SESAR - Hadif
Hadif, seorang kanak-kanak lelaki berbadan kurus, periang dan berkaca mata. Umurnya baru mencecah ke angka tujuh tahun. Tubuhnya yang genit memudahkan pergerakan ke ruang-ruang yang kecil dan sempit. Wajahnya reduh dan berkulit sawo matang. Tetapi wajah ini bukanlah menjadi kegilaan rakan-rakan sekelasnya. Walaupun berwajah desa dan datang daripada keluarga yang konservatif, Hadif tidaklah menetap di kawasan desa. Hadif menetap bersama ayah serta abangnya di pinggir bandar. Rambutnya pula kemas tersisir rapi. Ini menjadikan Hadif seorang pelajar yang disenangi oleh rakan-rakan mahupun guru-gurunya.
Kecuali Batrisya. Batrisya tergolong dalam kalangan anak orang berada. Bapanya merupakan tauke balak yang mempunyai projek di kaki Bukit Tabur dan ibunya pula adalah usahawanita. Tidak seperti kanak-kanak yang lainnya, Batrisya mempunyai fizikal badan yang agak gempal dan tidak memakai tudung. Karakter Batrisya juga lebih advance berbanding rakan-rakan seusianya. Gaya percakapan Batrisya juga mempunyai slanga ala-ala orang putih. Batrisya selalu menceritakan perihal kekayaan ayahnya yang melimpah-ruah kepada rakan-rakannya selain suka membanding-bandingkan hasil kekayaan keluarganya dengan pelajar-pelajar lain, terutamanya Hadif. Batrisya juga amat gemar menghadiri program cosplay di ibu kota. Perbezaan kehidupan seharian Hadif dan Batrisya bagaikan langit dengan bumi.
Di sekolah, Hadif tergolong dalam kumpulan kanak-kanak yang biasa-biasa sahaja. Tidaklah terlalu pandai dan tidak pula terlalu dungu. Hadif diletakkan pada posisi kelas pertengahan iaitu kelas satu Melati. Selain memperkemaskan bacaan ABC dan juga pengenalan nombor-nombor utama dalam subjek matematik secara formal, Hadif juga mulai mempelajari bacaan-bacaan lazim dalam solat fardu. Bacaan-bacaan lazim dalam solat umpamanya seperti bacaan niat solat fardu, bacaan takbiratul ihram, hafalan doa iftitah, bacaan duduk antara dua sujud dan juga hafalan doa qunut.
Selain itu, Hadif juga turut dihantar oleh ayahnya ke kelas mengaji. Kelas mengaji untuk kanak-kanak dibuka di kawasan surau berdekatan taman perumahan yang didiami oleh Hadif dan keluarganya. Kelas mengaji itu diadakan pada waktu selepas solat Isyak yakni pada waktu malam. Hadif diajar oleh Ustaz Harun untuk mempelajari kaedah mengaji dengan sebutan tajwid yang betul dan juga hafalan surah Al-Fatihah serta bacaan-bacaan rukun ketika menunaikan solat wajib mahupun solat sunat kelak. Aktiviti pembelajaran mengaji Hadif termasuk dalam kategori pembelajaran tidak formal. Ustaz Harun juga merupakan guru subjek pendidikan Islam di sekolah Hadif.
"Allahu akbar kabiira
Allah Maha Besar sebesar-besarnya
Walhamdu lillahi kathiran
Dan pujian bagi Allah sebanyak-banyaknya
Wasubhaanallahi bukrataw-waashila
Dan Maha Suci Allah siang dan malam
Wajjahtu wajhiya lilladzi
Kuhadapkan mukaku kepada yang
Fatharas-samaawaati wal ardh
Menciptakan langit dan bumi
Haniifam-muslimaw-wamaa ana minal musyrikin
(Aku) berpegang teguh (lagi) berserah diri dan bukanlah aku daripada golongan yang menyukutukan."
Terdengar nyaring suara Hadif seolah-olah sedang menghafal sedikit demi sedikit bacaan doa iftitah beserta makna doa tersebut dalam bahasa Melayu di surau sekolahnya. Walaupun tergagap sedikit, namun dia terus menumpukan sepenuhnya fokus kepada hafalan bacaan solat tersebut. Sesekali, terdengar suara Ustaz Harun memperbetulkan maghraj bacaan dan hafalan dalam solatnya itu.
"Kata Ustaz, untuk menjadikan solat kita lebih khusyuk, kita haruslah memahami setiap ayat dalam bacaan solat." ujar Hadif kepada ayahnya, Pak Rahmat seusai tiba di perkarangan rumahnya daripada aktiviti mengaji dan menghafal bacaan solat.
"Bagus anak abah. Dah, masuk dalam rumah. Siapkan kerja sekolah yang cikgu bagi. Besok kena bangun awal pagi. Tak siap pula kerja sekolah Hadif nanti." Pak Rahmat mengusap bahagian ubun-ubun Hadif yang baru tiba daripada surau tamannya itu.
Sebagai seorang pelajar tahun satu di kelas satu Melati, Hadif kebiasaannya akan menghabiskan masa untuk bermain-main bersama rakan-rakannya. Ketika guru tiada ataupun bertukar mata pelajaran, Hadif dan rakan-rakannya yang lain adakalanya akan menghabiskan banyak masa untuk bermain-main. Antara permainan yang dilakukan adalah menyusun kerusi secara bertingkat sehingga hampir mencecah ke bahagian kipas dan juga peluk susur gajah. Mujur sahaja sela masa pertukaran guru antara dua waktu pembelajaran itu tidaklah terlalu lama. Selain itu, Hadif dan rakan-rakannya akan berlari-lari mengelilingi sekitar bilik darjah dan juga kawasan kantin sekolah. Jarak antara kawasan kantin sekolah dengan kawasan bilik darjah tidaklah terlalu jauh. Pernah juga Hadif dimarahi oleh guru-gurunya kerana sikap hiperaktif yang ditunjukkan.
"Hadif, jangan lari-lari kat jalan bertar tu. Nanti jatuh, cedera pula!" Cikgu Normala, guru kelas satu Melati selalu mengingatkan Hadif.
Selain mempunyai karakter yang periang dan aktif, Hadif juga mempunyai sisi yang menyedihkan apabila pulang sahaja daripada sekolah. Hadif mempunyai seorang ayah, Pak Cik Rahmat dan seorang abang yang bernama Ali. Pak Cik Rahmat telah berkahwin dengan seorang janda yang bernama Mastura. Jarak umur antara Pak Cik Rahmat dengan Mastura adalah hampir sepuluh tahun. Hadif hanya memanggil Mastura dengan gelaran Mak Ra sahaja. Mak Ra tidak mempunyai anak ketika berkahwin dengan ayah Hadif. Oleh itu, anak-anak Pak Cik Rahmatlah yang akan menumpang kasih kepada Mak Ra. Isteri pertama Pak Cik Rahmat pula telahpun meninggal dunia akibat kehilangan banyak darah ketika melahirkan Hadif. Oleh itu, Hadif tidak mengenali bahkan langsung tidak dapat memperolehi kasih sayang daripada ibu kandungnya sendiri.
Mak Ra seorang yang tegas walaupun bersikap penyayang. Dia kerap memarahi Hadif kerana mengotorkan pakaian apabila balik daripada sekolah. Hadif juga pernah dirotan menggunakan penyangkut baju kerana pernah mengoyakkan seluar sekolahnya yang berwarna biru gelap itu. Tetapi, perbuatannya itu tidak diketahui oleh Pak Cik Rahmat. Hadif juga tidak pernah menceritakan kejadian-kejadian dipukul oleh Mak Ra kepada ayahnya, Pak Cik Rahmat.
"Tidak semua orang di rezekikan untuk memiliki apa yang di impikannya dalam kehidupan. Begitu jugalah dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT."
"Dan tidak semua impian yang kita mahu gapai, dapat kita gapai sepertimana kita membandingkan keindahan kehidupan orang lain dengan kehidupan kita."
"Padahal, kita tidak tahu apakah penceritaan sebenar di sebalik keindahan cerita kehidupan orang lain itu. Mungkin ada terselit berbagai perasaan termasuklah kesedihan di belakang ceritanya."
"Itu kita tidak tahu dan tidak pernah pula diceritakan oleh sang pencerita. Bersyukur dengan nikmat yang kurniakan oleh Allah SWT dan teruslah menjadi insan yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara."
Antara titipan nasihat yang selalu diberikan oleh Pak Rahmat, ayah Hadif kepada anak bongsunya, Hadif ketika Hadif kadangkala merasakan kesedihan dengan kehidupannya. Pak Rahmat tahu, insan seusia Hadif tidak akan dapat mengerti dengan titipan nasihat yang diselitkan tiap hari. Namun, Pak Rahmat berharap suatu hari nanti, Hadif akan mengerti akan bait-bait kata yang cuba dijelmakan sebagai titipan nasihat buatnya itu.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro