Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

"KENAPA tak isi lagi borang online tu, Afif?"

"Errr..."

Mata tajam Anissa mula menusuk hati adiknya itu. Mohd Afif, kira-kira enam tahun lebih tua daripada Aqil. Dia mendapat keputusan cemerlang dalam SPM kira-kira setahun yang lalu. Kini sedang bekerja di sebuah syarikat pengangkutan di Pulau Pinang.

Sejak emak mereka jatuh sakit kira-kira dua bulan yang lalu, Afif sentiasa memastikan dia akan pulang ke rumah pada setiap cuti hujung minggu. Malah sering juga dia bercuti lebih panjang. Tidak cukup dengan cuti tahunan ditokok pula dengan 'cuti sakit'. Apa sahaja ikhtiarnya demi untuk berada di rumah, memandangkan emaknya semakin hari semakin tidak berupaya untuk menguruskan diri.

"Alasan apa pula kali ni?" Nada suara kak ngahnya masih meninggi.

"Errr... Afif ingat tak payahlah Afif isi borang tu sekarang, kak ngah." Suaranya terketar-ketar.

"Apa Afif cakap ni?!" Anissa mula terasa penat. Ini kali kedua Afif memberikan alasan yang sama. Menolak untuk mengisi borang melanjutkan pelajaran ke universiti.

"Mmm... Kalau Afif sambung belajar, siapa nak jaga mak?"

"Kak ngah kan ada?"

"Kak ngah?"

"Yalah!"

Mata Afif bulat merenungnya, penuh tanda tanya.

"Macam mana pula kak ngah nak jaga mak, kan kak ngah dah nak balik ke universiti minggu depan?"

Kenyataan Anissa agak meragukan Afif. Seminggu sahaja lagi cuti semester kakaknya itu akan berakhir.

"Kak ngah quit!"

"Ha?! Kak ngah quit?" Sepatah jawapan Anissa membuatkan mata Afif seakan-akan terjojol keluar.

"Dah! Jangan nak bising-bising!" tingkah Anissa seakan-akan berbisik.

"Kan kak ngah tinggal dua semester aje lagi? Rugilah kalau quit macam tu aje!"

"Shhh..." Anissa pantas meletakkan jari telunjuk ke bibir. Memberi isyarat supaya Afif memperlahankan nada suara. Serentak matanya menjengah emaknya di dalam bilik, bimbang suara tersebut singgah di telinga orang tua mereka.

"Dah! Dah! Tak nak bincang lagi pasal ni. Malam ni, pergi cyber cafe, isi borang!"

"Tapi, kak ngah. Rugilah kak ngah tinggalkan kuliah macam tu aje." Saat itu giliran Afif pula seakan-akan berbisik. Desakan kakaknya supaya menutup mulut langsung tidak berbekas dalam hatinya.

"Ini keputusan kak ngah. Jangan Afif memandai-mandai nak ajar kak ngah pula!"

"Alang-alang kak ngah dah nak habis belajar, kak ngah teruskan ajelah, Afif boleh jaga mak," tekan anak remaja itu lagi, kesal dengan apa yang baru didengarnya.

"Afif! Kenapa degil sangat ni? Setakat mana Afif boleh jaga mak? Kak ngah ni anak perempuan, mak lebih perlukan kak ngah daripada Afif! Afif faham tak?"

Afif terdiam. Baru dia sedar bicara kak ngahnya itu ada benarnya.

"Sekarang ni kak ngah yang buat keputusan dalam rumah ni. Setuju atau tidak, Afif kena ikut cakap kak ngah." Anissa mula bertegas.

Beberapa ketika mata si kurus itu kembali terkebil-kebil merenung muka kakaknya.

"Tapikan, kalau kak ngah jaga mak, Afif boleh terus kerja, boleh tampung belanja rumah, belanja sekolah Aqil," ujarnya perlahan. Lantaran simpati terhadap pengorbanan si kakak, dia masih tidak mahu mengalah.

Anissa seakan-akan terhenyak.

"Itu tanggungjawab kak ngah, Afif. Tak payah fikir soal tu. Kak lang, Afif, Aqil, concentrate aje pada pelajaran. Hal kewangan, hal emak, biar kak ngah aje yang uruskan. Cuma berjimatlah guna duit yang ada tu. Jangan membazir. Kita bukan orang senang." Anissa memberi peringatan.

Sekilas, Anissa merenung semula ke bilik emaknya.

"Kak ngah kena bagi masa pada mak sama, jadi kak ngah tak boleh kerja lebih masa," pesannya terus. Kali ini nada suaranya sedikit kendur.

Afif terdiam. Sepasang mata yang meminta pengertian di hadapannya itu direnung lama. Walau mulutnya terasa ingin meningkah tetapi dia yakin tindakannya hanya akan menambah sesak dalam dada kakak sulungnya itu, yang kini mengambil alih tugas arwah ayahnya yang telah 13 tahun meninggalkan mereka. Tahun yang sama adik bongsu mereka dilahirkan.

"Tapi... Kak ngah kan dapat pinjaman? Mana boleh tarik diri macam tu aje, nanti kena denda, macam mana?" Tiba-tiba persoalan itu melintas di ruang fikirannya. Satu hal yang sangat serius. Mungkin kak ngahnya terlupa tentang itu.

"Kak ngah tau... Tentang tu, jangan Afif nak bimbanglah, taulah kak ngah macam mana nak settle. Kita bukannya lari dari pengajian, kita ada alasan yang kukuh."

Afif mengangguk-angguk. Lega sedikit hatinya mendengar penjelasan tersebut.

"Cuma, esok kak ngah nak balik ke kolej, lusa nak ke bahagian pentadbiran, nak urus pasal tu. Afif jaga mak kat rumah, ya?"

Sekali lagi dia mengangguk. Saat itu beban yang terlakar di bahu kakaknya seakan-akan turut dapat dirasa. Wajah tenang yang dipamerkan oleh kak ngahnya bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kebimbangan yang terus berbicara dari sepasang matanya. Antara sanggup dengan tidak, Afif hanya mampu menurut.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro