Bab 14
Dua minggu tanpa Aidan, dia seolah-olah tak tentu arah. Setiap jam dan setiap minit, telefon bimbit dipandang. Harap-harap Aidan ada menghubunginya. Tapi, jangankan nak menghubungi, mesej pun tak dititipkan kepadanya.
Nak tanya Ain, gadis itu sudah berangkat mengerjakan umrah. Lagipun, dia memang tidak mahu mengganggu gadis itu menunaikan ibadah. Malah, dia juga sedia maklum, jadual Aidan untuk bulan ini sangat padat. Jadi untuk apa dia merintih? Dah lelaki itu sibuk dengan kerja.
Kau mesej aje la dia. Apa susah? Seperti ada suara yang menyuruhnya berbuat demikian. Tetapi kalau dia yang mesej dulu, nampak sangat dia yang terhegeh-hegeh.
Keluhan terlepas dari bibir. Bagasi yang sudah penuh dengan pakaian dan keperluannya itu ditatap lama. Esok dia akan berangkat ke Turki. Hampir dua minggu dia di sana nanti. Pasti semakin susah untuk mereka berhubung.
Dengan perasaan yang teragak-agak, dia mencapai telefonnya. Lalu, aplikasi WhatsApp dibuka. Di ruang Chats itu, nama Aidan dicari. Perkara pertama yang dilihat adalah last seen lelaki itu.
Last seen yesterday at 12:05 am.
Maknanya hari ini lelaki itu langsung tak buka WhatsApp. Atau mungkin lelaki itu berada di awan biru. Bekerja.
"Jangan nak ego sangat la, Nadia. Kalau kau yang mulakan dulu pun, apa salahnya? Mesej aje la!" Dia berbicara sendiri.
Apa salahnya kalau dia yang mulakan dulu? Sekadar menitipkan pesanan ringkas aje pun! Bukan nak melamar lelaki itu.
Nadia: Assalamualaikum.
Nadia: Busy?
Nadia: Sorry kalau saya ganggu awak.
Nadia: I just want to tell you, my flight to Turkey will be on tomorrow night.
Ketika terdengar pintu biliknya diketuk dari luar, cepat-cepat telefon itu disembunyikan masuk ke dalam poket seluar. Terjengul wajah Diana dengan muka yang tak ceria.
"Kenapa?" soalnya hairan.
"Abang Naufal datang."
Nadia mengeluh dalam diam. Sejak kebelakangan ini, Naufal memang kerap datang ke rumahnya. Daripada apa yang dia lihat, lelaki itu cuba hendak mengambil hati keluarganya. Mungkin Naufal lupa agaknya, yang nak kahwin dia. Bukan keluarganya. Kesudahannya nanti, dia yang akan membuat keputusan untuk menerima lelaki itu ataupun tidak.
"Dah tu kenapa muka kau monyok ni?"
"Akak serius ke dengan Abang Naufal tu?" Diana menghenyakkan punggungnya di birai katil.
"Bukan dulu kau yang beria-ia nak akak dengan dia ke?"
"Itu sebelum Ana kenalkan akak dengan Abang Aidan."
Bila nama Aidan yang disebut oleh Diana, Nadia terjeda seketika. Dia betul-betul rindu dengan lelaki itu. Rindu hendak bersua muka. Rindu hendak berbalas mesej dengan lelaki itu, malah rindu hendak mendengar suara tenang Aidan.
"Aidan tak sukakan akak la!" ucapnya dengan perasaan yang tak rela. Namun dia perlu menerima hakikat sebenar.
Jika Aidan menyimpan perasaan terhadapnya, lelaki itu pasti akan menghubunginya. Ini tidak, dua minggu tanpa panggilan mahupun pesanan ringkas.
"Tapi Ain kata..." Teragak-agak Diana hendak meneruskan kata-katanya.
"Ain kata apa?" Sengaja dia menyoal. Padahal, hati teruja hendak tahu apa yang Ain katakan tentang hubungan dia dan Aidan.
"Ain kata Abang Aidan tak pernah ajak perempuan jumpa parents dia, kecuali Abang Aidan serius nak berkawan dengan perempuan tu. Dan dia kata lagi, Abang Aidan dah pandai bergayut dengan telefon sejak kebelakangan ni."
Info pertama, memang mengundang senyuman di bibir Nadia. Tetapi bila mendengar info kedua, dengan perlahan senyumannya sirna.
"Dia bergayut dengan telefon tu, mungkin bukan dengan akak."
Berkerut dahi Diana memandang Nadia.
"Bergayut tu general tau, akak. Like texting each other. Telefon tak lepas dari tangan. Sentiasa bawa ke mana saja. Ke bilik air pun dia bawa sekali."
"Yalah sangat Aidan nak buat macam tu."
"Tak percaya sudah! Pergi la jumpa Si Naufal akak tu. Bila Ain dah balik umrah nanti, Ana akan bagi tahu dia yang akak tak interested kat Abang Aidan."
Terbeliak mata Nadia bila Diana kata begitu. Siapa kata dia tak berminat dengan Aidan? Dia dah tahap jatuh cinta sekarang ni. Memang dia takkan pandang orang lain lagi.
"Kau jangan nak keruhkan keadaan, Ana." Nadia mula memberi amaran kepada adiknya. Dia tidak mahu Diana masuk campur dalam hal ini. Takut apa yang akan dikatakan oleh Diana itu nanti, mengeruhkan lagi keadaan.
Tudung dicapai, lalu disarung terus ke kepala. Wajahnya yang tanpa sebarang mekap itu dibiarkan begitu saja. Jika benar Naufal ikhlas mencintainya, lelaki itu perlu menerima dia seadanya.
Diana yang masih duduk di birai katil itu dijeling sekilas. Namun langkah diteruskan untuk keluar dari bilik itu.
"Ana sebenarnya nak akak dengan Abang Aidan," ucap Diana perlahan namun masih dapat didengari oleh Nadia.
Langkah yang diatur terhenti. Tak semena-mena, hatinya tersentuh mendengar kata-kata Diana itu. Dia juga mengharapkan untuk bersama Aidan suatu hari nanti. Tetapi jika hanya dia yang bertepuk sebelah tangan, takkan berbunyi.
"Jodoh, Ana. Kita tak boleh buat apa tentang perkara tu." Dengan perlahan, langkah kembali diatur meninggalkan Diana di bilik tidur itu.
MELIHAT Naufal rancak berbual dengan ayahnya, dia mula tertanya-tanya. Ikhlaskah lelaki itu? Atau itu hanya sekadar lakonan agar dirinya diterima? Bukankah Naufal pernah berkata yang dia hendak bersaing dengan Aidan? Tak mustahil apa yang dilakukan oleh Naufal itu sekadar untuk mendapatkan markah.
Ketika kakinya mendekati kaum adam itu, Naufal menoleh ke belakang seperti sedar akan kehadirannya.
"I nak ajak you keluar," beritahu Naufal seraya berdiri menghadapnya.
"Kenapa tak bagi tahu awal-awal?" keluhnya. Naufal selalu buat dia begini. Pada saat-saat akhir baru nak bagi tahu itu dan ini.
"I ada benda nak cakap dengan you."
"I pakai macam ni aje la."
Naufal pandang dia dari atas hingga ke bawah.
"We're going to Pullman, Nadia."
Nadia cuba menahan rasa marahnya. Kalau dah tahu nak ajak ke Hotel Pullman, kenapa tak bagi tahu awal-awal? Menyusahkan betul! Namun sabarnya masih ada walaupun tipis. Mengenangkan ayah dan abang-abangnya ada di situ, dia tidak mahu mencetuskan pergaduhan. Lagipun, dia hendak menjaga air muka Naufal.
"Jangan salahkan I kalau you lama tunggu I bersiap." Dia terus berpaling dan kembali menaiki anak-anak tangga untuk menuju ke biliknya.
Sampai saja di dalam bilik, punggung dihenyak kasar di hujung katil. Banyak-banyak tempat, Hotel Pullman yang dipilih oleh lelaki itu. Tak ada tempat lain lagi ke? Nak juga tempat yang berkelas tinggi.
"Menyampah!"
Blouse satin yang berwarna beige itu dicapai. Skirt berwarna hitam juga diletakkan di atas katil. Manakala instant shawl yang berwarna perang itu dikeluarkan dari dalam almari. Sepanjang dia bersiap-siap, mulutnya tak henti-henti membebel.
Kalau hari-hari Naufal buat dia begini, memang tekanan darahnya akan naik mendadak. Selang 10 minit, kedengaran WhatsAppnya berbunyi. Dia sudah mencebik. Yakin sangat yang mesej itu datangnya daripada Naufal.
Malas nak layan, mesej itu dibiarkan terlebih dahulu. Namun selang beberapa saat, bunyi mesej itu masuk bertalu-talu. Dahinya mula berkerut. Takkan Naufal? Kalau Naufal, nampak sangat tak faham bahasa.
Oh! Mungkin salah seorang pelanggan yang akan mengikuti rombongan mereka esok kut. Dengan segera Samsung Galaxy Note 4 itu dicapai dan aplikasi WhatsApp dibuka. Sebaik saja ternampak nama Aidan, dia jadi gelabah secara tiba-tiba.
Aidan: Waalaikumussalam.
Aidan: Saya kat Melbourne.
Aidan: Quite busy.
Aidan: But, it's okay.
Aidan: Flight pukul berapa esok?
Aidan: Take care and eat on time.
I miss you. Ingin ditaip kata-kata itu tetapi dia juga ada maruah diri. Dia takkan berlebih-lebih kecuali Aidan mengatakan cinta kepadanya. Buat masa ini, hanya dia yang merasakan perasaan itu.
Nadia: Flight pukul 11.25 pm.
Nadia: Okey la, saya nak gerak dulu. Naufal ajak keluar.
Bukan mahu mengadu kepada Aidan tetapi dia ingin melihat apa reaksi dan balasan lelaki itu bila dia memberitahu Naufal mengajaknya keluar.
Aidan: Are you serious with him?
Tak! Hatinya menjerit sebegitu. Tetapi dia tidak tahu hendak membalas apa kepada Aidan. Akhirnya, persoalan itu dibiarkan sepi tanpa jawapan. Balik nanti, dia akan cuba memberikan jawapan yang pasti kepada lelaki itu.
Ketika dia hendak keluar rumah, Nazhan sempat berbisik padanya.
"Buat la keputusan sekarang, Nad. Along tak nak Nad bagi dia harapan yang tinggi. Do it now or Nad akan lebih kecewakan dia."
Kata-kata Nazhan itu membuatkan dia banyak berfikir. Dia sebenarnya langsung tak bagi harapan kepada Naufal kerana dia percaya, Naufal sendiri mengerti dengan sikap yang dia tunjukkan kepada lelaki itu. Sebagai peguam, Naufal seharusnya dapat memahami penolakannya selama perkenalan mereka ini. Kerana dia banyak menolak daripada akur dengan kemahuan Naufal.
"You nak kata apa sebenarnya?"
"Later." Pendek jawapan yang diberikan oleh Naufal. Bermakna lelaki itu tidak mahu mereka berbicara di dalam kereta.
Pandangannya dilemparkan ke luar. Dia tak sangka, secara tiba-tiba saja muncul dua lelaki dalam hidupnya. Cinta yang tak pernah menyapa selama ini juga datang tanpa diundang. Tetapi, lelaki yang diharapkan untuk menyambut cintanya itu masih berteka-teki dengannya.
Ternampak saja bangunan Hotel Pullman yang tersergam indah, telefonnya kedengaran berbunyi nyaring. Naufal di sebelah melirik sekilas ke arahnya. Tanpa rasa ragu, telefon yang berada di dalam beg itu dicapai.
Aidan.
Nama itu yang menghubunginya. Nak jawab ke tak? Takkan nak jawab depan Naufal? Tapi kalau dia tak jawab, pasti Naufal hairan. Dan akhirnya, dia membuat keputusan untuk menjawab saja panggilan itu. Apa nak jadi, jadi la. Dia perlu berdepan dengan kenyataan. Naufal perlu tahu hatinya memilih siapa walaupun Aidan tidak mencintainya.
"Helo..." sapanya.
"Are you with him?"
"Hmmm..." Jawapan itu sebagai ya buat Aidan.
"Am I too late?"
"What do you mean?" soalnya kerana tidak mengerti kata-kata Aidan itu.
"Never mind. Enjoy your date."
"Aidan!" Nama Aidan diseru tetapi lelaki itu sudah memutuskan panggilan.
"Aidan?" Naufal kalih wajah setelah kereta sudah diparkirkan di tempat letak kereta. Nadanya juga bertukar menjadi keras.
"Yes, Aidan. Why?" cabar Nadia. Dia yakin nama Aidan sudah terpahat dalam ingatan Naufal semenjak lelaki itu ingin bersaing dengan Aidan lagi.
"That guy?"
"Yes, it's him."
"Bila you dengan I, I tak nak dengar nama dia."
"I love him, Naufal," ucapnya dengan berterus terang.
Jelas sekali lelaki itu tidak terkejut dengan pemberitahuannya. Bermakna, Naufal sudah dapat mengagak siapa pilihan hatinya.
"You langsung tak bagi I peluang untuk bersaing dengan dia."
"Semua ni tak perlu bersaing, Naufal. Dengan kemewahan yang you ada, dia mungkin tak dapat lawan you. Tapi you kena ingat, kemewahan tak mampu beli segala-galanya. Cinta dan kebahagiaan."
Bicaranya terhenti seketika. Cuba menghalang air mata yang bergenang dari jatuh ke pipi.
"Dia memang tak kaya macam you. Dia cuma pilot yang berpangkat kapten. Hidup pun biasa-biasa saja. Dia tak ajak I makan kat hotel mewah macam you. Tapi I happy bila bersama dengan dia. I happy dengan kehidupan dia yang biasa-biasa tu."
Tergeleng-geleng kepala Naufal. Sukar untuk dia percaya yang dia kalah tanpa sempat bertanding.
"I tak nampak dia berusaha untuk memiliki you, Nadia."
Nadia terdiam. Dia memang akui, Aidan tak kelihatan seperti berusaha untuk memilikinya. Lihat saja apa yang Aidan lakukan tadi. Tanpa tahu hujung pangkal, Aidan sudah meletakkan panggilan.
"I cintakan dia." Sekali lagi dia ungkapkan ayat itu pada Naufal. Agar lelaki itu tahu walau apapun, hatinya tetap mencintai Aidan.
"You kena ingat, dia perlu cintakan you. Kalau tak, you akan sentiasa menagih cinta dia."
"You cintakan I?" Sengaja Nadia menyoal.
"If you give me a chance..."
"You tak jawab pun yang you cintakan I, Naufal. Kalau I bagi peluang, maknanya you masih memupuk rasa cinta tu." Sinis bibirnya tersenyum. Naufal berkata seperti lelaki itu betul-betul dah jatuh cinta padanya.
Benarlah lelaki itu hanya mementingkan kemenangan. Belum pun jatuh cinta, sudah beria-ia hendak memiliki dia. Mungkin bagi Naufal, apa yang penting, lelaki itu dapat mengalahkan pihak lawan.
"Tapi sekurang-kurangnya I berusaha."
"You cuma nak menang, Naufal. Cinta tu bagi you letak tepi dulu."
Sebelum Naufal bersuara, dia kembali menyambung bicaranya.
"You nak ke terima perempuan yang sakit macam I ni? Yang akan mati bila-bila masa saja."
Wajah Naufal berubah. Pertanyaan yang mengejut itu membuatkan dia terpinga-pinga.
"Sakit?"
"Oh, you tak tahu? I ingatkan along dah bagi tahu you." Dia tunduk menekur jari-jemari sebelum kembali bersuara.
"I perempuan yang banyak kekurangan. I penghidap sakit jantung. I juga pernah menjalani pemindahan jantung. Jantung yang ada ni, bukan milik I. Hidup pun sentiasa bergantung pada ubat. Dulu memang I tak fikirkan tentang cinta. I tak mahu susahkan sesiapa. Tak nak susahkan suami untuk jaga I bila I sakit. Bila I hanya mampu terlantar di atas katil." Bibir bergetar menahan rasa sebak.
Dia tidak mampu menjanjikan kebahagiaan pada pasangannya. Dia juga tidak tahu sampai bila jantungnya itu akan bertahan. Ada penerima organ yang sama sepertinya hanya mampu bertahan selama lima tahun sahaja. Alhamdulillah, sudah 10 tahun dia hidup bersama jantung baru. Adakalanya sakit itu datang menyerang tetapi cepat-cepat dia menerima rawatan dan menjalani kehidupan yang sihat sebaiknya.
"I tak tahu you sakit." Nazhan langsung tidak pernah mengungkit tentang kisah silam Nadia. Jauh sekali hendak memberitahunya yang wanita itu sakit. Sungguh, kenyataan yang baru didengarnya itu membuatkan dia terjeda.
Sejujurnya, lelaki mana yang sanggup mengahwini wanita yang sudah terang lagi bersuluh mempunyai penyakit yang berisiko tinggi? Jika dia mengahwini Nadia nanti, mampukah wanita itu memberikan dia zuriat? Atau mungkinkah dia pula yang terpaksa menjaga sakit wanita itu? Sesungguhnya, mengahwini Nadia memang berisiko tinggi untuk mengecapi kebahagiaan.
Tetapi dalam situasi ini, persaingan itu penting. Dia tidak akan mengalah pada Aidan hanya kerana Nadia memberitahunya yang wanita itu sakit.
"I bagi tahu you bukan nak minta simpati. I bagi tahu juga bukan sebab nak bagi alasan untuk you lepaskan I. Cuma, I sendiri yang nak merasa apa itu cinta. I nak merasa mencintai dan dicintai. Dan hati I dah tahu siapa orangnya. Mungkin betul I pentingkan diri sendiri, sakit-sakit pun nak juga bercinta. But, as you know... Cinta itu datang tanpa diundang malah dia hadir tanpa dipinta. I tak minta untuk jatuh cinta. I tak minta Aidan datang dalam hidup I dan jatuh cinta padanya." Panjang lebar Nadia menjelaskan agar Naufal mengerti perasaannya itu.
Naufal terdiam. Rancangannya untuk melamar Nadia tidak terlaksana bila wanita itu terlebih dahulu memberitahu isi hati. Dia memang sudah mengagak hati Nadia lebih cenderung kepada Aidan tetapi dia jenis lelaki yang takkan mengalah sebelum bersaing.
Dia mahu Aidan menunjukkan kehebatan lelaki itu, berusaha untuk menakluki hati Nadia tetapi sebelum semua itu terjadi, Nadia sudah pun membuat keputusan tanpa sempat mereka bersaing.
Mengalah tidak termaktub dalam kamus hidupnya.
Buat masa ini, dia akan jadi pemerhati. Menanti untuk Aidan tersilap langkah. Andai perkara itu terjadi, dia takkan sesekali berundur. Kemenangan pasti berpihak kepadanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro