Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

2014 part 8

Moderator: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kita bertemu dalam acara debat calon Perdana Menteri, sempena pilihanraya yang akan berlangsung pada hari Sabtu ini, 17 Mei 2014.

Di sebelah kanan kaca TV anda, dia merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri semasa zaman Izham Syafie Izzat, dari tahun 2004 hingga 2006, Menteri Belia dan Sukan dari tahun 2000 hingga 2002, Presiden Parti Nasionalis sejak pemilihan pada tahun 2012, merupakan Ahli Parlimen Puncak Jaya dari tahun 2000 hingga 2009, Ahli Parlimen Kuala Melaut Selatan dari 2012 hingga 2014, serta Ketua Pembangkang, saudara Azlan Muhammad Niat.

Azlan: Terima kasih, tuan moderator.

Moderator: Di sebelah kiri saya, merupakan Menteri Pendidikan dari tahun 2004 hingga sekarang, Perdana Menteri sejak 2009 hingga sekarang, serta merupakan Timbalan Presiden Parti Republikan, saudari Natasha Abdullah.

Natasha: Terima kasih, tuan moderator.

Moderator: Soalan pertama saya, ditujukan kepada Perdana Menteri. Lima tahun yang lalu, kita baru sahaja tamat perang saudara yang sangat dahsyat, dan mengakibatkan ramai kehilangan nyawa dan harta benda. Tetapi hari ini Gelanggayu menjadi model ekonomi kepada seluruh Asia. Jelaskan pada rakyat, dasar-dasar yang telah dilakukan oleh puan semasa mentadbir negara ini selama lima tahun.

Natasha: Terima kasih. Sepanjang lima tahun saya menjadi Perdana Menteri, saya telah memastikan pelabur asing terutamanya sektor teknologi, untuk melabur ke negara ini. Segala polisi yang saya bentuk, adalah berdasarkan kehendak pasaran semasa. Dan kesan daripada itu, ekonomi Gelanggayu berkembang kepada 7.2% pada tahun 2012 dan 7.4% bagi tahun lalu, dan dijangkakan meningkat lagi kepada 7.7% pada tahun ini.

Kestabilan kerajaan Parti Republikan telah dibuktikan dengan perkembangan ekonomi ini. Dasar fiskal serta kepimpinan yang bertanggungjawab memastikan ekonomi Gelanggayu akan terus berkembang.

Sebentar tadi, tuan moderator ada menyebut tentang perang saudara di Gelanggayu yang telah menghancurkan negara ini. Ini berlaku akibat dasar kepimpinan Parti Nasionalis, yang saudara Azlan menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika itu, yang kucar-kacir dan huru-hara. Ini tidak akan berlaku jika Parti Republikan terus kekal menjadi kerajaan.

Moderator: Saudara Azlan mahu respon?

Azlan: Terima kasih tuan moderator kerana berikan laluan. Sebelum itu, saya ingin betulkan sikit fakta Puan Natasha tentang penglibatan saya dengan kerajaan Parti Nasionalis pimpinan Izham Syafie Izzat.

Saya menjadi Timbalan Perdana Menteri dari tahun 2004 hingga 2006, kemudian saya melepaskan jawatan. Puan Natasha pula menjadi Menteri Pendidikan dari tahun 2004 sehinggalah berlakunya perang saudara pada tahun 2007.

Berdasarkan tahun itu, Puan Natasha lebih lama dalam Kabinet Izham berbanding saya. Dan yang kedua, Parti Republikan tidak wujud pada masa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan Parti Republikan ini pada asalnya dari Parti Nasionalis, parti yang suami Puan Natasha sendiri yang tubuhkan pada tahun 2000, hasil gabungan antara Parti Jujur dan sebahagian ahli Parti Persekutuan yang pro kepada Luqman, suami puan pada ketika itu.

Saya rasa pelik kenapa saudari Natasha nak bercakap buruk tentang parti saya, padahal parti ini diasaskan oleh suami saudari sendiri, bahkan saudari sendiri pernah menjadi ahli kabinet dalam kerajaan parti kami dari tahun 2004 sehingga berlakunya perang saudara.

Saya akui, nombor-nombor yang Puan Natasha bercakap tentang ekonomi Gelanggayu pasca perang saudara memang hebat. Saya akui, Gelanggayu mempunyai angka kedua terbesar di Asia, di belakang Kwantung dari segi pertumbuhan ekonomi.

Malangnya, pertumbuhan ekonomi itu tidak bergerak secara rata ke seluruh Gelanggayu. Saya ingin memberi contoh, lawatan saya ke Kampung Sireh, Tanjung Kapur, Ketil.

(Azlan keluarkan sekeping gambar rumah buruk, yang tiang rumahnya mereput dan bumbung rumahnya bocor, seorang perempuan tua dengan seorang cucu kecilnya)

Ini gambar Makcik Esah, bersama cucunya, Azri yang dipanggil Boboy. Ibu Boboy, Zaitun merupakan pekerja kilang getah di Tanjung Kapur. Gajinya RG500 sebulan.

Natasha: Boleh saya mencelah? Boleh saya mencelah? Boleh saya mencelah?

Azlan: Saya beri laluan.

Moderator: Silakan.

Natasha: Terima kasih. Saya akui, masih ada banyak kemiskinan di seluruh Gelanggayu. Masalah kemiskinan di Gelanggayu ini berakar umbi daripada korupsi pada zaman monarki keluarga al-Daulah, yang menyebabkan uprising..

Moderator: Gunakan istilah tersebut dalam bahasa Melayu.

Natasha: Maaf.

Azlan: Kebangkitan rakyat.

Natasha: T..te..terima kasih, saudara Azlan. Kebangkitan rakyat ini muncul kerana korupsi yang berlaku pada zaman monarki keluarga al-Daulah sejak merdeka lagi. Jadi, macam mana saya dalam masa lima tahun nak atasi tu semua, cuba saudara Azlan jawab?

Moderator: Saudara Azlan?

Azlan: Terima kasih. Saya faham, republik kita ni baru berusia 6 tahun, masih muda dan mentah. Negara Gelanggayu ini pun secara relatifnya masih muda lagi, 65 tahun, berbanding negara-negara besar yang lain.

Tetapi hujah pertumbuhan ekonomi Puan Natasha, sementara ia memang (tepuk tangan) cemerlang, tetapi ia tidak sekata. Sebagai contoh, saya ingin membuat perbandingan di sebuah kawasan di Teknojaya. Kawasan puan sendiri.

Saya ke kawasan lot hartanah paling mahal di Teknojaya, yang berada di Precint 7, Stanford Hills, Teknojaya. Memang kaya. Golongan 1% tinggal di situ kerana dasar bebas cukai serta ekonomi yang libertarian, dengan rata-ratanya memang golongan billionaire, seperti isteri Timbalan puan sendiri, Puan Wan Adilah Radzi, yang hidup kaya raya dan memiliki rumah di situ.

Tapi cuba kita bandingkan dengan kawasan di Kampung Chendana Luar, tak jauh dari Teknojaya. Sudahlah keadaan infrastrukturnya daif, kemudian pula masih ada lagi orang yang menggunakan tandas di luar. Jangan cakap dengan saya soal tempat mana yang dibuka dulu. Teknojaya mula dibina tahun 1995, Kampung Chendana Luar diasaskan pada tahun 1955.

Moderator: Jadi dalam hal ini, saudara Azlan menekankan tentang keseimbangan ekonomi?

Azlan: Tuan moderator, semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, polisi saya adalah untuk memastikan polisi saya dapat menguntungkan semua pihak, iaitu golongan pelabur dan rakyat jelata. Cuba kita letakkan diri kita kepada seorang pekerja buruh. Saya ada kenalan, yang dahulunya bekerja buruh.

(Azlan keluarkan gambar Kecik)

Nama dia, Sulaiman. Dia mula membuka bengkel keretanya pada tahun 2005, apabila kerajaan Parti Nasionalis memperkenalkan Kredit Rakyat, yang memberikan skim pinjaman kepada mereka yang mempunyai kemampuan untuk berdiri pada kakinya sendiri untuk memulakan perniagaan kecil.

Dia tinggal di kawasan parlimen Puncak Jaya, kawasan parlimen yang saya telah menjadi ahli parlimennya pada ketika itu. Dengan bantuan modal Kredit Rakyat dari kerajaan Parti Nasionalis sebanyak RG50,000, saudara Sulaiman mula membuka bengkel ketuk kereta dan membaiki enjin kereta di kawasan kedai di Puncak Tropika.

Hari ini dia mempunyai tiga buah cawangan bengkel kereta di sekitar Wijayapura, kerana dasar Kredit Rakyat yang diperkenalkan pada tahun 2005, semasa Parti Nasionalis menjadi kerajaan.

Ini yang perlu kita lakukan sebenarnya. Sementara saya tidak menolak kehadiran pelabur asing, saya tidak mahu rakyat negara ini rasa terasing di bumi sendiri.

Moderator: Saudari Natasha?

Natasha: Terima kasih, tuan moderator. Saya percaya kepada pembangunan modal insan. Saya percaya kepada sains dan teknologi dapat memberi impak positif kepada ekonomi.

Tuan moderator, pada tahun 2011, saudara Azlan telah mengkritik dasar pendidikan saya yang menggunakan bahasa Inggeris dalam Sains dan Matematik...

(kamera menunjukkan Azlan facepalm, dan penonton ketawa)

(Natasha seperti tergamam dengan apa yang Azlan buat)

Moderator: Saudari Natasha?

Natasha: Kenapa you facepalm?

Moderator: Ada apa ni, saudara Azlan?

Azlan: Boleh saya celah?

Natasha: Silakan, saya beri laluan.

Moderator: Teruskan, saudara Azlan.

Azlan: Tuan moderator, saya ingin ingatkan saudari Natasha, debat ini dianjurkan oleh Dewan Bahasa Melayu Gelanggayu. Saya percaya bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Gelanggayu dan bahasa yang menyatukan seluruh warganya. Pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu adalah komponen penting dalam memastikan kemajuan bangsa dapat tercapai tanpa mengira latar belakang kelas dalam negara ini.

Bahasa Inggeris hanya digunakan secara menyeluruh oleh sektor korporat dan mereka yang taraf hidupnya lebih tinggi, namun di bahagian bawah yang lebih ramai, penerimaan polisi ini ditolak bahkan dilihat sebagai relik kepada penjajahan zaman imperialisme British semasa mereka menjajah tanah air ini.

Natasha: Adakah saudara Azlan anti bahasa Inggeris?

Azlan: Saya tak anti sebarang bahasa, Puan Natasha. Saya fasih boleh bertutur lima bahasa, dan boleh baca tujuh bahasa yang lain. Tetapi saya nak tekankan di sini, betapa pentingnya kedudukan bahasa kebangsaan, bahasa Melayu ini didaulatkan.

Dalam manifesto parti saya yang saya lancarkan pada Rabu yang lalu, saya menekankan bahawa sekiranya saya menang, saya akan berusaha untuk mengembalikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan selepas zaman Republik ini.

Ini penting untuk memastikan bahasa Melayu menjadi, dengan izin, lingua franca dalam Republik Gelanggayu.

Natasha: Tetapi harus diingat, kebanyakan buku-buku sains dan teknologi dalam bahasa Inggeris, macam mana kita nak maju, kalau kita menolak bahasa yang menyampaikan ilmu?

Azlan: Saya tidak kata yang saya menolak bahasa Inggeris, tetapi ada banyak lagi negara maju yang bahasa Inggerisnya tak ramai penuturnya, tetapi sains dan teknologinya maju.

Saya percaya badan bahasa seperti Dewan Bahasa Melayu Gelanggayu mampu menjadi agen penyebar ilmu melalui penterjemahan buku-buku dari pelbagai bahasa ke bahasa Melayu.

Polisi ini banyak dilakukan oleh negara-negara maju yang tidak berbahasa Inggeris. Saya ingin mengambil contoh, Goryeo. Saya pasti para penonton di dewan dan di televisyen kenal Goryeo dari rancangan televisyen, Running Man.

(audiens dewan ketawa)

Moderator: Saya tak sangka saudara Azlan ni kaki G-drama.

Azlan: Ya, saya peminat G-drama. Drama Temptation, Empress Ki dan Emergency Couple. Running Man adalah rancangan realiti TV dari Goryeo.

(tepukan gemuruh dari peminat drama G-drama dalam dewan)

Azlan: Goryeo menjadi maju bukan kerana dasar kerajaan memaksa rakyatnya belajar bahasa Inggeris, tetapi kerana kesanggupan pemerintahnya membayar penterjemah dari bahasa Inggeris ke bahasa Goryeo, dan dasar Hallyu, yang mempromosi budaya Goryeo ke antarabangsa. Saya yakin, kita mampu menjadi sebuah negara maju tanpa mengikis identiti asli dan serta tidak mengabaikan golongan terbanyak dalam negara ini.

Moderator: Baiklah, saudari Natasha nak teruskan?

Natasha: Saya sedar tentang pentingnya kita memperkasakan kedudukan bahasa kebangsaan. Tetapi perkara ini tidak digemari oleh pelabur asing. Salah satu punca mengapa Gelanggayu dianggap sebagai tempat ramai pelabur asing masuk, ialah kerana rakyat kita paling ramai yang mampu bertutur dalam bahasa Inggeris.

Azlan: Maaf, maaf. Boleh saya ajukan soalan kepada saudari Natasha?

Moderator: Silakan.

Azlan: Boleh jelaskan, kenapa pelabur asing sukakan tempat yang rakyatnya ramai mampu berbahasa Inggeris?

Natasha: Kerana bahasa Inggeris digunakan di seluruh dunia, dan ia merupakan bahasa yang digunakan secara global, encik Azlan.

Azlan: Baik, kalau begitu, kenapa ketika saya nak melawat bekas mertua saya yang tinggal di Perancis, saya tidak menggunakan bahasa Inggeris dengan penduduk tempatan? Ibu puan, Mrs Birgitt, dari Denmark. Adakah orang di sana berbual dalam bahasa Inggeris? Maknanya, ilusi 'bahasa Inggeris sebagai bahasa global' ini dicipta oleh golongan Anglo-Saxon, dari British dan Amerika. Ia tidak global. Buktinya ada di Goryeo. Cuba tengok konsert G-pop. Baru-baru ni saya tengok konsert EXO di Temasik. Teknologi audio visual, ada lampu laser, teknologi yang canggih.

(audiens ketawa kemudian tepuk tangan)

Natasha: Adakah saudara Azlan cuba nak pandering kepada peminat G-pop?

Moderator: Gunakan bahasa Melayu kecuali meminta izin.

Natasha: Maaf, tuan moderator. Adakah saudara Azlan cuba nak, dengan izin, pandering kepada peminat G-pop?

Azlan: Tuan moderator, dengan izin, pandering, atau pander, dalam bahasa Melayunya ialah menarik perhatian. Dalam bahasa pasarnya, membodek.

Saya tak kisah jika ramai-ramai peminat G-pop untuk undi saya. Kalau mereka undi parti saya, saya terima dengan hati yang gembira.

(Kamera tunjukkan muka Azlan tersenyum sambil tunjuk jari mini love depan kamera).

(audiens sekali lagi tepuk tangan)

Moderator: Saudari Natasha, isu Darwinisme dalam matapelajaran Sains telah menyebabkan bantahan orang awam yang ramai. Bolehkah saudari jelaskan kenapa saudari laksanakan dasar itu?

Natasha: Tuan moderator, apabila saya selaku Menteri Pendidikan mahu melaksanakan dasar ini, saya memikirkan sedalam-dalamnya. Saya faham, ada orang marah dengan saya tentang soal akidah.

Tetapi sementara isu ini sensitif, saya cuba mewajarkan tindakan saya ini dengan mengatakan, saya cuma mahu sains di negara kita setanding dengan negara-negara maju yang lain.

Saya pasti, dengan dasar sekularisme, iaitu mengasingkan antara agama dan kehidupan, dapat mencapai kejayaan yang kita mahu. Saya mengambil contoh, orang-orang di Goryeo seperti saudara Azlan melihat sebagai contoh pun, majoritinya atheis atau tidak mempunyai kepercayaan terhadap agama.

Saya tidaklah kata kita kena jadi atheis. Saya masih percaya kepada Tuhan. Tetapi, untuk seketika, demi kemajuan sains, boleh tak kita terima kajian ini sekejap?

Saya faham, ada percanggahan antara, dengan izin, creationism, dengan, dengan izin, evolution dalam teori Darwinisme. Tetapi boleh tak, demi kemajuan sains, kita ketepikan perkara ini seketika.

Saya lakukan dasar Darwinisme dalam sains kerana saya mahu Gelanggayu menjadi maju dalam sains dan teknologi.

Moderator: Saudara Azlan?

Azlan: Saya percaya kepada sains, tetapi saya beriman kepada Allah, kepada rasul, kepada kitab, kepada malaikat, alam akhirat dan qada' dan qadar. Percaya kepada sains tidak semestinya perlu beriman kepada para saintis. Saya percaya akidah saya tidak boleh dihilangkan sekejap, dikorbankan demi sains dan teknologi.

Moderator: Itu sahaja?

Azlan: Itu sahaja.

Moderator: Setiap calon mempunyai satu wakil untuk bertanya dua soalan. Wakil Puan Natasha, saudari Maria, sila ajukan soalan kepada satu, kepada Puan Natasha, kemudian satu lagi soalan kepada encik Azlan.

Maria: Hai, selamat sejahtera. Saya Maria Lim Abdullah, pekerja kerajaan. Saya nak tanya soalan kepada saudari Natasha, bagaimanakah dasar kerajaan kalau menang pilihanraya ini, untuk hak-hak wanita. Sebab wanita dalam sektor pekerjaan ni sering terdedah dengan pelbagai masalah seperti gangguan seksual, diskriminasi dan ketidakadilan dari segi equality. Adakah saudari Natasha akan mempergandakan dasar progresif yang ada sekarang?

Dan kepada saudara Azlan, saya dapat tahu saudara Azlan ada kampung di Melaut. Saudara juga menjadi ahli parlimen di Kuala Melaut Selatan sejak 2012. Kenapa Azlan masa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, gagal menyelesaikan isu kemiskinan di Melaut serta gerakan ekstremis Islam di provinsi itu, terima kasih.

Moderator: Siapa nak mula dulu?

Azlan: Dengan izin, ladies first.

(audiens tepuk tangan)

Natasha: Terima kasih, saudara Azlan. Berkenaan dengan isu-isu gangguan seksual, atau dengan izin, sexual harassment ni, sepanjang saya jadi Menteri Pendidikan, saya telah menambahbaik Akta Perlindungan Pelajar 2000 dengan menambah hak untuk tidak bertudung pada tahun 2006, hak untuk menyatakan ketidakpuasan hati kepada para guru pada tahun yang sama, serta polisi hukuman yang lebih keras kepada para guru lelaki dan pensyarah lelaki yang mengambil kesempatan kepada pelajar perempuan.

Jika saya terpilih jadi Perdana Menteri sekali lagi, ya, saya akan terus memperkasakan hak dan suara wanita!

(audiens tepuk tangan)

Moderator: Saudara Azlan?

Azlan: Terima kasih, tuan moderator. Pertama sekali, saya ingin ucapkan terima kasih kepada saudari Natasha, kerana memperkasakan Akta Perlindungan Pelajar tahun 2000.

Akta itu merupakan kerjasama saya yang pada ketika itu Menteri Belia dan Sukan, dan Allahyarham Shahrizal Hamdi, selaku Menteri Keadilan dan Reformasi Mahkamah, dan Datuk Suffiyan Dahlan, Timbalan Menteri Pendidikan pada ketika itu.

Saya dengan rendah hati mengucapkan terima kasih kerana dasar itu kekal dalam pentadbiran saudari Natasha.

Berkenaan dengan soalan Puan Maria Lim Abdullah, allahyarham ayahanda saya, Allahyarham Muhammad Niat bin Kassim, berasal dari Teluk Tenang, Melaut.

Saya juga menganggap Melaut sebagai sebahagian daripada hidup saya, walaupun majoriti hidup saya membesar di Wijayapura.

Saya akui, dalam masa setahun saya menjadi Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Dalam Negeri, saya gagal mengekang Gerakan Melaut Merdeka. Saya mohon maaf. Saya juga kesal kerana dalam masa satu tahun saya jadi Timbalan Perdana Menteri dan dua tahun menjadi Ahli Parlimen Kuala Melaut Selatan, saya gagal menurunkan kadar kemiskinan di provinsi tersebut.

Ini ditambah pula dengan provinsi Melaut dilanda tsunami dan ekonomi mereka terjejas teruk pada ketika itu. Saya minta maaf.

Bagaimanapun, semasa perang saudara di Gelanggayu, ketika negeri-negeri lain berlaku pergolakan dan pertempuran, Melaut adalah satu-satunya provinsi yang aman tanpa konflik.

Ketika perang saudara juga, Melaut adalah pengeluar utama makanan di negara ini. Bayangkan, jika sebuah negeri yang miskin seperti Melaut ini, seperti saudari Maria katakan, mampu memberi makanan kepada seluruh warga Gelanggayu ketika krisis perang tersebut, bayangkan potensi Melaut dalam negara aman.

Suka untuk saya beritahu pada semua, Melaut adalah pengeksport kobis terbesar di Gelanggayu, dengan majoriti kobis tersebut dieksport ke Goryeo Selatan.

Arwah datuk saya serta pakcik saya merupakan seorang pengusaha kobis yang kini membina ekonomi di kawasan tersebut. Orang Goryeo ni suka kobis sebab mereka suka makan kimchi, iaitu kobis jeruk.

Apabila Goryeo Selatan serta budayanya mulai popular dalam drama, muzik dan filem, dunia mulai mengenal kimchi dan mereka mula mengikut budaya orang Goryeo. Akibatnya, eksport kobis di Melaut meningkat kerana hari ini bukan sahaja orang Goryeo, tetapi merata dunia membeli kobis dari Melaut.

Baru kobis, belum sektor pertanian yang lain. Kalau saya diberi peluang untuk mentadbir negara ini, Melaut akan menjadi provinsi yang mengeluarkan pelbagai lagi makanan lain untuk menjadikan negeri ini kaya.

Dan sebenarnya pun, Melaut hari ini dah tak jauh miskin macam zaman 80an dahulu. Melaut sekarang dah ada macam-macam. Saya sarankan saudari Maria datang ke Melaut, Insya-Allah saya akan belanja saudari Maria dan saudari Natasha makan ikan bakar dengan nasi lemak di restoran Rozana. Terbaik!

Moderator: Wakil saudara Azlan, Nizaruddin Mustafa, dipersilakan.

Din Tapa: Assalamualaikum dan salam sejahtera, saya nak bertanya kepada saudari Natasha, baru-baru ini Barack Obama datang ke Gelanggayu. Dalam rangka lawatan tu, Obama ada menyebut tentang Trans Pacific Partnership Agreement atau TPPA. Bolehkah saudari terangkan perkara tersebut kepada umum. Dan kepada saudara Azlan, adakah TPPA ini akan memberi kesan yang buruk terhadap golongan peniaga kecil dan sederhana di Gelanggayu? Terima kasih.

Moderator: Saudari Natasha.

Natasha: Terima kasih kepada saudara Nizaruddin untuk bertanya tentang TPPA.

Pada awal bulan ini, negara menyaksikan satu peristiwa bersejarah, apabila Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama datang ke negara ini.

Salah satu perkara yang dibincangkan, selain kes anak encik Azlan mengibarkan bendera Palestin, ialah tentang TPPA.

(kamera menunjukkan gambar Azlan, ketawa, tetapi audiens menepuk tangan)

Sebelum itu saya ingin menyelar tindakan blogger yang menuduh kononnya kerajaan saya merancang bersama kerajaan Temasik, untuk mewujudkan kedutaan Israel di Gelanggayu.

Saya tidak teragak-agak untuk bawa isu ini ke mahkamah jika blogger tersebut tidak memohon maaf.

Baiklah, TPPA atau Trans Pacific Partnership Agreement, dengan izin, adalah satu perjanjian perdagangan bebas untuk pelabur di negara-negara Lautan Pasifik.

Dalam hal ini, pergerakan modal dari negara-negara yang bernilai $AS40 trillion ini akan berlaku tanpa tarif atau sekatan. Ini memudahkan pedagang asing untuk melabur di negara-negara Pasifik.

Dan ia akan memperkayakan ekonomi negara-negara Pasifik, termasuklah Gelanggayu. Jadi, saya rasa TPPA ini baik untuk Gelanggayu.

Moderator: Saudara Azlan?

Azlan: Kedengaran TPPA ini seperti ada nilai yang murni, tapi setiap perjanjian bebas ada buruknya.

Ekonomi Gelanggayu nilainya $1.1 trillion. Ekonomi Amerika Syarikat $21.8 trillion. Ekonomi Ryukyu ialah $5.54 trillion. Kwantung pula, $8.7 trillion.

TPPA ini hanya akan kayakan orang seperti Jeff Bezos, Mark Zuckerberg, Elon Musk, Tim Cook.

Tapi orang seperti peniaga kecil, macam kawan baik saya, Sulaiman Tauke Bengkel Kereta ni, dapat apa?

Itu jawapan saya untuk saudara Nizaruddin, dan persoalan untuk kita semua jawab.

Moderator: Baiklah, kedua-dua pendebat telah mengemukakan hujah masing-masing. Jadi, kita buat penggulungan, masing-masing, 90 saat. Saya mulakan dengan saudara Azlan.

Azlan: Saya ingin menyampaikan satu pesanan dari Makcik Esah dan Zaitun, ibu tunggal kepada Boboy, dalam gambar ni.

Pada 17 Mei ini, pilihlah calon parti yang benar-benar memahami rakyat.

(keluarkan gambar Makcik Esah dan Boboy)

Fikirkan nasib mereka ini. Kalau ekonomi kita berkembang pesat, mengapa masih ada lagi yang rasa tersisih?

Setiap undi anda akan menentukan masa depan ini. Pilihlah dengan fikiran yang tenang dan matang.

Moderator: Saudari Natasha?

Natasha: Sepanjang lima tahun ini, ekonomi Gelanggayu mencapai pencapaian yang cemerlang serta mencapai banyak rekod, seperti kadar pengangguran paling rendah, inflasi yang rendah, dan kadar fiskal yang lebih stabil.

Kita dari Parti Republikan berharap dapat mengekalkan momentum ini, agar wawasan untuk menjadikan Gelanggayu negara berpendapatan tinggi akan tercapai.

Moderator: Baiklah, sekian dari kami, Dewan Bahasa Melayu Gelanggayu. Saya Haji Shukri bin Haji Moghni, mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Wijaya TV, dan Angkasa Awana kerana menyiarkan debat calon Perdana Menteri ini.

Terima kasih kepada penonton di dewan serta anda di kaca televisyen, atau menonton di Youtube secara langsung, kerana sudi menonton acara debat ini.

(Azlan dan Natasha terus ke depan pentas, dan bersalaman sambil memandang kamera yang mengambil foto mereka)

Natasha: Thank you, Alan.
Azlan: Thanks, Nat.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro