Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

PANGGILAN telefon dari Harris pada petang itu amat melegakan hati Anissa. Esok petang tuan mudanya tidak terus pulang ke rumah. Dari Johor dia akan singgah sebentar di Kuala Lumpur dan terus ke Kuala Kangsar, ke rumah orang tuanya.

"Tapi tengah hari lusa saya balik awal sikit ya, sebab lepas makan tengah hari saya nak ke Pulau Pinang, ada hal." Dia meninggalkan pesan.

"Awal tu pukul berapa, encik?" Anissa bertanya lebih jelas.

"Emmm... Dalam pukul 11.30 pagi macam tu."

SEPERTI yang diarahkan, Anissa ke dapur lebih awal pada pagi itu. Sepinggan ayam kampung masak rendang tersaji di atas meja tepat jam 11.30 minit pagi. Memandangkan dia bukan tukang masak yang hebat, dia tidak tahu apakah sajian lain yang terbaik untuk disaji seiring dengan juadah tersebut. Setelah berfikir, semangkuk sayur campur tersaji di sebelahnya. Untuk lebih mempelbagaikan lagi, seekor belanak masin digoreng, ikan masin kegemaran tuan mudanya. Tidak lupa juga sepiring kecil sambal belacan berulamkan bendi celur. Semuanya serba sedikit.

Sewaktu mengemas dapur, terdengar deruman kereta memasuki pekarangan rumah. Dia segera ke ruang tamu membuka pintu.

Terpaku Anissa saat satu tubuh keluar dari perut kereta. Encik Harris? Ya Allah... Kenapa sampai macam ni?

"Assalamualaikum."

Diam.

"Assalamualaikum! Seri?"

"Aaa... Waalaikumussalam." Anissa terpisat-pisat menginjakkan dirinya dari muka pintu. Memberi laluan kepada tuan mudanya itu yang berdiri terpacak di hadapannya untuk masuk ke rumah.

Harris tersenyum sambil melangkah masuk. Sebaik meletakkan beg pakaiannya di tepi pintu, dia menuju ke ruang tamu dan meletakkan telefon bimbit serta beg kerjanya di atas meja. Saat melucutkan jam di tangan dia berpaling sedikit ke belakang. Sebatang tubuh masih terpacak di muka pintu. Sewaktu melangkah menuju ke bilik dia menoleh ke belakang.

"Kenapa awak pandang saya macam tu?" tegurnya.

Tubuh yang tadinya mematung tersentak.

"Errr... Tak ada apa-apa, encik!" jawabnya gugup, terkejut!

Sambil tercengang-cengang Anissa pantas berlalu ke dapur. Aduh... Malunya! Macam manalah dia boleh terbabas renung sampai begitu sekali?

Dari dapur dia terdengar kerusi ditarik. Dibiarkan saja. Pasti majikannya itu hendak segera menjamah makanan yang telah tersaji. Malu benar rasanya dengan reaksinya sebentar tadi. Bimbang pula sekiranya disalah anggap. Bukan apa, dia terkejut. Seakan-akan tidak percaya badan lelaki itu susut sampai begitu sekali. Seminggu di Johor telah mengubah fizikalnya dengan begitu mendadak! Atau... Adakah kerana lelaki itu memakai kemeja T kelabu yang agak body fit hingga membuatkan dia nampak lebih kurus daripada biasa? Tidak... Tidak... Memang betul badan dia yang susut!

Berada di Johor negeri yang terkenal dengan kemasyhuran nasi beriani gam itu pun dia boleh kurus? Pelik! Setahunya negeri itu kaya dengan pelbagai juadah istimewa tetapi mengapa dia tidak mengambil peluang itu untuk menikmati makanan-makanan tersebut? Paling kurang pun sekadar untuk mengenyangkan perut. Atau, susah benarkah tugasnya di sana sehingga dia kepenatan dan menjadi sekurus itu? Anissa berfikir sendiri. Tubuh dan wajah cengkung Harris menjadi teka-tekinya sendiri. Mahu berkilo berat badan hilang tu!

Bunyi sudu berlaga dengan pinggan mematikan lamunannya. Perlahan-lahan dia menjenguk ke ruang makan. Berselera benar lelaki itu menyuap nasi bersulamkan ayam kampung masak rendang itu ke mulutnya. Waktu itu Anissa merasa pelik. Tidak pernah sekali pun lelaki itu menolak masakannya. Apa sahaja yang disajikan dia akan makan dengan penuh berselera. Kalau dilihat dari segi penampilannya, memang ketokohannya sebagai ahli korporat jelas terpancar. Tetapi ketika menghadap makanan perwatakannya langsung tidak seiring dengan kedudukannya itu. Sebaliknya dia seperti seorang lelaki biasa. Perwatakan lelaki itu saling tidak tumpah seperti perwatakan ayahnya, tekun ketika mengadap makanan.

"Kenapa awak pandang saya macam tu?"

Anissa terkejut.

"Ha? Errr... Tak... Tak ada apa, encik." Sambil menggaru-garu pipinya yang tidak gatal, dia segera berlalu dari situ. Cis! Malu sungguh! Tidak sedar sejak bila dia berdiri terpacak di hadapan ruang yang memisahkan dapur dengan ruang makan tersebut sambil tersenyum menggeleng-gelengkan kepala.

"Aduh... Kenapalah kau ni, Anis?" tempelaknya pada diri.

Sebaik makanan di atas pinggan habis, Harris bangun menuju ke dapur. Membawa bersama pinggan yang telah digunakan. Anissa segera mengosongkan meja. Membiarkan sahaja tuan mudanya membersihkan pinggan tersebut di singki. Memang itu telah menjadi amalan hariannya. Didikan yang bagus!

Seketika kemudian dia muncul semula di ruang tamu. Saat Anissa sedang membersihkan meja, tubuh itu melintas di hadapannya. Seketika, dia terdengar ada tawa kecil. Anissa segera mengangkat muka, terkebil-kebil memandangnya. Sebaliknya tuan mudanya itu terus berlalu tanpa menoleh ke arahnya. Kening Anissa mula berkerut.

"Ingatkan tak pandai intai-intai. Dah mula rindu saya ke?"

Anissa terpempan. Eee! Tak kuasa! getus hatinya jengkel dengan wajah berkerut. Saat itu rasa hendak sahaja dia mengejar makhluk yang sedang tersenyum-senyum itu, menjerut leher yang merenik-renik dengan peluh itu dengan tuala Good Morning yang ada di tangannya. Tuala yang digunakan untuk membersihkan meja. Biar melolong-lolong lelaki itu menjerit, meminta maaf padanya! Orang simpatikan dia, main sindir-sindir pula! Buang tabiat ke berubah laku tiba-tiba? Dah kenyang perut ketawakan orang pula! omelnya jengkel berselit rasa malu.

"Nanti awak tolong keluarkan semua pakaian saya yang ada dalam beg ni, Seri. Semuanya dah saya gunakan. Beg tu nanti awak letakkan semula dalam almari di bilik saya," arahnya sambil mencari-cari sesuatu dari poket kecil di sisi beg tersebut. Wajah Anissa tidak dipandang.

"Errr... Tak apalah encik, nanti saya letakkan beg tu di depan pintu bilik encik."

Dia berpaling. Muka Anissa direnung lama.

"Saya suruh awak simpan beg ni di tempatnya, yang awak takut sangat nak masuk ke dalam bilik saya tu kenapa?"

Anissa tersentak. Suara dengan nada mendatar itu membuatkan telinga Anissa rasa terpukul. Perlahan-lahan dia mengangguk.

"Yalah, nanti saya simpankan." Saat itu seteguk liur merentas kasar di tekaknya. Kesal dengan sikap pesimisnya yang kadang-kadang tidak memenuhi spesifikasi kerja!

DAPUR telah siap dikemas. Pinggan mangkuk telah siap dibersihkan. Saat Anissa bergegas hendak keluar dari rumah, Harris segera mencapai kunci kereta. Bergegas keluar mendahuluinya. Tubuh Anissa sedikit tersasar ke tepi.

"Saya pergi dulu."

Gadis itu terpinga-pinga. Membetul-betulkan tudung kepalanya yang sedikit senget.

"Thanks for the ayam rendang," ucapnya ketika mengenakan sebelah lagi kasut ke kaki.

Anissa memaksa sebuah senyuman sebagai membalas ucapan terima kasih itu tetapi yang mampu terkuak hanya bibirnya. Perasaan gembira itu langsung tidak mampu terpancar di matanya. Hati masih panas dek sindiran tadi! Bagai belatuk terbabas waktu, dia hanya mengangguk-angguk.

"Awak tanam ke?" Harris mengacukan mulutnya ke anak-anak pokok bunga yang baru ditanam di tepi pagar.

Anissa yang ketika itu sedang mengunci pintu rumah sekali lagi mengangguk.

"Awak suka bunga?"

Angguk lagi.

Harris mengangkat kening.

"Good!"

Tanpa berkata apa, dia masuk ke dalam kereta dan berlalu dari situ.

Deruman enjin kereta yang bersisakan kepulan-kepulan debu membuatkan Anissa kaku seketika memandang ke jalan. Menarik nafas panjang dan melepaskannya.

Saat itu ada dua perkara bermain di fikirannya. Satu, baru dia faham apa yang dimaksudkan oleh Mak Wanya selama ini. Tentang sikap anak orang kaya itu yang sangat pelik. Tidak suka makan di luar! Dah tu pula, kalau dah bekerja sampai mengabaikan diri sendiri! Akhirnya, pergi berisi, balik separuh melengkung!

Patutlah Mak Wa bersungguh-sungguh meminta dia untuk bekerja di situ. Difikirkan orang tua itu hanya sekadar memberinya peluang untuk bekerja kerana simpati dengan desakan hidupnya sekeluarga. Tetapi rupa-rupanya dia silap. Mak Wa begitu mengambil berat tentang kesihatan anak majikannya itu. Sayang sangat ke Mak Wa pada keluarga majikannya itu?

Dengan kepala bagai diterjah-terjah dengan tanda soal, dia melangkah masuk ke dalam kereta. Saat itu wajah lelaki itu muncul semula di kepalanya.

"Yang awak takut sangat nak masuk ke bilik saya tu kenapa?"

Dahi Anissa berkerut semula. Semakin lama sikap majikannya itu semakin menimbulkan tanda tanya. Takut? Dia takut? Kenapa ayat sebegitu yang keluar dari mulut lelaki itu? Kalau dia dilihat sebagai berstatus seorang isteri, tidak mungkin majikannya itu berani mengeluarkan ayat seperti itu!

Tangannya pantas membetulkan cermin pandang belakang. Melihat wajahnya di cermin.

"Aku dah berlakon sebaik mungkin, dia boleh perasan ke?" Persoalan yang hanya mampu dijawab dengan sebuah keluhan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro