SESAR - Bukit Tabur
Suasana di sekitar kawasan kaki Bukit Tabur pagi itu tidaklah sunyi sepi. Jalan kecil menuju ke kaki Bukit Tabur dan Empangan Klang Gates sudah mulai dikerumuni manusia bak semut mengerumuni kiub gula sejak awal pagi lagi. Jalan kecil berturap simen asfalt itu mulai dipenuhi dengan keberadaan para pendaki dan juga penggemar aktiviti ekstrem yang sudah tiba seawal pukul lima pagi lagi. Para pendaki dan juga penggemar aktiviti ekstrem memenuhi bahu jalan di sekitar tapak meletak kenderaan yang terletak berdekatan Bukit Tabur Retreat sehinggalah ke Taman Bukit Melawati sejak awal pagi.
Hujan lebat yang turun pada tengah malam dan keadaan permukaan tanah yang sedikit licin tidak mematahkan semangat para pendaki dan penggemar aktiviti sukan ekstrem untuk memulakan aktiviti pendakian ke puncak Bukit Tabur. Para pendaki dan juga penggemar sukan ekstrem dilihat berbondong-bondong menggedong beg galas masing-masing. Beg gendong berkenaan dipercayai mengandungi stok bekalan air minuman, makanan, pakaian tambahan dan juga baju hujan sekiranya cuaca tidak mengizinkan ketika proses pendakian sedang berlangsung.
Ali, Ah Meng dan Raju merupakan pelajar sebuah universiti terkemuka di Malaysia. Tiga bersahabat itu sedang dalam ekspedisi pendek menawan telerang kuarza terpanjang di dunia itu yang terletak di sepanjang permatang Bukit Tabur. Seperti pendaki-pendaki yang lainnya, tiga pelajar universiti yang bersahabat baik itu keluar daripada kolej kediaman masing-masing seawal pukul empat pagi. Mereka membawa bekalan air mineral yang mencukupi selain makanan kering yang mudah dibawa, torchlight dan juga kasut hiking. Air mineral dan makanan kering itu dimuatkan ke dalam beg sandang masing-masing. Mereka memulakan perjalanan mereka menuju ke kawasan pendakian seawal pukul lima pagi lagi. Keadaan jalan raya pada waktu awal pagi tidaklah terlalu sibuk dengan kenderaan memandangkan hari itu merupakan hari cuti hujung minggu. Oleh itu, perjalanan dari kawasan universiti ke destinasi tumpuan pendaki sekitar lembah Klang itu hanya memakan masa kurang sejam sahaja. Dalam perjalanan menuju ke kaki Bukit Tabur pula, Ali sempat bersolat subuh di sekitar surau Taman Bukit Melawati manakala Raju dan Ah Meng menunggu seketika di dalam kereta.
Walaupun kenderaan di jalan raya tidaklah terlalu banyak, tetapi laluan ke kaki Bukit Tabur kelihatan sedikit sesak dengan keberadaan para pendaki yang berpusu-pusu dan mempunyai niat yang sama seperti mereka bertiga. Oleh itu, Raju terpaksa meletakkan kenderaan yang dipandunya itu jauh sedikit. Selepas meletakkan kenderaan di kawasan yang jauh sedikit daripada checkpoint pertama untuk memulakan pendakian, mereka bersiap-siaga dengan melakukan sedikit senaman ringkas bagi meregangkan badan. Ali meletakkan tembakau pada bahagian kaki untuk mengelakkan kakinya daripada dipanjat oleh hidupan pacat dan lintah tanpa disedari manakala Raju dan Ah Meng pula sedang menukarkan kasut yang khusus untuk aktiviti pendakian. Kasut hiking yang khusus untuk aktiviti lasak seperti aktiviti pendakian ini amatlah penting terutamanya ketika melalui pada permukaan batuan yang licin dan tidak mempunyai grip. Selepas sepuluh minit, akhirnya mereka bertiga memulakan aktiviti pendakian. Aktiviti pendakian kebiasaannya dimulakan sebelum matahari terbit dan torchlight dibuka bagi menerangi laluan pendakian yang sedikit gelap.
Dapat diperlihatkan, bukan sahaja mereka bertiga yang berkobar-kobar untuk memanjat Bukit Tabur itu, tetapi uncle-uncle yang mempunyai usia lebih tua daripada ayah mereka juga turut sama menyertai aktiviti pendakian Bukit Tabur itu. Ada yang bertongkat, ada juga yang berjalan kaki secara perlahan-lahan melalui denai-denai yang tidaklah terlalu tebal. Laluan mendaki juga sudah dirintis dan beberapa placard pandu arah juga sudah tersedia di beberapa batang pokok bagi memudahkan para pendaki untuk menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Paling mencabar adalah ketika mahu memulakan aktiviti mendaki. Permukaan tanah yang sedikit licin, ditambah pula dengan pohon-pohon renek yang sudah basah dek kerana hujan malam tadi agak memberikan cabaran tersendiri kepada para pendaki. Mujur sahaja ketika tiba checkpoint mendaki, suasana sudah semakin menginjak ke waktu pagi dan langit sudah mulai cerah.
Walau bagaimanapun, perasaan penat ketika mendaki sedikit sebanyak mulsi berkurangan apabila uncle-uncle Chinese yang terserempak dengan mereka ketika sedang mendaki turut menyapa mereka dengan kata-kata semangat seperti "good morning", "you can do it" dan "not really far away". Kata-kata motivasi yang lainnya daripada pendaki-pendaki yang sedang turun turut membakar semangat seperti "sikit lagi, tak jauh dah", "dekat atas ada warung roti canai yang sedap" dan "boleh ngeteh bila dah sampai atas" menyebabkan mereka bertiga kekal bersemangat untuk meneruskan aktiviti pendakian walaupun mentaliti sudah semakin pudar.
"Tak jauh lagi tu, Raju. Don't give up!" Ah Meng tidak henti-henti memberikan kata-kata semangat kepada Raju yang kelihatan sudah kelelahan.
"Kaki aku dah kebas dah, Meng. Aku nak rest kejap." Raju yang sudah duduk mencangkung ditepi potongan kayu balak yang hampir reput minta berehat seketika.
"Kau nak salonplas spray ke, Raju? Aku ada bawa sekali ni." Ali menawarkan semburan tahan sakit kepada Raju.
"No need-lah, bro. Aku cuma letih sikit. Lepas minum air and rehat sekejap ni, bolehlaa sambung balik. Kaki aku masih okay."
***
Selepas dua jam berhempas-pulas mendaki di kaki Bukit Tabur, ditambah dengan permukaan tanah yang sedikit licin akibat cuaca hujan semalam, mereka bertiga akhirnya tiba di puncak Bukit Tabur. Pemandangan dari puncak Bukit Tabur cukup indah dengan kehijauan dan bongkahan batu yang berwarna keputih-putihan. Dapat diperlihatkan dari puncak Bukit Tabur, pada arah timur laut adalah pemandangan kawasan tadahan air Klang Gates, suasana kehijauan hutan dan juga kawasan Hutan Simpan Hulu Langat yang terbentang luas dan kelihatan menyegarkan. Ada lapisan nipis kabus yang muncul antara celahan pokok-pokok di kawasan tadahan air Klang Gates itu.
Pada arah barat daya pula, kelihatan bangunan-bangunan pencakar langit serta pemandangan kota metropolitan Kuala Lumpur seluas mata memandang. Menara kedua tertinggi di dunia, iaitu Merdeka 118, Menara Berkembar Petronas dan juga Menara Kuala Lumpur dapat dilihat secara sejajar dari kawasan Bukit Tabur. Dua jenis hutan yang berbeza, hutan belantara dan juga hutan konkrit ditampan di tengah-tengah oleh sebuah bukit tinggi yang memanjang menjadi sebuah permatang. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain, dan kedua-duanya memberikan keseimbangan kepada ekosistem yang ada.
Segala aktiviti pendakian tampak lancar dan para pendaki yang baru tiba di bahagian puncak juga memperlihatkan reaksi teruja apabila dihidangkan dengan pemandangan kehijauan yang memukau. Oleh kerana laluan yang kecil dan sempit pada puncak permatang kuarza itu, pergerakan oleh para pendaki sedikit terhad terutamanya bagi mereka yang mahu bergerak menuju ke puncak Bukit Tabur. Ada juga di kalangan pendaki yang duduk-duduk sambil melepaskan lelah setelah hampir dua jam mendaki, ada juga yang mengambil kesempatan untuk mengabadikan kenangan berada di puncak Bukit Tabur itu dengan berswafoto dan juga mengambil video-video pendek.
Ketika Ali, Ah Meng dan Raju sedang sibuk mengambil gambar di kawasan berbukit di puncak Bukit Tabur, tiba-tiba, mereka dapat merasai satu pergerakan permukaan yang cukup kuat. Pergerakan permukaan secara ke kiri dan ke kanan itu disusuli pula dengan pergerakan bergelombang ke atas dan ke bawah oleh permukaan bumi. Tempat dimana mereka berdiri itu dirasakan seperti sedang beralun-alun. Permukaan tanah yang bergegar secara tiba-tiba itu menyebabkan cengkaman kasut hiking Ah Meng dan Raju hilang. Mereka berdua terus tergelincir ke bawah dan tidak sempat untuk berpaut pada apa-apa tumbuhan yang menjalar mahupun pokok-pokok renek yang berada di sekitar kawasan Bukit Tabur itu. Raju dan Ah Meng tergelincir lalu terjatuh ke bawah gaung sedalam 70 meter dari puncak Bukit Tabur di arah timur laut. Ali pula yang ketika itu sedang duduk bersila berdekatan bongkahan-bongkahan batu kuarza pula tersepit pada bongkahan batu yang tiba-tiba jatuh akibat gegaran kuat itu.
***
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro