
2006 part 5
Gabenor Wijayapura, Sahari Ariffin mengadakan sidang medianya hari ini, untuk jawatan Presiden Parti Nasionalis dalam pemilihan pada tahun ini.
Izham pula hanya sekadar menjadi Pemangku Presiden Parti, selepas kematian Shahrizal pada tahun 2004, secara naturalnya akan bertanding sebagai calon Presiden parti.
--
Azlan
"Lama betul kau kat Suvarnabhumi, Li?"
"Banyak hal la, Lan. Kau pun tau kan move terbaru Pengetua ni. Aku kena gerakkan semua ni, baru Pengetua boleh buat move dia ke Gelanggayu."
"Kau sebenarnya sebelah siapa ni? Sebelah Pengetua ke sebelah Sultan?"
"Sebelah aku," kata Ali sambil bersilang kaki atas meja, kemudian bakar rokok. Kemudian dia belek surat khabar di atas mejanya, dan membaca Wijaya Times berkenaan laporan yang Sahari akan menentang Izham.
"Itu tandanya, Sahari nak lawan Izham untuk rebut Gagak Merah jugak. Izham tak ajak kau bertanding jadi Timbalan dia?" tanya Ali.
"Takde, kenapa?"
"See, sekarang kau faham tak kenapa daripada dulu lagi aku ajak kau join aku?"
Aku capai plastik teh tarik dan hirup air teh tarik tu.
"Sebenarnya, macam mana semuanya, akhirnya pergi ke kau? Macam mana kau buat?"
Ali buka drawer, kemudian capai sekeping kertas A4 di dalamnya. Lepas tu dia capai pen.
"Semua benda dalam dunia ni, ada organisasi. Seorang ketua takkan mampu pantau semua perkara, kau setuju?"
"Setuju," kata aku.
Dia kemudian melukis carta-carta organisasi.
"Kepala dalam Gagak Merah?"
"Izham."
"Sayap Kuning?"
"Sultan."
"Sayap Biru?"
"Pengetua."
"Okay, kat belah-belah bawah ni, ada tak yang kau kenal? Maksud aku kat bahagian bawah sekali ni, bukan tengah ke atas carta organisasi ni?"
"Tak."
"Ha, sebab tu kau tak faham benda ni, Lan. Sebab kau masuk-masuk je game ni, Pengetua dah bawak kau ke atas. Pengetua bawak kau jumpa Bang Iz dulu, bukan aku. Okay, kalau ada sesuatu hal, kau rasa belah atas dulu nampak dulu, atau belah bawah nampak dulu?"
"Bawah, sebab belah bawah yang buat kerja."
"Kalau aku cakap yang semua belah bawah dalam Gagak Merah, Sayap Kuning, Sayap Biru, kesatuan sekerja kerajaan, kesatuan pekerja kilang, kesatuan polis, kesatuan guru, kesatuan pekerja hospital, dan banyak lagi persatuan-persatuan yang office dia kat shoplot kecik, atas restoran atau kedai perabot tu, kalau aku cakap 90% daripada semua tu adalah geng Ayam Hitam, kau percaya tak cakap aku?"
Aku tergamam bila Ali cakap macam tu.
"Masalah dengan orang yang jadi bos-bos ni, dia tak pernah dengar pun masalah orang bawah. Kau rasa, Pengetua nak dengar tak masalah peribadi driver dia?"
Aku geleng kepala.
"Kau rasa Sultan nak dengar tak masalah kewangan tukang kebun dia?"
"Tak."
"Sebab tu kau takkan faham kenapa sampai sekarang macam mana Ayam Hitam, Mr Shadow dan semua pelan aku masih lagi terlindung. Sekarang kau nampak tak, kenapa aku ajak kau join aku?"
Lain betul falsafah politik si Ali ni.
"Aku tak belajar tinggi macam kau, Azlan. Tapi ini apa yang aku perhatikan. 1% manusia adalah dalam kelompok elit. Orang macam Sultan, Pengetua, Datuk Mohd Nor, Natasha, Adilah dan segala keturunan Wan dia tu."
"Okay, faham."
"3% manusia ialah orang kaya yang bina kekayaan dia, sama ada dia ada idea genius macam siapa pencipta iPod tu..."
"Steve Jobs."
"Atau ada kabel dengan golongan 1%, macam kau dan Hafiz. Kau sebab kau rapat dengan Pengetua, Hafiz sebab dia bercinta dengan Adilah. 6% manusia pula adalah golongan teknokrat, macam engineer petroleum, golongan intelektual, orang semua tu lah. Tapi yang 90% ni, siapa Azlan?"
"Orang biasa."
"Ya, orang biasa. Yang cuci kereta kau. Yang ambik order makan kau. Yang tolong cuci baju kau kat dobi. Yang angkat tong gas kat dapur rumah kau. Kau nampak tak, betapa ruginya kau kalau kau tak bergabung dengan aku? Kau lupakan je lah Izham ke, Sultan ke, Pengetua ke. Kau ikut aku, kau boleh jadi leader yang terulung dalam negara ni. Kau pandai, Azlan. Aku tak pandai intelektual, tapi aku pandai susun orang aku. Amacam, lepas habis pergaduhan Sahari dengan Izham ni, kita bergabung dan perlahan-lahan, kita akan perintah Gelanggayu ni bersama. Hafiz pernah ajak aku, tapi aku tak berminat, sebab ada bini dia tu. Tapi dengan kau, aku yakin, Lan."
Tak banyak cakap, aku terus bersalam dengan Ali.
"Mulai hari ni, aku join Ayam Hitam."
"You're my man!" Ali sambut salam aku, kemudian dia bangun dari kerusi, dan dia berpeluk dengan aku.
--
Selepas bersarapan, Ali ajak aku ke pasar besar, yang dahulunya milik geng Diamond Besar. Dia pasang radio, dan lagu Senyuman Ragaku dari Gerhana Skacinta yang keluar.
"Haaa, ini macam la! Kita skankin!" kata Ali, sambil kuatkan volume.
Berhenti di parking kereta depan pasar, ada orang tolong copkan parking dia. Pintu kereta dia pun ada orang tolong bukakkan. Lepas tu, orang cium tangan dia, macam Godfather.
"Ni Yusro, pekerja aku, asal dari Kundur, datang sini pakai kad pelarian UNHCR. Tiap pagi bila aku datang pasar, dia cop tempat parking aku."
Aku bersalaman dengan Yusro, yang tersenyum-senyum depan Ali.
"Kau dah sarapan ke belum?"
"Belum, tapi nanti lepas kerja, sekali aja dengan makan tengah hari."
"Hmm, makan apa?"
"Nasi sama kicap, boss."
"Nah duit. Beli lauk sedap sikit."
Ali menghulurkan lima puluh ringgit pada Yusro.
"Terima kasih, boss."
Dia cium lagi tangan Ali. Beberapa orang lagi sedang menunggu Ali di pintu masuk pasar.
"Macam mana niaga hari ni?"
"Alhamdulillah, bolehlah."
"Bagus. Apa-apahal, beritahu aku."
"Bro Ali nak sayur kampung?" tanya seorang lagi pekerjanya.
"Sayur apa ni? Macam mana masak dia ni?" tanya Ali.
"Pucuk keledek, bro Ali. Masak lemak pun boleh, tumis air pun boleh."
"Nanti aku tanya bini aku suruh masak macam mana. Berapa harga ni?"
"Bro Ali punya pasal, free bro."
"Jangan la camtu. Aku nak beli petai, petai ada?"
"Ada, bro Ali. Ni pun dah simpan untuk bro Ali ni."
"Berapa ringgit ni?"
"Bro Ali punya pasal, free je."
"Kau ni macam mana niaga ni? Semua kau bagi free. Nak memetik petai ni dah la susah."
"Bro Ali banyak tolong saya, segan la saya nak letak harga."
"Tak bolehlah macam tu. Aku tolong sebab kau bawah tanggungjawab aku. Berniaga ni, tanggungjawab kau untuk bagi anak bini kau makan. Anak kau sihat? Hari tu masuk klinik, sakit apa?"
"Demam, bro Ali."
"Dah sihat?"
"Dah sihat. Duit yang bro Ali bagi hari tu, saya buat hantar dia pergi klinik dengan beli susu dia."
"Ha, bagus macam tu. Aku nak petai ni dua puluh kilo, serai ni dua puluh kilo, lepas tu kailan ni dua puluh kilo. Kau letak kat seat belakang aku. Ni untuk restoran aku."
"Baik, bro Ali."
Ali memang abang long kawasan di sini. Nampak pekerja-pekerja pasar ni setia dengan Ali dengan nyawa. Walaupun nampak gap antara Ali dan mereka dari segi hirarki, tapi Ali tak mempedulikan tu semua.
Ali juga tolong angkat kotak ikan bersama-sama pekerjanya, tolong siang ikan dan tolong buang sampah dan bersihkan kawasan pasar bersama. Tak nampak macam Ali ni boss.
Selepas membeli barang di pasar, Ali telefon Kecik, dan ajak lepak sama di sebuah restoran mamak.
Kecik juga dah pegang kawasan, bagi pihak Ali. Kecik menceritakan masalah-masalah yang berlaku, dengan Ali bertanya pada aku selaku Ahli Parlimen kawasan ni untuk meminta peruntukan.
Sampai ke tengah hari, dia ajak aku pulang ke rumah, untuk isterinya Hidayah untuk masak.
"Sayang darling, saya bawak ikan pari!"
"Waaaahhh! Nak masak asam pedas ke ni?"
"Kejap, kau tak pernah makan asam pedas Hidayah masak, kan? Kau kena try," kata Ali pada aku.
"Alright."
Ali kemudian telefon beberapa orang-orangnya, dan bertanya tentang keadaan kawasan.
Ali ni kalau bertanding parlimen, dia ni memang ahli parlimen yang efisien. Cuma Ali ni tidak masuk mana-mana parti politik, cuma siapa yang bayar dia, dia akan buat kerja.
Sekarang aku percaya yang dia ni memang ada kabel besar. Mana-mana je dia pergi, mesti akan ada yang kenal dia.
"Lan, minggu depan, aku nak pergi Krung Thep. Kau nak ikut aku?"
"Kau pergi lagi?"
Ali mengangguk kepala.
"Aku nak tunjukkan kat kau cable aku kat sana pulak. Lagi bagus kau kenal kabel kat sana, untuk kau biasakan diri dengan orang-orang kat sana."
--
Selepas makan, aku duduk berdua dengan Ali sambil dia sedang mencantas pokok bonsai.
"Ali, aku nak tanya kau, apa pendapat kau pasal Parti Sosialis Gelanggayu?"
"Dorang ni baik, tapi aku tak bersetuju dengan ideologi dorang. Terlalu mengarut untuk aku."
"Kenapa?"
"Dorang percaya kepada kesamarataan manusia. Aku tak percaya manusia kena sama rata, sebab yang beri rezeki pada manusia ni, Tuhan. Dan sebab dorang mengambil pemikiran atheist yang tak percaya kepada Tuhan, sebab tu dia rasa manusia kena bagi sama rata, sedangkan yang beri rezeki tu, Tuhan. Ini yang aku belajar masa aku dengar ustaz cakap."
"Ustaz? Ustaz tarekat kau ke?"
"Ustaz kat taman perumahan aku la. Kau ni mesti jenis tak pergi surau kan? Kalau kau betul-betul nak memahami pemikiran orang Melayu, kau kena rajin pergi surau, Azlan. Dulu, kau ni rajin solat. Aku yang teruk."
Kenapa apa yang Ali cakapkan ni, aku dah lupa sedangkan aku pernah belajar semua ni?
"Aku ni jahat, Lan. Macam-macam dosa aku dah buat. Tapi ada satu je dosa yang aku tak berani buat. Menduakan Tuhan. Yang tu, tak taubat, alamatnya nerakalah kau. Aku pernah hidup paling teruk dalam penjara, tapi penjara dalam dunia tu takde apa sangat kalau nak dibandingkan dengan neraka."
Aku pandang Ali, semacam tak percaya, sebab inilah orangnya yang sanggup bayar RG10k untuk main dengan Mastura Rahim.
Tapi apa yang Ali cakap tu, betul sebenarnya.
"Bumi Gelanggayu ni dah hilang barakahnya bila golongan liberal dan sekular ni menguasai tempat ni. Kita kena kembali pada fikrah kita. Aku rasa, dalam kita mengejar kemajuan, kita dah lupa siapa diri kita yang sebenar. Kita kejar semua nak ada teknologi, semua nak jadi moden, tapi kita tiru siapa? Kita tiru Amerika, kita tiru British."
"Ala, kau pun suka tengok bola EPL tu, British la jugak."
"Aku dengar lagu punk, aku suka The Clash, aku suka Sex Pistols, aku suka semua tu, tapi benda tu semua hiburan. Biasalah berhibur. Bapak tak chillnya jadi bangsa tak pandai berhibur. Tapi...."
Ali tunjuk ke kepala aku.
"Pemikiran kita ni, Melayu ke tak? Kau boleh sambut hari raya, pakailah sampin dengan baju Melayu Haji Tarmimi mahal tu, makan ketupat dan rendang, tapi takat tu je pemikiran kau terhadap bangsa Melayu? Aku sambut Raya pakai baju Melayu, jadi aku Melayu? Macam tu je? Apa benda yang merdeka, kalau pemikiran kita masih berkiblatkan Barat?"
"Ali, kau ni right wing ke?"
"Aku tak tau apa wing aku, tapi pada aku, kita dah hilang identiti. Kita kena kembalikan pemikiran apa itu Melayu Gelanggayu. Di Suvarnabhumi, aku belajar satu benda, sebab mereka bangsa yang tak dijajah. Kau pergi kat Krung Thep, walaupun ada benda moden, tapi budaya bangsa dorang masih lagi utuh. Benda tu yang kerajaan Gelanggayu bertahun-tahun abaikan."
Ali kemudiannya letak pencantas bonsainya.
"Masalah aku dengan Sultan Gelanggayu, nak jadi ketua agama Islam, tapi mabuk minum whiskey, brandy. Masalah aku dengan Pengetua, nak tubuhkan republik, tapi dengan pemikiran Barat, macam Ataturk."
Pengetua memang selalu memuji-muji Ataturk pun.
"Masalah aku dengan Tok Aki, sementara dia hampir selari dengan pemikiran aku, tapi dia over pulak. Gunakan keganasan macam Taliban tu. Nantilah, aku bawak kau jumpa Haji Syaaban."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro