Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Semua yang dilakukan oleh Nadia pagi itu, ada saja yang tak kena. Itu tak kena. Ini tak kena. Ada ketikanya, tangannya berpeluh tanpa sebab. Gemuruh ke dia hari ini? Sebab apa? Takkan sebab nak jumpa Aidan tengah hari nanti?

Ah, merepek!

Tak ada sebab untuk dia rasa begitu. Aidan tu siapa? Hanya sekadar abang kepada Ain aje pun!

"Nad... Amount yang you tulis ni salah la, dear," tegur Helen seraya menyerahkan kembali kertas cadangan yang dia buat pagi tadi.

"Ya ke?" Kertas itu disemak. Aduh! Memang betul dia salah tulis harga.

"Sorry, Helen. Typo lagi." Cepat-cepat Nadia membetulkan semula kesalahannya itu daripada komputer ribanya.

"You kenapa hari ni? Ada masalah ke?"

"Tak ada la, Helen," dalihnya. Takkan nak mengaku yang dia berdebar hendak berjumpa dengan Aidan?

Helen hanya tersenyum. Tidak mahu mendesak Nadia untuk memberitahu masalah wanita itu. Dia percaya, jika Nadia memerlukan pertolongannya, wanita itu sendiri akan membuka mulut.

"Nah, I dah betulkan. Cuba check. Kot-kot ada salah lagi." Kertas yang sudah diubah suai itu diserahkan kepada Helen semula.

"Okey. Tak ada masalah dah. Thanks, Nad. Apapun masalah you... You tahu I selalu ada untuk jadi pendengar you."

"Thanks, Len. You pun tahu I sayangkan you, kan?" balas Nadia kembali.

Dia bukan saja menghormati Helen sebagai anak bos BlueSky Travel, malah Helen juga dianggap sebagai kawan baik. Berlainan agama dan kepercayaan tidak menghalang mereka untuk berkawan baik. Masing-masing menghormati agama dan kepercayaan yang dianuti.

Bukan itu saja, Helen juga dianggap sudah menjadi sebahagian daripada keluarganya. Wanita itu terlalu baik dengannya. Hampir lapan tahun dia mengenali Helen, berjumpa pun ketika dia masih menerima rawatan kerana dua tahun sebelum itu, dia menjalani pemindahan jantung. Waktu itu, Helen menemani mendiang ibunya. Gigih wanita itu berusaha untuk menyembuhkan penyakit si ibu tetapi sayang, segalanya sudah terlambat.

Helen dan ayah wanita itulah yang seringkali menasihatinya agar tidak berputus asa untuk meneruskan hidup. Rawatan yang menelan kos yang tinggi juga sanggup ditanggung oleh ayah Helen.

"Uncle sudah terlambat untuk merawat mummy Helen. Dan uncle harap, ia tidak terlambat untuk Nadia. Uncle tahu, duit tidak dapat membeli segala-galanya. Jika benar duit mampu mengubahnya, mummy Helen pasti masih bernyawa. Bagi uncle, ini semua takdir. Takdir untuk uncle dan Helen berjumpa dengan Nadia dan menolong Nadia untuk meneruskan hidup." Itulah kata-kata ayah Helen sewaktu menghulurkan bantuan dari segi kewangan.

Telefonnya yang berdering membuatkan lamunan Nadia terhenti. Saat terpandangkan nama Aidan yang menghubungi, hati yang tadi sudah reda, kembali berdebar. Dengan perasaan yang teragak-agak, dia menjawab panggilan itu.

"Assalamualaikum," sapa suara di hujung sana.

"Waalaikumussalam."

"Sekejap lagi saya jemput awak."

Bulat mata Nadia bila Aidan kata begitu.

"Errr... Tak apalah. Saya sendiri boleh ke tempat yang kita janjikan tu. Lagipun, saya nak jemput Ana lagi."

"Adik saya dah tumpangkan Ana."

Aduh! Nadia rasa nak hentuk kepala ke meja. Dah la ini kali pertama dia jumpa Aidan, takkan nak duduk berdua kat dalam kereta? Awkward tahu? Awkward!

"Tak apalah..."

"Kami yang cadang nak jumpa awak. Biar la saya yang jemput awak."

Nak tolak ke tak ni? Nak tolak segan. Nak setuju, malulah pula!

"Errr..." Dia masih ragu-ragu hendak memberi keputusan.

"Please?"

Ya Allah, suara mamat ni! Memang boleh bergetar tulang rusuk! Apatah lagi dengan permintaan yang lembut itu. Aduh, parah sungguh!

"Okey la. Awak tahu kat mana saya kerja?"

"Adik saya bagi tahu. Kat Jalan Diplomatik, Presint 15, kan?"

"Haah. Betul."

"Pukul dua belas saya datang. Volks brown metallic."

"Volks?" Terangkat kening Nadia.

"Volkswagen."

"Yang tu saya tahu. Tapi Volkswagen apa?"

"Volks CC."

Sekali lagi keningnya terangkat. Cita rasa yang boleh tahan hebat. Tak perlu nak Audi segala seperti Naufal, Volkswagen pun cantik juga. Sesuai untuk lelaki seperti Aidan. Memandu Volkswagen CC dengan pakaian juruterbang, rasanya wanita di luar sana akan pandang dua kali. Termasuklah dirinya!

"Helo?" Suara Aidan kembali menyapa.

"Oh, sorry. Awak cakap apa tadi?"

"Baju warna apa? I don't know how you look like."

"Errr... Shawl warna hitam. Baju biru."

"Okey."

Aidan diam dan dia pun diam. Tak tahu nak cakap apa lagi. Padahal waktu pertama kali berjumpa dengan Naufal, mulutnya tak henti-henti bercakap. Apatah lagi Naufal juga pandai berbahas dengannya. Maklumlah, lawyer!

Sekarang, mulut murainya seperti dah jumpa tuan. Lebih banyak diam daripada bersuara.

"Okey la... See you later," ucap Nadia sebelum dia meletakkan panggilan. Langsung tak menunggu jawapan daripada Aidan.

Bercakap dalam telefon pun dia dah gabra, apatah lagi kalau duduk berdua saja di dalam kereta. Memang kejung badan dia nanti.

TEPAT pukul 12 tengah hari, Nadia terus keluar dari ofis. Dia tidak mahu Aidan tertunggu-tunggu. Dah cukup baik lelaki itu sanggup menjemputnya. Walaupun hatinya seperti rela tak rela.

Matanya melilau mencari Volkswagen CC berwarna perang. Sebelum pukul 12 tadi, Aidan sempat menghantar mesej kepadanya, memberitahu nombor plat kereta lelaki itu. Saat mata terpandang kereta Volkswagen CC berwarna perang dan tiba-tiba ada lelaki keluar dari kereta itu, langkah Nadia terpaku.

Dia tak tahu kenapa kakinya berat untuk melangkah sehinggalah lelaki itu pula yang mendekatinya.

"Nadia?"

"Aidan?" Sejurus Aidan menyebut namanya, dia juga menyebut nama lelaki itu untuk memastikan yang di depannya itu adalah Aidan.

Secara tak langsung, matanya memandang Aidan dari atas hingga ke bawah. Lelaki itu tinggi. Dia pula sekadar paras bahu lelaki itu saja. Ada jambang tapi tak tebal. Memang kelihatan dicukur kemas. Warna kulit pula, nak kata putih melepak, tak juga. Tapi nak kata gelap pun, tak juga. Sedang-sedang saja. Dan yang penting, Aidan memang menarik pada pandangan matanya. Tak berkelip matanya memandang. Kalah Naufal!

Aidan hanya mengangguk lalu menghadiahkan senyuman nipis kepadanya.

Nadia terus memperbetulkan shawlnya. Terasa kekok pula bila berdepan dengan Aidan. Berdebar tu memang biasalah. Dengar suara pun dia dah berdebar, apatah lagi bila bertentangan mata.

"Shall we go?" Aidan bersuara setelah beberapa saat mereka terdiam.

"Oh, sure!"

Nadia hanya mengekori langkah Aidan. Tiba di hadapan pintu kereta, dia ingatkan Aidan nak bukakan dia pintu, tapi boleh pula lelaki itu terus ke pintu pemandu dan masuk ke dalam perut kereta. Ceh, tak gentleman! Kali ini, Naufal menang!

Dalam kereta, masing-masing diam. Aidan fokus memandu dan Nadia pula buat-buat fokus memandang ke luar tingkap.

Walaupun Aidan kelihatan fokus, namun hujung matanya cuba mencuri pandang ke arah Nadia. Akhirnya, dia dipertemukan juga dengan Nur Nadia Omar. Wanita yang memiliki sesuatu yang berharga baginya. Sesuatu yang dia ingin miliki kerana dia yakin, jantung yang ada di dalam tubuh Nadia itu adalah jantung Sumayyah!

"Errr... Sekejap. Saya macam pernah nampak awaklah sebelum ni," ucap Nadia tiba-tiba. Puas dia berfikir, dia seakan-akan pernah nampak Aidan sebelum ini. Dan pada waktu yang sama, dia mahu menceriakan suasana di dalam kereta itu daripada sunyi tanpa suara.

Wajah yang tenang memandang ke jalan raya itu dipandang dengan penuh minat. Kat mana aku nampak mamat ni, eh?

"Awak pernah book tiket kat tempat kerja saya ke?" selidik Nadia.

Aidan hanya menggelengkan kepala. Dia tidak perlu menempah tiket, sudah termaktub dalam skop kerjanya untuk terbang ke merata tempat.

"Atau awak pernah ikut rombongan yang kami adakan?"

Aidan geleng lagi.

"Atau... Awak pernah jadi pelanggan saya?" Sekali lagi Nadia cuba meneka.

"Pelanggan yang macam mana?"

Kening Nadia berkerut dengan soalan Aidan itu. Mamat ni sengaja nak loyar buruk ke apa?

"Never mind. Mungkin saya salah orang." Malas nak panjangkan cerita. Nadia terus tutup mulut.

Aidan menjeling sekilas ke arah Nadia. Bila wanita itu diam, dia hampir saja tersenyum. Mungkin Nadia sudah malas hendak melayannya.

"Saya macam pernah nampak awak juga," balas Aidan akhirnya.

"Kan? Kat mana, eh?" sahut Nadia teruja. Terus lupa tentang kekok, gugup, gabra dan sebagainya.

Aidan jongket bahu. Dia malas nak fikir. Pernah jumpa atau tak sebelum ini, semua itu tidak penting. Yang penting adalah waktu sekarang.

"Haaa!" jerit Nadia. Dia sudah ingat di mana dia jumpa Aidan sebelum ini.

"Awak lelaki yang tolong bayarkan barang-barang saya kat Alamanda. Waktu tu saya tertinggal purse kat rumah."

"Ohhh..." Hanya itu yang keluar dari bibir Aidan. Nak kata teruja, tak. Tapi dia juga tidak menyangka yang dia sebenarnya sudah dipertemukan lebih awal lagi dengan Nadia.

"Awak sedar tak barang saya tertukar dengan barang awak?"

Dengan bersahaja Aidan mengangguk.

"Kalau sedar, kenapa tak pulangkan balik?"

"Saya tak kenal awak waktu tu dan saya tak tahu di mana awak tinggal."

Ya tak ya juga! Bibir bawah digigit.

"Sekarang barang-barang tu kat mana?"

"Adik saya dah gunakan. How about mine?"

"Saya bagi abang-abang saya gunakan."

"Fair and square." Jawapan yang mudah Aidan berikan kepada Nadia. Dia harap Nadia tidak mempersoalkan lagi. Dia juga sudah letih untuk bersuara.

"Tak sangka, kan? Kita jumpa lagi," ujar Nadia seraya memandang wajah tepi Aidan. Kali ini, dia sudah mendapat keberanian untuk berborak dan bertentang mata dengan lelaki itu. Memandangkan ini bukan kali pertama mereka berjumpa.

"Malaysia ni tak besar."

"Tapi kalau bukan jodoh, awak duduk kat depan rumah saya pun, kalau Allah tak bagi kita jumpa, memang takkan jumpa."

Ketika lampu isyarat merah menyala, Aidan mengambil kesempatan untuk memandang wajah Nadia. Kata-kata wanita itu yang membuatkan dia tertarik untuk melihat reaksi Nadia.

"Why?" tanya Nadia hairan. Aidan pandang dia tanpa kata.

"Awak bercakap tentang jodoh."

Membahang pipi Nadia kepanasan. Dia juga baru tersedar, perkataan jodoh itu keluar dari bibirnya.

"Saya tak maksudkan apa-apa. Jodoh tu tak semestinya jodoh untuk bersama."

Aidan cuma diam. Pandangannya beralih semula ke depan. Dia nekad untuk mencipta jodohnya sendiri. Kini Nadia sudah ada di depan mata. Untuk dia memiliki hati wanita itu, mungkin tidak mudah. Tetapi dia akan tetap mencuba.

Malah dia juga tidak kesah berlainan wajah, apa yang penting, jantung itu milik Sumayyah. Baginya, itu sudah cukup untuk dia melepaskan rindu terhadap arwah tunangnya. Bahkan, dia juga menganggap dalam diri Nadia ada Sumayyah. Wanita itu masih hidup walaupun hanya jantung yang masih berdegup.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: