Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

SESAR - KLCC

Suasana hujung minggu di pusat bandaraya Kuala Lumpur tampak sibuk tetapi masih terkawal. Berbagai jenis kenderaan berbilang warna dan kuasa kuda berpusu-pusu keluar dan masuk ke laluan utama kota metropolitan terbabit. Ada yang dipandu laju dan ada juga yang dipandu sederhana perlahan. Ada yang sedang menunggu disimpang lampu isyarat, ada juga yang meletakkan kenderaan masing-masing dibahu-bahu jalan. Bunyi deruman enjin kereta, motosikal, lori dan bas pula turut memecahkan bunyi kebingitan kotaraya. Motosikal dengan kotak pembawa makanan bertali arus menelusuri kawasan lorong sempit di antara rumah-rumah kedai dan bangunan yang ada. Sesekali, terdengar juga bunyi hon kenderaan yang dipicit tetapi tidaklah membingitkan.

Tidak hanya itu sahaja, koc-koc LRT, MRT, Monorel dan juga Komuter juga kelihatan sesak dengan pengunjung yang keluar-masuk. Rata-ratanya mahu pergi ke destinasi samada pusat membeli-belah, gedung-gedung perniagaan terkemuka mahupun mahu menaiki koc perantara menuju ke lokasi yang dirancang. Tidak kiralah, usia remaja, kanak-kanak, anak muda, pelajar universiti mahupun mereka yang sudah berkeluarga. Semuanya mempunyai tujuan destinasi yang tertentu. Sesekali pula, terlihat sekumpulan anak muda yang berpakaian seperti 'cosplay' watak anime sedang menyandar pada pintu koc LRT.

Batrisya dan rakan-rakannya tidak mahu melepaskan peluang untuk menggayakan watak 'cosplay' kegemarannya yang ditonton di saluran penstriman. Pakaian 'cosplay' berbilang warna dan gaya turut menjadi perhatian mata-mata yang memerhati dalam koc LRT terbabit. Ada yang sempat mengambil gambar, ada pula yang sekadar memerhatikan gelagat Batrisya dan rakan-rakannya dari kejauhan. Sesetengah daripada mereka sempat pula membuat mimik muka sebagai tanda pakaian Batrisya dan rakan-rakannya itu kelihatan menjengkelkan. Dalam koc itu juga, bukan hanya 'cosplay' watak anime sahaja yang memenuhi perut koc LRT, malahan remaja yang menggayakan pakaian 'punk', 'black metal' dan juga geng 'ravers' sedang menghala ke satu destinasi yang sama.

Hujung minggu itu, ada satu program himpunan cosplay anime, underground seperti punk dan black metal dan juga tarian ravers turut akan diadakan di perkarangan bangunan berkembar KLCC. Detik demi detik, perkarangan bangunan berkembar KLCC tampaknya semakin dibanjiri dengan pelbagai jenis ragam remaja yang menggayakan berbilang kostum. Perkara ini juga turut menjadi perhatian ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang mahu bergambar dengan watak-watak anime terbabit. Namun, apa yang mereka tidak tahu adalah akan ada tragedi yang bakal berlaku di sekitar kawasan itu beberapa detik sahaja lagi, yakni semasa himpunan itu sedang diadakan.

Menjelang kemuncak waktu tengah hari, ketika masing-masing sedang sibuk menari tarian ravers dan sesi fotografi bersama cosplay watak anime sedang berlangsung, satu alunan gelombang permukaan yang kuat disusuli bunyi dentuman telah memecahkan kebingitan kawasan perkarangan menara berkembar KLCC itu. Alunan gelombang yang menggoncang itu tampaknya seperti seakan-akan alunan ombak di lautan. Tetapi, kali ini ianya berlaku di tengah-tengah kotaraya metropolitan Kuala Lumpur.

Alunan gelombang kuat itu disusuli pula dengan beberapa siri episod gerakan permukaan ke atas dan ke bawah pada skala tidak pernah dibayangkan sebelum ini. Gegaran itu cukup kuat sehingga memaksa mereka yang berada di perkarangan menara berkembar KLCC itu untuk mencangkung seketika. Ada bahagian tanah pada kawasan taman KLCC itu mulai merekah dengan pokok-pokok yang tumbuh di sekitarnya kelihatan bergoyang-goyang. Lampu-lampu jalan dan tiang-tiang elektrik yang berada disitu pula mulai menjadi senget-benget sebelum tumbang menyembah bumi. Bunyi jeritan daripada bahagian dalam menara disusuli dengan bunyi seakan-akan bunyi besi yang diketuk-ketuk dengan kuat turut kedengaran.

Disekeliling kawasan KLCC itu pula, kelihatan beberapa bangunan tinggi yang bergoncang hebat lalu menghasilkan retakan. Retakan pada dinding binaan batuan itu semakin membesar. Retakan itu semakin lama semakin kuat lalu menghasilkan pasir halus mulai bertaburan di jalanan. Besi-besi dan alat penghawa dingin yang berada di puncak bangunan turut mulai jatuh ke bawah lalu menghempap kenderaan yang sedang parkir di kawasan yang disediakan. Asap dan api mulai berkepul-kepul daripada beberapa bahagian bangunan yang lainnya. Orang ramai yang berada di dalam bangunan kelihatan berlari keluar serta menyelamatkan diri masing-masing. Bunyi jeritan dan tangisan anak kecil kedengaran bersilih ganti. Beberapa bangunan yang dibina semasa zaman kolonial mulai ranap menyembah bumi.

Daripada kawasan KLCC pula, bunyi kuat seperti besi berlaga telah menyebabkan kaca-kaca yang menutupi sekeliling bangunan itu pecah berderai ke bahagian bawah. Bunyi besi berlaga itu kemudian disusuli dengan pergerakan menara bahagian kiri yang semakin mencondong sedikit ke barat. Kecondongan ini menyebabkan jambatan yang menghubungkan kedua belah menara ini tidak lagi dapat menampung beban yang dihasilkan. Jambatan penghubung itu kemudiannya gagal dan jatuh ke permukaan bumi.

Beberapa minit sebelum berlakunya gegaran itu, Batrisya dan rakan-rakannya sedang asyik menjamu selera di sekitar Suria KLCC setelah membeli beberapa barang keperluannya. Selesai menjamu selera, Batrisya dan rakan-rakannya juga sempat mempersembahkan beberapa set tarian hipster di sekitar kawasan air pancuran KLCC memandangkan kumpulan-kumpulan ravers, punk dan black metal juga turut berkumpul sama. Cuaca di bahagian luar agak panas. Jadi, kehangatan cuaca diluar telah menyebabkan tubuh badan mereka disimbahi dengan peluh dan keadaan badan yang berlengas. Oleh itu, mereka masuk kembali ke dalam kawasan menara berkembar KLCC untuk menyejukkan badan dengan penghawa dingin menara berkenaan.

Tiba-tiba, satu pergerakan permukaan yang amat kuat selama beberapa minit disusuli jeritan dan tangisan serta berpusu-pusu orang mencari jalan keluar dari KLCC tersebut melalui pintu kecemasan. Malangnya, semua orang berpusu-pusu keluar dan ada yang masih terperangkap pada bahagian atas bangunan KLCC itu.

***

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro