Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

Diana dan Ain sudah menanti mereka di restoran. Masing-masing tidak menunjukkan rasa bersalah kerana mempermainkan mereka berdua. Malah, kedua-duanya tersenyum lebar melihat mereka berjalan seiringan.

"Dah lama tunggu?" tanya Nadia sebaik saja mereka tiba di hadapan meja yang menempatkan Diana dan Ain.

"Tak lama pun. Dalam lima minit macam tu."

Nadia hanya mengangguk. Matanya memandang ke arah wajah Ain. Kini barulah dia teringat siapa Ain. Budak yang selalu memerhatikannya ketika wanita itu datang beraya di rumah mereka. Baru kini dia faham makna pandangan Ain dulu itu. Rupa-rupanya nak kenenkan dia dengan Aidan.

"Ain..." seru Aidan seraya mata tertunak pada wajah si adik.

"Oh, sorry." Faham dengan seruan itu, Ain terus bangkit berdiri. Dia mengatur langkah menuju ke arah Nadia. Tangan wanita itu juga turut dicapai.

"Kak Nad..." panggilnya lembut.

Nadia yang tak memahami tindakan Ain itu, memandang dengan wajah yang terpinga-pinga.

"Ain nak minta maaf. Ain tahu apa yang kami buat ni salah. Dan Ain harap Kak Nad dengan Abang Aidan maafkan kami."

Diana yang duduk di sebelah Nadia itu terangguk-angguk. Wajah meminta simpati diberikan kepada kedua-dua mereka.

"Ana juga macam tu, Abang Aidan. Ana minta maaf. Yang mesej abang tu bukan Kak Nad. Tapi Ana."

Nadia mengetap bibir. Wajah Diana dijeling geram. Pandai betul budak-budak itu mempermainkan mereka.

"Janji jangan buat lagi?" ucap Nadia dengan memandang kedua-duanya.

Laju Diana dan Ain mengangguk. Siap angkat tangan lagi tanda berjanji.

"Okey, kau orang dimaafkan."

Kuat Diana dan Ain bersorak sehingga mengundang mata-mata pengunjung restoran itu.

"Shhh!" Nadia memberikan isyarat kepada kedua-duanya agar tidak membuat bising di situ. Mereka akur tetapi sempat Diana memberikan high five kepada Ain.

"Tapi... Abang pula macam mana?" soal Ain pada abangnya.

"Abang okey." Pendek saja jawapan Aidan. Dia memandang Nadia yang tersenyum itu dan saat mata mereka bertaut, Nadia terus mengalihkan wajah memandang Diana.

Melihat Nadia tidak berani bertentangan mata dengannya itu saja sudah membuatkan dia merasa ada peluang untuk mendekati wanita itu. Kerana itulah reaksi Sumayyah ketika pada awal perkenalan mereka. Nampak saja berani tetapi kalah bila berlawan mata dengannya.

SIAP makan tengah hari bersama, Diana dan Ain bercadang untuk terus pulang ke rumah. Namun sebelum mereka berlalu pergi, Diana sempat membisikkan sesuatu pada Nadia.

"Ana tengok akak lain sangat hari ni."

"Apa yang lainnya?" soal Nadia kembali. Wajahnya berkerut memandang si adik.

"Tak seperti yang Ana kenal sebelum ni."

"Jangan nak merepek la, Ana," dalihnya pula.

Tidak mahu mengaku dengan perubahannya itu. Sedangkan dia sendiri sedar, dia lebih banyak tersenyum. Malu jika Aidan merenungnya. Malah, sifatnya yang selalu sangat tak puas hati dengan perangai Diana itu, kini sudah bertukar menjadi seorang yang manja. Seperti dia manja dengan ibu dan abahnya, begitu juga dengan kedua-dua abangnya.

"Jangan nak tipu. Ana sendiri nampak perubahan tu."

"Kau balik la, Ana. Ish, merepek pula budak ni!"

"Sampai aje Ana kat rumah nanti, Ana terus cerita kat ibu."

Terbeliak mata Nadia bila Diana nak bagi tahu ibunya.

"Jangan! Kalau akak dengar ibu tahu pasal ni, jaga kau!"

Dia tidak mahu keluarganya tahu tentang Aidan. Kerana dia tidak mahu kedua-dua orang tuanya mengharap. Lagipun, Naufal tu dia nak letak kat mana?

"Ala... Yang akak takut sangat, kenapa? Akak bukannya bercinta dengan Abang Naufal. Baru aje nak kenal-kenal."

"Diam la! Kau pergi la balik. Akak nak kerja ni. Nanti lambat pula masuk."

"Tak sabar la tu nak berdua-duaan dengan Abang Aidan."

Sekali lagi Nadia membesarkan matanya. Tanda amaran. Dia risau jika kata-kata Diana itu didengari oleh Aidan. Mulut budak sorang ni bukannya dapat dia tutup. Main lepas saja.

Tersengih-sengih Diana meninggalkan Nadia. Suka melihat kakaknya mesra melayan Aidan tadi. Walaupun Aidan jenis yang tak banyak bersuara. Baginya, itu sudah cukup baik. Seperti yang pernah dia katakan pada Nadia sebelum ini, jika kakaknya bersama dengan Aidan memang sesuai sangat. Kan mulut kakaknya itu seperti murai. Bertemu pula dengan lelaki yang tak banyak bunyi, sempurnalah jadinya!

Tergeleng-geleng kepala Nadia seraya berpaling untuk mendekati Aidan. Lelaki itu santai bersandar di badan kereta.

"Maaf la dengan perangai adik saya tu," ucap Nadia setibanya dia di hadapan Aidan.

"Sama la dengan adik saya," balas Aidan kembali.

Tidak seperti tadi, kini Aidan membukakan pintu kereta buat Nadia.

"Oh, thank you." Sebelah kening Nadia terangkat dengan tindakan Aidan itu. Baru sebentar tadi dia mengutuk Aidan tak gentleman.

Aidan hanya tersenyum. Kalau mahukan seseorang itu, tawanlah hatinya dengan bermacam cara. Seperti yang pernah dia lakukan dulu ketika hendak menawan hati Sumayyah.

Masuk saja ke dalam kereta, Nadia diperhatikan. Tali pinggang keselamatan belum terpasang lagi di tubuh Nadia. Tanpa bersuara, dia bertindak untuk memasangkan sendiri tali pinggang itu sehingga mengundang reaksi terkejut di wajah Nadia.

"Saya cuma nak pasangkan seat-belt," beritahu Aidan seraya kembali memegang stereng kereta dan memulakan perjalanan mereka.

Ya Allah! Kus semangat betul! Dengan perlahan Nadia urut dadanya. Mahu dia tak terkejut dengan tindakan Aidan itu. Dah la wajah lelaki itu hanya jarak tiga inci darinya. Bau wangian di tubuh Aidan juga sempat menusuk ke rongga hidungnya.

Aduh! Pertama kali dekat dengan lelaki sebegitu. Lainlah kalau dengan abah dan abang-abang dia. Itu dah jadi cerita lain. Yang dia maksudkan, lelaki yang boleh dikahwininya.

"I'm sorry." Aidan bersuara lagi. Melihat Nadia mengurut dada, membuatkan dia menyesal bertindak sebegitu.

"Hey... Don't worry. I'm okay."

Sekali lagi wajah Nadia ditatap. Wajah yang putih itu tersenyum dengan lesung pipit terserlah di kedua-dua belah pipi. Cantik senyuman itu. Tak semena-mena hatinya memuji.

Dia geleng kepala perlahan. Bukan itu tujuan sebenarnya. Bukan untuk membuatkan dia jatuh cinta dengan Nadia tetapi wanita itu yang sendiri jatuh cinta dengannya.

"I owe you," ujar Aidan tiba-tiba.

"Hutang apa?" Nadia pandang Aidan dengan wajah yang hairan.

"Saya belum bayar baki duit awak."

"Oh..." Baru Nadia teringat. Namun bila teringatkan peristiwa di Alamanda itu, membuatkan dia ketawa kecil.

"Awak ni... Saya dah halalkan la."

"Saya rasa macam berhutang dengan awak."

"Ish... Jangan la kata macam tu."

"Macam mana kalau saya belanja awak nanti? For lunch or dinner maybe?" cadang Aidan agar pertemuan demi pertemuan kerap berlangsung.

"Tadi tu pun awak dah kira belanja kami tau. Awak yang bayar makanan kita orang."

"Tak sama."

Nadia ketap bibir. Ini teknik Aidan nak ajak dia keluar lagi ke? Hatinya nakal meneka. Kalau ya, dia lebih daripada sudi sebenarnya. Maklum la, kan lelaki itu tak bercakap lebih daripada dua perenggan. Setakat sebaris dua saja. Jadi Aidan guna ayat kiasan untuk berinteraksi.

Salah satu sebab Nadia suka dengan Aidan, lelaki itu memang tak banyak kerenah. Tak banyak bersuara. Tak seperti Naufal. Satu perenggan dia bercakap, Naufal bagi dia sampai tiga perenggan! Jenuh juga dia nak dengar. Adakalanya dia tak sempat nak mencelah.

Eh, sekejap! Dia ada sebut suka ke tadi? Dah suka ke Nadia, oi? Tak semena-mena bibirnya terukir senyuman. Gedik pula hatinya bertanyakan soalan itu.

"So, what do you think?" tanya Aidan menginginkan jawapan dari Nadia.

"Bila?"

"Sehari selepas saya balik dari Tokyo."

"Insya-Allah, saya tak janji, ya? Sebab sekarang ni saya dah mula busy. Maklumlah, nak cuti sekolah."

Aidan hanya mengangguk faham. Memahami pekerjaan Nadia itu. Skop kerja mereka nak hampir sama. Masing-masing selalu ke luar negara. Setelah mendapat tahu jawatan yang disandang oleh Nadia, membuatkan dia kagum dengan wanita itu. Dia ingatkan Nadia sekadar memegang jawatan sebagai tour/travel consultant, rupa-rupanya sebagai outbound tour manager. Bukan mudah untuk memegang jawatan itu pada usia 28 tahun. Ia memerlukan pengalaman dan pengetahuan yang luas.

Sebaik saja kereta berhenti di hadapan bangunan BlueSky Travel, Aidan keluar dari kereta dan terus membukakan pintu kereta buat Nadia.

"Terima kasih." Mata sengaja tidak memandang wajah tampan itu. Terasa segan pula dengan gaya gentleman Aidan.

"My pleasure."

"So... Selamat terbang, ya. Take care," ucapnya. Nak tak nak, wajah Aidan dipandang. Namun bila mata tertunak pada sepasang mata Aidan, dia kalah lagi. Lantas mata memandang jam di pergelangan tangan. Kot-kot dah terlewat. Padahal, dia sebenarnya ingin cepat berlalu dari situ.

"Whatever you do, please take care."

Kata-kata itu sebenarnya ringkas sahaja tetapi meninggalkan kesan yang mendalam pada Nadia. Matanya mengiringi langkah Aidan sehingga masuk ke dalam kereta. Tetapi sebelum lelaki itu benar-benar masuk ke dalam perut kereta, Aidan mengangkat tangan ke arahnya. Tanda melambai.

Dia pula tanpa sedar dengan gaya manja melambai tangannya ke arah Aidan kembali. Dulu, pertama kali jumpa, punyalah mereka berlawan kata. Selepas itu, bergaduh dalam telefon. Dan sekarang, dia seperti sudah hilang taring.

Aduh! Apa dah jadi dengan kau ni, Nad? Jantung bergetar malah hati seolah-olah menyeru nama penuh lelaki itu berkali-kali.

Ahmad Aidan bin Ahmad Abhar. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: