Bab 7
HUJAN semalaman membuatkan tidur Anissa begitu nyenyak pada malam itu. Kedinginan subuh membuatkan dia menghamparkan selimut lebih lebar ke tubuh. Deringan jam loceng dari telefon bimbit di hujung kepala seakan-akan sayup-sayup kedengaran di telinganya. Namun gema azan yang berkumandang dari masjid berdekatan menghentikan mimpinya.
Dengan mata yang masih belum mampu dicelik, dia bangun. Mengemaskan tempat tidurnya dan menuju ke dapur. Dengan pandangan yang masih berbalam-balam dia terus mencapai sebuah besen sederhana besar dari rak pinggan. Mengisi air dan menuangkannya ke dalam sebuah periuk besar yang memang setiap malam tempatnya di situ. Memudahkan kerja. Sebesen demi sebesen hingga hampir penuh. Untuk mandian emaknya.
Pagi itu, awal-awal lagi Anissa sudah membangunkan emaknya. Dibawa ke bilik air untuk membersihkan diri dan berwuduk. Setelah mengenakan telekung pada orang tua itu, dia segera menarik sebuah kerusi ke sisi katil dan memapah emaknya untuk duduk solat di situ. Usai menguruskan emaknya dia terus ke dapur untuk menyediakan sarapan.
Semangkuk nasi goreng dan seteko kopi O panas yang disediakan untuk emak dan adik bungsunya diletakkan di bawah tudung saji. Dia mesti cepat kerana sebentar lagi dia terpaksa keluar meninggalkan rumah untuk memulakan tugas baru. Sebagai pembantu rumah di sebuah rumah yang didiami oleh seorang anak bujang seperti mana yang telah dipersetujui olehnya dengan Mak Wa tempoh hari.
Perbualannya melalui telefon dengan tuan yang empunya rumah kelmarin membuatkan hatinya sedikit kecut kerana nada suaranya yang begitu serius. Pertama kali ucapan helo lelaki itu menyentuh gegendang telinga, terasa hendak gugur jantung Anissa dibuatnya. Saat itu dia membayangkan tubuh lelaki itu yang sasa, bermisai, dengan sepasang mata yang tajam, dan macam-macam lagi. Tambah kecut hatinya apabila awal-awal lagi dia telah diberi pelbagai peringatan termasuk tidak dibenarkan membawa orang lain masuk ke rumah itu tanpa kebenarannya dan wajib menyediakan hidangan tengah hari dan malam untuknya setiap hari.
Namun demi emak dan adik-adik, ditelan sahaja segala gambaran-gambaran dan peringatan-peringatan tersebut. Yang penting Mak Wa telah memberi jaminan yang lelaki itu adalah spesies yang baik. Mujurlah permintaannya untuk pulang ke rumah pada waktu rehat dibenarkan. Sekiranya tidak, itu bukan rezeki emak dan adik-adiknya.
"Anis pergi dulu, mak," ucapnya sekalian mencapai dan mencium tangan emaknya yang telah selesai mengerjakan solat. Surinah yang sedang hendak berbaring di atas katil bangun semula.
"Jaga diri baik-baik, Anis. Bawa kereta tu hati-hati." Berat saja suara si ibu. Seakan-akan tidak sanggup untuk melepaskan anaknya yang seorang itu. Semakin beratlah beban yang akan ditanggung oleh permata hatinya itu.
Entah bagaimanalah layanan yang akan diberi oleh majikannya nanti, hati Surinah berkata sendiri. Yang dia tahu Anissa akan bekerja sebagai pembantu rumah di rumah keluarga berada, setakat yang diceritakan oleh anaknya itu.
Melihat wajah sugul itu, Anissa senyum.
"Ya. Mak janganlah risau. Anis bukannya pergi mana-mana. Anis kan nak pergi kerja, bukannya jauh pun, nanti tengah hari, Insya-Allah Anis balik," jawabnya cuba menceriakan semula wajah di hadapannya ketika itu.
Aqil yang masih menutup kepalanya dengan tuala tiba-tiba muncul di depan pintu. Masih terpisat-pisat dengan mata yang seperti tidak mampu dibuka.
"Dah lewat ni, pergi solat cepat. Kak ngah pergi dulu. Tu, kak ngah dah sediakan sarapan. Nanti Aqil bawa sini temankan mak makan. Ingat, jangan pergi mana-mana, tunggu mak. Pukul 11 nanti jangan lupa masak nasi. Nanti kak ngah beli lauk bawa balik untuk makan tengah hari."
Antara faham dengan tidak si kurus itu mengangguk-angguk. Matanya yang masih kelat seakan-akan terlalu sukar untuk dibuka.
SETELAH kira-kira 20 minit memandu, Perodua Kancil putih itu membelok ke Taman Bukit Jana, sebuah kawasan perumahan mewah yang terletak berhadapan dengan Bukit Jana Golf Resort, Taiping. Sambil kereta kecil itu perlahan-lahan menyusur dada jalan mata Anissa terus tajam memerhati satu per satu lorong yang dilaluinya.
Lorong Bukit 20! Matanya tertangkap tulisan di satu papan tanda. Dia segera membelok mencari nombor rumah seperti yang telah diberitahu. Matanya terus membaca satu per satu turutan nombor yang tercatat di setiap dinding pagar rumah yang dilepasinya. Setelah melepasi hampir satu per tiga jarak laluan di lorong tersebut dia memberhentikan keretanya di hadapan sebuah pintu pagar kayu yang tertutup rapat. Dari tingkap kereta yang sedikit terbuka dia menjengah-jengah ke dalam. Telefon bimbitnya dicapai.
"Helo, assalamualaikum encik, saya dah sampai," ucapnya sebaik terdengar ucapan helo di telinganya.
Beberapa saat kemudian pintu pagar terbuka. Perlahan-lahan Anissa membelok masuk. Menghala ke ruang yang sesuai untuk memberhentikan keretanya. Ketika itu juga pintu rumah terbuka. Ketika tangannya menarik brek tangan satu susuk tubuh muncul di pintu. Seorang lelaki lengkap berpakaian formal untuk ke pejabat. Sedang mengenakan butang di hujung lengan baju, menjengah-jengah ke arahnya.
Pandangan Anissa terpaku. Jantungnya berdegup kencang. Seakan-akan tidak percaya itu adalah wajah yang empunya suara. Yang telah dua kali berbicara dengannya di telefon. Perlahan-lahan digagahkan juga dirinya untuk keluar dari perut kereta.
"Assalamualaikum," ucapnya sebaik sampai di muka pintu.
Tiada jawapan. Sebaliknya sepasang mata di hadapannya itu tegak merenung ke arahnya.
"Encik, saya Seri."
Masih tiada jawapan.
"Encik?"
Pandangan sepasang mata yang seakan-akan menembusi dirinya yang berdiri terpacak di situ cuba ditentang.
"Encik, saya Seri." Sekali lagi dia memperkenalkan diri. Kali ini suaranya dinaikkan senada.
Lelaki itu terpisat-pisat.
"Seri? Ini... Ini Seri?" soalnya teragak-agak sambil jari telunjuknya menuding ke arah Anissa.
Anissa mengangguk-angguk laju.
"Oh! Okey, okey, masuklah," arahnya dengan riak wajah sedikit kebingungan yang cuba dikawal.
Perlahan-lahan Anissa membuntuti lelaki itu ke ruang tamu. Dari ekor mata dia melihat dahi lelaki tersebut yang berkerut-kerut.
Sebaik mereka melabuhkan punggung di atas sofa, dilihat wajah itu kembali tenang. Namun sebaliknya pandangan tajam dari mata lelaki itu yang seakan-akan mengukurnya dari hujung kepala ke hujung kaki membuatkan dia merasa tidak selesa. Entah berapa kali dia menelan liurnya waktu itu, Anissa tidak tahu. Terasa amat gugup dipandang begitu. Sangkaan baiknya terhadap lelaki itu ketika pertama kali dia melihatnya berdiri di muka pintu sebentar tadi hilang tiba-tiba. Macam nak soal siasat pencuri aje!
"Awak pernah bekerja sebagai pembantu rumah ke sebelum ni?" Soalan pertama yang terlontar dari mulut lelaki itu setelah beberapa ketika.
Anissa menggeleng pantas. Lelaki di hadapannya itu turut mengangguk-angguk kecil.
Mata tuan mudanya itu yang terus terpanah ke arahnya membuatkan dia sedikit cemas dan merasa semakin tidak selesa. Segera dia mengalihkan pandangan matanya. Berpura-pura memandang ke arah lain. Saat itu wajah Mak Wanya muncul di kepala. Ya ke budak baik? Pandang orang macam setahun duduk dalam gua!
"Seri, Seri."
"Aaa... Ya, encik..."
"Apa yang awak perhatikan tu?"
Sekali lagi Anissa menggeleng-geleng pantas.
"Errr... Tak ada apa-apa."
"Awak jangan bimbang, rumah ni tak ada budak-budak. Jadi awak tak perlu kemas rumah ni tiap-tiap hari."
Anissa angguk. Itulah yang paling baik. Semakin kurang tugasannya di rumah itu, bermakna semakin mudahlah urusannya. Saat itu wajah emaknya yang terpaksa ditinggalkan sendirian di rumah berbayang di kepala. Insya-Allah, dia akan ada masa untuk pulang menjenguk emaknya pada waktu kerja.
"Betul awak dah kahwin?"
Dada Anissa berdebar.
"Betul encik, saya dah ada dua orang anak." Amboi... Sampai tahap tu punya teliti? Dah tanya semalam kan, gerutu hatinya.
Jawapan yang sekali gus membuatkan sepasang mata itu memandangnya. Seketika, berpaling memandang ke arah lain dan kemudian kembali memandang ke arahnya semula tanpa sepatah kata.
Anissa bertambah resah. Walaupun wajah di hadapannya itu sentiasa cuba untuk memaparkan riak tenang namun renungan tajam dari sepasang matanya sudah cukup untuk membayangkan gelodak di jiwa lelaki tersebut ketika itu.
Seketika, ruang tamu di rumah itu bertukar sepi.
"Encik, berkenaan dengan permintaan saya semalam, encik memang izinkan ya?"
Dahi Harris berkerut semula.
"Apa dia?"
"Tentang saya nak balik ke rumah waktu rehat saya. Waktu encik balik makan tengah hari. Dalam pukul dua petang saya datang ke sini semula."
Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulut tuan muda di hadapannya itu melainkan pandangan mata yang tepat seakan-akan mengukur sesuatu di wajahnya.
Anissa mula resah.
"Saya kena uruskan anak-anak saya," tekannya sekali lagi. Itu sahaja alasan yang dia ada.
"Habis tu awak di sini sekarang siapa yang uruskan mereka?"
Ah sudah! Semalam tidak pun dia ajukan soalan tu pada aku, bisik hatinya.
"Emak saya," jawabnya.
Wajah Anissa dipandang terus.
"Saya tak faham, sekarang emak awak uruskan mereka, tapi awak nak balik sebab nak uruskan mereka. Apa maksud awak?"
Duduk Anissa mula rasa tidak selesa. "Errr... Saya nak ambil anak sulung saya dari tadika." Oh! Nasib baik cepat pintas! Fuh, lega! helanya dalam hati.
"Oh, okey, lagipun elok juga. Waktu tu waktu saya balik makan tengah hari."
Anissa mengurut dada.
"Waktu kerja saya sebenarnya dari pukul berapa ke pukul berapa, encik?" Dia mula bertanya lebih lanjut. Biar semuanya jelas mengikut jadual. Bukan niatnya untuk mencungkil rasa jengkel dalam hati tuan rumah itu tetapi lelaki yang berpenampilan seakan-akan seorang profesional itu seharusnya juga bersikap profesional. Dalam urusan perniagaan ada permintaan ada penawaran. Kedua-dua pihak perlu melihat secara terbuka kepada keuntungan di pihak masing-masing. Pendek kata secara lojiknya dia hanya akan dibayar berdasarkan jam bekerja. Jadi memang perlu untuk dia bertanya.
"Pagi, awak datang awal untuk sediakan sarapan. Tak kesah awak nak masuk pukul berapa, yang penting ada sarapan untuk saya sebelum saya keluar dari rumah tiap-tiap pagi."
"Encik nak sarapan yang macam mana?" Dalam hati Anissa berkira-kira, kalau sarapan yang complicated untuk disediakan, jawabnya terpaksalah dia solat subuh di situ. Kalau demand yang western style? Parah!
"Apa-apa pun tak apa, kalau kena caranya roti bakar tiap-tiap hari pun okey. Cuma pelbagaikan flavour, saya tak kesah sangat."
Alhamdulillah... Sudah cukup bagus! bisik hatinya. "Errr... Pukul berapa encik keluar ke pejabat?"
"Pukul sembilan."
Fuh! Lega! Nasib baik. Dapatlah dia menguruskan masanya, perjalanannya, sama seperti pada hari itu.
"Tengah hari pula macam mana? Saya masak sendiri ke atau encik akan bagi tahu apa yang encik nak makan?"
"Terserah pada awak. Asalkan awak jangan masak rebung jeruk, sudah."
Hampir terhambur ketawa Anissa dibuatnya. Kalau makanan spesies jeruk rebung, jangankan tuan mudanya itu, dia sendiri pun tidak mampu untuk menghidu. Makan memang sedap.
"Lagi satu, ulam, semua saya makan tapi awak buat yang simple sudah. Cuma elakkan jering dan kerdas. Saya tak makan. Ingat tu," pesannya seakan-akan satu peringatan yang amat penting.
Anissa angguk laju. Pesanan penting tu. Take note! bisik hatinya. Cuma... Sedikit pelik. Anak Datuk makan segala jenis ulam? Setahunya, orang berada terlalu memilih bila makan!
"Oh ya, awak habis kerja dalam pukul lima setengah. Tapi sebelum tu kena sediakan makan malam untuk saya dulu."
Sudah diberitahu.
"Encik nak saya sediakan apa?" soalnya penuh bersedia.
"Apa-apalah. Bubur ke, spageti ke, bihun ke, apa-apa saja, terserah awak. Yang penting, malam, saya tak suka makan nasi."
Anissa angguk. Namun dalam hati dia agak terpempan. Pula! Jenuhlah pula dia hendak mengatur resipi!
"Okey, saya pergi dulu. Untuk hari ni awak masaklah apa yang ada dalam peti sejuk tu. Sweet sour telur pun tak apa. Sebelum balik nanti awak pergilah ke pasar cari apa yang patut untuk esok. So, esok tak payah bergegas ke sana, ke mari," pesannya panjang lebar sebelum mengangkat punggung berlalu dari situ.
Anissa yang masih di ruang tamu terkebil-kebil memandangnya. Melihat tuan mudanya bergegas menuju ke pintu dia bingkas bangun. Namun sekadar mengekori langkah pantas itu dengan matanya.
Sebaik tuan mudanya hilang di sebalik pintu, terdengar namanya dipanggil. Anissa yang masih terpacak di ruang tamu segera mendapatkannya. Menarik tombol pintu.
"Ya, encik?"
"Kalau awak nak cuci pakaian nanti jangan lupa ambil sekali pakaian saya yang bergantung kat rak pakaian dalam bilik kosong di belakang tu. Kalau awak tak pasti nanti awak call saya," pesannya sambil jari telunjuk mengarah ke dalam rumah.
Anissa angguk terus. Walau saat itu dia tidak pasti yang mana satu bilik kosong yang dimaksudkan oleh majikannya itu.
"Dan satu lagi, kemeja-kemeja saya awak kena cuci dengan tangan. Jangan masukkan dalam mesin basuh."
Nada tegas itu mengakhiri pesannya sebelum dia melangkah menuju ke kereta. Sebaris ayat yang membuatkan jari-jemari Anissa tiba-tiba terasa pijar dan pedih.
Sebaik Harris membuka pintu kereta, dia berpaling sekali lagi ke arah Anissa.
"Dan ingat, saya tak mahu awak bawa sesiapa pun ke rumah ni. Tolong beritahu suami awak juga. Saya tak mahu dia salah faham dengan maksud saya nanti."
Anissa angguk. Nada suara itu agak mendatar tetapi ketegasan maknanya terasa seakan-akan memukul dinding hatinya. Peringatan kedua! Bermakna terlalu penting!
Sabar Anis, jangan libatkan emosi. Kau perlukan pekerjaan ni, pujuk hatinya segera.
Honda Civic 2.0 hitam itu menderum meninggalkan pekarangan rumah. Lega hatinya ditinggalkan sendirian begitu. Perlahan-lahan tangannya menolak daun pintu. Sekali gus melepaskan nafas yang berat. Suami? Dia belum wujud lagi dalam hidup saya. Janganlah bimbang, Encik Harris, keluh hatinya sendiri. Saat itu terasa sepasang kakinya seakan-akan melekat di situ.
Dengan dada yang terasa sarat sepasang matanya meniti ke satu demi satu objek-objek di sekelilingnya. Tidak banyak perabot dan perhiasan yang mengisi ruang di dalam rumah itu. Hanya beberapa buah kabinet dan meja yang mengisi ruang sudut-sudut tertentu. Semuanya dengan warna polos. Tiada sebarang perhiasan tergantung di dinding kecuali beberapa buah bingkai dengan ayat-ayat suci dan sebuah jam dinding. Langsir dari kombinasi warna hitam dan putih itu semakin menambahkan lagi keluasan di ruang tamu yang seakan-akan kosong itu. Selera orang bujang, desis hatinya.
Sedang hatinya mengomel sendirian tiba-tiba dia teringat tentang pesanan tuan mudanya sebentar tadi. Tanpa membuang masa dia terus melangkah ke dapur. Singki kosong. Tidak ada sebiji cawan pun di dalamnya. Dia senyum. Membuka peti sejuk beberapa biji telur ayam tersusun di dalamnya selain beberapa botol jus oren dan susu segar.
Patutlah suruh masak sweet sour telur! getus hatinya lucu. Rumah besar, tapi dalam peti sejuk ada ni aje? Hei... Kalau dah nama orang bujang... Dia tersenyum sendiri.
"Baik kutip kain baju dulu," bicaranya sendiri apabila dirasakan tugasan tersebut sepatutnya didahulukan.
Dia lantas melangkah menuju ke satu lagi ruang. Di hujung ruang tersebut, dua pintu tertutup rapat. Dia tak pasti yang mana satu bilik kosong yang dimaksudkan. Perlahan-lahan tangannya menyentuh tombol berwarna keemasan itu. Berkunci. Lalu dicuba pula yang lagi satu. Pintu terbuka. Bilik kosong. Tidak ada sebarang perabot. Cuma beberapa rak besi dengan beberapa helai pakaian yang bergantungan. Dia perlu mencuci pakaian tuan muda itu terlebih dahulu sebelum dia mula memasak. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Dia segera mencapai telefon bimbitnya.
"Seri."
"Ya, encik."
"Kunci rumah dan remote untuk pintu pagar, saya dah letak atas meja tepi pintu."
"Ya. Terima kasih, encik," jawabnya.
"Errr... Encik,"
"Ya?"
"Semua baju-baju tu untuk dicuci ke?"
"Ya. Tapi awak boleh cuci sikit-sikit. Tak payah buat sekali gus," pesannya mengakhiri perbualan.
Banyaknya! Anissa menelan liurnya. Memang ada perkara penting yang hendak diberitahu kepada lelaki itu sebelum dia keluar dari rumah sebentar tadi, tetapi debar di dadanya ketika itu membuatkan dia terlupa tentang perkara tersebut. Setelah telefon bimbit dimatikan matanya segera mencari-cari meja yang dimaksudkan.
Usai membasuh, mengemas dan menyediakan makanan tengah hari yang begitu ringkas dia bergegas pulang ke rumah.
Lega hatinya apabila dilihat adik bongsunya ada di rumah menemani emak mereka ketika itu. Tanpa berlengah, Anissa segera ke dapur. Lauk pauk yang dibeli semasa pulang dari rumah tuan mudanya itu segera dihidang. Nasi yang dimasak oleh Aqil disendukkan ke atas pinggan.
Emaknya yang sudah sedia menanti untuk makan tengah hari dipapah keluar dari bilik dengan bantuan Aqil.
Usai makan tengah hari, Anissa sekali lagi menguruskan emaknya untuk mandi dan solat zohor. Setelah semuanya selesai, dia bergegas pergi semula ke rumah mewah yang terletak di kaki Bukit Larut di pinggir bandar itu untuk meneruskan tugas.
Sebaik kereta Perodua Kancilnya tiba di hadapan rumah tersebut, pintu pagar terkuak. Alat kawalan jauh yang ada di tangan disimpan semula ke dalam beg tangan di sisi.Sekali dua dia menjengah-jengah kalau-kalau kereta tuan mudanya hendak keluar dari pekarangan rumah. Sesaat dua berlalu, tanpa membuang masa dia terus membelok memasuki pekarangan rumah.
Ketika dia memberhentikan keretanya di bahagian sudut rumah tersebut, dilihat tuan mudanya bergegas keluar dari rumah menuju ke kereta. Namun sebaik dia melangkah keluar dari keretanya, terdengar kereta tersebut meluncur laju keluar dari situ.
Anissa terkejut. Dia menoleh ke belakang. Kereta itu bergerak begitu laju hingga tidak berbayang lagi. Dia terpinga-pinga. Beberapa ketika matanya terus memandang ke pintu pagar yang masih terkuak luas itu.
Sebaik pintu pagar ditutup, Anissa masuk ke dalam rumah. Meletakkan beg di atas sofa, dia segera ke dapur. Mengangkat tudung saji, makanan telah luak. Dia senyum. Hidangan pertamanya telah selamat dijamah. Alhamdulillah, petanda baik untuk dia terus bekerja di situ. Dia pergi ke singki, sebiji pinggan yang masih basah telah diletakkan di dalam raga pinggan di tepi singki. Dia tersenyum lagi.
Memang betul kata Mak Wa, lelaki itu memang teliti. Sesetengah lelaki hanya akan meletakkan pinggan yang dah digunakan ke dalam singki tanpa dicuci. Tetapi tuan mudanya lain. Dia perhatikan di atas meja. Tidak ada sebutir nasi pun jatuh ke meja mahu pun ke lantai.
Susah ni, teliti sangatlah pula... getus hatinya sedikit berdebar. Tiba-tiba matanya tertangkap dua helai wang kertas lima puluh ringgit di hujung meja yang dilapik dengan satu keratan kertas putih dan ditindih dengan sebiji gelas.
Duit untuk belanja dapur.
Tak cukup bagi tahu.
Perlahan-lahan dia mengangkat gelas dan mencapai duit tersebut. Selesai mengemas dia terus keluar dari rumah menuju ke pasar yang tidak jauh dari situ.
MALAM itu sewaktu Anissa mengurut-urut kaki emaknya dengan minyak burung but-but yang diberikan oleh Mak Wa, dia terlelap seketika. Kepenatan mengemas rumah tuan mudanya masih terasa. Seluruh badannya terasa lenguh. Bukan dia tidak biasa mengemas rumah tetapi tugas hariannya yang telah bertambah dua kali ganda membuatkan dia terlalu penat.
"Anis, kalau mengantuk, tidurlah. Tak payahlah urut kaki mak."
Mata Anissa terus terpejam. Dia yang mulanya berteleku di hadapan emaknya semakin lama semakin tunduk dengan mata yang perlahan-lahan tertutup.
"Anis..."
"Ya, mak," sahutnya sambil mengangkat muka. Rambut yang terjurai ke hadapan dikuak ke belakang. Sepasang mata yang layu seakan-akan tidak lagi mampu untuk dibuka.
"Dahlah tu, tidurlah. Anis penat tu."
Anissa mengangguk. Sambil menggaru-garu pipinya, perlahan-lahan dia menyusur turun dari katil. Mencapai sehelai toto yang berlipat dari dalam almari dan dihamparkan di sebelah katil emaknya seperti biasa. Dua biji bantal diambil dari atas katil, dia melabuhkan kepalanya. Seminit dua kemudian dia hanyut dalam lena.
Di bawah sinar lampu yang berbalam-balam itu, Surinah mengamati wajah anak perempuan sulungnya itu dalam-dalam. Wajah yang menyimpan seribu kedukaan. Duka yang tidak mahu dikongsi dengan sesiapa waima dia sebagai emak kandungnya sendiri. Dalam usia yang begitu muda, permata hatinya itu telah melalui pelbagai dugaan, yang semakin hari menjadikan dia semakin matang, semakin bijak dalam membuat keputusan dan mencerna segala persoalan yang seringkali timbul dalam keluarga.
Kalau suatu masa dahulu Seri Nur Anissa merupakan seorang anak yang riang, manja, yang seringkali mengusik adik-adiknya, tetapi kehilangan ayahnya sebagai tempat bernaung telah mengubah hampir keseluruhan perwatakannya. Menjadikan keperibadiannya bagaikan seorang nakhoda, memegang tanggungjawab mengemudi bahtera keluarga.
Keputusan anak gadisnya itu untuk berhenti belajar benar-benar meruntun hatinya sebagai seorang ibu. Tetapi dia terpaksa menerima semua itu dengan reda dan hati yang terbuka. Walau sebesar mana rasa kesalnya terhadap kenyataan tersebut dia tahu hati anaknya itu jauh lebih terluka. Lantaran itu dia sedaya upaya tidak mahu mempersoalkan lagi tentang hal tersebut. Dia tidak mahu luka dalam hati anak kesayangannya itu bertambah parah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro