Bab 10
Apabila teringatkan yang hari ini adalah hari lusa yang dimaksudkan oleh Aidan, bibirnya seperti tak lekang daripada tersenyum. Ketika berada di ofis tadi pun dia rasa tak sabar nak menantikan waktu malam. Malah, dia siap memikirkan topik apa yang hendak dibualkan bersama dengan Aidan nanti. Tentang pekerjaan lelaki itu? Atau berkongsi cerita tentang kehidupan mereka yang selalu ke luar negara?
Ah! Tak kesah la nak cerita apa nanti. Lain yang dirancang, lain pula jadinya. Dia bukan boleh jangka Si Aidan tu. Entah-entah nanti mereka hanya ditemani oleh riuh-rendah pelanggan yang ada di dalam restoran itu.
Samsung Galaxy Note 4 dibelek. Aidan langsung tak mesej dia hari ini. Jadi ke tak lelaki itu nak ajak dia makan malam bersama? Ini dah pukul berapa dah. Kalau lelaki itu tak jadi keluar, cakap la awal-awal. Tak ada la dia bersiap-siap seperti nak keluar dating.
Tok-tok!
Laju tangannya membuka pesanan ringkas yang baru muncul itu.
Aidan: Saya dah on the way.
"On the way? On the way ke mana?" Hairan betul Nadia dengan pemberitahuan itu. Aidan tak bagi tahu pun nak jumpa dekat mana? Alih-alih kata dah dalam perjalanan.
Nadia: Awak on the way ke mana?
Aidan: Rumah awak.
Nadia yang tadi duduk kini terus berdiri kaku. Mata pula terpaku dengan kata-kata yang dititipkan oleh Aidan itu. Mamat ni biar betul? Aidan sedar ke yang dia tinggal bersama dengan keluarga? Dah bersedia ke lelaki itu nak menjawab pelbagai soalan daripada keluarganya?
Nadia: Kita nak dinner kat mana? Saya sendiri boleh ke sana.
Aidan: Dah sampai.
Cis! Habis la! Kenapa Aidan tak bagi tahu dia awal-awal yang lelaki itu nak menjemputnya dekat rumah? Sekurang-kurangnya dia boleh bersiap sedia untuk menjawab soalan daripada keluarganya.
Dengan langkah yang cemas, Nadia keluar dari bilik tidur. Dada berdebar-debar ketika melangkah turun menuju ke ruang tamu. Perasaannya semakin tidak keruan bila terdengar suara abang-abangnya berbual di situ.
"Eh, Nad nak ke mana?" soal Najwan ketika matanya tertangkap kelibat Nadia.
"Jalan. Nad ada dinner dengan kawan."
"Tapi Naufal nak datang sini," celah Nazhan pula.
Dengan wajah yang terkejut, Nadia memandang kedua-dua abangnya.
"Kenapa pula dia nak datang sini?"
"Dia kata nak bincang sesuatu dengan along."
Ya Allah! Apa yang cuba Naufal lakukan sebenarnya ni?
"Nad dinner dengan siapa?" Encik Omar bertanya dengan wajah kerisauan. Dia kalau boleh nak Nadia sentiasa ada di depan mata. Tetapi dia sedar, Nadia sudah dewasa. Anak perempuannya itu mahukan kebebasan. Apatah lagi ketika zaman remaja, Nadia lebih banyak berada di hospital berbanding budak-budak seusia anaknya itu.
"Dengan Aidan, bah."
"Aidan?" Mereka yang berada di ruang tamu itu memandang sesama sendiri. Kecuali Diana. Wanita itu tersenyum suka. Malah ibu jari diberikan kepada Nadia tanda dia menyokong kakaknya itu.
"Dia dah ada kat luar," beritahu Nadia tanpa dipinta.
Nazhan dan Najwan terus bangkit berdiri.
"Along nak jumpa dia."
"Angah pun," sahut Najwan. Mereka sama-sama melangkah menuju ke pintu rumah, diikuti oleh Nadia.
Sebaik saja mereka keluar, kelihatan kereta Volkswagen CC milik Aidan dan Audi A5 milik Naufal sudah ada di depan rumah. Kini, kedua-duanya dilihat berbicara seperti ada perkara serius yang dibincangkan.
Habislah aku! Bibir diketap geram. Kenapa dalam banyak-banyak malam, malam ini juga Naufal nak datang ke rumah mereka? Saat terpandang wajah serius Naufal itu, dia rasa bersalah pula pada Aidan. Lelaki itu tak tahu apa-apa. Entah apalah yang dikatakan oleh Naufal pada Aidan. Pasti nak tunjuk bagus depan Aidan la tu!
"Awak..." seru Nadia seraya mendekati Aidan.
"Dah lama sampai?" soalnya pula. Konon nak tunjuk pada Naufal yang dia tak hairan dengan kehadiran lelaki itu.
"Baru aje."
"Dah kenal dengan Naufal?" Sengaja Nadia bertanya walaupun dia yakin, pasti kedua-dua mereka sudah mengenali satu sama lain.
"Dah," sahut Naufal dengan nada yang dingin. Melihat ada lelaki yang tak dikenali menanti di luar rumah Nadia membuatkan dia tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki itu.
Bila Aidan memberitahu hendak menjemput Nadia, yakinlah dia yang lelaki itu adalah lelaki yang mereka bualkan tempoh hari. Lelaki yang akan menjadi pesaingnya untuk dapatkan Nadia. Daripada apa yang dia tengok, Aidan kelihatan biasa-biasa saja. Hanya sekadar bekerja sebagai juruterbang untuk pesawat komersial dan tak mampu melawan kehidupannya yang sememangnya sudah mewah sejak dulu lagi. Tengok saja pakaian lelaki itu, T-shirt dan jean lusuh tersarung di badan membuatkan dia tersenyum sinis memandang.
"Oh... Kalau macam tu, ni saya nak kenalkan awak dengan abang-abang saya."
Aidan hanya mengangguk dan senyuman nipis menghiasi bibirnya tatkala mata bertentangan dengan abang-abang Nadia.
"Assalamualaikum. Saya Aidan." Tangan dihulurkan ke arah Nazhan dan tanpa teragak-agak lelaki itu menyambut salamnya.
"Waalaikumussalam. Saya Nazhan. Along kepada Nadia."
"I pula, Najwan. Angah kepada Nadia." Najwan turut menyambut huluran salam Aidan itu setelah Nazhan melepaskan tangan lelaki itu.
"Saya nak ajak Nadia makan malam kat luar."
Secara tak sengaja Nadia terpandang wajah Naufal. Lelaki itu nampak tak puas hati dengan ajakan Aidan itu.
"Kami sebagai abang memang tak ada masalah. Cuma jangan balik lewat," pesan Nazhan walaupun dia sedar, Naufal kelihatan tidak selesa dengan kehadiran Aidan itu.
Secara tak langsung menyebabkan dia rasa serba salah. Naufal temannya manakala Nadia pula adiknya. Tetapi dia rasa tidak wajar pula jika dia menegah Nadia untuk keluar bersama Aidan sedangkan dia tahu, hubungan Nadia dengan Naufal masih dalam fasa berkawan. Tak lebih daripada itu.
"Eh, tu abah." Najwan menunjuk ke arah Encik Omar yang menjengulkan diri di pintu rumah.
"Abah, ini kawan Nadia."
Sebelum Encik Omar mendekati, Aidan terlebih dahulu melangkah menghampiri orang tua itu. Memang inilah yang dia harapkan untuk terjadi. Berjumpa dengan kesemua ahli keluarga Nadia agar dirinya dikenali. Tetapi, tidak pula dia menyangka akan berjumpa dengan Naufal. Lelaki yang mengaku dirinya sebagai teman rapat Nadia atau lebih tepat lagi sebagai teman lelaki wanita itu.
Mulanya dia rasa waswas. Apatah lagi dia diberikan amaran untuk menjauhkan diri dari Nadia jika dia berniat hendak memiliki wanita itu. Tetapi apa yang dilihatnya ketika ini, abang-abang Nadia tak kesah pun dengan kehadiran Naufal itu. Bermakna, hubungan Nadia dengan Naufal hanya sekadar kawan biasa.
"Assalamualaikum, pak cik. Saya Aidan. Kawan Nadia."
Melihat keberanian Aidan berhadapan dengan Encik Omar, membuatkan Nadia berasa bangga. Nampak gentleman sangat Aidan buat macam tu. Aduh! Naufal yang ada di situ juga tak dihiraukan. Biarlah dengan lelaki itu. Dia yakin, kehadiran Naufal ke rumah mereka pasti ada kena-mengena dengan hubungan dia dan Aidan.
"Waalaikumussalam. Pak cik dengar nak keluar dengan Nadia, ya?"
"Ya, pak cik."
"Pergilah. Cuma nanti jangan lewat balik, ya?" Bahu Aidan ditepuk lembut.
"Ada masa, nanti kita borak lama," ucap Encik Omar yang berharap dapat mengenali Aidan dengan lebih dekat.
"Baik, pak cik."
Nadia diajak terus ke kereta. Naufal yang memerhatikan mereka juga tidak dipandang. Jika lelaki itu mahu bersaing, dia akan bersaing untuk dapatkan Nadia. Dia tidak akan sewenang-wenangnya membiarkan Nadia menjadi hak milik lelaki lain.
Dalam diri Nadia ada Sumayyah. Dan Sumayyah pula hanya miliknya seorang. Dia tidak akan berkongsi dengan orang lain walaupun hanya dengan jantung Sumayyah sekalipun!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro