
2014 part 2
Azam pulang ke rumah dengan ditemani oleh Joni dan Lias.
Kelihatan adiknya, Saleha sedang menonton Running Man di televisyen.
"Leha, mak mana?"
"Dalam bilik, dia merajuk dengan kau."
Azam tunduk, dan rasa bersalah.
"Mak, Azam dah balik."
Hayati bangun dari tilamnya, kemudian merangkak ke kerusi rodanya. Kemudian dia tolak kerusi rodanya menuju ke ruang tamu.
"Azam, berapa kali mak cakap, jangan cari pasal. Kita ni orang susah. Mak tak boleh nak tolong kau, nak. Mak tak ada duit," kata Hayati sambil capai hujung baju kurungnya untuk mengelap air mata.
"Mak Yati, tadi masa Azam kena soal jawab dengan polis Amerika tu, encik Azlan yang uruskan dia. Dia dah bayar denda tu semua. Mak Yati janganlah bimbang," kata Lias dengan nada memujuk.
"Kau janganlah menyusahkan encik Azlan lagi, Azam. Dia banyak bantu kita. Bukan keluarga kita je dia nak bantu. Ramai lagi orang susah yang dia nak bantu..."
Azam cium tangan ibunya.
"Azam minta maaf, mak."
"Mak Yati, Leha, ni ada makanan dari rumah encik Azlan. Encik Azlan kirim salam," kata Joni.
"Waalaikumsalam..."
--
Azam menekup mukanya dan rasa bersalah kerana buat maknya menangis. Tetapi setiap kali bila dia nampak bendera Amerika, dia teringatkan wajah Joni dan Lias serta Ali memberitahu keluarganya tentang ayahnya yang ditembak oleh helikopter tentera Amerika.
Dalam masa sama, dia rasa terkejut apabila bertemu dengan Cleo Rachel di rumah encik Azlan tadi. Senyuman Cleo Rachel tadi dapat mendamaikan dirinya seketika, tetapi dia sedar, yang dia cuma orang miskin, mana layak untuk bersama gadis seperti Cleo Rachel.
Tengah baring tu baru dia tersedar, basikalnya tertinggal di tepi jalan.
Kelam kabut dia berlari menuju ke arah tempat dia kena tangkap polis tadi, dan dia dapati, basikalnya dah hilang, mungkin sudah dicuri orang.
Hati Azam menjadi sedih, dia kemudian termenung seorang diri di tepi jalan.
"Ayah, Azam rindu ayah..."
--
Team Margera sedang buat persediaan untuk melakukan 'Biggest Margera Of All Time'. Selama ini Adli Margera hanya mendajal cikgu sekolah, Ustaz Hanafi, atau pegawai pendidikan daerah.
Dia belum pernah terfikir untuk pergi ke tahap margerakan Presiden Barack Obama. Ia perlu perancangan yang teliti.
"Berat betul tugas ni, serius doh. Ni bukan level mak bapak marah kau ni, silap-silap satu dunia kecam kau ni, Jugra," kata Ziel-O geleng kepala.
"Betul ni. Dah berapa lama aku kat dalam team The Jackal ni, ni perkara paling gila yang aku pernah dengar," kata Alim Knoxville sambil hisap rokok.
"Macam mana, Margera? On tak on?" tanya Ziel-O.
"Betul jugak cakap Jugra tu. Selama ni, kalau orang sebut punk je, media gambarkan kita makan sampah. Kaki gaduh dengan skinhead. Kita kena naikkan martabat punk sejajar dengan perjuangan kita," kata Adli Margera.
"Aku tanya, on tak on. Kau meleter panjang, buat apa?" kata Ziel-O.
"On laaaaa! Bila lagi Presiden Amerika nak datang negara kita! Ni peluang kita, one and only!"
"Okay, kalau setuju, gua set," kata Alim Knoxville.
"Aku on."
--
Esoknya, geng The Jackals menyamar sebagai supplier kuey teow kantin sekolah, dan hasil bantuan orang dalam, yang terdiri dari geng-geng Kecik dalam Ayam Hitam.
Mereka memerhatikan, kawalan ketat di dewan sekolah oleh Secret Service ini memang membuatkan projek ni kena limited, dan kena pantas, cargas, tuntas. Kalau kantoi ni, bukan masuk penjara je ni, silap-silap kena hantar Guantanamo Bay.
Tak sanggup Adli Margera nak bayangkan kena makan 'cockmeat sandwich'.
Cadangan Ziel-O simple je, dalam banyak-banyak bendera Amerika kat dalam dewan tu, dapat selitkan satu bendera Palestin pun jadi lah.
Adli Margera kata, kena buat public statement. Salah satunya ialah menconteng "Fvck Zionist" kat dinding sekolah.
Tapi cadangan Adli Margera tu, Alim Knoxville beri pandangan.
"Kalau boleh tak payah mencarut la. Nanti media pusing bukan-bukan."
"Betul pendapat kau ni, Alim. Sejak masuk Raja Lawak ni, pandai kau main dengan peranan media ni," kata Adli Margera.
"Tapi aku nak kau hati kering, Jugra. Aku nak kau bagi bendera Palestin ni kat depan Obama," kata Ziel-O.
"Set!"
"Kau sebenarnya nak buat macam ni, untuk apa? Sampai macam ni punya ekstrem kau punya benci dengan Obama?" kata Adli Margera.
"Saya nak buktikan pada crush saya yang saya akan sound Obama pasal Palestin!" kata Jugra.
"Hak elaaaaaahhhh! Aku ingatkan kau dah nak jadi pejuang Hamas dah! Babi la, pasal awek rupanya!" Adli Margera ketuk-ketuk kepalanya pada lorinya.
Kecik, Joni dan Lias dah tutup muka melihat respon Jugra.
"Jugra, aku kagum dengan keberanian kau. Tapi kau tak boleh menunggang activism untuk mendapat awek. Tu simp namanya tu," kata Adli Margera pada Jugra sambil memegang bahu.
"Tapi saya cuma nak buktikan yang mak dia tak akan berani cakap tentang isu Palestin kat Barack Obama!"
"Mak dia? Mak siapa?" tanya Ziel-O.
Adli Margera terdiam.
"Awek kau minat ni, anak PM ke?" tanya Adli Margera.
"Nurul Cleo Rachel? Kau ni taste memang tak nak mengalah, budak!" kata Ziel-O.
"Berapa ramai anak datuk, anak tan sri semua dah standby tunggu dia besar atas umur, beb. Kau agak-agak la," kata Alim Knoxville.
"Kejap, kejap. Aku lupa nak beritahu kau. Bapak dia Azlan Muhammad Niat. Bapak dia kawan dengan bro Ali," kata Kecik.
"Bro Ali? Azlan Niat? Ooo, menyesal pulak aku mintak karipap sardin je," kata Adli Margera.
"Entah, bini dia rilek je pakai baju bundle. Tapi harta dia sana sini, kaya gila!" kata Ziel-O.
"Beb, gua respect bapak lu la. Dulu masa dia TPM, dia pernah turun gig punk, siap kenal band Carburetor Dung wei," Alim Knoxville tepuk bahu Jugra.
"Benda macam ni, Jugra, aku tak mintak material atau harta benda lagi," kata Adli Margera.
"Abang Adli Margera nak apa?"
"Persahabatan," kata Adli Margera, menghulurkan salam.
"Power doh, bapak dia Azlan," kata Ziel-O.
"Bro Azlan tu satu hal. Aku bila dia sebut bro Ali tu..." Adli menumbuk-numbuk dada kirinya.
"Wei, dia memang brotherhood wei! Apa cerita la dia sekarang," kata Alim Knoxville.
Jugra senyum, dia terus peluk Adli Margera.
--
Air Force One mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Wijayapura, dengan lagu Presiden, Hail To The Chief, dimainkan oleh Kor Tentera Republik Gelanggayu.
Presiden Republik Gelanggayu, Sahari Ariffin menyambut salam dari Obama, yang kemudiannya mengiringi presiden itu ke kereta rasmi Presiden Amerika Syarikat.
Di belakang, Natasha selaku Perdana Menteri, bersama suaminya, Gunawan. Timbalan Perdana Menteri, Hafiz Samsudin bersama isterinya, Wan Adilah Radzi, mengiringi Setiausaha Luar Amerika Syarikat, John Kerry.
Beberapa geng Henderson Bubble membawa sepanduk Yes We Can, sambil melambai-lambai bendera Amerika Syarikat, yang memainkan peranan dalam menggulingkan kerajaan al-Daulah dan menggantikan dengan republik sekular.
Gelanggayu merupakan salah sebuah rakan sekutu Amerika Syarikat dalam kerangka dasar Pivot To Asia, dengan menjadikan TPPA sebagai dasar ekonomi untuk mengekang kemaraan Kwantung di rantau Pasifik.
Kanak-kanak sekolah seluruh Gelanggayu diupah RG5 hingga RG50 (untuk sekolah elit macam Kolej Melayu Wijayapura atau Raja Perempuan Mariam, dan sekolah antarabangsa) dan berhimpun di jalan-jalan tempat laluan Barack Obama.
Sampai isytihar cuti peristiwa oleh Presiden Sahari.
Destinasi pertama, ialah Kolej Melayu Wijayapura.
--
Pihak media tempatan dan antarabangsa semua sudah bersempit-sempit di kantin sekolah.
Para guru, ketua pegawai pendidikan dari pelbagai bidang, pensyarah sains politik, professor madya semua datang ke Kolej Melayu Wijayapura.
Di belakang stage dewan, Mili sedang bersama rakan-rakannya untuk menari.
Rachel selaku ahli Olympian, memakai baju kot dengan lencana Olimpik, baju yang dia dapat semasa dia menyertai London 2012.
Alif pula sedang bersama pelajar sekolah yang lain, berdiri di dewan sekolah menantikan kedatangan Presiden Barack Obama.
Kumpulan brass band sekolah sedang practice lagu kebangsaan Amerika Syarikat, The Star and Spangled Banner.
Dan Jugra, berdiri di belakang stage, menyorok, dengan sehelai bendera Palestin.
Team Jackals pula sedang nak bawa banner yang mereka buat, "Death To America, Long Live Palestine!" untuk ditayangkan di pentas.
Adli Margera sedang berada di lori, dan menjadi gateaway kepada semua orang, kalau apa-apa jadi, semua akan lari ke lori, dan Adli Margera akan drive.
Dia nampak polis trafik mula masuk ke pintu sekolah, dan terus merasa resah, dan masuk ke dalam lori, start enjin lori.
Lagu Hail To The Chief dan Star Spangled Banner, dimainkan. Presiden Barack Obama melambai-lambai kepada semua pelajar sekolah, sambil Perdana Menteri, Natasha Abdullah, selaku Presiden Alumni Kolej Melayu Wijayapura, mengiringi Obama.
Rachel memegang sejambak bunga raya, bunga kebangsaan Gelanggayu sebanyak 65 kuntum, tanda 65 tahun hubungan diplomatik antara Gelanggayu dan Amerika Syarikat.
Semua jurugambar mengambil gambar Cleo Rachel, yang dianggap ikon negara kerana memenangi pingat perak dan gangsa Olimpik.
"Thank you, thank you!" Presiden Obama memberi senyuman kepada Rachel. Di belakang Obama, Natasha tersenyum bangga melihat Rachel.
Dalam hatinya, mesti Azlan berbangga dengan Rachel.
Sebaik sahaja Barack Obama tiba di pentas dewan sekolah, Jugra dari celah langsir dewan terus menjerit dengan membawa bendera Palestin, sambil menjerit, "Free Palestine!"
Disebabkan Jugra ni pemain ragbi, dia dapat merempuh seorang dua agen Secret Service, tapi gagal pada orang paling tegap di situ. Jugra tersungkur dengan bendera Palestin di tangannya.
Banner yang dicat menggunakan cat minyak dibawa ke pentas, tetapi berjaya dirampas oleh agen Secret Service.
Jugra dan Ziel-O terkandas, cuma Alim Knoxville, Kecik, Joni dan Lias sempat naik ke lori.
"Wei, Jugra mana wei?" jerit Kecik.
"Dia sangkut, bro!" jerit Alim Knoxville.
"Fvck, mampos aku kena dengan Ali ni!"
--
Insiden tersebut bagaimanapun tidak mengganggu majlis, cuma mood semua orang macam potong dengan tindakan Jugra membawa bendera Palestin tu.
Natasha terus stress, tapi dalam masa sama, tak boleh nak marah, sebab niat dia memang nak sabotaj partinya sendiri pun.
Dalam dia rasa macam nak marah dengan Jugra, dia rasa bangga sebab ada juga rakyat Gelanggayu yang berani sound Presiden Amerika Syarikat tentang isu Palestin.
Cuma tak kena gayalah.
--
"Kau berdua ni, budak seluruh anggota polis dalam Gelanggayu ni, serba salah, kau tau tak?" jerit Koperal Roslan pada Jugra dan Ziel-O yang tangannya digari, di bilik soal jawab dalam lokap balai polis.
Ada dua orang agen Secret Service berdiri di belakang Ziel-O dan Jugra.
Brigidier Jeneral Firdaus masuk dengan uniform tentera, datang menarik mereka berdua.
"Tell to your commander, we will handle this issue internally."
"Roger that," kata agen Secret Service itu. Sejak kena sound dengan Azlan itu hari, mereka dah tak berani dah kacau orang Melayu. Kena pulak yang kena tangkap ni anak Azlan.
"Ikut saya ke lori tentera," kata Brigidier Jeneral Firdaus.
--
Sebaik sahaja dalam lori, Brigidier Jeneral Firdaus membuka gari Jugra dan Ziel-O.
"Kawan-kawan kau semua dah tunggu kat gudang bro Ali," kata Brigidier Jeneral Firdaus.
"Abang askar kenal bro Ali ke?" tanya Jugra.
"Tu bukan kenal je. Dia brotherhood aku. Aku ditugaskan untuk lindungi kau," kata Brigidier Jeneral Firdaus.
Jugra melihat nametag pada baju Brigidier Jeneral.
"Abang Firdaus?"
"Ya?"
"Best tak jadi askar?"
"Wei, panjang cerita. Kau nak jadi askar ke?"
"Ya! Nak pertahankan bangsa, agama dan negara!"
Brigidier Jeneral senyum memandang Jugra.
"Bapak kau dah standby dengan tali pinggang tu."
"Tali pinggang? Dia memang keluar rumah pakai tali pinggang memanjang. Kat rumah pun pakai tali pinggang. Jenis nak smart je."
"Bukan! Budak zaman sekarang ni tak tau ke erti nak kena libas dengan tali pinggang?"
Sampai di gudang Ali, Azlan dan Merlina dah cekak pinggang.
Ziel-O dan Jugra turun dari lori.
"Kau dah gila ke? Gila lah! Maunya besok surat khabar seluruh dunia tayang muka kau!" jerit Merlina.
"Mer, kau relax. Biar aku sendiri cakap dengan Jugra."
"Mamposlah besok memang aku tak dapat la jemputan pergi Teknojaya tu besok. Hancus projek PergiMana aku."
"Rilek la, Mer! Betul la apa Jugra buat tu. Siapa lagi nak suarakan rakyat Palestin, kalau bukan kita. Cuma caranya salah."
"Ye lah, betul la tu. Jugra, Mama Mer bukan tak setuju dengan pendapat kau, tapi ada sebabnya ada orang macam bapak kau, untuk suarakan pendapat untuk diterima masyarakat antarabangsa."
Jugra hanya berdiri dan tunduk sahaja.
--
"Jugra, kitorang respect kau doh. Serius. Kau memang hati kering. Lain kali, kalau kau nak makan char kuey teow, kau datang kedai aku. Kau dapat lifetime free supply!" kata Adli Margera.
"Serius doh, dia langsung tak petik nama kau kat depan Secret Service tu," kata Ziel-O.
"Kau nak flavor vape apa je, kau cakap je, aku akan bagi kau!" kata Alim Knoxville.
"Thank you, korang."
"Apa pulak. Kau sekarang dah sebahagian daripada The Jackals. Mana budak nak cari gaduh dengan kau, kau petik nama aku," kata Adli Margera.
"Kitorang gerak dulu!" kata Alim Knoxville sambil start lori.
"Siapa tu?" tanya Merlina.
"Brotherhood," kata Jugra.
Azlan senyum, dan rasa perasaan yang sama bila dia berjumpa dengan Ali.
--
Sementara itu, berita Jugra mengibarkan bendera Palestin viral ke seluruh dunia. Hashtag #FreeJugra kini menjadi worldwide trending.
Disebabkan Jugra ni anak Azlan, secara tak langsung ia meningkatkan populariti Azlan dari kalangan penyokong pro-Palestin di seluruh dunia.
Tapi Azlan tak berani nak bukak Twitter. Telefonnya tak berhenti sampai dia off terus.
Merlina cakap, hashtag #FreeJugra dah viral dengan hampir berjuta mention.
"Wow, Remi Faza buat grafik Free Jugra la," kata Merlina sambil tengok Twitter.
Azlan hanya mengurut dahinya, sambil memandu kereta.
Jugra di belakang hanya duduk mendengar radio berita, menyebut namanya mengibarkan bendera Palestin pada Presiden Obama.
@tommorello : Solidarity to Jugra. We must support freedom of speech! #FreeJugra
"Tom Morello siottttt!" Merlina menjerit.
Jugra tak tahu nak respon apa. Yang dia tahu, dia hanya nampak di Twitternya.
"@cleorachel has blocked you"
--
Ali membaca berita BBC tentang Jugra dari telefonnya, kemudian tersenyum.
"Berani betul budak ni, kagum aku," kata Tengku Hashim sambil minum kopi.
"Tengok la, siapa yang didik dia."
"Heh, masuk bakul angkat sendiri kau ni, Ali. Dah bersedia kucar-kacirkan politik Britain di Scotland?"
"Yes!"
Mereka berdua menaiki kereta menuju ke Glasgow untuk membuat kerja-kerja sabotaj sempena referendum kemerdekaan Scotland yang akan berlangsung lagi dua bulan.
--
Azlan
Aku melawat Pengetua yang sedang terlantar sakit. Badannya kurus kering, macam mangsa kebuluran di Afrika. Boleh nampak tulang rangka dia, dah macam tengkorak hidup.
Aku duduk di kerusi sebelahnya. Kaki aku terlanggar tepi katilnya menyebabkan dia terbangun. Tiub dimasukkan ke dalam hidungnya.
"Kau rupanya, Azlan."
"Ya, Pengetua."
"Kau tak pergi jumpa Obama?"
"Biarlah Natasha yang dapat limelight."
"Sebab tak kena dengan crowd pengundi kau?"
Aku gelak je lah.
"Azlan, aku harap apa yang kau cakap semua tu cuma retorik politik."
Aku diam je, aku tau dia tak suka politik Islam ni.
"Pengetua, rehatlah."
"Janji dengan aku, Azlan. Yang kau teruskan perjuangan aku."
"Saya akan buat apa yang terbaik untuk negara ni kalau saya menang."
"Kau akan menang, Azlan."
"Insya-Allah..."
Pengetua memalingkan muka bila aku sebut nama Tuhan.
"Setiap perkara yang berlaku dalam dunia ini adalah takdir, Pengetua."
"Takdir tu apa yang kau telah usahakan."
"Takdir tu Allah yang tentukan, Pengetua."
Pengetua gelakkan aku. Dari aku kecik lagi dia suka memperkecilkan aku bila aku bercakap tentang agama.
"Kalau katakan kau langsung tak kenal aku, kau rasa kau boleh capai apa yang kau ada hari ni? Kalau aku tak keluar dari negara ni, dan tolong AR, belit dan ugut orang putih untuk berikan kemerdekaan, Jaafar bawa aku jumpa Rockefeller di New York, kemudian aku buat connection dengan Rothschild di London, kau rasa kau boleh dapat apa yang kau ada hari ni?" tanya Pengetua.
"Semua tu Pengetua takkan capai kalau Pak Long Jamal dengan arwah atok tak ditakdirkan jumpa atok bawah parit masa perang Ryukyu dulu. Dan kalau Ryukyu tak serang Gelanggayu, mungkin Pengetua cuma jadi pekebun kobis je. Jadi setiap peristiwa yang berlaku itu adalah rantaian takdir, siapa yang tentukan tu semua?"
"Kalau betul agama kau betul, kenapa Tuhan kau tak menangkan agama kau? Cuba kau tengok negara Islam hari ini. Berpecah belah, berperang, konflik sana sini."
"Belum masanya lagi, Pengetua."
"Kau nak lawan Amerika? Kau tengok senjata mereka, mereka ada Tomahawk missile, yang boleh tembak sejauh 5,000 kilometer. Kau nak lawan Eropah? Mereka ada Hadron Collider yang boleh pecahkan atom yang paling kecil. Negara Islam ada apa?"
Aku menyandar, kemudian teringat kata-kata Peter Zeihan masa aku borak dengan dia dulu.
"Eropah semakin tua. Kaum mereka semakin kurang kelahirannya, dan terpaksa mengimport pekerja dari luar. Luar tu dari mana? Negara Arab. Di Amerika, legalisasi LGBT menyebabkan berlakunya krisis keluarga. Mungkin Pengetua tak perasan, yang Amerika semakin berpecah-pecah juga. Orang California yang Demokrat benci dengan orang Arkansas yang Republikan. Tak ada kuasa yang akan kekal selamanya. Dulu Islam pernah di atas. Umayyad, Abbasiyyah, Fatimid, Mamluk, Uthmaniyyah, Mughal, Timurid. Penguasaan kita hampir seribu tahun, kemudian kita jatuh. Akan datang, kita akan kembali juga."
"Berhentilah berfantasi, Azlan. Tanpa teknologi dan kebebasan bersuara seperti Barat, kau takkan capai penguasaan macam mereka."
Aku bangun dari kerusi, kemudian aku pegang bahunya.
"Beginilah, Pengetua. Saya berharap Pengetua tolonglah buka pintu hati Pengetua. Dunia ini sementara sahaja untuk kita. Sementara ada masa, saya harap Pengetua cuba selami balik, kenapa iman dan akidah yang Tok Atan pernah ajar pada Pengetua, hilang macam tu je? Pengetua pergi London, pergi New York, jumpa kemewahan dunia. Hidup kaya dan mewah, tapi tiada ketenangan. Dah berkuasa pun, masih belum jumpa ketenangan itu."
"Aku hanya akan bertenang bila aku berjaya apa yang aku telah rancang."
"Pengetua selalu kata pada saya, Pengetua dah rancang untuk jadikan Gelanggayu republik sejak 1954. Pengetua berjaya capai tu pada tahun 2008. Sekarang dah tahun 2014, kenapa Pengetua masih belum dapat ketenangan tu?"
"Aku dah berjaya capai tahun 2008, tapi kau yang gagalkan aku. Aku mahu sistem politik yang bebas dari agama, supaya kita ada kebebasan berfikir."
"Mana ada bebas, Pengetua. Kami nak solat pun, azan diharamkan. Kami nak puasa pun, tak digalakkan. Ibu bapa dilarang mengajar anak-anak dari agama. Kebebasan apa tu? Apa itu kebebasan pun, Pengetua tak tahu. Dari 1976 sampai 1994 di bawah jagaan Pengetua, memang la saya bebas nak main muzik, bebas nak ke mana-mana. Tapi Pengetua tak bebaskan saya pun untuk macam mana saya nak berfikir sendiri. Semuanya kena ikut cakap Pengetua."
"Aku buat macam tu demi kebaikan kau juga, Azlan. Lihatlah diri kau hari ini. Kau berjaya hasil didikan dan usaha aku."
"Dari tahun 1994 masa Pengetua buang saya tu?"
"Itu sebab kau yang cari pasal dengan Adilah."
"Betul. Pengetua buang saya sebab kesilapan saya. Tapi sejak itu, sampai sekarang, yang berusaha untuk saya bukan Pengetua, tapi ibu, bersama Ali, Merlina, Fazrul, Kecik, Firdaus, Marina, Aziz, Ustaz Bakar dan ramai lagi mereka yang bekerja bersama-sama saya. Mereka ini yang menjadikan saya berada di tempat saya hari ini, bukan Pengetua. Pengetua dah abaikan saya sejak 1994."
Berubah muka Pengetua bila aku cakap macam tu.
"Kenapa Pengetua terkejut? Tak betul ke fakta yang saya cakapkan ni? Tapi pernah tak saya abaikan Pengetua? Masa Pengetua hampir nak ditangkap oleh Sayap Kuning, masa Natasha beritahu saya tentang tu tahun 1999 dulu, saya yang pandu kereta selama lapan jam sampai Temasik. Ikut jalan jauh untuk elak dari dikesan. Adil tak kalau saya kata, Pengetua berjaya menubuhkan kerajaan republik sebab saya selamatkan Pengetua, sembilan tahun sebelum tu? Tapi saya tak pernah claim tu semua."
Aku berjalan ke pintu wadnya. Sebelum aku keluar, aku pandang ke arah matanya.
"Kalaulah saya biarkan sahaja Pengetua dan tak seludup Pengetua keluar dari Gelanggayu masa tu, tak adalah berjuta-juta orang terkorban, hilang tempat tinggal dan cedera kekal. Mungkin al-Daulah masih memerintah, mungkin digulingkan oleh orang lain, tiada siapa yang tahu. Tapi sekurang-kurangnya, saya tak ada saham dalam dosa besar ini. Saya berkempen dalam pilihan raya kali ini, atas dasar untuk saya tebus dosa saya; selamatkan Pengetua daripada ditangkap Sayap Kuning dulu, menyebabkan Pengetua akhirnya memusnahkan negara ini dengan perang yang Pengetua lancarkan. Saya balik dulu."
Kali ni aku tak bagi salam, sebab aku tahu dia takkan jawab, dan dia takkan terima kebenaran Islam. Dan aku pasti, ini kali terakhir aku akan jumpa dia sebelum dia mati.
Giliran kau pulak, Ali.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro