Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Punggung dihenyak malas. Letih! Sungguh letih. Hanya tinggal beberapa hari saja lagi BlueSky Travel akan mengadakan travel fair. Sebagai pekerja, memang tak cukup tangan dibuatnya. Tambahan pula tak lama lagi nak cuti sekolah. Pasti ramai pelanggan yang akan datang ke pameran mereka seperti sebelum-sebelum ini.

Telefon bimbit yang sedari tadi di atas meja, dicapai. Setelah dia tidak menjawab panggilan daripada lelaki yang bernama Aidan semalam, telefon itu sunyi tanpa sebarang bunyi. Baguslah... Aman dunia dia.

Namun keamanan itu hanya sementara bila dia melihat ada mesej di notification. Dia lebih rela kalau Naufal yang menitipkan pesanan ringkas padanya walaupun dia dah bosan dengan pertanyaan Naufal itu. Tetapi kalau Naufal yang mesej pun, lelaki itu suka menghubungi daripada menggunakan aplikasi WhatsApp.

Dengan perasaan yang teragak-agak, dia membuka mesej tersebut.

Sah! Memang lelaki semalam. Aidan.

Aidan: What do you want from me? Saya tak kacau awak, kan?

Hekeleh! Tak kacau dia kata? Yang sebelum-sebelum ini apa? Dan hari ini pula, siapa yang mesej siapa? Lelaki itu juga! Bukan dia.

Nadia lihat mesej itu dari pukul sembilan pagi lagi. Waktu di mana dia sibuk berbincang dengan Helen tentang persiapan mereka.

Dengan hati yang berdongkol geram, dia membalas kembali mesej lelaki itu.

Nadia: Siapa yang kacau siapa? Aku atau kau? Jangan sampai aku report nombor telefon kau ni, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah!

"Hai... Seriusnya muka. Ada masalah ke?" Helen yang melintas di hadapan meja Nadia, menegur.

"Ni haaa... Ada orang gila mesej I dari hari Sabtu lagi. Dia kata dia kenal I. Tapi hari ni, boleh pula dia kata, dia tak kacau I."

Helen ketawa kecil.

"Peminat misteri you kut."

"Yalah tu." Sekilas mata Nadia menjeling Helen sebelum wanita itu berlalu pergi.

Kali ini, WhatsAppnya pula yang berbunyi. Melihat nama Naufal yang tertera di notification itu membuatkan dia mengeluh berat. Dia seperti sudah dapat mengagak apa yang Naufal titipkan buat dirinya.

Naufal: You apa khabar? Dah makan ke belum? Bila nak terbang lagi?

Tengok tu! Soalan yang sama!

Serius, bosan!

Bukankah sepatutnya seorang peguam pandai berkata-kata? Agaknya sebab inilah juga, Naufal tak berteman sehingga kini. Lelaki itu tak pandai nak berinteraksi dengan wanita. Tetapi kalau berhujah dengannya, memang Naufal la juara. Huh!

Nadia: Macam biasa, I okey. Dah makan pun. Nak dekat cuti sekolah ni, memang tak lama lagi nak terbanglah tu.

Semua soalan dibalas dalam satu masa! Harap-harap Naufal fahamlah apa maksud dia tu. Sesekali, tukarlah ayat lain. Ini dia dah hafal ketiga-tiga soalan itu.

Sekali lagi dia mengeluh berat. Badan bersandar malas. Itinerary yang dibincangkan bersama Helen tadi kembali disemak. Ada yang perlu diubah suai lagi. Memandangkan tempat-tempat lawatan yang dipilih tidak bersesuaian dengan harga yang dikenakan.

Baru saja dia nak fokus, telefonnya pula yang berdering. Nak tak nak, dijengahkan juga mata untuk memandang skrin telefon itu. Namun saat ternampak nombor telefon Aidan yang menghubunginya, dada berdegup kencang.

Nak jawab ke tak?

Dia sudah mengelak semalam, takkan hari ini nak mengelak lagi? Dia tak salah apapun. Kenapa pula dia yang perlu takut? Yang mengganggunya lelaki itu, bukan dia.

Samsung Galaxy Note 4 itu terus dicapai lalu dia melangkah keluar dari ofis. Kalau nak berlawan cakap dengan Aidan pun, sekurang-kurangnya kawan satu ofis tak dengar.

"Bismillah..." ucapnya sebelum menekan butang hijau.

"Helo..." Suara di hujung sana kedengaran menyapa.

Tak tahu kenapa hati Nadia semakin berdebar. Suara itu mempunyai aura yang tersendiri.

"Helo..." balasnya pula. Nada sengaja ditegaskan. Biar Aidan tahu, dia tengah marah waktu ini.

"Awak..."

"Kau ni siapa, hah? Apa kau nak daripada aku?" Baru sepatah Aidan bersuara, dia sudah memotong bicara lelaki itu.

"Saya yang sepatutnya tanya awak soalan tu," ujar si dia. Nada itu masih kedengaran tenang di cuping telinga Nadia.

"So funny la you. Kau yang mesej aku dulu. Sekarang tak nak mengaku pula?"

"Saya mesej awak?"

"Eh, eh... Buat-buat tak tahu pula," sindir Nadia dengan rasa bengang.

"Yang saya tahu, awak tuduh saya gila."

"Yalah, dah kacau hidup orang. Memang kenalah dengan tuduhan tu."

Aidan kedengaran mendengus.

"Saya tak tahu apa sebenarnya masalah awak ni."

"Samalah. Aku pun tak tahu apa sebenarnya masalah kau. Siang malam ganggu hidup aku!"

"Saya tak ada masa nak ganggu hidup orang." Suara di sana tidak mahu mengalah.

Balasan Aidan itu membuatkan Nadia semakin bengang.

"Kau kata, kau kenal aku. Sampai nama aku sekali kau tahu. Sekarang, kau tak nak mengaku pula? Hei, kau buat lawak apa ni, Aidan?"

"What? Macam mana awak tahu nama saya?"

Pula dah!

"Ish... Malas aku nak layan manusia macam ni!" Nadia hampir saja membuat keputusan untuk memutuskan panggilan itu tetapi bila terdengar Aidan kata tunggu, pergerakannya terhenti.

"Sumpah! Saya tak kenal awak."

"Dah tu kau nak tuduh aku pula yang menipu? Macam tu?"

"Saya tak tuduh."

"Okey, fine! Aku akan hantar bukti-bukti yang kau ganggu hidup aku dua tiga hari ni. Biar otak kau tu bagi betul sikit." Talian terus dimatikan. Dengan segera Nadia Screenshot mesej-mesej Aidan padanya dan dihantar semula kepada lelaki itu.

Puas hatinya! Aidan ingat dia tak simpan agaknya mesej-mesej lelaki itu? Pandai nak kelentong dia. Kalau lepas ni Aidan ganggu dia lagi, memang dia akan report perkara ini.

SAAT melihat gambar-gambar yang dihantar oleh wanita itu, mata dan bibir Aidan ternganga. Betulkah dia yang menghantar mesej-mesej itu? Tetapi, kenapa mesej-mesej itu tidak ada dalam simpanannya?

Hairan!

Sudahlah ayat yang digunakan seperti bukan dirinya. Tetapi, nombor yang tertera adalah nombor telefonnya. Memang wanita itu tidak menipu.

Walau apapun, dia berani bersumpah! Bukan dia yang menitipkan kata-kata itu. Dia masih waras lagi untuk mengingati semua yang dia lakukan.

Secara tak langsung, ingatannya kembali pada Ain. Tarikh-tarikh yang tertulis juga mengingatkan dia sewaktu Ain meminjam iPhonenya.

Takkanlah Ain yang buat kerja ni?

Kepalanya tergeleng perlahan. Sukar untuk dia percaya tetapi hatinya pula kuat mengatakan itu kerja Ain.

Langkah diatur keluar dari bilik. Harap-harap Ain sudah balik dari universiti. Diketuk-ketuk pintu bilik Ain, tidak ada sahutan. Lantas, dia menapak turun ke ruang tamu. Tidak ada seorang pun di situ. Mungkin emak dan ayahnya keluar berjalan.

Saat kakinya hendak menapak naik tangga, kedengaran pintu masuk rumah mereka dibuka dari luar. Dia menoleh dan menunggu siapakah gerangan yang hendak masuk itu. Saat terpandang wajah Ain, kaki yang tadi menapak di anak tangga yang pertama kembali turun.

"Eh, abang..." sapa Ain dengan senyuman. Tangan penuh dengan buku-buku yang dibawa dari universiti.

Aidan datang mendekati.

"Mari, abang tolong," pelawa Aidan. Buku-buku itu terus diambil dari tangan Ain.

"Thanks, bang. Mak dengan ayah mana?" Meliar mata Ain mencari kelibat orang tua mereka.

"Jalan kut."

"Nak taruh di mana buku ni?" soal Aidan pula.

"Bilik Ain. Boleh?"

Tanpa berkata ya, Aidan terus menuju naik ke bilik Ain. Diikuti oleh si adik. Usai meletakkan buku-buku tersebut di atas meja Ain, wajah si adik dipandang lama.

"Kenapa?" tanya Ain hairan.

"Lately ni, Ain ada buat sesuatu yang melibatkan abang ke?" Tanpa berlengah, Aidan terus bertanya.

Ain telan liur. Soalan Aidan itu membuatkan dia hampir terkedu.

"Buat sesuatu? Apa maksud abang? Ain tak fahamlah."

Sengaja Ain berkata begitu. Beg yang tersangkut di bahunya tadi, kini diletakkan di atas kerusi. Cuba mengelak daripada bertentangan mata dengan Aidan.

"Ain..." seru Aidan pula. Dia tidak perlu menjelaskan apa-apa pada Ain. Jika benar wanita itu melakukan perkara itu, Ain pasti akan mengaku sendiri.

Dengan hati yang berdebar-debar, Ain menghadap Aidan. Matanya kerap kali memandang ke arah lain. Sungguh, dia takut hendak bertentang mata dengan lelaki itu.

"Kalau Ain bagi tahu, abang janji jangan marah Ain, ya?"

Aidan cuma diam. Tidak mahu berjanji. Apa yang dia mahu adalah kebenaran.

Melihat Aidan hanya diam, membuatkan lagi hati Ain bertambah kecut. Apa reaksi Aidan jika dia memberitahu perkara sebenar? Mengamuk ke abangnya itu nanti padanya? Walaupun lelaki itu bersikap dingin, tetapi tidak pernah sekalipun dia melihat Aidan marah. Tidak pada keluarga mahupun dirinya.

"Ain minta maaf..." Akhirnya, Ain kembali membuka mulut. Mata hanya memandang ke lantai.

Aidan mengeluh berat. Dia kecewa dengan perbuatan Ain itu.

"Kenapa Ain buat macam tu pada abang?"

"Ain cuma nak abang kenal dengan Kak Nad. Bukan niat Ain nak permainkan kau orang berdua."

Mata Ain sudah merah. Bukan niatnya mahu mempermainkan kedua-duanya. Dia cuma mahu memperkenalkan Aidan kepada Nadia. Jika dia ajak Aidan jumpa Nadia, mahukah lelaki itu? Setahu dia, Aidan tidak suka diperkenalkan kepada wanita lain.

"Abang tak perlu kenal sesiapa, Ain." Mendatar suara Aidan menjawab.

Menitis air mata Ain bila mendengar jawapan Aidan itu. Kenapa abangnya mahu terus hidup begini? Aidan layak untuk mendapat kebahagiaan. Bukan hanya terperuk di dalam bilik, menyendiri. Sibuk dengan kerja sehingga tidak ada masa untuk mengembirakan hati sendiri.

"Ain sayangkan abang. Ain nak abang bahagia. Ain tak minta untuk abang jadi seperti abang-abang Diana. Cukup sekadar abang jadi diri sendiri. Dulu abang tak macam ni. Abang selalu usik Ain sampai buat Ain marah. Tapi sekarang, abang kerja atau tak, sama aje. Seolah-olah hanya Ain, mak dan ayah aje yang tinggal kat dalam rumah ni," luah Ain dengan panjang lebar.

Air mata yang menitis diseka kasar. Dia mahukan Aidan yang dulu. Walaupun Aidan sibuk bercinta dengan Sumayyah, Aidan tak pernah lupakan dia dan Ainul. Dulu, kehidupan mereka sebagai adik-beradik sangat rapat. Tetapi setelah apa yang terjadi 10 tahun dulu, sikap Aidan mula berubah. Aidan dengan adik-adik yang lain, mula renggang. Dan Ain rasa, setelah kakaknya Ainul mendirikan rumah tangga, dia seperti tidak ada tempat untuk mengadu.

Melihat tangisan Ain itu, sedikit sebanyak memang menyentuh hati Aidan. Nak marah pun dia tak sampai hati. Lantas, dia mendekati Ain lalu tangan naik mengusap lembut kepala yang masih bertudung itu.

Tangisan Ain semakin kuat. Inilah kali pertama dalam tempoh 10 tahun, Aidan kembali mengusap kepalanya. Biarlah dia menangis seperti budak-budak sekalipun. Apa yang penting, dia dapat melihat kembali Aidan yang dulu.

"Janganlah menangis," pujuk Aidan. Kedua-dua tangannya menyeka air mata di pipi Ain.

"Salah ke apa yang cuba Ain buat untuk abang ni?"

"Salah tetap salah."

Bibir bawah diketap. Dia ingatkan Aidan nak pujuk dia. Tapi lelaki itu tetap kata dia yang salah.

"Abang tak marahkan Ain. Cuma jangan buat macam ni lagi."

Tangisan Ain mula reda. Yang tinggal hanya sedu-sedan.

"Okey. Tapi Ain tak janji."

Berkerut dahi Aidan. Maknanya Ain akan terus buat begini?

"Ain..."

"Ain nak sangat abang kenal dengan Kak Nad. Dia kakak Diana. Kawan baik Ain," pintas Ain tanpa membenarkan Aidan bersuara.

"Abang tak nak."

"At least, kita jumpa dia. Say sorry to her sebab kacau dia."

"Abang tak kacau. Ain yang kacau dia."

"Abang temankanlah Ain."

Aidan menggeleng. Dia nak jumpa dengan wanita itu? Memang taklah. Dahlah bahasa kasar. Langsung tak ada santunnya.

Ain menundukkan wajah. Air mata yang masih bersisa di tubir mata itu diseka. Biar Aidan fikir dia kembali menangis.

Keluhan terlepas dari bibir. Aidan bukan tidak mengerti apa yang Ain cuba lakukan.

"Nad ni siapa?"

"Kan Ain dah bagi tahu, dia kakak Diana. Nama penuh kakak dia, Nur Nadia Omar. Kerja kat BlueSky Travel. Umur..."

"Apa nama penuh dia tadi?"

Jantung Aidan bagaikan terhenti daripada berdenyut saat terdengar nama itu.

"Nur Nadia Omar. Ain panggil dia Kak Nad."

Pergerakan Aidan jadi kaku. Nama itu!

Dia ingat lagi nama itu. Nama yang masih tersemat dalam mindanya sehingga kini. Ya Allah, dunia ini begitu kecil sekali. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: