Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

BUNYI suara Aqil yang seperti mengerang dari bilik sebelah mengejutkan Anissa dari tidur. Dia bingkas bangun.

"Qil?" Antara sedar dengan tidak, dia memanggil.

Panggilannya tidak bersambut. Namun suara itu semakin jelas di telinganya. Semakin lama semakin kuat. Anissa lantas bangun menuju ke bilik itu.

"Aqil? Demam ke?" Dia segera menghampiri tubuh yang berselubung dengan selimut itu. Melihat panggilannya langsung tidak bersambut, Anissa lantas menggoyang-goyangkan tubuh kecil itu yang berbungkus dengan selimut.

"Aqil... Itulah, kan kak ngah dah kata jangan masuk hutan, kan dah demam," bebelnya berbaur kesal. Memang telah dia duga tubuh kecil itu tidak akan sanggup menerima beban yang berat. Sebelum itu walau pun mengikut Haji Zabri secara senyap-senyap, dia tidak pernah berada terlalu lama di ladang kelapa sawit itu. Paling lama dua jam. Inikan pula lima jam!

Perlahan-lahan Anissa bangun menuju ke dapur mendapatkan segelas air suam dan Panadol untuk adiknya.

"Nah, makan ubat ni dulu." Dua biji tablet putih dihulurkan kepada adiknya.

Terketar-ketar tangan kurus itu mencapai.

"Tak nak dengar cakap kak ngah, tu la pasal." Kekesalan Anissa masih belum berakhir. Antara geram dengan belas perlahan tangannya meraut kepala yang separuh botak itu.

"Dah, tidur. Esok jangan pergi mana-mana," pesannya sebelum berlalu dari situ.

Aqil yang faham dengan perasaan kak ngahnya ketika itu hanya mengangguk-angguk lemah sambil perlahan-lahan merebahkan badannya semula.

Dengan pandangan mata yang mula nanar, Anissa meninggalkan bilik tersebut. Meletakkan semula kepalanya ke bantal. Kantuk yang masih menebal serta kepala yang mula berdenyut membuatkan sepasang kelopak matanya seakan-akan masih belum bersedia untuk terus dibuka. Mencapai telefon bimbit yang diletakkan di hujung kepalanya, 3.15 minit pagi.

"Adik demam ke, Nis?"

Anissa terkejut. Disangkanya emaknya sedang tidur lena.

"Panas sangat ke badan dia?" soal emaknya lagi.

"Ya mak, tapi taklah panas sangat. Anis dah bagi dia ubat. Dah berpanas sepetang, mana tak demamnya," rungutnya sambil menarik selimut, menutup separuh tubuhnya.

Sambil mata terpejam, dia masih memasang telinga kalau-kalau Aqil terus mengerang kesejukan di biliknya. Namun kepenatan tubuhnya yang masih terasa membuatkan dia terus hanyut dibuai lena beberapa detik kemudian. Tidak mampu untuk dia bersengkang mata memandangkan beberapa jam lagi dia perlu bangun untuk meneruskan tugasnya seperti biasa.

PAGI itu sebaik kereta tuan mudanya meninggalkan rumah, Anissa bergegas ke pasar. Mencari keperluan untuk menyediakan juadah tengah hari. Jadual tugasnya yang agak kelam-kabut itu membuatkan kepalanya terasa seperti berputar. Mahu tidak mahu, dia terpaksa meneruskan tugas. Pandangan matanya yang mula berpinar membuatkan pergerakannya juga terganggu dan membuatkan kerjanya tidak lancar. Sekejap-sekejap dia mencari kerusi untuk duduk dan memejamkan mata untuk seketika. Perlahan-lahan, dia tetap meneruskan tugasnya. Mengemas, memasak dan mencuci pakaian.

Dalam keadaan kepalanya yang semakin terasa berat, dia menjenguk jam dinding yang tergantung di ruang makan. 12.30 minit tengah hari. Terdengar deruman enjin kereta di halaman. Dia bergegas menyiapkan kerjanya. Tangannya pantas mencapai pinggan mangkuk dari rak. Menghidangkan makanan di atas meja.

Tanpa sempat dia membuka pintu, tuan mudanya masuk ke dalam rumah. Duduk di atas sofa. Televisyen dihidupkan. Namun bunyi pinggan mangkuk yang berlaga di dapur mengganggu fokus menontonnya.

Seketika, Anissa terkejut. Satu tubuh tercatuk di belakangnya. Walau ekor matanya dari tadi mencari bayang tuan mudanya itu tetapi tidak disangka dia akan muncul di situ.

"Errr... Makanan saya dah hidangkan, encik," beritahunya sambil menoleh sedikit ke belakang. Tetapi pandangan matanya tidak mencecah ke jasad tersebut. Entah mengapa berat benar hatinya untuk memandang ke wajah itu, dia tidak tahu. Yang penting, dia tidak perlu buat begitu.

"Awak tak balik lagi?" soal Harris sambil membuka peti sejuk mencapai sebotol jus oren.

"Sekejap lagi, encik. Saya terlewat sikit hari ni, pergi pasar tadi."

"Awak balik lambat ni, anak-anak awak siapa yang uruskan?"

"Adik saya ada," bohongnya.

Harris diam. Sebiji gelas dicapai. Menuang minuman tersebut ke dalam gelas dan menyimpan semula botol berisi jus itu ke dalam peti sejuk.

Melihat sikap tuan mudanya itu, Anissa dua kali ganda diam. Dia tahu, bagi tuan mudanya itu, tidak ada apa yang hendak diperkatakan. Memang sepatutnya dia pergi ke pasar pada waktu pagi. Tapi sekiranya dia terlewat untuk pulang ke rumah, itu adalah masalahnya sendiri.

"Kalau macam tu, mulai esok awak kena pergi ke pasar waktu petang. Beli semua keperluan sebelum awak balik. Taklah awak terlewat untuk balik ke rumah nanti."

"Tapi..."

Kata-kata Anissa terhenti saat sepasang mata di hadapannya itu berpaling memandangnya.

"Kenapa?"

"Kalau saya beli awal-awal nanti dah tak segarlah. Encik tak kesah ke?"

"Sehari aje."

Tekaan Anissa meleset. Lelaki asing itu agak bertimbang rasa. Terkebil-kebil matanya mengekori langkah sepasang kaki itu ke ruang makan.

Tengah hari itu bermenukan sup ayam, telur dadar, asparagus masak tumis dan sambal belacan, tuan mudanya makan penuh berselera.

Walaupun hati Anissa diketuk resah tetapi dia terpaksa meneruskan kerjanya yang belum selesai. Satu per satu pinggan mangkuk dan periuk belanga yang telah digunakan dicuci. Seluruh ruang yang telah digunakan untuk menyediakan makanan dibersihkan. Dapur juga turut dibersihkan. Jangan ada sisa makanan atau kotoran lain yang tertinggal. Jangan sampai ditegur oleh si tuan rumah. Malu!

Selesai menjamah makanan, Harris meminta secawan kopi. Segera Anissa menghantar ke ruang tamu. Ketika meletakkan cawan di atas meja, dari ekor mata dia dapat melihat Harris sedang berdiri di pintu bilik memandang ke arahnya.

"Awak tak sihat ke, Seri?"

Tiada jawapan.

"Awak sakit ke?" soal Harris lagi, mendekatinya.

"Saya tak apa-apa, encik," jawabnya perlahan. Melihat tuan mudanya itu yang semakin merapatinya dia segera beredar dari situ. Masuk ke biliknya. Sebentar kemudian dia bergegas keluar menuju ke ruang tamu dan terus ke pintu utama.

"Sa... Saya balik dulu, encik."

Harris menoleh. Nada suara pembantu rumahnya itu sedikit berbeza. Sambil tangan mencapai alat kawalan jauh televisyen di atas meja, dia mengekori langkah Anissa dengan pandangan mata. Sebaik dia hendak melabuhkan punggung di atas sofa tiba-tiba matanya tertangkap tubuh Anissa yang rebah di pintu.

"Seri!" Harris menerpa.

"Seri! Kenapa dengan awak ni?" Tubuh Anissa dipaut. Wajah yang pucat lesi itu dipandang tepat.

"Saya tak apa-apa, encik," balas Anissa sambil tangannya terkais-kais mencari sesuatu untuk berpaut.

"Seri, kenapa ni?" Melihat Anissa yang terus berdalih, Harris terus mendesak.

"Tak apa-apa? Sampai rebah macam ni pun awak masih kata awak tak apa-apa?" Suaranya mula meninggi.

"Saya nak balik..."

"Tak! Tak boleh! Tak boleh! Saya tak benarkan! Awak tak boleh memandu dalam keadaan macam ni."

"Saya kena balik..." Dengan kelopak mata yang seakan-akan tidak mampu diangkat, Anissa terus merayu. Menolak tangan Harris yang ketika itu melutut, memangku tubuhnya. Dia cuba bangun tetapi kakinya yang terlalu lemah untuk berdiri menyebabkan dia rebah semula.

Harris pantas menyambar kedua-dua lengannya. Sebelum tangan yang lemah itu menolaknya sekali lagi, dia terus menyauk sebelah tangannya di belakang gadis itu dan sebelah lagi di bawah lututnya. Anissa tidak mampu menghalang. Sepenuh tenaga, Harris mengangkatnya dan membawanya ke ruang tamu. Pandangan yang terasa berputar memaksa Anissa menutup rapat matanya. Saat itu tubuhnya yang lemah terasa seperti melayang ke udara.

"Saya bawa awak ke klinik, ya?" soal Harris cemas sebaik membaringkan Anissa di atas sofa.

"Tak payah encik, tak payah. Saya cuma pening aje," jawabnya antara dengar dengan tidak sambil tangannya memicit-micit kuat dahi yang terselindung di sebalik tudung.

"Kalau awak tak sihat bagi tau saya, awak tak perlu datang bekerja," ujar Harris sedikit kesal sewaktu membetul-betulkan kedudukan kepala Anissa. Sebiji kusyen kecil diletakkan perlahan-lahan di bawah kepala Anissa.

"Saya call suami awak, ya?" soalnya penuh simpati.

Anissa pantas menggeleng. Melihat wajah yang pucat lesi dengan bibir yang seakan-akan kebiru-biruan di hadapannya itu, Harris semakin kebingungan.

"Saya kena call suami awak, nak suruh dia datang ambil awak. Takkan awak sakit macam ni pun dia tak nak ambil tahu?" Dia mula mendesak. Kebimbangan mula menyelinap dalam hatinya saat itu. Bimbang sekiranya keadaan pembantu rumahnya itu semakin teruk. Apa akan jadi sekiranya perempuan itu pengsan tiba-tiba? Memang dia boleh hantar ke hospital tetapi siapa yang harus dia hubungi? Dia mula cemas.

Tanpa mengendahkan Anissa yang terus-terusan menggeleng kepala, Harris lantas bergegas ke pintu mencapai telefon bimbitnya yang tadi tercampak jauh. Segera mendapatkan Anissa semula.

"Apa nombor telefon suami awak? Nama dia? Seri? Seri?" Harris menggoncang-goncang bahunya.

Anissa terus diam. Kelopak matanya yang tadi dipaksa untuk dibuka kini tertutup rapat. Hanya dadanya sahaja yang berombak lembut.

Harris menghela nafas panjang. Terus berteleku di situ. Memejamkan matanya seketika. Meneguk liurnya. Sekujur tubuh di sisinya cuba dielakkan dari matanya. Namun desah nafas gadis itu tiba-tiba mengejutkannya. Pantas dia bangun. Mencapai tangan Anissa, menggoncangnya perlahan.

"Seri? Seri?"

Melihat pembantu rumahnya itu terus meresah-resah hati Harris bertambah bimbang. Dalam keadaan seperti itu dia tidak dapat berbuat apa-apa. Namun hatinya sedikit lega apabila beberapa minit kemudian dia lena semula.

Tanpa sedar sepasang matanya luruh ke wajah tersebut. Seraut wajah yang saban hari terkurung dalam lingkaran wajah yang ketat dan keras. Seolah-olah sarat dengan persoalan hati yang sarat dan sendat. Seraut wajah yang... Sebenarnya indah!

Hatinya seperti tidak dapat menerima kenyataan yang pemilik wajah itu telah memiki dua orang cahaya mata.

Dalam pertarungan hati yang tidak dapat ditafsir, mata lelakinya menjalar ke tubuh yang terkulai itu. Sepasang lengan yang kecil itu seakan-akan hanya ditampung oleh semangat untuk membolehkan dia menguruskan segala kerja.

Tiba-tiba pandangannya terhenti. Perlahan-lahan tangannya mencapai tangan yang terdedah itu. Dibawa dekat ke matanya. Jelas kelihatan bengkak yang kemerah-merahan di perut-perut jari yang runcing itu. Sambil matanya memandang ke arah sepasang mata yang masih terpejam itu, tangannya mencapai sebelah lagi tangan yang terlekap di tubuh itu. Perhalan-lahan dia memalingkan telapak tangan tersebut. Sama. Perut-perut jari yang juga kemerah-merahan. Hatinya tertanya-tanya.

BEBERAPA minit telah berlalu. Harris tenggelam punca. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Sekejap duduk, sekejap berlegar-legar di ruang tamu. Sesekali menoleh ke arah tubuh yang layu itu. Hendak menyentuh, mengusap air ke wajah itu? Dia tidak berani. Hendak membawa pembantu rumahnya itu ke hospital? Bimbang akan timbul salah faham di pihak suami. Apa yang mampu dilakukan hanyalah menambahkan kelajuan putaran kipas siling yang dirasakan terlalu perlahan hingga menyebabkan dia berpeluh-peluh.

Setengah jam kemudian, Anissa menggerak-gerakkan tubuhnya. Perlahan-lahan dia membuka mata. Segera Harris mendekati. Duduk di sisinya. Lega hatinya apabila melihat pembantu rumahnya itu mula membuka mata.

"Saya tertidur ke, encik?" Dia bersuara lemah. Perlahan-lahan mengangkat tubuh.

Harris diam. Matanya legat memandang muka yang sedikit kemerah-merahan itu.

"Awak hampir pengsan tadi," jawabnya sekilas.

"Pagi tadi awak sarapan tak?" soalnya semula dengan nada lebih serius.

Anissa mengangguk.

"Awak jangan tipu saya, Seri. Setiap pagi awak sampai awal ke sini, awak sarapan atau tidak?"

Anissa diam. Dari reaksi itu Harris telah berjaya menghidu. Tambahan pula dia juga yang mengaku bergegas ke pasar dan sehingga jam sebegitu lewat dia masih belum pulang untuk makan tengah hari. Bermakna perutnya benar-benar kosong.

Harris bangun menuju ke dapur. Beberapa minit kemudian, muncul semula di ruang tamu dengan sepinggan nasi dan segelas air kosong di tangan.

"Seri, awak makan sikit, ya?" ajaknya.

Gelas berisi air kosong dihalakan ke mulut Anissa. Seketika, pandangan mata mereka bertaup. Segera Harris melarikan wajahnya. Saat itu degup jantungnya tidak lagi senada. Dengan kekuatan yang dikumpul semula, sudu berisi nasi berkuah sup ayam dihalakan ke mulut Anissa.

Terasa dirinya bagaikan patung cendana, Anissa terus tegak di situ. Terpaksa terus membuka mulut apabila sesudu demi sesudu nasi dihalakan ke mulutnya.

"Awak kena makan, kalau perut awak terus kosong, tak ada tenaga, macam mana awak nak memandu balik ke rumah nanti?" ujar Harris seakan-akan memujuk sambil tangannya menguis cebisan makanan yang bersisa di bibir gadis itu dengan sehelai tisu. Sedaya upaya hatinya menahan gelora dek pandangan dari sepasang mata yang masih layu di hadapannya itu. Pandangan yang penuh kesal dan tanda tanya.

"Isteri orang tu, Harris..."

Tiba-tiba satu suara seakan berbisik di telinganya. Serentak dia melarikan wajahnya dari pandangan mata tersebut. Hatinya tersenyum malu. Malu kerana terbuai dengan perasaannya sendiri seketika.

Pura-pura bersahaja untuk menutup perasaan malu, sesudu lagi nasi dihalakan ke mulut Anissa, tetapi gadis itu pantas menggeleng. Sekilas wajah yang masih layu di hadapannya itu dicuri pandang sebelum tangannya mencapai gelas di hadapannya. Sebaik tangan Anissa cuba mencapai gelas yang hampir ke mulutnya, Harris menolak tangannya. Bagaikan terpaksa air kosong dari gelas yang diletakkan di bibirnya ditelan perlahan.

Langkah tuan mudanya ke dapur dengan sebiji pinggan dan gelas di tangan dipandang penuh kesal oleh Anissa. Tidak sangka sama sekali keadaan telah bertukar, telah menjadi serumit itu.

"Awak rehatlah dulu. Saya nak ke pejabat."

Anissa yang masih layu di atas sofa sekadar memandang ke arah tuan punya suara tersebut. Tidak mampu berkata apa. Tetapi dia terkejut apabila lelaki itu tiba-tiba terjengul semula di hadapannya. Membetul-betulkan lengan baju kemejanya yang tidak terurus dek insiden sebentar tadi.

"Pastikan awak betul-betul okey kalau nak memandu. Kalau tak, call aje sesiapa yang boleh datang ambil awak di sini," sarannya sebelum melangkah semula ke pintu.

Derap sepasang kaki itu menuju ke pintu melegakan hati Anissa. Tetapi andaiannya meleset lagi. Lelaki itu menghampirinya semula. Duduk semula di hadapannya. Terasa dirinya ditenung lama, seakan-akan ada persoalan yang belum selesai. Anissa mengangkat wajahnya.

"Awak sakit ke, Seri?" Dengan kedudukan sedikit membongkok dan kedua-dua tangan ditemukan, lelaki itu seakan masih tidak puas hati, mencari jawapan.

Dia menggeleng perlahan.

"Awak kena berterus terang dengan saya," ujarnya perlahan.

"Saya tak mahu insiden seperti ini berulang lagi. Awak berada dalam rumah saya. Awak bekerja untuk saya. Jadi saya harus bertanggungjawab atas semua kemungkinan yang berlaku. Kalau masa awak rebah saya tak ada di rumah... Macam mana? Kalau terjadi apa-apa pada awak, apa saya nak jawab pada suami awak?"

Nafas Anissa terasa terhenti. Bukan ini yang aku pinta, Ya Allah... rintih hatinya.

"Kalau awak sakit, bagi tahu saya, awak tak perlu datang bekerja."

Anissa mengetap bibir. Wajah yang gusar itu tidak mampu dipandang.

"Saya minta maaf, encik. Saya janji semua ni tak akan berulang lagi," ucapnya penuh kesal. Saat itu terasa seperti air mukanya tersimbah ke lantai. Dia masuk ke rumah itu untuk bekerja. Bukan minta untuk diperlakukan sebegitu. Dia datang dengan maruah. Tidak ada apa yang diharapkan dari rumah itu selain keringatnya dibayar. Itu sahaja. Lelaki itu tidak ada kena-mengena dengan dirinya. Apatah lagi dengan urusan hidupnya. Jangan sampai ada yang salah faham dengan apa yang telah berlaku. Bukan pintanya sepasang tangan itu merangkulnya. Bukan pintanya lima jari itu menyuap makanan ke mulutnya.

"Lepas ni awak sarapan dulu sebelum mula kerja. Saya tahu awak tak sempat bersarapan di rumah. Awak masak lebih sikit untuk makan tengah hari. Kalau tak sempat makan tengah hari di rumah, awak makan saja di sini. Jangan biar perut tu kosong," ingatnya lagi.

Sepasang mata Anissa tegak memandangnya.

"Tak boleh, encik. Saya masak untuk encik, bukan untuk saya."

"Apa? Jadi selama ni... Awak tak pernah makan di sini?"

Anissa geleng.

"Sarapan pun?"

Anissa geleng terus.

Harris terdiam. Sambil melepaskan nafas yang panjang dia mendorong tubuhnya sedikit ke belakang. Seakan-akan sudah tahu punca masalah.

"Maksudnya, setiap pagi awak tak sarapan?"

"Kalau sempat saya sarapan di rumah."

"Habis tu, setiap kali awak sediakan makan tengah hari untuk saya, baki masakan awak tu? Awak..."

"Saya buang."

Harris terus tersandar di kerusi.

"Masya-Allah... Seri... Seri..."

Sepasang wajah yang semakin kemerah-merahan di hadapannya direnung tepat. Perasaan hairan, sedikit marah, datang silih berganti dalam hatinya saat itu.

"Rezeki tu Seri, awak buang?"

"Bukan rezeki saya kalau hak orang lain, encik," balasnya.

Harris terdiam. Dia pula rasa bersalah sebab terlupa untuk ingatkan semua tu. Memang betul, hak orang. Masya-Allah... Jujurnya...

Dengan penuh rasa kesal, Harris membongkokkan tubuhnya sedikit ke hadapan. Merenung tepat ke muka Anissa.

"Lain kali, awak masak lebih sedikit. Kalau tak sempat makan tengah hari di rumah, awak boleh makan di sini. Kalau ada makanan lebih, awak bawa balik ke rumah. Saya izinkan. Jangan bazirkan makanan. Berdosa. Faham? Jangan sampai tak makan pula, saya tak nak awak tumbang lagi macam tadi. Saya tak nak suami awak salah anggap pada saya nanti. Pagi sebelum mula kerja, awak sarapan dulu. Sediakan sarapan lebih."

Saat itu terpancar resah di wajah Anissa. Namun sengaja tidak mahu diberi perhatian oleh lelaki itu.

"Saya nak ke pejabat. Kalau awak rasa dah cukup sihat, awak baliklah. Tapi kalau belum, lebih baik awak berehat dulu. Saya mungkin balik lambat sikit petang ni," beritahunya sambil berlalu dari situ.

Anissa masih tidak mampu mengangkat punggung. Sekadar mengangguk dan menghantar majikannya itu ke muka pintu dengan pandangan mata.

"Saya pergi dulu."

Belum sempat dia berpaling semula, daun pintu sudah tertutup rapat. Serentak dengan hela nafas yang sarat, Anissa tersandar di sofa.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro