak nak Alif mengaku dia mama. Mili nak pergi, Mili pergi."
Azlan tenung sahaja mata Alif.
"Uncle, kalau Uncle nak marah Alif pun, Uncle marahlah. Uncle tak faham apa yang Alif rasa."
"Takpelah, Uncle tak paksa pun. Kau makan la dulu kat sini, kitorang satu keluarga nak jumpa dia."
--
Azlan, Merlina, Jugra, Julia dan Mili ke penjara untuk melawat Adilah yang sedang dalam tahanan. Azlan bawa ketupat, rendang Minang, masak lodeh, sambal goreng suhun serta kuah kacang.
"Mama!" Mili terus mendakap ibunya, dan mencium tangannya. Azlan, Merlina, Julia dan Jugra hanya berdiri melihat kemesraan dua orang anak beranak menangis berpelukan.
"Julia, nak pergi mana tu?" tegur Merlina.
Julia pergi ke arah Adilah dan Mili yang sedang menangis di pagi Aidilfitri.
"Asal hawi waya je, nangis! Hawi waya je, nangis. Cubalah fun sikit. Apa kata aunty dengan Mili, ikut Julia nyanyi sama-sama..."
Adilah dan Mili pandang pelik ke arah Julia.
"Satu, dua, tiga...ikut Julia...mi pan, zu zu zu, zu zu zu!"
Adilah dan Mili tercengang.
"Mi pan yakakusu nyam nyam nyam! Mi paaaannnn zu zu zu zu zu! Cepatlah nyanyi!"
"Mili, siapa ni?" tanya Adilah.
"Nama saya Aidil Fitwah Julia!"
"Fitrah, dia ni pelat R, mama."
"Jadi sebagai seowang yang lahir pada hawi waya, saya tak suka owang nangis pada hawi waya. Hawi waya sepatutnya kena fun!"
Azlan dan Merlina datang ke arah Adilah.
"Anak aku ni, Julia. Dia kalau hari raya dia tak suka orang nangis-nangis. Selamat hari raya, Adilah," kata Merlina.
"Awak, Merlina ya? Isteri Azlan. Awak memang orang yang bertuah."
"Ha, bertuahlah sangat! Serabut jugak aku dibuatnya."
"Jugra, mari dekat sini."
Jugra seperti rasa dalam penasaran. Dia macam termakan sedikit cakap Alif tentang penglibatan Adilah terhadap pembunuhan Uncle Ali, tapi dalam masa sama dia sedar yang Adilah ni ibu kepada kekasihnya, Mili.
Memandangkan ayahnya yang bagi arahan, Jugra ikut juga arahan ayahnya.
"Apa khabar, aunty..."
"Dah lama ke awak kawan dengan Mili ni?" tanya Adilah kepada Jugra.
"Sejak sekolah, aunty."
"Lamanya tu. Dengar kata lepas tamat Khidmat Negara, awak nak tunang dengan Mili ya?"
"Ya, aunty."
"Jaga Mili baik-baik ya."
"Baik aunty."
"Cepatlah daddy, mommy! Kowang ni asyik berdwama je! Owang nak makan ketupat, makan wendang, makan aaaa sambal goweng!"
Semua ketawa melihat gelagat Julia.
--
"Akak Mili, Julia nak tanya sikit, boleh tak?"
"Ada apa, Julia?"
"Apa yang specialnya Abang Jugwa ni di mata Akak Mili? Kot kot mata akak ni ada kewosakan ke, Julia nak tau."
Azlan, Merlina, Adilah tergelak, sementara Jugra pandang adik dia besar kecik je.
Mili pula tergamam nak jawab soalan tu. Mukanya merah padam, rasa malu sebab soalan Julia yang begitu laser-focused tu.
"Mestilah, sebagai seowang adik, kita kena check backgwound bakal kakak ipar kita," kata Julia sambil berpeluk tubuh buat muka selamba.
"Ha, jawablah soalan Julia tu. Uncle pun nak dengar," kata Azlan.
"Dulu masa Abang Alif dan Kak Mili kat sekolah, kitorang selalu kena buli. Especially Abang Alif. Mata Abang Alif kan buta sebelah sebab kena bom dulu."
Jugra dari rasa nak marah adik dia, jadi sayang pulak sebab soalan dia, ayah dia boleh dengar cerita pasal dia dari mulut orang lain.
"Jugra lawan sampai lima orang, tapi tak jatuh pun. Lepas tu taulah yang Jugra belajar silat masa dia kecik dulu dengan Uncle Ali. Julia tak ingat kot Uncle Ali."
"Ingat! Ingat! Yang botak muka dia berpawut macam Sagat dalam Stweet Fighter tu kan?"
Azlan, Merlina dan Adilah semua pandang tepat kat Julia.
"Ala, game Street Fighter kat PS4. Yang tomoi tu. Ala boomer tak main game, tak tau lah nak explain camane," kata Jugra.
"Excuse me, aku millennial, okay? Kau ingat aku tak main game Street Fighter ke? Aku main game zaman Nintendo, okay? Aku tau la Sagat tu assistant M Bison! Aku zaman muda dulu aku tengok la cerita Van Damme," kata Merlina.
Tersengih-sengih Jugra. Sensitif betul Mama Mer bila diboomerkan.
"Teruskan," kata Azlan.
Mili telan air liur. Dia pandang Azlan, kemudian ibunya, dan kemudian ke arah Jugra, sebelum ke arah Julia.
"Satu perkara pasal Jugra, dia ni seorang yang adil. Pernah sekali kat kem Khidmat Negara, Kak Mili kena tuduh mencuri. Semua orang tuduh Kak Mili curi, padahal perempuan tu suka cari pasal dengan Kak Mili. Tapi cuma Alif dan Jugra je yang percaya dengan Kak Mili."
"Kak Wachel pun tak percaya?"
"Dia mula-mula pun ingat Kak Mili curi."
Merlina bisik kepada Azlan.
"Kau tau cerita ni ke?"
Azlan mengangguk.
"Lepas tu?" tanya Azlan.
"Jugra panggil Abang Adli Margera, tanya macam mana nak dajal perempuan tu balik. Lepas tu Jugra suruh Mili letak gam kayu kat meja, siap plastik. Perempuan tu kena tuduh hisap gam..."
Semua orang ketawa. Azlan geleng kepala.
"Masya-Allah budak-budak ni. Rosak," kata Merlina.
Adilah pun rasa benda tu kelakar sampai dia tutup mata dia sebab ketawa sampai keluar air mata.
"Anak Azizan Azmi, kan? Iman Alyssa?" kata Azlan.
"Alaaaaa uncle dah tau cerita ni rupanyaaaaa!" Mili dah segan.
"Dah tau tapi cerita depan mama la, bagi mama dengar," kata Azlan.
"Ya, mama nak dengar," kata Adilah.
Jugra hanya menutup mukanya dengan songkok sambil tergelak ketawa.
"Jugraaaaa! Awak gelak!" kata Mili.
"Kelakar siot masa tu!" Jugra ketawa.
"Masa tu pelatih semua dah pening kepala. Sekali Jugra masuk, tangan ke belakang macam Tuan Pengerusi..."
Semua orang ketawa memandang ke arah Azlan. Azlan pandang Jugra.
"Daddy kalau jalan macam tu apa. Nak nampak macam orang penting. Selalu kat TV nampak daddy jalan macam tu, Jugra tiru la," kata Jugra.
"Ye ke aku jalan tangan ke belakang?"
"Haah, macam Liam Gallagher menyanyi, kau berjalan. Jalan macam acah-acah tokoh la," kata Merlina.
Azlan ketawakan diri sendiri.
"Ha, sambung," kata Merlina.
"Macam Detective Conan, Jugra pun cakap, salah! Iman tak hisap gam, Mili tak curi barang Iman! Jawapannya dua-dua saling mendajal, sebab nak merebut perhatian dia."
"Euw, poyonya abang Jugwa!" kata Julia.
"Dah betul aku jadi rebutan para gadis, kau pahal?" kata Jugra kepada Julia.
"Cerita ni pun Uncle dah dengar, tapi saja je nak Mili yang cerita depan kitorang semua," kata Azlan.
"Sebab Jugra, keadilan untuk Kak Mili terbela. Sebab tu Kak Mili sayang Abang Jugra."
Julia mengangguk, tanda berpuas hati dengan jawapan Mili.
"Jugra, bila nak bertunang dengan Mili?" tanya Adilah.
"Lepas 2021 nanti, saya tamat Khidmat Negara, kemudian sambung setahun dekat Kolej Tentera, keluar grad terus dapat Lans Koperal," kata Jugra.
Adilah berpuas hati dengan jawapan Jugra dan tersenyum.
--
"Daddy, Jugra tak faham la, kenapa daddy nak berbaik dengan Aunty Dila yang terlibat bunuh Uncle Ali?"
"Sebab dia mama Mili. Kau nak mengorat anak, tapi kau tak hormat mak, macam mana tu?" tanya Azlan.
"Jugra hormat Aunty Dila, kan tadi Jugra cakap elok-elok je dengan dia. Cuma ramai juga yang tanya ni pada Jugra kat kem Kolej Tentera tu."
Azlan mengangguk faham. Dia tau, ramai ahli Ayam Hitam yang masih tak berpuas hati dengan keputusannya berbaik dengan Adilah.
"Soal dia terlibat dengan pembunuhan Uncle Ali, daddy dah jatuhkan hukuman pada dia. Dia dah terima hukuman tu. Yang sudah tu, sudahlah. Soal dia baik atau jahat, biarlah Allah sahaja yang bagi timbangannya sendiri."
Jugra memandang pada ayahnya, faham mengapa ayahnya buat macam tu.
"Daddy dah cakap pada Uncle Kecik dan Uncle Fidot tentang perkara ni, dan dorang tak halang pun kau berdua nak bercinta. Tapi tak adil lah, kalau hubungan antara ibu dan anak aku nak halang pulak."
Mili memegang tangan Jugra.
"Islam mengajar kita untuk berdamai. Dan untuk berdamai, kita perlu belajar macam mana untuk memaafkan. Kalau kita tak memaafkan orang, macam mana kita nak berdamai? Kau ada belajar ni dalam kelas diplomasi, kan Jugra?"
"Ada, daddy."
"Aku tau ada ahli Ayam Hitam yang tak berapa gemar aku rapat dengan Adilah. Dan mereka memang berhak buat macam tu pun. Sebab Uncle Ali ni dah berjasa dengan banyak pihak. Tapi Adilah ni keturunan Wan Demang, ada banyak rahsia negara ni yang daddy tak tahu, dia cerita. Kalau daddy nak ego, bermusuh walaupun dia dah kena hukum, kau pun aku tak kasi kawan dengan Mili. Aku pun rugi dengan banyak ilmu yang terkumpul dari Wan Demang. Rugi tak kita semua pihak?"
Jugra mengangguk.
"Diplomasi ni bukan datang dari emosi. Diplomasi ni datang dari strategi. Kena banyak berfikir," kata Azlan.
--
Azlan faham, sebagai pemimpin Ayam Hitam, tingkah lakunya diperhatikan oleh ahli-ahlinya. Sebab tu awal-awal lagi Azlan sudah terangkan kepada Kecik dan Jeneral Firdaus.
Untuk Jeneral Firdaus, yang kereta ayahnya pernah kena bakar oleh Azlan, memanglah dia faham. Kecik juga faham, sebab takkan nak pisahkan hubungan Mili dan ibunya, hanya sebab Mili dan Jugra bercinta.
Tetapi macam Hidayah, dia memang tak suka Adilah. Sebab dulu dia sayang Hafiz, tapi bila Adilah jadikan Hafiz sampai jadi macam begitu teruk, mati dalam keadaan kena HIV, Hidayah tak boleh terima.
Hubungan antara Azlan dan Hidayah mula macam sedikit renggang berikutan isu Bonda Mawar terkena jangkitan COVID-19. Semua orang tuduh Hidayah yang bawa dari Air Putih, tempat paling teruk terjejas dengan COVID di seluruh Gelanggayu.
Dan Hidayah pula macam seorang yang skeptik dengan COVID-19 dan macam termakan dengan dakyah antivax, walaupun dia sendiri ada kilang buat topeng muka.
Azlan tak mahu hubungan sesama Ayam Hitam berpuak-puak, maka dia melawat Hidayah dan membawa keluarganya bersama Mili, anak kepada Adilah.
Azlan tahu, Mili nanti berkahwin dengan Jugra, maka Jugra lepas Azlan meninggal nanti akan memegang tampuk kuasa. Jadi pilihan hati Jugra juga perlu dihormati oleh ahli-ahli Ayam Hitam.
Maka Mili harus dapat restu Kak Yong juga, sebab satu hari nanti, dia juga bakal berkahwin dengan kepala kepada semua kumpulan.
Dan Alif sudahpun menjadi ketua kepada Unit Siber Sayap Hitam, sebab dia ada kepakaran siber yang tidak ada kepada ahli-ahli yang lain.
--
"Assalamualaikum, Kak Dayaaaaahhh!"
Hidayah tiba di laman rumah dan nampak kereta Azlan dekat depan rumah.
Sebaik sahaja nampak Azlan keluar, Hidayah terus bagi perli keras.
"Tak langgar POS ke datang rumah ni? Itu la, percaya sangat dengan WHO tu."
Merlina rasa awkward, sebab dia rasa macam ada vibe yang tak berapa best antara Azlan dan Hidayah.
Tapi Azlan rilek dan tak melatah, sebaliknya laga siku dengan anak-anak buah sambil pakai topeng muka.
"Takdelah, hari tu macam tuduh aku sebar COVID sampai Bonda Mawar meninggal. Eh, Bonda Mawar tu mak mertua aku tau!"
"Saya datang sini bukan nak cari gaduh, Dayah. Kan dah cukup 14 hari awak kuarantin. Simple je, kalau awak rasa saya ni collude dengan WHO, dan virus ni olok-olok je, kita bagi je kontrak buat topeng muka ni pada orang lain."
"Aik, main ugut nampak?"
"Ini bukan nak mengugut, Dayah. Cuba pergi hospital. Cuba pergi pusat kawalan penyakit sementara dekat Seri Kenanga sana. Berpusu-pusu orang sakit. Anak saya sendiri kena COVID. Ingat benda ni olok-olok ke?"
"Tapi saya sakit hati sebab awak tuduh saya bawa COVID ke Bonda Mawar."
Azlan pandang tepat ke mata Hidayah. Azlan tahu, selagi dia pakai cincin Raja Gautama tu, kalau dia pandang tepat ke mata orang, orang tu akan jadi gerun dengan si pemakai.
"Siapa orang terakhir yang luar dari orang dalam rumah Bonda, yang jumpa Bonda?" tanya Azlan.
"Saya, sebab nak bagi durian."
"Awak datang dari mana?"
"Dari kampung."
"Kampung awak kat mana? Air Putih, kan? Awak ada tengok kes kat Air Putih mencanak teruk, kan? Sampai sempadan negeri kena tutup. Awak je lepas dari sempadan sebab awak tu balu arwah Ali. Jeneral Firdaus bagi muka pada awak. Saya sendiri pun tak balik kampung saya kat Melaut. Saya sendiri tak keluar dari kawasan selatan Wijayapura dan tak cross border kecuali kalau ada urusan penting je. Awak nampak tak awak dah salahgunakan kelebihan awak?"
Semua anak buah pandang sahaja Hidayah dan Azlan, dan mula rasa gerun dengan pemimpin macam Azlan.
"Orang yang ada kuasa ni, dia mesti ada perasaan yang segan untuk salahgunakannya. Saya tahu la awak tu isteri arwah Ali. Saya ni, membesar dengan Ali sejak kecil lagi. Ali tu abang saya dari ayah yang sama. Sebab tu dia minta dikebumi sebelah dengan kubur arwah ayah saya. Awak nampak tak antara saya dan awak, mana lagi rapat dengan Ali?"
"Dah tu, kenapa awak nak rapat dengan si perempuan sundal tu?"
Jugra cepat-cepat tarik Mili ke belakang kereta, tak nak menjadi punca pergaduhan.
"Sebab anak aku bakal kahwin dengan anak dia. Apa yang dia buat tu, dia dah kena jatuh hukum dah pun. Tunggu masa je. Yang sudah tu sudahlah. Nak tentu siapa baik, siapa jahat ni, bukan tangan kita, Dayah. Tu semua kehendak Allah. Kau ingat aku tak sayang Ali ke? Ali tu darah daging aku la!"
"Korang berdua boleh rilek tak? Raya-raya macam ni pun nak gaduh," Merlina cuba tenangkan keadaan.
"Aku datang nak beraya, Dayah. Kalau aku ada buat salah pada kau, aku minta maaf. Kalau pasal isu COVID berjangkit pada Bonda tu, 15 orang yang jumpa dengan kau lepas kau balik dari Air Putih, 13 orang positif. Sorang negatif, sorang meninggal, iaitu Bonda Mawar. Sampai dah ada nama kluster kau dah. Kira okay la kau lepas tak payah pakai gelang pink macam orang lain, hanya sebab kau ni balu kepada Ali. Ikutkan dengan kau sekali kena pakai."
"Eh, dah la tu, Lan. Tak payah gaduh dengan Kak Dayah lagi la. Aku ni nak beraya, bukannya nak tengok orang berdrama," kata Merlina.
"Akak bukan apa, Mer. Lockdown ni ketat sangat. Orang nak pergi ambik durian je pun, takkan nak biarkan je durian tu membusuk kat kebun tu. Kebun awak pun sekali saya tolong."
"Azlan ni anak murid Jeneral Yahya, jadi dia ni kalau bagi arahan, dia expect semua orang ikut. Biasa la tu. Dah la, korang berdamai, okay?"
Azlan dan Hidayah bersalaman.
"Tu kenapa pulak Mili dengan Jugra tu?" tanya Merlina.
"Dah Dayah kutuk mak dia, mestilah dia terasa," kata Azlan.
"Ya Allah banyaknya konflik raya ni! Woi, aku nak makan cornflakes madu raya, bukan konflik raya la, setan!" jerit Merlina.
"Betul tu mommy! Asyik dwama je! Ingat ni cewita Samawinda ke?" kata Julia.
--
"Cuba kita cakap slow-slow dengan Aunty Dayah, takyah la merajuk macam ni, Mili."
"Takde la, cuba kalau orang panggil ibu awak perempuan sundal, awak pun marah jugak, kan?" Mili berpeluk tubuh, muka tak puas hati.
Jugra dah sakit kepala.
"Camni la, apa kata kita pergi ke rumah Rachel je kalau semua dah potong stim macam ni."
"Entah! Entah apa-apa Aunty Dayah ni!"
Jugra datang ke arah daddynya.
"Daddy, Jugra dengan Mili nak beraya rumah Rachel lah."
"Rumah Rachel cross border ke tak?"
"Eh daddy ni. Rumah Rachel tu rumah lama daddy lah. Sini Puncak Tropika, pergi ke Seksyen 14, mana ada cross border. Lagipun, Mili tak selesa la ada kat sini."
Azlan pandang mata Jugra, kemudian pandang Mili.
"Sebelum kau dan Mili pergi rumah Rachel, aku nak Mili jumpa Aunty Dayah dulu."
"Tapi tadi kan..."
"Hidup ni, Jugra, ada masanya perlu berdepan dengan orang yang kita tak selesa. Aku nak kau bawa Mili, confront Aunty Dayah macam aku buat tadi. Apa yang tersimpul, leraikan. Apa yang terjerut, lepaskan. Apa yang tersakiti, rawatkan. Faham?"
"Faham, daddy."
--
Azlan minta Hidayah dan Mili, duduk di tingkat atas rumah arwah Ali, yang dahulunya merupakan tempat bermain snooker untuk Ali.
"Sekarang, Hidayah, tadi kau cakap dengan aku yang kau tak puas hati dengan aku, sebab kau langgar POS yang aku selaku Pengerusi Majlis Keselamatan Negara dah buat. Kemudian, kau kaitkan aku dengan aku melawat Adilah, mak kepada Mili."
"Betul. Sebab..."
Belum habis Hidayah cakap, Azlan dah potong.
"Nanti dulu. Sekarang, kau marah aku sebab Adilah terlibat dengan kes pembunuhan Ali. Betul tak?"
"Betul."
"Kau marah Mili tak?"
Hidayah memandang Mili, kemudiannya menggelengkan kepala.
"Aku marah mak dia je."
"Tapi dia pulak marah dengan kau, sebab kau panggil mak dia perempuan sundal depan dia. Betul tak, Mili?"
Mili hanya mengangguk.
"Sekarang ni, mak dia terlibat dalam pembunuhan Ali. Dan aku boleh tunjuk kesan luka tangan aku kena tembak," Azlan tunjuk lengannya dengan kesan parut peluru.
"Sebab kau ada kat sebelah dia masa tu," kata Hidayah.
"Ya, dan kau tak puas hati dengan aku sebab kenapa aku berbaik dengan orang yang terlibat dengan pembunuhan Ali. Kau cakap yang kau isteri dia. Dan sejak Ali meninggal empat tahun lepas, kau rasa macam kau sorang je yang menderita. Kau teka bila aku start kenal Ali? Sejak aku darjah satu. Mamat tu overdosed dadah, aku orang yang bawak dia ke hospital. Mamat tu macam dah nak mati dah, aku yang bawak dia pergi pusat pemulihan. Tak ada siapa yang lawat dia kat Sungai Banol tu, kecuali aku. Kau nampak hubungan aku dengan Ali ni, macam mana?"
"Tapi Lan, kau tak rasa bersalah ke, berbaik dengan orang yang bunuh abang kau?" tanya Hidayah.
"Okay, sekarang ni, kau setuju tak yang Mili ni kahwin dengan Jugra?"
"Itu hak Jugra."
"Okay, Jugra anak aku. Mili anak Adilah. Kau nak aku putuskan hubungan anak dengan ibu ke? Atau kau nak aku putuskan hubungan dengan anak aku sendiri, sebab dia kahwin dengan anak kepada orang yang terlibat dalam pembunuhan abang aku?"
"Tak ada la sampai macam tu."
"Rukun iman yang keenam, apa dia?" Azlan tanya Hidayah.
"Percaya kepada qada' dan qadar."
Azlan kemudian berdiri, menunjukkan yang dia ada autoriti antara mereka bertiga.
"Sebagai seorang Islam, kita wajib percaya pada qada' dan qadar. Apa itu qada'? Kehendak Allah. Apa itu qadar? Takdir yang Allah telah tetapkan. Sudah ditentukan Allah bahawa Ali meninggal dunia dengan begitu, dengan Adilah terlibat dalam hal itu. Tapi takdir dah kata jodoh anak aku dengan anak dia, macam mana aku nak mengubahnya?"
"Mili sedar yang mama banyak buat dosa pada semua orang, terutamanya dengan Aunty Dayah. Tapi sebagai seorang anak, berdosa kalau Mili tak hormat mama Mili sendiri."
"Dari dulu lagi aku dah dendam dengan mak kau, Mili. Dulu, masa aku cintakan Hafiz, dia yang hancurkan hati aku. Lepas tu aku dah berdamai dengan dia lepas kahwin dengan Ali, kemudian dia bunuh Ali pulak lepas tu. Hati siapa yang tak sakit?" kata Hidayah.
"Mili pun tau Aunty Dayah dulu cintakan papa, tapi dah papa berjodoh dengan mama, nak buat macam mana, kan?"
"Aunty langsung tak marah dengan Mili atau Alif."
"Habis tu kenapa panggil mama perempuan sundal depan Mili?"
Hidayah terdiam, kemudian pandang pada Azlan.
"Kita ahli Ayam Hitam, semua rindukan arwah Ali. Dialah yang menyatupadukan kita semua. Tanpa dia, aku tak ada kedudukan ini. Ini semua usaha dia. Tapi kita kena move on. Adilah pun dah kena hukum, takkan kau nak pisahkan mereka anak beranak?" kata Azlan.
"Aunty minta maaf sebab terkasar bahasa."
"Mili kalau boleh tak nak kita semua bergaduh lagi. Aunty Dayah pun jiran arwah papa. Dah rapat sangat dah pun. Pasal apa yang mama buat tu, bagi pihak keturunan Wan Demang, Mili mohon maaf pada Aunty Dayah."
Mili hulurkan tangan untuk bersalam, dan Hidayah menyambutnya, sebelum Mili mencium tangannya.
"Sekarang, soal kau langgar POS pulak. Kau tau tak tindakan kau ni bahaya? Kau risau pasal kebun durian kau, kau tak risau pasal nyawa ke?" tanya Azlan.
"Aku bukan apa, Lan. Kau buat sekatan macam ni pun kes tetap naik jugak. Lagipun ni semua konspirasi WHO je," kata Hidayah.
"Okay, kau ada nampak tak van jenazah bawak jenazah dari hospital? Kau rasa tu mati betul ke, mati olok-olok sebab ini semua konspirasi WHO?"
"Mati betul la. Cuma, kau tak rasa ke ini cuma plan Illuminati nak masukkan mikrocip dalam badan?"
"Dayah, satu mikrocip untuk kucing harga dia $25. Untuk manusia yang lebih kompleks, kos dia lagi mahal. Kau gila, berapa quadrillion dolar kapitalis ni nak keluar untuk mikrocipkan semua orang? Tak ekonomikal langsung! Kau nak tau macam mana dorang trace habit kau? Ni! Dengan phone ni! Mikrocip ni maksimum jangka hayat dia pun setahun dua. Buat rugi je."
Hidayah terkebil-kebil kena sekolah dengan Azlan pasal vaksin.
"Kau dengar cakap Mosus Flatearther tu dah kenapa? Dia tu belajar sains pun macam tak je, cakap pun macam orang yang takde basic knowledge sains. Kau yang pernah jadi cikgu ni tolong la berakal sikit, Dayah."
"Tapi kau pun cakap aku punca Bonda Mawar mati...aku kecik hati la..."
"Sebab kau datang dari wilayah yang paling terjejas teruk dengan COVID! Lepas tu, orang yang jumpa kau pun positif."
"Kenapa aku tak ada simptom tu?"
"Sebab ada pembawa yang bawa simptom, ada pembawa yang tak tunjuk sebarang simptom. Sebab tu jadi Kluster Kak Dayah. Kau yang datang dari sana, ke sini. Sampai orang KKG kena kurung kau kat rumah ni. Aku yang suruh Fidot buat macam tu, kalau tak, kau degil. Sekarang ni dah lebih 14 hari kau tak jumpa orang, kau clean la. Sebab tu aku jumpa kau."
"Baik, Azlan. Maafkan aku sebab aku tak tau ni semua."
"Dah lah, daripada raya aku jadi tarbiahkan orang pulak. Aku gerak dulu."
Mereka bertiga turun, dan sampai di bawah, semua orang curi dengar perdebatan mereka bertiga.
"Dah settle," kata Azlan.
--
"Macam mana kau boleh pujuk Kak Dayah yang hati dia keras macam batu tu? Aku sikit punya susah nak pujuk antivax macam tu," kata Merlina.
"Berdebat ni, macam main chess. Kau kena predict dulu apa hujah dia, baru kau sediakan beberapa jawapan dan move kau untuk dia menyerah. Dengan Hidayah ni dia emosional sikit. Sebab tu aku cakap pasal Ali tu darah daging aku."
"Tapi kalau aku la, jenuh aku kalau nak bercakap dengan antivax ni."
"Benda kena pujuk. Kena faham orang ni jenis macam mana."
"Aku syukur kau dah berdamai dengan Kak Dayah, dan kau dah damaikan dia dengan Mili."
"Dah tugas aku, Mer. Ni tugas aku. Aku buat je apa yang patut."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro