Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

AQIL sudah ke asrama penuh. Walau berat hati untuk dia meninggalkan emaknya yang tidak sihat tetapi dia tiada pilihan. Wang hasil kutipan kelapa sawit lerai tidak digunakan.

"Simpan dalam akaun bank Aqil. Susah-susah cari, kenapa senang-senang nak habiskan?" pesan kak ngahnya.

Pada masa yang sama, Afif sudah mendapat tempat di universiti. Jurusan kejuruteraan yang menjadi impiannya selama ini. Wang gaji yang dikumpul sepanjang tempoh bekerja selama beberapa bulan di Pulau Mutiara itu walaupun tidak banyak, tetapi telah dikeluarkan dengan bangganya untuk menampung keperluan kewangannya ketika itu. Hasil titik peluh! Berkat!

Alissa juga turut membantu. Dia juga turut menghulurkan sejumlah wang kepada adiknya itu. Cukup buat menampung bayaran yuran pengajian dan pendaftaran masuk ke kolej penginapan. Hasil simpanannya selama bekerja secara sambilan di kedai koperasi universiti. Lega hati Anissa kerana penantian adiknya itu selama ini kini berakhir. Cita-citanya untuk menyambung pelajaran ke universiti telah tercapai.

Bagi Anissa, dia tidak boleh mengalah pada takdir. Walau bagaimana keadaan sekali pun, dia mahu adiknya-adiknya berjaya merebut peluang yang ada. Berusaha sedaya mungkin demi masa depan mereka. Emaknya selalu menasihatkan adik-adik, membeli kekayaaan memang memerlukan wang yang banyak tetapi membeli masa depan, menuntut kepada sebuah pengorbanan.

Hanya itu yang mampu mereka lakukan. Dan untuk itu, peluang tersebut harus direbut sebaik mungkin walaupun seisi keluarga terpaksa bersusah payah dan terpaksa saling membantu.

Awal-awal lagi Anissa telah mengingatkan Afif supaya tidak membuat kerja sambilan seperti yang telah dipesan oleh kakaknya Alissa. Harus tumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran pada peringkat permulaan. Itu sangat penting.

PAGI itu Anissa bergerak seperti biasa ke rumah yang terletak di kaki Bukit Larut itu. Kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Pinang. Hujung minggu, jalan agak lengang. Kenderaan sekolah yang saban pagi memenuhi dada jalan langsung tidak kelihatan. Memberinya lebih ruang untuk memandu dengan lebih selesa.

Tambahan pula dalam keadaan tangannya yang semakin sakit dan tidak selesa memegang stereng. Dia harus memandu dengan lebih berhati-hati. Tidak memegang stereng dengan kemas bererti tayar keretanya mudah untuk terlayah ke kiri atau ke kanan.

Sampai di rumah tersebut, dia bergegas keluar dari kereta. Kereta majikannya itu seperti biasa masih di tempat letak kereta di hadapan pintu utama. Dia segera masuk menyediakan sarapan. Hari Sabtu, dapat tiba lebih awal. Dia merancang untuk masak lebih sedap. Bagus juga sesekali menukar selera setelah berhari-hari menghadap roti. Macam manalah tuan mudanya sanggup, dia tidak tahu.

Segala bahan-bahan telah disediakan sebelum pulang sehari sebelumnya. Hanya tunggu untuk memasak sahaja. Sedikit kacang tanah goreng telah disediakan lebih awal.

AROMA harum dari sepinggan nasi lemak di atas meja makan menarik sepasang kaki Harris menuju ke ruang makan. Dengan penuh nikmat, dia merenung pinggan dan piring yang tersusun di atas meja. Nasi lemak, sambal tumis ikan bilis, kacang tanah goreng, ulam timun, sebiji telur rebus dibelah empat. Tanpa menunggu dijemput, dia terus menarik kerusi duduk menjamah hidangan tersebut. Anissa hanya meninjau dari dapur.

Usai menghadap hidangan, Harris menarik keluar dompetnya dari poket seluar.

"Seri..." laungnya sekadar dengar.

Anissa keluar dari dapur.

"Ini duit belanja dapur untuk minggu ni. Awak simpanlah. Nanti kalau awak perlukan apa-apa, tak perlulah tunggu saya."

Anissa segera menghulurkan tangan menyambutnya. Sebaik helaian-helaian wang kertas tersebut menyentuh tangannya dia mengaduh.

Harris terkejut. Empat helai wang kertas 50 ringgit melayang jatuh ke atas lantai. Anissa segera melutut memungutnya dengan tangan kiri sambil tangan kanan digenggam sedikit.

"Seri? Kenapa dengan awak ni?

Harris tertanya-tanya.

"Kenapa dengan tangan awak tu?" Dompet di tangan ditutup dan diletakkan di atas meja.

"Errr... Tak ada apa-apalah encik, luka sikit aje." Dia cuba berdalih.

Mata Harris mengarah penuh ragu ke arah genggaman tersebut. Nampak sedikit kemerah-merahan di bahagian pangkal telapak tangan.

"Luka sikit?" Dia seakan-akan tidak percaya.

"Luka sikit sampai sakit macam tu?" Dia terus mendesak.

"Mari saya tengok," pintanya.

Anissa menggeleng pantas.

"Eh, tak apa encik, saya tak apa-apa. Sikit aje ni."

"Bagi saya tengok..." Walaupun suaranya lembut tetapi nadanya bertukar tegas.

Sebaik Harris bangun merapati, Anissa berundur sedikit ke belakang. Langkah Harris terhenti. Tegak matanya memandang Anissa. Bimbang dengan pandangan mata lelaki itu yang tiba-tiba bertukar 'nada', tangan yang disembunyikan di belakang dihulurkan perlahan.

Mulut Harris hampir ternganga. Dia lantas memandang muka Anissa yang sekadar terkebil-kebil memandangnya.

"Macam mana boleh jadi sampai macam ni?" soalnya hairan.

Anissa diam.

"Awak alah pada sabun ke?" Harris seperti dapat menduga. Tiba-tiba timbul rasa kesal dalam hatinya apabila teringatkan insiden beberapa hari yang lalu. Sewaktu pembantu rumahnya itu jatuh pengsan di hadapan pintu. Sepasang tangan itu telah sedia menunjukkan bintik-bintik kecil. Membengkak dan kemerah-merahan. Tetapi kesibukan tugas membuatkan dia terlupa untuk bertanyakan mengenai hal tersebut.

Anissa diam. Cuba menyembunyikan jawapan. Sebaliknya soalan dari tuan mudanya ditelan kesat di kerongkong. Ketika mata tuan mudanya itu memandang tepat ke wajahnya tanpa disedari sebelah lagi tangannya dicapai. Anissa terkejut.

Perlahan-lahan duit di tangannya ditarik semula. Mata Harris yang terlekat seketika di telapak tangan itu diarahkan sekali lagi ke wajahnya.

"Kenapa awak tak bagi tahu saya, awak alah pada sabun basuh?" Dia bertanya penuh yakin hasil daripada reaksi berdiam diri yang ditunjukkan oleh Anissa. Perlahan-lahan Anissa menarik tangannya.

"Saya ni bukannya kejam sangat Seri, kalau awak tak boleh buat semua tu, saya tak paksa," ujar Harris lagi dengan nada kesal. Kesal kerana selama ini gadis itu terpaksa terus menelan kesakitan demi memenuhi tanggungjawab mencuci pakaiannya menggunakan tangan.

"Tak apalah encik, sehari dua lagi eloklah ni," dalihnya sambil kedua-dua telapak tangan ditekap-tekap menahan kesakitan yang mula terasa.

"Apa awak cakap? Sehari dua lagi? Esok lusa awak buat lagi kerja yang sama, di rumah awak, di rumah ni... Bila nak sembuhnya?" jawab majikannya itu. Suaranya naik senada.

"Dah, mulai hari ni, awak masukkan semua pakaian kerja saya ke dalam mesin basuh tu. Cuma tak payah basuh lama sangat, bukan kotor sangat pun. Mana yang tak sesuai untuk cucian mesin awak masukkan ke dalam beg, saya hantar ke kedai dobi untuk dry cleaning. Jom, saya bawa awak ke klinik sekarang."

"Eh, tak payahlah, encik. Habis kerja nanti saya pergi beli ubat."

"Ikut aje cakap saya." Harris mula berkeras.

"Minta maaf encik, bukan saya menolak, cuma..."

Harris terdiam.

"Awak takut suami awak atau kawan-kawan suami awak nampak awak ikut saya? Katalah saya bawa awak ke klinik. Itu pun susah?"

Seteguk liur Anissa masuk ke tekak. Melihat mata Anissa seakan-akan terus menolak, Harris mendengus.

"Okeylah."

Dia segera meninggalkan meja makan, mencapai telefon bimbitnya di atas meja di ruang tamu. Skrin telefon ditekan-tekan, mencari sesuatu.

"Zubir, kau kat mana? Okey good, tolong datang rumah aku sekejap. Ya, sekarang."

Anissa terpinga-pinga. Dadanya mula berdebar. Hati kecilnya mengagak panggilan tersebut pasti ada kena-mengena dengan masalah di telapak tangannya.

Sambil menunggu kedatangan Zubir, tuan mudanya duduk di atas sofa di ruang tamu. Membuka beg dokumennya dan mencapai beberapa buah fail. Televisyen di hadapannya terus dihidupkan.

Sebentar kemudian terdengar hon kereta di luar pintu pagar. Belum sempat Anissa menjenguk, lelaki itu bangun dan menekan suis di dinding. Menuju ke pintu.

"Hmmm, masuklah," jemputnya. Pintu utama dikuak luas. Memberi laluan kepada seorang yang sangat dikenali.

"Apa hal kau panggil aku pagi-pagi buta ni?" soal lelaki itu sebaik sampai ke muka pintu.

"Kau sakit ke?"

"Masuklah dulu..." pelawa Harris.

"Sedapnya bau, wah... Kalau macam ni hari-hari boleh gemuk kau, Ris," tegur lelaki itu dengan hidung yang kembang kempis sebaik melangkah ke ruang tamu.

"Hmmm... Itulah yang kau tunggu pun, kan?"

Lelaki yang pastinya bernama Zubir itu seperti terkejut.

"Kenapa pula?"

"Income masuk. Aku yang akan habiskan ubat yang berbalang-balang di klinik kau tu..."

Lelaki itu ketawa. Walaupun terasa sedikit menyindir, tetapi lucu. Diikuti oleh Harris.

Perbualan tersebut begitu jelas di telinga Anissa. Namun sebentar kemudian suara yang nyaring itu seperti bertukar perlahan. Kedua-dua lelaki itu melabuhkan punggung di atas sofa.

"Seri!"

Tiba-tiba terdengar namanya dipanggil. Dia yang sedang mengemas dapur segera ke ruang tamu.

"Ya, encik," jawabnya pantas. Sedikit cemas.

"Mari sini."

Sebaik mendekati mereka Harris mengacukan jari telunjuknya ke arah ruang kosong di sisi temannya itu.

Perlahan-lahan Anissa duduk.

"Ini kawan saya, Doktor Zubir. Bagi dia tengok tangan awak," arah tuan mudanya tanpa teragak-agak.

Zubir menghulurkan senyum sebagai tanda hormat ke arah Anissa. Perlahan-lahan Anissa menghulurkan tangan kanannya.

"Sebelah lagi tu?" arah Zubir.

Mahu tidak mahu sebelah lagi tangan dihulurkan.

"Eh, teruk ni. Dah berapa lama ni?" soalnya dengan raut wajah yang agak bersahaja. Yalah, dah nama pun doktor, haruslah profesional, mana boleh beremosi di hadapan pesakit!

"Baru aje." Anissa senyum kelat. Menyembunyikan perasaan debarnya.

"Banyak main air sabun ke?" soalnya terus ke punca. Kesimpulan mudah dari pemerhatian seorang doktor.

Anissa berpaling memandang majikannya. Sekilas, Harris merenung tajam ke arahnya. Jantung Anissa bagai tersentak. Mungkin tidak mahu dipersalahkan dalam hal itu, fikirnya.

"Lagipun kulit awak ni terlalu nipis. Tengok, banyak kesan luka di jari awak ni." Zubir terus membelek-belek belakang jari-jemari Anissa. Memang bahagian belakang jari-jarinya juga luka akibat geselan sewaktu mencuci pakaian tuan mudanya.

"Awak ni tak boleh banyak main air sabun sebenarnya. Kalau kerap kena sabun, kulit awak boleh rosak. Okey, untuk sehari dua ni aku rasa kau jangan bagi dia pegang sabunlah, Ris," tambahnya lagi sambil memandang ke arah temannya itu.

Muka Harris berubah. Muka Anissa terus direnung tepat. Kemudian mengangguk, mengeyakan kata-kata kawannya itu.

"Ingat ya, selagi luka ni tak sembuh, jangan pegang benda-benda yang cenderung kepada bakteria. Takut nanti terkena jangkitan kuman, lagi susah," nasihatnya.

"Kau nak aku hantar ubat ke rumah atau kau pergi klinik aku?"

Soalan yang merentap kotak fikirannya yang sedang terawang-awang ketika itu.

"Errr... Aku nak pergi ofis ni, suruh budak kau hantarlah," arahnya.

"Okey, nanti aku suruh dia orang hantarkan."

Sebaik Zubir beredar, mata Harris sesekali merenung Anissa yang sedang menuju ke dapur.

"Seri," panggilnya.

"Ya, encik?"

Langkah gadis itu terhenti. Berpaling. Harris yang berdiri terpacak di hadapan pintu sebaik Zubir beredar terkebil-kebil memandangnya. Soalannya seperti tidak mampu dilontarkan.

"Tak ada apa-apa. Saya pergi dulu. Hari ni awak masak ringkas aje, cukuplah," pesannya.

Anissa angguk. Sebaik daun pintu ditutup, Anissa teringat sesuatu lalu bergegas semula menuju ke pintu. Membukanya pantas.

"Encik! Encik!"

Harris berpaling.

"Duit untuk barang dapur." Anissa mengingatkan.

"Mmm... Nantilah, saya balik tengah hari ni."

Dia angguk. Tiba-tiba wajahnya sedikit berkerut. Baru dia tersedar tangannya yang luka itu secara tidak sengaja telah memulas keras tombol pintu dan menariknya kuat. Segera dia mengibas-ngibas tangannya yang kesakitan.

"Seri? Are you okay?" soal Harris cemas. Seperti dia dapat merasakan kesakitan itu.

Anissa tersengih-sengih kelat. Mengangguk-angguk pantas. Tangan yang sakit segera disembunyikan ke belakang.

Dengan dahi separuh berkerut Harris masuk ke dalam perut kereta. Sebaik kereta meluncur keluar dan pintu pagar tertutup, Anissa menutup pintu dan beredar ke dapur sambil meniup telapak tangan yang terasa pijar.

"Budak aku dah hantar ubat tu ke rumah kau, Ris."

"Aaa... Okey. Thanks."

"Ris, boleh aku tanya sesuatu?"

"Come on, bro... Sejak bila pula kau kena minta izin aku kalau nak tanya soalan?"

Zubir tertawa kecil.

"Bukan macam tu... Maksud aku tentang maid kau tu. Mmm... Dia orang sini ke? Atau... Indonesian?"

Harris ketawa.

"Of course she's local! Kenapa kau tanya soalan macam tu?"

"No, no... I'm just asking," balas Zubir.

Ketawa Harris berterusan.

"Lain macam aje bunyinya ni... Jangan cakap hati kau dah tersangkut, Bir... Lebam dahi kejap lagi."

"Maksud kau?" Zubir kurang mengerti.

"She's married!"

"Hah? What?! She's married? You must be kidding, right?"

"No, I'm not. She already has two kids."

"What?! Oh, came on, Ris... I'm asking you seriously."

"Kenapa pula aku nak tipu kau? Kalau dia belum kahwin, aku dulu yang akan rentang pita kuning keliling rumah, kau tau tak?"

Zubir pecah ketawa. Harris turut ketawa seakan-akan baru terasa kelucuan dari kata-katanya itu. Tapi hanya dia yang tahu itu bukan lawak kosong. Benar!

"Ris... Ris... You are right, mulai hari ni lebih baik kau cari pita kuning tu banyak-banyak. Kawasan rumah kau tu besar, takut tak cukup pula nanti, ada orang lain pula yang bolos masuk."

Firasat Harris bagai berbisik sesuatu.

"Lawak lawak juga Bir, lain macam aje kau cakap ni, kau kenal dia ke?" Jantung Harris tiba-tiba terasa bagai digoncang.

"Aku mungkin tak kenal dia tapi... I strongly confirm that she never has kid."

"What?! What makes you say that?"

"I'm a doctor, Ris..."

Harris terkebil-kebil. Cuba mencari kepastian dari kata-kata temannya itu.

"Dah berapa lama dia kerja di rumah kau?"

Lebih dua bulan jugalah." Harris cuba mengingati.

"Okeylah Bir, thank you!"

"Ris,"

"Yup!"

"Don't forget! The yellow tape! Just give yourself a try!" Peringatan rakannya itu disambut dengan ketawa.

Telefon di tangan diletak semula. Namun mata Harris bagaikan terpasak terus ke arah telefon bimbit bercover PVC hitam itu. Berkelip-kelip matanya memikirkan apa yang dikatakan oleh temannya sebentar tadi. Dengan wajah penuh tanda tanya bertukar senyum, telefon di sisi dicapai semula. Mencari-cari nombor terakhir yang disimpan sejak beberapa bulan dahulu.

"Helo," ucapnya sebaik terdengar suara memberi salam.

"Ya, encik."

Terasa hatinya terbang melayang-layang saat suara itu meniup gegendang telinganya.

"Seri?"

"Ya."

"Awak tengah masak ke?"

"Ya, kenapa encik?"

"Mmm... Tak ada apa-apa. Tangan awak sakit lagi?" Ah, nasib baik ada topik!

"Sakitlah juga."

"So, jangan kerja teruk sangat. Sayur tu awak buat masak air aje. Saya tak kesah. Sambal tak perlu. Sambal ikan bilis pagi tadi ada lagi, kan?"

"Ada."

"Okey, cukuplah tu." Panggilan diputuskan.

Sebaik mendapat arahan, segera Anissa melaksanakannya. Beberapa tangkai sawi dibuat masak air. Lebih harum dengan beberapa carik daun kunyit dimasukkan ke dalamnya. Seekor ikan sardin Jepun digoreng. Semuanya diuruskan menggunakan sudu dan garfu memandangkan tangannya disaluti krim berubat.

Di pejabat, jarum jam di tangan terus dipantau oleh Harris. Tiba-tiba dirasakan masa bagai terengsot-engsot berlalu. Tidak cukup dengan jam di tangan, jam yang tersangkut di dinding pejabat juga menjadi sasaran matanya. Sedang hatinya berperang dengan masa, tiba-tiba sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Dia memanjangkan leher. Sebaik terbaca nama yang tertera di skrin tangannya pantas mencapai dan menekan butang jawab.

"Encik, kalau boleh Isnin minggu depan saya nak minta kebenaran encik untuk keluar sekejap. Saya tak dapat nak sediakan makan tengah hari untuk encik." Anissa bersuara sebaik panggilannya diterima.

"Kenapa? Tangan awak sakit lagi ke?" Entah kenapa dia rasa cemas lebih-lebih pula. Weh! Agak-agak la, Ris... Dia tersenyum sendiri.

"Tak, sebenarnya saya kena bawa anak saya ke klinik. Untuk buat pemeriksaan bulanan."

Anak? Hesy, ni yang pening ni! Yang mana satu betul ni, Bir?

"Encik?"

"Ah, ya... Ya. Saya dengar. Awak pergi seorang saja ke?" Eh, sesuai ke soalan tu? Ah, lantaklah!

"Saya dengan suami saya."

Suami? Aduh... Apa kau cakap ni, Bir? Biar betul? Kata belum kahwin! Confident semacam aje tu! Tolong, Bir... Tolong... Boleh sakit jiwa macam ni! keluh hati Harris mengingatkan kenyataan sahabatnya, Doktor Zubir sebentar tadi.

"Okeylah." Harris tidak mahu cakap banyak lagi. Suara dalam fikirannya ketika itu lebih banyak, lebih kuat, bercampur baur, silang-menyilang memukul kepalanya sehingga dia tak mampu untuk terus dengar suara Seri.

Check-up? Sakit apa? soalnya pada diri. Terkebil-kebil matanya seketika. Sebaik meletak semula telefon dia melepaskan nafas panjang dan meraup wajah dengan kedua-dua belah telapak tangannya. Hati dan fikirannya terasa bagaikan berperang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro