Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

PROLOG

"Assalamualaikum, Puan Asma dan Encik Omar. Kami sudah dapat penderma jantung kedua untuk Nur Nadia."

Bacaan ayat-ayat suci yang teralun dari tadi, kini sudah terhenti bila mendengar berita yang tidak disangka-sangka itu.

"Waalaikumussalam... Ya Allah... Syukur alhamdulillah, doktor. Syukur alhamdulillah..."

Puan Asma menadahkan tangan lalu mengaminkan. Air mata yang mengalir semenjak seminggu yang lalu, kini mengalir dengan rasa kesyukuran. Dahi Nadia dikucup lembut. Tubuh itu masih kaku namun Puan Asma mengharapkan agar ada sinar baru untuk anak mereka.

"Abang... Akhirnya, bang... Akhirnya ada juga penderma jantung kedua untuk Nadia." Bergetar bibir Puan Asma berkata kepada Encik Omar.

Encik Omar pula sudah tidak terkata lagi, dia terlalu mengharapkan semua ini berlaku. Dan Allah memakbulkan doa-doa mereka selama ini. Hanya air mata yang dapat menjelaskan rasa hatinya ketika itu.

"Insya-Allah, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menjayakan pemindahan jantung ini. Selepas ini, pembantu saya akan menyerahkan surat persetujuan untuk Encik Omar tandatangan," ujar Doktor Fadli.

Kedua-dua pasangan itu mengangguk serentak. Tidak terkata lagi bila segalanya bagaikan mimpi. Malah mereka berharap semoga pembedahan kali ini boleh menghentikan penderitaan yang ditanggung oleh Nadia selama ini.

Ketika berusia 10 tahun, Nadia telah disahkan menghidap miokarditis atau lebih dikenali sebagai keradangan otot jantung. Namun setelah lima tahun berlalu, keadaan jantung Nadia semakin merosot apabila jantungnya gagal mengepam darah dan mengalami bengkak yang teruk. Maka, pemindahan jantung adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan Nadia.

Apabila ada keluarga penderma pertama menampilkan diri, nasib pula yang tidak menyebelahi Nadia kerana jantung si penderma tidak sesuai dengan badan Nadia. Dan waktu itu Nadia terpaksa menggunakan jantung mekanikal yang hanya mampu bertahan selama dua tahun sementara menunggu penderma jantung yang seterusnya.

Sepanjang menanti kemunculan penderma kedua, keadaan Nadia semakin lemah. Puan Asma dan Encik Omar merasakan seperti tidak ada harapan buat Nadia. Namun begitu, mereka tetap cekal dan tabah. Apa yang mampu mereka lakukan waktu itu adalah berdoa agar keajaiban berlaku kerana segala usaha sudah dilakukan untuk menyembuhkan Nadia.

"Doktor... Boleh saya tahu siapa penderma untuk anak saya?" tanya Encik Omar ingin tahu.

Sekurang-kurangnya, dia ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga si penderma kerana sudi mendermakan jantung anak mereka sebelum pembedahan itu. Kerana dia tahu, penderma jantung bukan daripada penderma yang masih hidup. Pasti penderma itu sudah meninggal dunia.

"Seperti yang sedia maklum, penderma adalah daripada kalangan penderma kadaverik. Iaitu penderma yang sudah meninggal dunia disebabkan kematian otak. Arwah juga seorang pengikrar penderma organ namun keluarga arwah tidak mahu dikenali dan mengharapkan agar pembedahan ini berjaya. Kami terpaksa mematuhi permintaan keluarga arwah," jelas Doktor Fadli mengenai penderma jantung buat Nadia.

Encik Omar memandang Puan Asma dengan pandangan penuh simpati. Alangkah mulianya hati penderma itu. Keinginan untuk berterima kasih secara berhadapan dengan keluarga penderma juga terpaksa disimpan. Hanya Allah saja yang dapat membalas jasa baik penderma tersebut. Moga syurga ditempatkan untuknya.

"Tak apalah, doktor. Saya faham. Tapi kalau doktor jumpa dengan keluarga arwah, sampaikan salam takziah dan juga terima kasih kerana mengizinkan arwah mendermakan jantung untuk anak saya."

"Insya-Allah, saya akan cuba sampaikan."

Ketika pembedahan berlangsung, Puan Asma tidak senang duduk. Hati sudah resah gelisah lagi-lagi bila melihat jururawat masuk dan keluar dari bilik pembedahan. Tidak diketahui berapa lama pembedahan berlangsung. Apa yang penting buat keluarga Puan Asma adalah keselamatan Nadia yang sedang bertarung nyawa.

Adakalanya air mata kembali mengalir bila memikirkan kemungkinan yang ada. Bukan tidak mempercayai kredibiliti pakar yang bertauliah, cuma semua ini terletak di tangan Tuhan. Mereka sekeluarga cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu mengharap kerana takut mereka tidak akan dapat menerima kenyataan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Namun di sebalik satu sudut, ada hati yang turut sama menderita. Hatinya hanya mampu merelakan dalam keterpaksaan. Mungkin ini takdir yang Allah caturkan untuknya. Nur Nadia Omar, nama yang akan sentiasa tersemat dalam mindanya kerana sesuatu yang menjadi milik Nadia kini adalah sesuatu yang sangat berharga padanya. 

BAB 1

10 tahun kemudian...

Nadia sudah gelisah. Orang yang beratur di kaunter pembayaran hari ini ramai betul! Kakinya juga sudah lenguh menunggu. Padahal, barang yang dibelinya tak adalah banyak sangat, tapi terpaksa menunggu hampir setengah jam lamanya. Leceh betul!

"Kenapa lambat sangat ni?" rungutnya.

Matanya turut sama melihat ke hadapan. Ada dua orang lagi di hadapannya. Huh! Banyak kerenah betul. Ni mesti bayar guna kad kredit. Mana nak sain bagai lagi, bebel hatinya tak sudah-sudah.

Dia menoleh ke kaunter sebelah-menyebelah. Semua sama. Lagi ramai berbanding daripada barisannya.

"Kenapalah aku kena datang sini waktu orang terima gaji? Ini la padahnya." Sekali lagi dia merungut.

Apabila dia mendongak, rupa-rupanya lelaki di hadapannya itu sedang memandang ke arahnya. Lelaki itu memandangnya pelik. Terus saja Nadia mengetap bibir seraya mengalihkan wajahnya ke tempat lain. Malu dilihat sebegitu.

Ketika Nadia beranikan diri untuk memandang lelaki itu, tanpa sedar terasa debaran di dalam dadanya. Lelaki itu pula menjeling seraya kepala tergeleng-geleng perlahan. Mungkin menganggap dirinya seorang yang suka bercakap seorang diri kut?

Dada masih berdebar. Lantas, tangannya naik menyentuh dada. Kenapa bila tengok lelaki di hadapannya itu, hatinya berdebar? Dengan Naufal, tak ada pun dia rasa begitu. Pelik!

Apabila lelaki itu sudah memandang ke hadapan, Nadia mengambil peluang untuk memerhatikan belakang badan lelaki itu serta troli yang penuh dengan barang keperluan harian. Ada juga kelihatan makanan basah dan juga sayur-sayuran segar.

Bagus! Tak ada pun makanan segera mahupun makanan di dalam tin. Selalunya kalau nak tengok cara kehidupan seseorang itu, lihat barang-barang yang dibelinya. Memang akan menunjukkan cara pemakanan atau kehidupan seseorang itu.

Tapi... Lelaki ni memang sungguh-sungguh jaga kebersihan, pencuci muka ada, syampu, conditioner, sabun cecair, hand sanitizer dan banyak lagi. Fuh! Dia kembali memandang belakang badan lelaki itu. Lama. Memang full package betul lelaki ni.

Tall, gorgeous and smoking hot!

Bibir diketap lagi. Dia dah mula merapu tentang lelaki asing itu.

Akhirnya, masa yang ditunggu telahpun tiba. Nadia mengangkat bakulnya lalu diletakkan di atas kaunter. Mata memandang dengan penuh teliti setiap barang-barang yang ada. Takut tersalah ambil atau tersalah harga.

"Semuanya empat puluh lima ringgit, enam puluh sen, cik," beritahu juruwang itu.

Dengan pantas Nadia mencari dompet di dalam beg tangannya. Wajahnya mula berkerut. Dompet yang dicari tidak ada. Yang ada cuma telefon bimbit dan kunci kereta.

Habislah aku kalau tak ada! Hatinya mula resah.

"Sekejap, ya?" ujar Nadia cuba bertenang. Orang belakang sudah mula menoleh sesama sendiri. Mungkin menyedari apa yang telah berlaku padanya.

Ya Allah! Malunya! hatinya menjerit kuat.

Kali ini beg tangan diletakkan di atas ruang pembayaran. Sah! dompetnya memang tidak ada di dalam beg. Ya Allah, apa yang perlu aku buat ni? Tak semena-mena dia teringatkan dompet yang dia keluarkan untuk memberi wang saku kepada adiknya, Nur Diana.

"Errr... Macam ni... Sebenarnya... Errr..." ujar Nadia gugup bercampur dengan rasa malu. Sungguh malu, rasa nak lari terus dari situ.

"Saya tak ada..."

"Berapa tadi?"

Belum pun sempat Nadia memberitahu yang dompetnya tertinggal, tiba-tiba ada suara lelaki bertanya. Nadia menoleh dan matanya bulat memandang lelaki itu. Lelaki yang berada di hadapannya tadi, rupa-rupanya belum pergi lagi.

"Empat puluh lima ringgit, enam puluh sen, encik."

Nadia terpinga-pinga. Hanya matanya saja yang mampu memandang lelaki itu menghulurkan not lima puluh ringgit.

"Sorry, purse dia tertinggal," ucap lelaki yang baik hati itu kepada juruwang bagi pihaknya. Seolah-olah tahu yang dompetnya betul-betul tertinggal.

Perasaan terharu mula menyapa dalam hati dengan kebaikan lelaki itu. Kalau tidak mengenangkan ketika itu ramai orang, mahu menitis juga air matanya.

"Jom..." ajak si dia pada Nadia setelah wang baki dikembalikan semula.

Barang-barang Nadia juga dibawa bersama dan dimasukkan ke dalam troli lelaki tersebut. Lagak mereka seperti mengenali satu sama lain.

Nadia hanya mengekori lelaki itu. Buat ketika ini, dia memang menganggap yang lelaki itulah penyelamatnya. Tidak terlintas sedikitpun di dalam kepalanya jika lelaki itu berniat jahat.

Tiba di tempat letak kereta, lelaki itu menyerahkan beg plastik yang Nadia pasti mengandungi barang-barang yang dibelinya tadi.

"Please be more careful next time," pesan Aidan seraya mula melangkah pergi.

"Awak..." panggil Nadia cuba menghentikan langkah lelaki itu. Takkan nak blah macam tu aje? Sekurang-kurangnya, bagilah dia ucap terima kasih dan berbincang macam mana nak bayar balik duit lelaki itu.

Langkah Aidan terhenti seraya berpaling memandang wanita itu semula.

"Terima kasih banyak-banyak sebab sudi tolong saya. Tapi boleh tak awak tunggu sekejap? Saya nak call along saya untuk hantarkan purse saya ke sini. Saya nak bayar harga barang-barang saya tadi."

"You don't have to pay me back."

"Eh, kenapa pula? Saya tetap nak bayar!"

"If that so, you can pay me next time. I've got to go, I'm in a hurry." Kata-kata selamba lelaki itu membuatkan Nadia ternganga.

"Saya tak nak! Sekejap aje. Saya call along saya. Tolonglah, jangan pergi dulu." Sambil cuba menahan lelaki itu dari pergi, Nadia menekan nombor telefon alongnya, Nazhan.

Namun lelaki yang bernama Aidan itu tetap meneruskan langkahnya. Dia perlu cepat pergi dari situ. Bila terasa bajunya ditarik dari belakang, dia menoleh pantas. Berani sungguh wanita itu buat begitu padanya.

"What is wrong with you?"

"Awak boleh diam tak? Saya tengah call along saya ni," marah Nadia seraya menjeling geram pada lelaki itu.

Aidan mengerutkan dahi seraya tersenyum sinis. Bila dah ditolong, begini pula lagak wanita itu.

"Please be mindful of your hands." Aidan memberi amaran.

Nadia mengetap bibir. Geram. Sungguh, dia terasa dengan kata-kata lelaki itu.

"Saya tak sentuh awak, okey? Tak nampak ke yang saya cuma sentuh baju awak ni?"

Balasan wanita itu membuatkan Aidan mendengus kasar.

"Along, please datang Alamanda sekarang juga. Purse Nad tertinggal kat rumah. I want it now! Nad tunggu kat parking lot yang selalu Nad letak kereta tu." Serta-merta Nadia memberi arahan kepada Nazhan sebaik saja mendengar panggilannya dijawab. Dan sebelum Nazhan berkata ya, dia terlebih dahulu meletakkan panggilan.

Telefon bimbit dimasukkan semula ke dalam poket seluar. Lantas, dia kembali memandang lelaki di hadapannya itu. Tangannya beralih pula pada lengan baju bila si dia berpaling memandangnya.

"Tolonglah, saya memang nak cepat ni."

"Saya kena bayar kat awak juga. Saya tak mahu berhutang."

"Saya halalkan." Pantas saja lelaki itu bersuara.

"Tak nak! Saya tak nak terhutang budi."

"Ya Allah, minah ni..." keluh Aidan. Geram dengan kedegilan perempuan di hadapannya itu.

"Saya ada flight pukul tujuh ni... So, please let me go. Kalau awak nak bayar juga, saya suruh adik saya jumpa awak," jelas Aidan pula dan dia harap wanita itu memahami situasinya. Jam tangan dilirik sekilas. Sudah pukul tiga petang. Dia perlu balik ke rumah terlebih dahulu sebelum ke KLIA.

"Saya nak bayar sekarang juga. Kejap lagi along saya datang. Awak cuma perlu tunggu dalam masa lebih kurang sepuluh minit saja. Tolonglah. Kalau awak suruh adik awak jumpa saya, bila masanya lagi saya nak bayar? Kalau sesuatu terjadi kepada saya dan saya tak sempat bayar hutang, saya yang berdosa tau! Awak faham tak?" Panjang lebar Nadia berhujah dengan lelaki itu.

Aidan mendengus lagi. Dia memang tidak suka mendengar bila orang berkata kalau sesuatu terjadi pada saya. Ayat itu mengenangkan dia tentang kenangan lalu.

"Dalam hal ni, saya nak cepat dan saya dah halalkan duit yang saya bayarkan tadi. Dah cukup baik saya tolong awak."

"Inilah yang saya tak nak, kes ungkit! Sebab tu saya tak nak berhutang, saya kena bayar awak juga. Hati saya tak tenang kalau saya tak bayar awak. Awak simpan aje niat baik awak tu. Apa yang penting, saya nak bayar juga."

"Ish! Degil!"

"Samalah macam awak. Degil! Harapkan muka aje handsome. Menyesal aku puji tadi," bidas Nadia kembali tanpa sedar hujung katanya.

Aidan terdiam. Di hujung kata wanita itu membuatkan dia hampir tersenyum. Bukan bangga dipuji handsome, tetapi disebabkan kepolosan wanita itu berkata-kata sehingga tidak sedar apa yang keluar dari mulutnya.

"Boleh lepaskan tangan awak tu tak? Saya rimaslah." Sengaja dia berkata begitu. Orang sekeliling sudah mula memandang ke arah mereka seolah-olah dia seorang pesalah.

"Kalau saya lepaskan, awak pasti akan pergi."

"Ya Allah..." seru Aidan lagi. Dia tak tahu apalah nasib dia berjumpa wanita sedegil alam itu.

Nadia menjeling namun dia tetap tidak menghiraukan keluhan lelaki itu. Malah, mata sibuk mencari kelibat Nazhan.

"Haaa! Tu dia along saya."

"Go and get your purse now," arah Aidan.

Nadia terus berlari mendekati Nazhan.

"Nad buat along risau, tahu tak? Nasib baik angah ada. Bolehlah dia turunkan along kat depan air pancut tu." Dengan wajah yang risau, Nazhan menyerahkan dompet itu kepada Nadia.

"Sorry... Nad berhutang dengan mamat tu. Thanks, along." Tangan Nadia naik menunjukkan ke arah lelaki yang baik hati membayarkan barang-barangnya tadi.

"Siapa mamat tu?" soal Nazhan ingin tahu. Matanya juga liar mencari lelaki yang menolong adiknya itu. Yang dia nampak cuma lelaki yang berbadan tinggi bersama sebuah troli.

"Along balik la. Nanti lama angah tunggu along. Nad boleh handle mamat tu. Thanks again, along. I love you." Dengan cepat Nadia melangkah meninggalkan Nazhan dan kembali semula kepada lelaki tadi.

"Okey... Nah." Tanpa berlengah dia menghulurkan not lima puluh ringgit.

"Yang selebihnya, awak simpanlah. Terima kasih sebab sudi tolong saya. Saya dah tak risau lagi. Terima kasih sangat-sangat. Awaklah penyelamat saya hari ni. Have a safe journey, ya?"

Bila lelaki itu mengambil duitnya, cepat saja Nadia melangkah pergi dari situ.

"Hey!" panggil Aidan. Kali ini, dia pula yang seakan-akan berhutang dengan wanita itu. Baki RM4.40 yang perlu dipulangkan. Tapi bila melihat jam bergerak dengan pantas, dia perlu cepat beredar dari situ.

Nadia tersenyum puas hati. Apa yang penting, dia tidak berhutang dengan lelaki itu lagi. Lelaki yang pada mulanya dianggap sebagai penyelamat tetapi berlagak bagai nak mampus! Sempat lagi Nadia mengata lelaki itu.

SETIBANYA dia di rumah, Nadia terus menyerahkan beg plastik yang mengandungi bahan-bahan untuk membuat macaroon kepada Puan Asma. Gelas diambil dan air mineral dituang. Haus!

"Ya Allah... Apa yang Nadia beli sebenarnya ni?" tanya Puan Asma sebaik saja membuka ikatan beg plastik tersebut.

"Kenapa, bu? Bahan-bahan nak buat macaroon la. Nad beli kat Cold Storage aje." Hairan sungguh Nadia dengan wajah terkejut Puan Asma itu, sedangkan orang tua itu sendiri yang senaraikan bahan-bahannya.

"Yang ada cuma syampu, sabun muka, pencukur, ni entah krim apalah yang Nad beli ni. Lain macam aje ibu tengok."

Kesemua barang-barang yang dibeli dikeluarkan dari beg plastik. Nadia tepuk dahi perlahan. Patutlah berat semacam. Kenapa dia tak perasan tadi?

"Maknanya Nad tertukar barang dengan mamat itulah, bu."

"Mamat mana?"

"Mamat tadi tu ke?" Kali ini Nazhan pula yang mencelah. Dia yang baru masuk ke dapur itu ikut sama melihat barang-barang yang ada.

Dengan perlahan Nadia mengangguk. Wajahnya cuba meminta simpati daripada si abang.

"Cuai betul la Nad ni. Ibu tahu tak, Nad ni dah la tertinggal purse kat rumah. Lepas tu boleh pula tertukar barang dengan lelaki yang entah siapa-siapa tu."

Kali ini Nazhan tidak melawankan si adik. Nadia memang kerap kali cuai. Dia dan Najwan memang sentiasa menjadi tulang belakang buat Nadia jika adiknya itu mengalami masalah.

"Dia tolong Nad la tadi. Cuma yang ni, dia sendiri yang cuai sebab letak barang Nad dalam troli dia. Mana tak tertukar. Bukan salah Nad tau, ibu. Lelaki tu yang cuai." Nadia cuba membela diri.

"Dah la... Tak jadi masalah besar pun sebenarnya. Along ni... Cuba cakap elok-elok sikit." Puan Asma menjeling Nazhan. Tidak suka bila Nazhan dan Najwan memarahi Nadia. Walaupun kini Nadia lebih ceria berbanding dulu namun tetap dia risau jika Nadia berkecil hati.

Nadia akhirnya tersenyum bila Puan Asma membela dirinya. Senyuman puas dipamerkan ke arah si abang.

"Sukalah tu... Nanti lepas solat asar, along nak dengar perkembangan Nad dengan Naufal. Jangan cuba nak mengelat. Along wajib tahu semuanya."

Senyuman Nadia mati serta-merta. Perkembangan dia dengan Naufal? Oh, tidak! Masih tak berkembang-kembang lagi. Apa dia nak bagi tahu pada keluarganya nanti? Pasti keluarganya fikir yang dia tak ambil serius tentang hubungan yang terjalin antara dia dan Naufal.

Haish

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: