Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

PINTU pagar yang dikawal melalui alat kawalan jauh itu terbuka perlahan-lahan. Sebuah Honda Civic 2.0 hitam berkilat membelok masuk dan berhenti di tengah halaman sebuah banglo dua tingkat. Banglo yang tersergam indah itu yang dikelilingi dengan pelbagai jenis tanaman hiasan termasuk sebuah pancuran buatan serta sebuah kolam ikan di satu sudut. Dengan sebuah jambatan kayu yang terentang di tengah-tengah kolam tersebut, suasana halaman itu kelihatan begitu tenang dan damai.

"Hah, panjang umur anak teruna mama ni. Baru aje mama sebut nama, dah muncul." Bercahaya wajah Datin Zaharah saat anak bujangnya memberi salam di muka pintu.

"Mana tak panjangnya, bau masakan spesial udang sambal petai mama tu, dari pejabat lagi Ris dah boleh bau," seloroh Harris sambil bersalaman dengan mamanya.

"Papa mana, ma?" soalnya apabila mendapati bayang Datuk Azran tidak kelihatan di ruang tamu.

"Papa ada dalam bilik, berehat. Sejak dari pagi tadi tak sihat," jawab Datin Zaharah dengan wajah sedikit gusar.

"La... Kenapa mama tak bagi tahu Ris?"

"Bagi tahu apa?" soal datin Zaharah berpura-pura kurang pasti.

"Bagi tahu yang papa tak sihat?"

"Hmmm... Ris tu, kalau dah kerja, mama call pun susah nak jawab. Letak telefon kat mana pun mama tak tau. Lebih baik mama jangan call," balas Datin Zaharah dengan nada kecewa.

Wajah mamanya dipandang penuh sesal. Harris tahu mamanya kecewa. Tapi entah mengapa, dia sendiri pun tidak faham dengan sikapnya yang ada ketika meletakkan keluarganya di tempat kedua selepas urusan syarikat. Bukan keluarga tidak penting baginya, bukan dia tidak sayang pada mama dan papanya tetapi...

"Ris minta maaf ma, Ris sibuk sangat." Itulah alasan termurah yang selalu disajikan apabila dia terpaksa berhadapan dengan situasi seperti itu.

"Ni mesti ada telefon buruk yang bagi tahu mama masak udang sambal petai ni. Kalau tak, tak adanya Ris nak balik sini..." teka mamanya seakan-akan cuba mengalih perasaannya sambil menjeling ke arah Hawa pembantu rumahnya. Wanita separuh umur itu menatang sedulang minuman ke ruang tamu.

"Bukan saya, Datin," nafi Hawa sambil tersenyum-senyum. Faham dengan maksud jelingan tersebut.

"Kak Zu dialah tu... Siapa lagi? Datuk Azran tiba-tiba muncul dari biliknya.

"Papa." Harris segera bangun bersalaman dengan orang tua itu.

"Dah lama sampai?" soal Datuk Azran sambil memeluk erat anak lelaki tunggalnya itu. Seakan-akan rindu benar dia dengan Mohd Harris Fahmi yang sejak kebelakangan ini semakin jarang pulang ke rumah.

"Baru aje, pa," balasnya. Perlahan-lahan Harris memapah papanya duduk di sofa.

"Encik Harris, pakaian yang Encik Harris bawa balik minggu lepas Mak Wa dah gosok semuanya. Ada dalam almari. Kalau nak, Mak Wa boleh ambilkan." Hawa bersuara setelah lama memberi ruang untuk anak-beranak itu berbual mesra. Dah beberapa hari kedua-dua orang tua itu menyebut-nyebut nama si teruna kesayangan mereka itu.

"Hesy! Mak Wa ni, Harris ni baru aje letak punggung, dah nak suruh dia balik?" celah Datin Zaharah.

"Eh, maaf Datin, bukan maksud saya macam tu..." tingkah Hawa pantas dengan perasaan bersalah. Tidak sangka kata-katanya mengundang suatu perasaan halus dalam hati Datin Zaharah.

"Tak apalah Mak Wa, saya tidur sini malam ni," jawab Harris sekali gus cuba memujuk hati mamanya yang mula terusik.

"Tu, tepi pintu tu ada satu beg lagi, nanti Mak Wa tolong cuci ya," pintanya penuh hormat.

Hawa tersenyum lalu mengangguk. Walau itu satu tugas tetapi dia senang sekali menerimanya. Dengan rasa hormat yang ditunjukkan oleh mereka sekeluarga terhadapnya dia rasa berbesar hati untuk terus bekerja di situ.

"Assalamualaikum." Satu suara muncul di muka pintu menghentikan drama rajuk di ruang tamu itu.

Semua mata menoleh. Zulaikha, anak sulung Datuk Azran dan Datin Zaharah baru tiba dari Kuala Lumpur.

"Kita ada tetamu ke hari ni mama?" soal wanita berjiwa korporat itu sambil melangkah menuju ke ruang tamu pura-pura tidak kenal kereta yang 'berlabuh' di tengah halaman.

Bibir Harris menyungging senyum.

"Waalaikumussalam, haah. Ada tetamu..." jawabnya pantas dengan nada bergurau. Segera bangun menyalami Zulaikha sebaik kakaknya itu merapati mereka di sofa.

"Apa khabar, Kak Zu?" sapanya.

"Baik Ris, Ris apa khabar?" sapanya semula mesra sambil meletakkan beg dukumennya di atas meja dan melabuhkan punggungnya di sisi Harris. Bau harum minyak wangi jenama Chanel masih bersisa dari tubuhnya.

Harris angguk sekali.

"I am good."

"Zu balik sorang aje?" soal Datuk Azran sambil kepalanya meninjau ke muka pintu sewaktu anak sulungnya itu menyalaminya.

"Ya papa, nak tumpang tidur sini malam ni sebab esok pagi-pagi Zu nak kena attend meeting di Ipoh."

"Hasbullah dengan anak-anak tak balik sama?" Datin Zaharah pula menyampuk. Macam pelik saja rasanya tindakan anaknya kali itu. Biasanya dia akan memandu dari Kuala Lumpur terus ke Ipoh sekiranya ada urusan di ibu negeri Perak itu.

Hasbullah, suami Zulaikha menguruskan firma perakaunannya sendiri dalam masa yang sama tetap membantunya menguruskan Azran Construction. Salah satu anak syarikat Setia Padu Sdn. Bhd. yang diasaskan oleh papanya. Sebahagian daripada saham menjadi haknya dalam syarikat pembinaan itu sekali gus meletakkan dia sebagai pemegang amanah di dalam syarikat tersebut.

Zulaikha menggeleng.

"Budak-budak berdua tu sekolah esok, mama... Mana boleh Zu dengan Abang Hasbul dua-dua tak ada, naik tocanglah budak-budak tu nanti," jawabnya memberitahu tentang dua orang cahaya matanya.

"Mama tengok Zu ni mengalahkan suami sibuknya. Kenapa tak suruh Hasbullah saja yang attend meeting tu?" Datin Zaharah mula menyelidik.

"Tak boleh ma, meeting tu berkaitan masalah projek pembinaan kuarters polis di Ipoh tu. Sub-contractor yang kita lantik untuk selesaikan tugas tu nak tuntut payment sedangkan ada bahagian-bahagian pagar yang dipasang tu dah runtuh. Jadi Zu yang kena selesaikan. Ni Harris balik sebab nak tengok papa ke rindukan udang sambal petai mama ke... Atau balik sebab nak minta tolong Mak Wa cucikan pakaian?" usik Zulaikha mengalih tajuk perbualan sambil menjuih bibirnya sedikit ke arah beg pakaian yang padat berisi di tepi pintu. Rupa-rupanya perbualan mereka sebentar tadi sempat terakam di telinganya.

"Semua sekali. Pakej!" Jawapan yang diikuti dengan derai ketawa seisi rumah.

"Itulah, kan mama dah kata cari isteri cepat-cepat, jangan memilih sangat!" Datin Zaharah menyampuk, mula mengusik anak terunanya yang seorang itu sambil menjeling ke arah suami di sisi.

"Mama ni..."

"Tengoklah tu bang, kita sebut aje, dia mula menggeliat kiri kanan. Kita pusing belakang, dia buat diam aje. Dah la memilih, nak tunggu orang datang meminang dia pula," sindir mamanya lagi.

"Mama nak beli ikan kat pasar pun mama pilih juga, kan? Tak nak yang mata merah, tak nak yang lembik." Harris mula meningkah. Sengaja mencolek kemarahan mamanya. Mengusik!

"Mulalah tu! Ada saja jawapan dia. Ikan, kalau dah mata merah, memanglah dah tak segar, tapi kalau orang yang mata merah tu, mungkin dia doktor kerja syif malam, tak pun jururawat. Janganlah Ris nak samakan ikan yang di pasar tu dengan calon isteri Harris." Datin Zaharah mula berleter. Geram juga dia dengan sikap ambil mudah anak bujangnya itu kadang-kadang. Setiap kali dia membuka bicara tentang jodoh ada sahaja tingkahnya.

Ruang tamu bergema dengan ilai tawa. Resipi Harris menjadi. Hawa di dapur juga turut ketawa dengan jawapan menyindir Datin Zaharah itu. Tetapi akhirnya renungan mata berbaur kecewa oleh mamanya membuatkan Harris tewas, kehilangan kata-kata. Datuk Azran yang masih belum pulih sepenuhnya terbatuk-batuk menahan ketawa. Segera belakangnya digosok perlahan oleh si isteri.

"Belum ada bunga yang mekar dalam taman hati, mama... Macam-macamlah alasan dia..." tambah kakaknya pula sambil melirik memandangnya. Usikan dibalas dengan pandangan mata tidak puas hati oleh si adik.

Zulaikha pura-pura tidak faham.

"So, sekarang ni dah tak ada Mak Wa, tiap-tiap hari Harris makan di kedailah?" soalnya simpati.

Harris mengangguk perlahan.

"Boleh pula?" sampuk Datuk Azran yang dari tadi lebih banyak berdiam melayan dadanya yang masih sakit.

"Nak buat macam mana, selang-selanglah puasa kalau tak nak sakit. Ni, dari tengah hari tadi mana ada Ris makan apa-apa lagi. Tambah pula dengan bau sambal petai special mama ni, huh tambah lapar Ris dibuatnya," jawabnya sambil menggosok-gosok perut dengan wajah meminta belas.

"Masya-Allah..." Terkejut Datin Zaharah mendengar pengakuan anaknya.

"Bertuah punya anak, boleh Harris tak bagi tahu mama yang Harris belum makan tengah hari?"

Harris hanya tersengih. Dia tahu itulah reaksi yang paling spontan dari mamanya, malah dari mana-mana mama sekali pun apabila pengakuan seperti itu keluar dari mulut seorang anak.

"Ha... Dah, dah... Jom kita ke dapur. Mama baru aje lepas masak sambal tu untuk makan malam. Saja mama masak juadah kegemaran papa tu. Mana tahu kalau-kalau boleh terbuka selera papa untuk makan lebih sikit. Mama nak Harris pun makan kenyang-kenyang. Hei... Budak bertuah ni... Zu pun, jom makan sekali."

Rungutan Datin Zaharah umpama alunan muzik di telinga semua yang ada di situ. Masing-masing mengangkat punggung mengekori langkahnya meninggalkan ruang tamu tanpa sempat mengabiskan minuman yang masih bersisa di atas meja.

Dari dapur, Hawa terdengar namanya dilaung, meminta dia menyediakan makanan di meja.

"HAWA tak ada kenal siapa-siapa yang nak kerja sebagai pembantu rumah ke?" Datuk Azran cuba bertanya sambil tangannya mencapai sudu di atas pinggan udang sambal tumis petai di hadapannya. Suapan yang amat berselera oleh Harris dan Zulaikha yang baru saja pulang dari outstation membuatkan seleranya turut terbuka. Apa tidaknya, dari pagi dia hanya menjamah sesuap dua bubur nasi lantaran penyakit jantungnya yang menyerang secara tiba-tiba.

"Errr... Buat masa ni tak ada, Datuk," jawab Hawa yang sedang menuang minuman ke dalam gelas.

"Tolonglah carikan Mak Wa, kesian Si Harris ni, perangai dia ni memang dah tak dapat nak diubah. Nak tak nak mesti nak makan di rumah. Tapi ingat, jangan ambil orang luar," sampuk Datin Zaharah pula.

Pembantu rumah mereka yang setia itu mengangguk-angguk. Wajahnya seperti sedang berfikir.

"Tak payahlah kelam-kabut sangat mama, bukan masalah besar pun. Harris ni bukannya budak kecil lagi." Harris cuba membela diri. Malu pula apabila dirinya dijadikan tajuk perbualan. Perlukan penjagaan rapi persis anak kecil.

"Bukan masalah besar Harris kata? Tengok apa jadi pada diri Harris sekarang. Makan minum tak menentu, nak makan merata-rata macam orang lain tak berani. Silap makan aje sikit, dah sakit perut, muntah-muntah. Bukan masalah besar lagi tu? Dah tu, biasalah orang bujang, bukan macam orang perempuan rajin masak makan sendiri. Kalau tak disediakan, jawabnya tak makanlah." Datin Zaharah terus menerjah. Kesal dengan sikap ambil mudah anak terunanya yang seorang itu.

Zulaikha senyum.

"Kalau dah macam tu, baik mama suruh Mak Wa carikan pembantu rumah yang boleh dibuat orang rumah terus. Lagi baik, tak payah buang masa," sarannya sambil tersenyum sengaja menambah tekanan pada adiknya itu.

Bulat mata Harris merenungnya.

"Sejak bila pula Kak Zu bersekongkol dengan mama ni?" soalnya pura-pura marah. Tersungging senyum sambil belakang jari mencuit sebutir nasi yang bersisa di bibir.

"Sejak udang sambal petai mama landing kat atas pinggan Kak Zu ni!" Dengan muka lucu jari telunjuk Zulaikha tegak menunjuk ke pinggan nasi di hadapannya.

"Hah! Bodek mama la tu..." tempelak Harris terus tertawa.

Terburai ketawa seisi rumah dengan reaksi kedua-dua beradik itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro