Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

2017 part 2

Azlan

Sebagai ahli parlimen Puncak Jaya, adalah patut untuk aku melawat dan bertemu rakyat, bukan hanya pada musim pilihanraya, tapi pada bila-bila masa.

Hari ini aku melawat taman perumahan di Taman Puncak Impian fasa 2 dalam siri 'Jelajah Juara Rakyat', sebab kebetulan hari ini Hidayah buka kedai kek dan pusat tuisyen sekolah rendahnya.

Aku mendengar keluhan hati rakyat, terutamanya dalam isu GST. Rata-rata golongan peniaga kecil dan sederhana rasa terbeban dengan cukai ni.

Aku mendengar keluhan peniaga sate, Abang Lokman di restorannya dekat sini.

"Orang komplen sate makin mahal sekarang, Pengerusi Azlan! Dulu zaman mula-mula saya berniaga, saya boleh la berniaga secucuk sate daging, 30 sen. Sate ayam, 40 sen. Sekarang, tak dapat lagi dah. Sate daging kena jual 70 sen. Ayam kena jual 80 sen. Susah kalau macam ni."

Merlina di tepi menyalin nota. Sebagai setiausaha aku, dia terus tulis tanpa aku suruh pun.

"Abang Lokman dah berniaga berapa lama dah?"
"Sejak 90an lagi, Pengerusi Azlan. Lepas kegawatan ekonomi 1995 tu, saya kena buang kerja. Merana jugak la mula-mula tu. Lepas tu saya keluarkan duit EPF saya, buat modal berniaga sate ni. Lepas tu perang saudara, saya stop kejap, tolong bro Ali hantar makanan. Lepas tu saya dapat bantuan zakat, alhamdulillah, dapat kembali berniaga. Tapi itulah, barang sekarang makin mahal."
"Hmm, dekat 20 tahun jugak la ni."
"21 tahun. Tahun 1996. Saya start niaga kat medan selera Kantan Indah dulu. Masa tu YB lama, Daniel Hakim yang rasmikan."

Jasa ayah Jessica kat Puncak Jaya ni besar sebenarnya. Dia dah banyak bina infrastruktur yang aku tinggal nak teruskan sambung kerja dia je.

Walaupun zaman dia dulu Parti Jujur cuma pembangkang peringkat kerajaan pusat, dan Gabenor Wak Berahim ni korup nak mati, tapi dia masih mampu melaksanakan kerja dengan baik.

"Maaf, Abang Lokman, saya nak menyampuk sikit, boleh?" tanya Merlina.
"Apa dia?"
"Abang Lokman tak nak try meniaga kuih keria gula melaka? Sekarang tengah trending ni. Modal tak besar pun. Sementara harga daging dengan ayam ni tengah mahal, dan keadaan pasaran tengah tak berapa nak baik, cuba abang Lokman try jual kuih keria. Tengah trending ni. Nampak ni, artis, Sweet Qaisara tengah makan kuih keria ni," Merlina tunjuk telefon bimbitnya.

"Kuih keria ni saya boleh buat," kata isteri Abang Lokman.
"Nampak tak berapa likes tu? 25k likes. Maknanya ada 25,000 orang tengok gambar ni. Lagi satu, abang Lokman buatlah akaun Facebook, akaun Instagram. Senang sikit nak promosi kedai abang Lokman ni. Bila ada artis ke, ahli politik macam Azlan ni datang, ramai la datang kedai abang Lokman ni, jadi beban GST tu takdelah terasa sangat. Sebab GST ni cukai progresif. Cukai berdasarkan penggunaan. Kalau katakan cukai 8%, tu, semakin ramai pelanggan datang, walaupun makin naik abang kena bayar, tapi abang Lokman tetap untung banyak," power betul Merlina pujuk Abang Lokman pasal isu GST ni.

Merlina ambil gambar sate, kemudian ambil gambar menu, sebelum ambil gambar Abang Lokman dengan aku yang sedang berbincang tentang isu rakyat.

Kemudian dia up di Instagram aku. Instagram aku sekarang ada 2.5 juta followers, yang paling tinggi dari kalangan ahli politik.

"Nampak, baru 30 saat upload ni, dah 368 likes dah. Ha, naik lagi nombor. Ni nampak ada orang komen ni. 'Nampak sedap la, nanti nak try makan sini lah!', zaman sekarang marketing semua pakai phone ni je," Merlina menunjukkan gambar dia ambil tadi pada Abang Lokman.

"Ehhh, ramainya kata nak datang makan kat sini! Terima kasihlah puan Merlina!" kata Abang Lokman dah seronok.

"Saya harap saya dan isteri saya dah membantu Abang Lokman. Berapa harga sate ni? Saya nak ke kedai sebelah pulak," kata aku.
"Eh, takpe, takpe. Saya belanja Pengerusi Azlan! Terima kasih Pengerusi Azlan!" Abang Lokman terus memeluk Azlan.

Mata Merlina memang cekap. Bab macam ni, dia terus tangkap gambar.

"Okaylah, saya gerak dulu. Nanti kalau ada apa-apa masalah, hubungi saudara Joni. Dia sekarang jadi wakil saya di Parlimen Puncak Jaya ni."

Joni hulurkan kad dia pada Abang Lokman.

"Macam ni, abang Lokman. GST ni, abang anggaplah macam negara ni menabung. Kita ada duit, kita simpan. Besok buatnya berlaku perang macam dulu, kegawatan ekonomi ke, wabak penyakit ke, senang kerajaan nak hulurkan bantuan. Kalau saya mansuhkan GST, besok kalau gawat ekonomi, macam mana kerajaan nak membantu rakyat?" aku memeluk bahu Abang Lokman.
"Ya tak ya juga. Terima kasih la Pengerusi Azlan sebab sudi datang restoran saya ni," kata Abang Lokman.

Setiap kali aku tengok rakyat tersenyum melihat aku, hati aku rasa puas. Alhamdulillah. Dalam hal ni, aku mencontohi sifat Vito Corleone dalam filem Godfather, sentiasa mendengar keluhan suara masyarakat.

Label 'Jelajah Juara Rakyat' yang Merlina promosikan untuk siri jelajah melawat rakyat aku ni memang tepat. Memang power dia ni bab marketing. Kau tengok je lah cara dia memujuk hati Abang Lokman. Tak payah bagi duit ke bantuan untuk pujuk hati dia.

Lagi 20 tahun kalau aku masih jadi ahli parlimen lagi, Insya Allah Abang Lokman akan jadi pengundi tegar aku. Dah tua bertongkat pun pangkah kotak nama aku.

Tapi aku tak minat nak jadi ahli parlimen lama-lama ni. Kalau boleh lepas ni biarlah Din Tapa sambung semua kerja ni.

Aku kemudian melawat kedai kek dan pusat tuisyen Hidayah yang berada di sebelah kedai Abang Lokman ni.

"Assalamualaikum Kak Dayah!"
"Waalaikumsalam, Azlan, Merlina! Masuklah!"
"Wah, bukan main besar lagi oven Kak Dayah!" kata Merlina.
"Bolehlah, nak buat kek kalau orang tempah."

Merlina mula mengambil gambar kek-kek yang dibuat oleh pekerja Kak Dayah. Rozana dan Nilam sedang sibuk meletakkan krim di kek.

"Pusat tuisyen kat atas ni, dah start ke?" aku tanya Kak Dayah.
"Dah start dah. Ajar dari darjah satu sampai darjah enam," kata Kak Dayah.
"Boleh la tahun depan Julia belajar tuisyen kat sini," kata Merlina.

Aku nampak Kak Dayah dan Rozana ni, orangnya tabah. Selepas dah jadi balu bila Ali meninggal, dia tak terus memanjang bersedih, sebaliknya dia terus move on dan memulakan perniagaan sendiri.

Aku difahamkan dulu Hidayah ni cikgu tadika, tapi hobi dia suka memasak. Rozana hobinya suka menggubah tapi dia minat juga buat kek ni.

Aku harap kau gembira tengok semua ni, Ali.

Aku pandang Kecik, bukan main sibuk lagi tolong supplier angkat barang-barang Kak Dayah macam tepung gandum, mentega, gula, telur dan bermacam-macam barang lagi.

Macam dia pulak yang berniaga.

Aku tak tau la apa ahli Ayam Hitam yang lain rasa, tapi aku suspek yang Kecik ni ada skandal dengan Kak Dayah.

Ye lah, bertahun-tahun Ali tu ke mana-mana tempat sebab Hafiz selaku Menteri Dalam Negeri halang dia dari masuk Gelanggayu balik, mestilah Kak Dayah ni ada rasa sunyi.

Dan kebetulan pulak, Kecik ni ditugaskan Ali untuk jaga kebajikan Kak Dayah.

Aku tak nak cakap apa-apa pasal ni, sebab aku dah rasa benda ni sebelum Ali meninggal lagi. Bukan apa, walaupun aku sibuk, tapi mata aku memerhati, dan mata-mata aku pun memerhati semua orang.

Masa nak renovate kedai, beli oven, lepas tu tempah kerusi meja untuk pusat tuisyen kat tingkat atas ni, semua Kecik yang uruskan.

Lain macam je. Bak kata budak-budak zaman sekarang, sesuatuuuuu je.

Aku akan siasat si Kecik dengan Kak Dayah ni. Kalau dari sebelum Ali meninggal lagi dorang dah berlaku curang, aku kena berhati-hati sikit dengan dorang dua orang ni.

--

Jimmy dan Adilah bertekak di dalam rumah, dan saling menyalahkan antara satu sama lain.

"Ni semua you punya pasal! Buat tindakan semuanya tak ikut logik! You ni berlagak je pandai, tapi bodoh!" jerit Jimmy kepada Adilah.

"You jangan nak salahkan I dalam hal ni. Dalam hal ni, Amir yang buat kerja tak clean. Sekarang, Azlan dah berjaya satukan pengikut Ali dalam penyokong dia."

"Siapa yang pilih Amir untuk join Ali ni? Siapa?"
"Tok Aki la!"
"Haaaa, lagi nak ikut cakap orang tua tu. Orang tua tu akhirnya jadi apa? Mampos kena hukum gantung."
"You jangan nak kurang ajar dengan Tok Aki, okay? Daripada you tu, langsung tak nak berfikir! Tau nak jadi sultan, tapi berfikir pun tak nak!"

"Eh, kerja aku pulak nak kena fikir semua benda? Korang orang bawah, korang buat la kerja!"
"Amboi amboi amboi, dia sedap nak duduk kat atas, kita fikir macam-macam jalan, lepas tu bila tak berjaya, dia nak salahkan kita pulak. Banyak cantik!"
"Dah la kena duduk terperap kat sini, lepas tu pulak menghadap pulak muka you ni! Bosan! Bosan!"
"Ah, you punya bosan je you fikir. I punya bosan macam mana? Pernah tak you fikir!"
"Heyyy, jangan jangan, you yang sebenarnya sabotaj Sayap Kuning ni. I memang dah tau, you memang dari dulu terkinja-kinja gatal biji pvki you tu sebab kejar Azlan! Kena rogol konon, padahal suka sebab sedap!"
"Haah! Memang dia punya lagi sedap! Lagi panjang, lagi besar! Kenapa? Tak boleh nak terima hakikat?"

Jimmy rasa tercabar dan terus baling kerusi ke arah Adilah, tetapi Adilah mengelak dan terkena pinggan mangkuk dan pecah.

"Kalau pinggan mangkuk tu pecah, nak makan atas apa, bangang!" jerit Adilah.
"Fvck you!"
"Pergi mampos! Go to hell!"
"Dasar betina puaka!"
"Dah you tu jantan tak boleh pakai."
"Diamlah kimak!"

Pak Wan Radzi tengok kerusi kat pinggan mangkuk, terus tahu mereka berdua bergaduh lagi.

Pak Wan Radzi dah tak kuasa nak melayan mereka berdua ni. Dia terus keluar dari rumah, dan hisap rokok.

Sejak peristiwa video rakaman perbualan menggulingkan kerajaan itu viral di media sosial, Saiful yang jadi anak menantu Pak Wan Radzi pun dah tak berani nak hubungi mertua dia.

Nak berhubung pun, telefon dah tak ada bateri. Rumah ni memang tak ada elektrik. Bekalan air bersih pun tak ada. Mereka bertiga hanya bergantung kepada air hujan yang turun, dan kalau tak ada air, terpaksa cedok air di parit.

Pak Wan Radzi nak keluar dari Kampung Bacang ni pun dia dah rasa takut, segala urusan dibuat oleh Tan Sri Jabbar dan pengikutnya.

Kalau orang-orang Tan Sri Jabbar tak belikan makanan, memang mati kebuluran la mereka bertiga.

Nak pergi kedai runcit pun takut mata-mata Cawangan Khas dah memerhati. Azlan punya kepala akal ni bukan boleh dijangka apa yang difikirnya.

"Mana budak si Jabbar ni? Dua ekor tu kalau dah lapar, mulalah dirasuk setan," kata Pak Wan Radzi sambil tengok jam.

Bila dah umum nak guna ISA ni bukan boleh buat main. Ini law 'ikut suka aku', dalam konteks ni, ISA ni Ikut Suka Azlan.

Dia nampak Pajero Hitam orang Tan Sri Jabbar, kemudian tersenyum. Lega yang bekalan makanan dah sampai.

"Apasal kau lambat beli makanan ni, Jabbar? Dua ekor tu dah mengaruk dah," kata Pak Wan Radzi mencekak pinggang.

"Mintak maaf la, saya ni menjemput si Kimi ni ha," kata Tan Sri Jabbar.
"Hah, kau lepaskan Kimi? Macam mana?" tanya Pak Wan Radzi.

Kimi dari belakang salam cium tangan Pak Wan Radzi.

"Saya sogok pegawai tu."
"Kau sure ke Azlan tak tau pasal ni?"
"Saya dah sogok ketua jabatan. Jangan risaulah, orang-orang saya ada dalam polis dan penjara tu. Bunyamin pun bukan tau semua."

Pak Wan Radzi rasa lega. Tetapi dia risau, sebab bila Azlan berjaya memperoleh video perbualan mereka di London dengan Ali dulu, dia takut Azlan ni menunjukkan taringnya. Dia mula merasakan yang Azlan ni bukan seorang yang bukan boleh diperkotak-katikkan macam dulu lagi.

Lagipun dia tau yang Azlan bagi duit banyak pada dia. Cuma buat masa ni dia memang memerlukan Tan Sri Jabbar.

Tiga nasi bungkus lauk ikan kembung, sayur kobis dan gulai kari. Pada awalnya, Jimmy langsung tak nak pandang lauk murahan macam ikan kembung ni. Dia kata kucing kat rumah dia pun makan ikan yang lagi mahal daripada ikan ni.

Dah hampir tiga bulan dia kena kurung barulah dia makan sahaja makanan yang diberikan.

Sedang Adilah tengah makan, dia nampak tulisan dari kertas bungkusan makanannya, dan membaca laporan berita yang Pengerusi Azlan, bersama Temasik dan Majapahit telah mematerai projek pembinaan kereta api laju yang dijangka dibina mulai 2018.

"Celaka! Dia ambik idea dari Apex Corporation! Dia ambik idea aku buat dia punya! Bangsat kau, Azlan! Bangsat!"
"Eh diam la perempuan. Sekarang ni kalau kau nak sembang kau CEO syarikat billion-billion, tak ada siapa yang nak percaya. Dengan muka serabai macam ni, badan pun bau busuk."
"Kau diam la lelaki sial!"
"Sudah, sudah! Depan rezeki ni!" kata Wan Radzi cuba nak menenangkan keadaan.

Kimi tergamam sampai macam ni nasib makciknya diperlakukan oleh Azlan. Dia terkejut sebab bila keluar dari penjara sahaja, sana sini dia nampak muka Azlan dan Merlina.

--

Mili

Mama, mama kat mana? Mili risau dengan mama, dengan papa semua. Papa selalu sakit-sakit, selalu je batuk kering. Papa dah kurus sangat sekarang. Hari tu dia nak tukar baju, nampak tulang dah badan dia. Dia nak jalan ke bilik air pun, kena ada orang papahkan.

Mama, Mili faham, keluarga kita selama beratus tahun berkhidmat dengan keluarga al-Daulah untuk mempertahankan keturunan Tengku Ismail.

Beratus-ratus tahun, keturunan kita memimpin anggota perisik untuk menentang golongan yang melawan raja. Tapi, tahun 2008, akhirnya, selepas 600 tahun, keluarga al-Daulah dijatuhkan oleh Jeneral Yahya.

Kerajaan republik diasaskan, dengan mama pun ada di situ sekali. Papa jadi Menteri Dalam Negeri, kemudiannya jadi Presiden Republik. Mungkin sebab mama dan atok dah terkena tulah dari almarhum Sultan Norman sebab mengkhianati keluarga al-Daulah dan bersama golongan republikanis.

Mungkin sebab itu mama dan atok kena macam ni. Mama ingat langkah yang mama buat ini baik, tapi sebenarnya menghancurkan negara ini.

Tapi mujur ada hikmahnya. Sejak Pengerusi Azlan menjaga negara ini, ekonomi Gelanggayu menjadi semakin baik. Rakyat ada rumah yang selesa, pengangguran semakin berkurangan, pendapatan bertambah, makanan walaupun naik harga sebab inflasi, tapi rakyat masih mampu untuk membeli makanan.

Jauh lebih baik dari zaman perang saudara dulu. Rakyat jelata semua sayangkan Pengerusi Azlan. Mana-mana Pengerusi Azlan, dia disambut oleh rakyat jelata.

Sejak dia memerintah dan menggunakan sistem ekonomi zakat, Gelanggayu seperti mendapat keberkatan. Jadi, untuk apa lagi mama dan atok nak lawan Pengerusi Azlan lagi?

Pengerusi Azlan pun dari keturunan Tengku Ishak, dari keturunan Raja Gautama juga. Dia adalah orang yang berhak menjadi pemerintah Gelanggayu.

Tapi sebab atok masih lagi berpegang kepada dendam lama Wan Demang kepada Tengku Ishak dan Sayyid Muluk. Dah lama sangat tu, dah 600 tahun.

Mili tak ada perasaan sayang atau apa-apapun terhadap atok. Bagi Mili, semasa kita semua berkeluarga pun, atok dan makcik-makcik, pakcik-pakcik, sepupu-sepupu semua pulaukan kami, Mili dan Alif.

Kerana itulah Alif awal-awal lagi berikrar taat setia kepada Pengerusi Azlan, bro Ali, dan Ayam Hitam. Dia langsung tak kisah pasal mama atau papa.

Mili juga berikrar taat setia kepada mereka, tetapi Mili juga setia pada papa dan mama. Sebab tanpa papa dan mama, Mili takkan ada di dunia ni.

Mili ada berbual dengan Pengerusi Azlan tentang mama. Dia pun nampak bersetuju dengan Mili, yang mama masih lagi ada kebaikan dalam diri mama. Cuma dia tak dapat nak bebaskan mama, sebab yang batil tak boleh jadi yang haq. Apa yang mama buat tu tetap salah.

Mili sentiasa berdoa agar satu hari nanti, mama akan berubah jadi orang yang lebih baik. Pintu keampunan Tuhan akan sentiasa terbuka buat mama.

Oh ya, tadi Pengerusi Azlan bagi Mili assignment pertama sebagai apprentice dia. Dia minta Mili baca buku Perlembagaan Republik, dan tandakan yang mana Mili rasa dah lapuk dan tak boleh digunakan pada zaman sekarang.

Mama, sudahlah tu. Kalau mama berubah jadi baik, Mili doakan agar pintu hati Pengerusi Azlan terbuka untuk berikan keampunan buat mama.

Salam sayang, mama. I love you.

Love,

Mili Adrina, your one and only daughter.

--

Azlan

Hari ini aku mempengerusikan mesyuarat antara kerajaan dengan Persekutuan Majikan-Majikan Gelanggayu atau Gelanggayu Employer's Federation, yang dipimpin oleh Merlina.

Aku nak tahu feedback pasal macam mana kesan GST terhadap majikan dan pekerja, disamping aku nak tengok macam mana cukai ini mempengaruhi CPI (consumer price index) dan gaji pekerja.

Turut hadir ialah Perdana Menteri, Natasha, Menteri Kewangan, Dalilah, Gabenor Bank Negara iaitu ibu, dan Merlina.

Aku beritahu Merlina yang kerajaan merasakan sudah tiba masanya untuk kita buat mekanisme kenaikan gaji mengikut peringkat.

Gelanggayu tidak mengamalkan gaji minima, sebab setiap kali naik, akan mengakibatkan inflasi yang tak terkawal.

Kita mengamalkan median wage, iaitu gaji purata mengikut sektor. Majikan boleh bagi gaji kurang atau lebih berdasarkan angka purata itu.

Dan Gelanggayu mengamalkan median wage mengikut provinsi (atau negeri bila Referendum Perkara 5 diluluskan rakyat).

Contoh, median wage di Wijayapura ialah RG1,300, maknanya terpulang bagi majikan nak bagi RG1,200 ke, RG1,300 ke atau RG1,400 ke, pada akhirnya pekerja yang akan menentukan pasaran kerja dan nilai gaji.

Kalau takde orang yang sanggup nak kerja gaji RG1,200 dan majikan perlukan pekerja sangat, mahu tak mahu dia sendiri yang kena naikkan gaji.

Kalau majikan pula rasa RG1,300 itu terlalu tinggi di Wijayapura, dia boleh ke tempat lain macam di Geri, Ketil, atau Kenidiri.

Merlina cadangkan supaya peningkatan gaji median ini dibuat selaras dengan inflasi, dan setiap dua tahun sekali untuk mengubah angka gaji median itu.

Maknanya setiap dua tahun, kerajaan dan majikan akan kaji untuk menaikkan gaji berdasarkan inflasi.

Semua ini bergantung kepada kadar CPI untuk memastikan kenaikan gaji itu tidak membebankan majikan, manakala pekerja pula mempunyai kebebasan untuk memilih majikan berdasarkan gaji yang ditawarkan.

Majikan pun boleh merancang persediaan sebelum tiba masanya untuk berdepan dengan masa menaikkan gaji nanti.

Win-win situation. Investor luar pun suka polisi macam ni sebab gaji minima ni macam satu paksaan untuk menaikkan gaji, menyebabkan mereka akan mencari tempat yang lebih murah.

Dan memandangkan sektor pembinaan dan pertanian memerlukan tenaga buruh yang ramai, maka polisi imigresen akan dikaji sejajar dengan polisi nasionalis yang mementingkan penduduk tempatan.

Natasha pula berkata, gaji median di Teknojaya sekarang ialah RG1,500 dan mahu mengekalkan angka tersebut sehingga tahun 2019.

GST pula katanya, akan dikaji mengikut keadaan ekonomi semasa. Katanya pada kadar 8% sekarang, angkanya terlalu tinggi. Angka itu dibuat oleh Menteri Kewangan yang lama.

Dalilah mencadangkan supaya GST diturunkan dari 8% ke 5% mulai 1 April, kemudian akan dikaji pada masa hadapan.

Ibu pula mencadangkan agar institusi zakat dan Bank Negara akan kekal diasingkan, tetapi diberi kuasa pengimbang dalam menentukan polisi ekonomi negara.

"Baiklah, selepas mendengar semua cadangan, saya bersetuju dengan segala pindaan yang dicadangkan. Dalilah, nanti masa kat mesyuarat Kabinet, cadangkan perkara ni, lepas tu bentangkan di Parlimen."
"Baik, Pengerusi Azlan."

--

"Alhamdulillah, GST dah turun!" kata Adli Margera sambil menonton berita.
"Kau nak kecoh apanya, Adli? Kau niaga char kuey teow. Barang makanan mana ada kena GST?" tanya Kamelia, kawannya.
"Ye la, walaupun aku berniaga char kuey teow, tapi berlambak je benda kena bayar. Ni, aku beli plastik pembungkus ni, kena GST. Aku nak keluar cash kat bank pun kena GST," kata Adli Margera.
"Kenapa awak semua nak melihat GST tu macam sesuatu yang teruk? Pada saya, GST itu adalah satu cukai yang progresif, yang dapat memastikan ekonomi negara akan terus berkembang. Cukai itu nanti akan digunakan untuk membina infrastruktur, untuk belanja membina kapal-kapal perang, dan membayar gaji pekerja kerajaan. Kita akan jadi lebih produktif, dan ekonomi kita akan terus berkembang," kata Eleena, kawan kepada Kamelia.


Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro