Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

"MAK dah sihat, Anis? Dah boleh berjalan ke?" Sekonyong-konyong Hawa menuju ke rumah Surinah pada pagi itu. Sinar matahari yang mula mencucuk mata memaksanya mempercepatkan langkah menuju ke kaki tangga. Bernaung di bawah julai atap di serambi.

"Alhamdulillah, dah boleh berjalan Mak Wa, tapi pelan-pelan, kena ada orang pimpin," jawab Anissa. Tangannya pantas membetulkan pakaian terakhir yang disangkutkan ke ampaian yang terletak di hujung halaman.

"Tak apalah, pelan-pelanlah... Yang penting mak kamu makin sihat dan kamu adik-beradik kenalah banyak bersabar, ya?"

Anissa angguk. Memang itulah yang menjadi kekuatannya selama ini. Sabarlah yang menjadi perisainya saat dia dan keluarga menghadapi dugaan yang tidak disangka seperti itu.

"Mak Wa tak kerja ke hari ni?" soalnya sambil tangan mencapai baldi di sisi.

"Tak, Datuk dengan Datin tak ada di rumah, pergi ke Sabah. Ada urusan perniagaan," jawab Hawa sambil memegang kaki tangga dan bertenggek di situ.

Anissa mengangguk. Seakan-akan dia faham dengan keadaan keluarga tersebut yang seringkali tidak ada di rumah seperti yang selalu diceritakan oleh dua pupu emaknya itu. Maklumlah, nama pun businessman, mana ada businessman yang ada masa untuk tidur lena di rumah.

"Jemputlah naik, Mak Wa," pelawanya sambil melangkah menuju ke tangga.

"Anis tak kerja ke?" soal perempuan itu lagi. Tanpa teragak-agak dia terus mengekori anak saudaranya itu. Memang dah lama dia tidak datang menjenguk mereka sekeluarga. Sibuk. Tambah-tambah lagi apabila majikannya itu jatuh sakit beberapa bulan yang lalu. Hendak balik ke rumah pun dia tidak berpeluang.

"Belum lagi, Mak Wa. Memang Anis nak kerja tapi kena tengok dulu. Anis kena cari kerja yang sesuai sebab dalam masa sama Anis nak kena uruskan mak. Anis tak berani nak tinggalkan mak sehari suntuk seorang diri di rumah," jawabnya melepaskan sesak perasaan yang selama ini berjerebu dalam hati.

Baldi di tangan ditinggalkan di beranda.

"Duduklah, Mak Wa. Nanti Anis panggilkan mak," ujarnya di ruang tamu.

"Tak payahlah susah-susah Anis, biarlah mak kamu berehat dalam bilik tu dulu. Sekejap lagi Mak Wa masuk jenguk dia," jawabnya.

Anissa tidak jadi hendak masuk ke dalam bilik emaknya. Berpatah balik ke ruang tamu.

"Jadi, Anis tak kerjalah sekarang ni, ya? Mak Wa faham. Tapi, kalau Anis nak kerja, Datin tengah cari pembantu." Dia cuba menduga.

"Pembantu rumah?" teka Anissa. Muka Hawa ditenung tepat.

Wanita separuh umur itu mengangguk. Anissa diam. Memandang perempuan itu lama. Seketika pandangannya di buang ke luar tingkap.

"Tak payahlah Anis nak fikir sangat, keluarga Datuk ni baik. Mak Wa dah lama sangat kerja dengan dia orang. Dah faham sangat hati budi mereka tu." Hawa seakan-akan faham apa yang ada dalam kepala Anissa saat itu.

Anissa tersenyum hambar.

"Bukan macam tu, Mak Wa."

"Anis bimbang pasal mak?

Anissa mengangguk.

"Nanti Anis berbincanglah dengan tuan rumah tu supaya Anis boleh balik sekejap-sekejap tengok mak, bukannya jauh sangat rumahnya dari sini. Lagipun, bukannya banyak sangat kerja di rumah tu," jelasnya cuba memujuk.

"Rumah tempat Mak Wa kerja tu? Hesy! Jauh tu, Mak Wa... Tak sanggup Anis. Lagipun, duit minyak kereta lagi." Anissa menggeleng.

"Buang masa tengah jalan, sejam pergi sejam balik, nak masak lagi. Datin tu pun fikir dua kali nak benarkan Anis kerja kat situ, Mak Wa."

"Eh, apa pula jauhnya... Anis bukan kerja di rumah Datuk dan Datin di Kuala Kangsar tu..."

"Habis tu? Anis kerja di rumah siapa?"

"Rumah Encik Harris, anak bujang Datuk."

"Ha? Rumah bujang?" Bagai hendak tersembul biji mata Anissa mendengarnya.

"Hesy! Anis ni, dia bukan duduk ramai-ramai nak, oiii... Dia duduk sorang aje di rumah tu, kalau ramai Mak Wa pun tak bagi!" tepis orang tua itu.

"Apa, Mak Wa? Duduk sorang?" Sekali lagi mata Anis hampir terjojol. Gerun mendengar perkataan tersebut.

Hawa menarik muka. Namun dia faham apa terlintas di fikiran gadis itu yang sekali gus menakutkannya.

"Dia budak baik Nis, umur pun dah 30 lebih."

Ha? Umur dah 30 tahun lebih Mak Wa menggelarnya 'budak baik'? Itu bukan budak! Itu dah jadi bapak budak! Anissa memandang muka emak saudaranya itu dengan pandangan pelik. Terasa hampir pengsan dengan semua yang didengarnya ketika itu.

Perempuan itu tersenyum. Terasa lucu dengan ekspresi terkejut bercampur bimbang yang tertayang di muka Anissa saat itu.

"Kenapa? Anis takut nak bekerja di rumah tu?" soalnya sedikit lucu. Lebih melucukan apabila soalannya tidak berjawab. Sebaliknya sepasang mata Anissa terus terkebil-kebil merenung mukanya.

"Percayalah cakap Mak Wa, Encik Harris tu baik orangnya. Walaupun sedikit cerewet, tapi kalau Anis buat kerja elok-elok, jaga kebersihan, jaga tingkah laku, dia mesti selesa dengan Anis."

Muka Hawa ditenung terus.

"Dia kan anak Datuk? Mesti ada rumah besar. Tapi kenapa dia pilih untuk duduk berasingan dengan keluarga? Datin dengan Datuk tu tak kesah ke?" Anissa merasa sedikit pelik.

"Nak kesah apanya? Datin dengan Datuk dah faham sangat perangai Encik Harris tu. Dari dulu suka menyendiri. Lagipun senang dia nak uruskan syarikat dia di Taiping ni."

Raut wajah berusia itu ditenung lagi. Kali ini keningnya berkerut.

"Tapi... Kalau Anis nak minta balik waktu tengah hari untuk uruskan mak, boleh ke, Mak Wa?" soalnya tidak yakin.

"Insya-Allah boleh. Bincang dulu dengan Encik Harris tu nanti. Mak Wa rasa Encik Harris akan izinkan sebab kerja di rumah tu pun bukan banyak sangat. Dulu Mak Wa yang jaga makan minum dia. Tapi semenjak Datuk sakit dua minggu lepas, semenjak pembantu Datin yang warga Indonesia tu berhenti, Encik Harris minta Mak Wa duduk semula dengan keluarganya untuk bantu Datin."

"Jadi, Anis kena masaklah?"

"Itu memang wajiblah. Anis kena masak sebab dia ni lain sikit, tak suka makan di luar. Nak cari pembantu rumah pun Encik Harris tengok-tengok dulu. Agak tak sedap di matanya, terus dia tolak. Nak pergi agensi cari orang luar, hmmm... Lagilah dia tak suka. Itu sebabnya yang Mak Wa terpaksa berulang alik ke rumah dia empat lima bulan lepas. Masak, mengemas untuk dia. Masa tu dia baru aje lagi pindah ke situ. Sebelum ni dia di Kuala Lumpur. Tapi minggu lepas bila Datuk sakit, Datin panggil balik Mak Wa tolong Datin di rumah mereka di Bukit Chandan tu. Sebab itulah sekarang dia terdesak perlukan pembantu rumah yang baru. Cuma syaratnya dia nak orang tempatan dan kalau boleh biarlah yang dah kahwin, supaya orang tak pandang serong nanti. Maklumlah, rumah bujang." Panjang lebar Hawa memeri perihal anak teruna Datuk Azran dan Datin Zaharah itu kepada Anissa.

"Habis tu Mak Wa, Anis tak cukup syarat untuk kerja di rumah tu. Nak ke dia terima?"

"Alah... Itu kita boleh bincang kemudian. Janji, Anis nak bekerja," dalih Mak Wanya.

"Kenapa dia tak nak orang luar, Mak Wa?" Sikap pelik lelaki itu terus mengundang tanda tanya dalam hati Anissa.

"Entah. Katanya tak bersihlah, dia tak percayalah, macam-macam."

"Tapi orang tempatan pun sama juga..."

"Sebab tu Datuk dan Datin susah nak cari pembantu rumah untuk Encik Harris ni, banyak sangat syarat-syaratnya," jelas Hawa dengan wajah bersungguh. Seakan-akan dia juga terpalit dengan masalah tersebut.

Anissa berfikir sejenak.

"Kalau macam tu... Mak Wa tolong janji dengan Anis sesuatu, boleh?"

Wanita itu tersenyum.

"Mak Wa faham. Jangan bimbanglah, pasal tu Anis serah aje kat Mak Wa, tahulah Mak Wa macam mana nak cakap pada Datuk dan Datin nanti."

"Tapi Anis rasa, kalau mak tahu hal ni mesti mak tak izinkan."

Mendengar ayat itu Hawa melepaskan nafas yang berat.

"Mak Wa betul-betul berniat nak tolong Anis sekeluarga. Ini aje cara yang Mak Wa boleh bantu, Nis," ujarnya.

Seketika, Anissa senyum.

"Anis percaya cakap Mak Wa. Anis terima kerja ni."

"Alhamdulillah... Nanti Mak Wa beritahu Datin yang Anis dah setuju. Cuma Anis kena beritahu Encik Harris yang Anis dah kahwin. Ada anak dua. Tu aje yang penting," pesannya penuh bersemangat.

Mendengar penjelasan tersebut. Dia tahu dalam kepala Mak Wanya pasti telah tersusun plan tipu sunat mereka. Apa-apa sahajalah, asalkan dia boleh dapat pekerjaan tersebut. Dengan waktu kerja yang fleksibel sebagaimana yang diharap-harapkan selama ini.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro