Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

SEJAK insiden Anissa tumbang di hadapan pintu beberapa hari yang lalu, keadaan telah menjadi sedikit berubah. Dia rasa terlalu sukar untuk memandang muka majikannya itu. Malu dan kesal bercampur menjadi satu. Dalam pada itu terdetik rasa bimbang dalam hati apabila hari demi hari sepasang mata majikannya itu semakin kerap terarah padanya. Seakan-akan ada sesuatu yang tidak kena. Bukan dia bimbang dia akan diapa-apakan, tetapi sebaliknya dia takut identitinya yang disembunyikan selama ini terbongkar.

Terdetik rasa pelik dalam hati kerana telah beberapa kali keadaan yang sama berlaku. Apabila dia mengangkat muka bertanyakan soalan, majikannya itu bagaikan terpinga-pinga. Apa yang difikirkan oleh lelaki itu, dia tidak tahu. Apa yang jelas hanyalah soalan yang sama diajukan padanya saban hari. Awak dah sarapan? Awak dah makan tengah hari? sehingga dia lali mendengarnya. Keluar sahaja separuh ayat dari mulut tuan mudanya itu, dia sudah siap mengangguk.

Minggu itu jadual kerja Anissa sedikit berbeza. Oleh kerana majikannya itu ada urusan di Johor untuk tempoh satu minggu, dia diberi kebenaran untuk datang ke rumah itu mengikut waktunya sendiri.

Kesempatan itu diambil oleh Anissa untuk mengurus rumah dan emaknya. Dia tidak perlu lagi bergegas keluar rumah pada awal pagi. Selepas makan tengah hari dan solat zohor barulah dia berangkat ke rumah itu. Menyapu, mengemas mana yang perlu dan menyiram pokok bunga yang hanya sepasu dua di halaman, hasil tangan Mak Wa mungkin.

Sesekali telefon di ruang tamu berdering. Panggilan dari tuan mudanya. Bertanya itu dan ini. Entah apa yang ingin dipastikan, Anissa tidak tahu. Yang penting panggilan tersebut berjawab. Sekurang-kurangnya hati tuan rumahnya itu lega apabila mendapat tahu rumahnya berpenghuni dan dalam keadaan selamat.

Pada suatu petang sedang dia leka memasang semula langsir yang telah dicuci, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Siti Khadijah, sahabat karibnya menghubunginya.

"Assalamualaikum..."

"Waalaikumussalam... Wah... Pengantin baru ni, baru jumpa nombor telefon kita ke?" usik Anissa sebaik saja mendengar suara sahabatnya itu.

"Ala... Sorry la... Sibuk, banyak benda nak buat."

"Sibuk? Aik, pelik bunyinya tu. Orang pergi honeymoon tenangkan fikiran, bawa balik sweet memory, ini sibuk pula?" balas Anissa lucu.

"Ala... Orang tua pergi honeymoon Anis, siap bawa anak sekali. Bukan sweet aje, segala sour, salty, semua ada. Adam ni, kau tau-tau sajalah nakalnya."

Anissa ketawa. Lucu dengan penjelasan sahabatnya itu.

"Dah lama kita tak jumpa, kan?"

"Memang pun... Dah lama sangat. Tapi tak apa, aku faham Dija, kau bukannya orang bujang macam aku..." balas Anissa.

"Alah, cakap orang, dia pun sama. Aku ni ha, nak jumpa kau punyalah susah. Sampai aku kahwin pun kau tak datang." Belum pun habis ayat Anissa, Siti Khadijah memangkas.

"Aku lain, Dija... Bukan aku tak sudi, tapi kau pun faham, kan? Mak aku tu bukan sihat sangat. Tak sampai nak tinggalkan dia sorang kat rumah."

"Yalah... Orang ada mak... Kita ni tak ada mak, sibuk jaga diri sendiri ajelah..."

"Dah, dah... Ha, apa souvenir untuk aku dari Holland?" Anissa mencantas ayat sedih sahabatnya itu. Sejak ibunya meninggal, itulah ayat 'tagan' paling power yang akan keluar dari mulut Siti Khadijah setiap kali ingin melemahkan hatinya. Siti Khadijah telah menempuh usia persahabatan dengannya selama hampir sepuluh tahun, sejak mereka belajar di sekolah menengah yang sama. Satu-satunya insan yang paling mudah untuk dia meluahkan segala persoalan yang berbuku dalam hati.

"Ada... Aku ingat, kau nak bunga tulip, kan?"

"Ha, nasib baik kau ingat." Anissa ketawa.

"Bukan aku aje yang ingat, Adam pun berkali-kali ingatkan aku pasal pesanan kau."

Adam, satu-satunya anak Siti Khadijah hasil perkongsian hidup dengan suami pertamanya. Adam juga menjadi anak Anissa sewaktu temannya itu melalui saat-saat getir selepas rumah tangga yang dibina selama dua tahun runtuh tiba-tiba angkara orang ke tiga. Mengenangkan wajah comel anak angkatnya itu yang telah mencecah usia empat tahun, Anissa tersenyum.

"Cik Anis! Cik Anis rindu Adam tak?" Sayup-sayup kedengaran suara kecil itu di corong telefon menggantikan suara mamanya.

"Adam! Ya, sayang... Cik Anis rindu sangat kat Adam. Wah... Best ikut papa jalan-jalan, ya?"

"Emmm. Best... Tapi kalau Cik Anis ikut lagi best."

"Ya ke? Ala... Rugi Cik Anis tak ikut... Adam beli apa untuk Cik Anis?"

"Adam beli bunga. Cantik... Mama kata Cik Anis nak bunga."

"Ya ke? Emmm... Nanti Adam datang rumah Cik Anis, ya? Ajak mama."

"Helo, Anis... Ganggu betul la budak ni, pantang dengar nama Cik Anis, tak kira masa nak potong jalan!" bebel Siti Khadijah tiba-tiba. Muncul semula suaranya di corong telefon.

Anissa tertawa.

"Ni kat mana ni?"

"Kat airport lagi. Baru aje sampai. Kami nak singgah Kuala Lumpur dulu, esok baru kami balik ke Perak."

"Okeylah, sampaikan salam aku pada Idris, ya?" ujar Anissa.

"Okey, see you... Sampaikan salam aku pada mak cik," pesan Siti Khadijah.

"Insya-Allah... " balas Anissa mengakhiri perbualan.

SEPERTI yang dijanjikan, keesokan petang Siti Khadijah sampai ke rumah Anissa. Sebaik melompat keluar dari Toyota Alphard hitam milik papa barunya, si kecil Adam terus berlari mendapatkan Anissa yang siap berdiri di hadapan tangga sebaik menerima panggilan sahabatnya itu.

"Cik Anis!"

Sepantas itu juga bahu Anissa dirangkulnya. Anissa terus mendukungnya dan mencium penuh rindu pipi montel si kecil itu.

"Ni Adam beli untuk Cik Anis." Tiga kuntum tulip kaca yang berbungkus cantik dihulurkan kepadanya.

"Cantiknya... Pandai Adam pilih. Terima kasih..." Anissa memuji-muji.

Tersengih-sengih si kecil itu mendengar pujian tersebut.

"Assalamualaikum..." sapa Siti Khadijah sebaik mendekatinya. Idris membuntutinya. Senyum sambil tangan menjinjit sebuah beg kertas.

"Apa khabar? Amboi, masih bau kincir angin lagi ni," usik Anissa serentak memeluk sahabatnya itu.

Idris dan Siti Khadijah tertawa.

"Memang pun, ni ha dalam beg ni ada kincir angin. Si Adam ni ha, kalau boleh satu Bandar Holland tu punya souvenir nak diborongnya untuk Cik Anis dia." Siti Khadijah menggeleng-gelengkan kepala memandang anak tunggal kesayangannya sambil tersenyum.

"Ya ke? Baiknya hati dia..." Kepala Adam digosok-gosok manja.

Adam terus tersengih-sengih. Mempamerkan dua batang giginya yang rongak di hadapan.

Mendengar laungan Surinah dari atas rumah, Anissa segera mengajak mereka naik. Siti Khadijah memperkenalkan suami barunya kepada Surinah. Seorang peguam yang mempunyai firma guaman sendiri di Kuala Lumpur.

"SAMPAI hati Anis tak bagi tahu Dija yang mak cik sakit," keluh Siti Khadijah sebaik bersimpuh di hadapan Surinah.

"Patutlah bila Dija tanya kenapa dia sanggup tak datang ke majlis perkahwinan Dija, dia bagi macam-macam alasan. Rupa-rupanya mak cik sakit..." Sayu hatinya sebaik mengetahui keadaan sebenar. Rupa-rupanya itulah maksud 'kurang sihat' yang disebut oleh Anissa. Tidak seringan itu!

"Mak cik tak apa-apa... Janganlah Dija bimbang, sikit hari lagi mak cik sihatlah..." Perlahan suara Surinah memujuk Siti Khadijah yang begitu terkejut melihat keadaannya yang uzur.

"Yalah... Kalau ya pun, bagi taulah Dija. Ini tak, sampai hati Anis sembunyikan hal ni daripada kami. Mak cik sampai tak boleh jalan pun Dija tak tahu," ujarnya lagi penuh kesal.

"Mak cik yang tak nak dia bagi tahu Dija. Kan masa tu Dija sibuk dengan urusan perkahwinan, mak cik tak nak Dija terganggu."

Siti Khadijah terdiam. Adam di sisinya terkebil-kebil memandang mamanya. Sesekali dia berpaling memandang Surinah yang dipanggil Nek Su. Mendorong tubuhnya sedikit ke belakang memandang papanya. Terlihat papanya meletakkan jari telunjuknya di bibir, dia menggaru-garu kepala memandang semula ke wajah mamanya.

"Alhamdulillah... Lega hati mak cik tengok Dija dah bahagia sekarang."

Siti Khadijah mengangguk-angguk penuh syahdu. Selama dia melalui kehidupan sendirian setelah ibunya pergi buat selama-lamanya, sebulan setelah ayahnya berkahwin lain, suara itulah yang menjadi terapi hatinya. Tenang wajah Surinah mampu menenangkan hatinya yang bergelora. Setelah beberapa tahun berlalu, dia terasa seperti perempuan tua itu tidak ubah seperti ibu kandungnya sendiri.

"Dija nak datang jenguk mak cik selalu, tapi sekarang dah tak boleh. Dija kena ikut Abang Idris."

"Dah nama pun isteri, memang tempatnya di sisi suami..." Surinah tersenyum sambil matanya beralih memandang Idris yang dari tadi terdiam di sisi isterinya.

"Dija dengar Anis dah kerja sekarang. Mak cik duduk di rumah sorang-sorang?"

"Tak, Aqil ada. Sementara dia bercuti ni, bolehlah dia temankan mak cik."

Siti Khadijah mengangguk-angguk. Sebelum balik, dia menghulurkan sejumlah wang kepada Surinah.

"Tak payahlah... Dija kan nak pindah, nak guna banyak duit, tak payah susah-susah," tolak Surinah.

"Tak apalah mak cik, kami ikhlas. Lagipun, Dija dah anggap mak cik macam mak dia," balas Idris.

"Kecil hati kami kalau mak cik tak nak terima," tambahnya lagi.

Surinah kehilangan kata. Perlahan-lahan dia menggenggam wang tersebut.

"Insya-Allah ada masa nanti saya bawa Dija balik jumpa mak cik sekeluarga," tambah Idris. Cuba menceriakan suasana.

"Baguslah macam tu, tak adalah nanti Nek Su rindukan Adam, kan Adam?" sampuk Anissa pula.

Adam hanya tersengih-sengih.

"Terima kasih, Idris. Bersyukur sangatlah mak cik kalau ada orang yang rindukan rumah buruk kami ni," ujar Surinah sayu.

"Mak cik... Janganlah cakap macam tu, sedih Dija dengar tau!" Kelopak mata Siti Khadijah mula bergenang lagi. Tangan Surinah dicapai.

Surinah tersenyum. Mengusap-usap lembut lengan Siti Khadijah.

"Datanglah, pintu rumah ni sentiasa terbuka untuk Dija."

Sebaris ayat yang membuatkan kolam mata Siti Khadijah terus terburai. Bahu Surinah dirangkul. Terhinggut-hinggut tubuhnya menahan sebak. Segera Idris mendapatkan isterinya. Menenteramkannya. Si kecil Adam yang duduk di ribaan Anissa terus terpinga-pinga. Aqil yang memeluk jenang pintu bilik terkebil-kebil menyaksikan drama penuh air mata itu.

SEWAKTU bersalaman, Idris menggenggam erat tangan Surinah.

"Terima kasih mak cik, sebab tolong tengok-tengokkan Dija selama ni. Dia dah ceritakan semuanya pada saya. Saya terhutang budi sangat pada mak cik sekeluarga."

"Tak ada apalah, Idris... Semua tu takdir Tuhan, Dija tu baik budaknya. Tak sampai hati mak cik tengok dia bersedih. Dalam masa hati dia masih merah, terluka dengan sikap ayahnya yang berkahwin lain, ibunya pula meninggal. Ingatkan dapatlah bernaung hidup di bawah kasih sayang suami, tup-tup dah kena cerai." Surinah mengeluh.

"Kesian mak cik tengok dia. Terkontang-kanting sorang diri besarkan Si Adam tu."

Idris berpaling memandang isterinya yang berdiri di muka pintu.

"Idris jaga Dija baik-baik, ya? Dia dah tak ada siapa-siapa lagi," pesan Surinah.

Lelaki berbadan agak gempal itu mengangguk.

"Saya terima dia seadanya, mak cik. Saya ni pun bukannya sempurna sangat."

"Tak apalah, asalkan sama-sama boleh terima kelemahan antara satu sama lain, itu dah baik. Lepas ni mak cik tak adalah susah hati lagi. Dija dah jumpa orang yang sesuai, yang boleh terima dia dengan anak dia."

"Insya-Allah, selagi ada hayat saya, selagi ada kemampuan saya, hidup dia dengan Adam akan terjamin. Makan saya, makanlah mereka," bicaranya terus-terusan merendah diri.

Surinah mengangguk-angguk. Lega hatinya mendengar kenyataan tersebut. Ketenangan dan keikhlasan yang terpancar di wajah Idris seakan-akan mampu meyakinkan dia dengan bicara lelaki itu.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro