Bab 10
HARI terus berlalu. Sudah dua minggu Anissa bekerja di rumah yang terletak berhampiran golf resort itu.Terlalu penat rasanya. Semakin hari badannya semakin lemah. Tetapi dia perlu menyembunyikan semua itu daripada pandangan mata emaknya. Kekuatan dia bererti kekuatan emaknya. Lelah di wajahnya bererti lelah dalam hati emaknya. Dia tidak izinkan semua itu berlaku. Tekanan hanya akan memburukkan lagi keadaan kesihatan emaknya. Dia tidak mahu keadaan menjadi lebih menekan. Sambil tangan terus memaut stereng kereta menunggu lampu hijau menyala, dia menarik nafas dalam-dalam dan melepaskannya perlahan-lahan.
Perodua Kancil putih yang dipandu bergerak perlahan-lahan memasuki halaman rumah. Derap tayar ketika melalui hamparan batu-batu kecil sebaik melepasi jalan berturap membuatkan ketibaannya disedari oleh sepasang telinga yang berada di dalam rumah tersebut.
Brek tangan ditarik. Merenung seketika ke serambi. Sebaik naik ke rumah didapati Aqil tiada. Memang betul tekaannya. Biasanya bila keretanya berlabuh di halaman, si bongsu itulah yang akan menyambutnya di muka pintu. Tersengih-sengih mempamer giginya yang jarang.
Dia pantas bergegas masuk ke dalam bilik emaknya. Lega hatinya melihat orang tua itu yang sedang solat. Perlahan-lahan Anissa melabuhkan punggung di hujung katil melepaskan lelah yang masih bersisa.
"Anis..."
Mata Anissa terbuka. Emaknya yang telah selesai solat berpaling memandangnya.
"Kesiannya anak mak ni."
Anissa menggosok-gosok mata. Meregang-regangkan tubuhnya. Entah berapa minit dia terlelap di situ, dia tidak pasti. Lantaran kepenatan seharian bergegas ke sana ke mari, dengan bersandar di dinding pun matanya boleh terpejam.
"Mak dah selesai solat?"
Surinah menggeleng-gelengkan kepala melihat anak gadisnya itu yang terus-terusan menguap. Wajah kepenatan itu direnung sayu. Namun renungan yang seakan-akan berbicara itu tidak disedari oleh Anissa yang leka menggosok mata mengantuknya.
"Dah. Dah lewat ni, dah nak masuk waktu maghrib pun. Anis dah solat asar?"
Soalan emaknya tidak berjawab sebaliknya hanya mengangguk sekilas dan menjenguk-jenguk ke luar bilik.
"Kenapa mak solat asar lewat sangat hari ni? Aqil mana?" soalnya mula musykil dengan ketiadaan adik bongsunya itu di rumah pada waktu sebegitu.
"Entahlah, katanya nak ke padang tadi. Sekejap lagi baliklah tu."
Hati Anissa mula berkata-kata.
"Padang? Padang mana dia pergi, mak? Kalau padang bola yang dekat ni takkan sampai masa ni pun dia tak balik lagi," soalnya musykil. Sangat mustahil. Biasanya hero kecil emaknya itu akan bersedia untuk memimpinnya ke bilik air setiap kali tiba waktu solat. Baik ada makna. Selesai emaknya dan dia bersolat, sekiranya berkeinginan dia akan 'melompat' ke padang bermain bersama rakan-rakan sebayanya.
"Biar betul Aqil ni? Ke padang ke... Ke mana?" rungutnya sendirian tidak puas hati dengan jawapan emaknya itu. Matanya melingas memandang sekeliling.
"Kejap lagi baliklah tu."
"Ni, mak jalan sorang-soranglah ke bilik air?" Dia masih tidak puas hati.
"Boleh... Mak bertongkatlah dengan kerusi ni, bukan jauh pun."
"Masya-Allah... Budak Aqil ni!" Hatinya tiba-tiba panas mendengar jawapan orang tua itu. Jawapan yang membuatkan fikirannya melayang ke insiden yang sangat dibimbanginya. Satu demi satu anak tangga untuk turun ke bilik air itu tertayang di kepalanya.
"Tak apa, Nis... Mak larat, mak boleh jalan pelan-pelan. Kalau terasa sakit mak duduklah sekejap."
Anissa mengetap gigi.
"Nak kena budak ni!"
"Sudah. Sudah. Mak tak apa-apa. Dah nak masuk waktu maghrib dah ni. Pergilah mandi."
Asakan emaknya memaksa Anissa menyimpan semula amarahnya. Namun sambil mengayunkan kaki ke bilik air, muka adiknya itu yang sedang terkebil-kebil memandangnya sebagai tanda bersalah semakin jelas di kepalanya. Siap kau balik nanti! Hatinya memberi amaran.
Usai solat maghrib, telinga Anissa menangkap bunyi derap kaki di hadapan biliknya dipijak perlahan-lahan, satu per satu.
"Aqil?"
Bunyi derap hilang.
"Aqil!" Nada suara Anissa semakin meninggi.
"Ya, kak ngah." Satu suara yang sedikit bergetar menjawab panggilannya.
"Aqil ke mana tadi?" Dia yang masih duduk berteleku di atas sejadah berpaling ke pintu. Hendak saja rasanya dia menerkam si kurus itu. Geram!
"Aqil pergi padang. Tadi masa nak balik, basikal Hadi rosak. Aqil tolong dia baiki."
Hadi? Hadi yang mana satu? Tiba-tiba pula keluar nama Hadi? Setahu aku, Hadi tu anak Haji Zabri yang ada ladang kelapa sawit berekar-ekar tu. Sejak bila pula Si Hadi anak orang kaya tu naik basikal? Motosikal dia saja setahun sebiji dibelikan oleh ayahnya. Anissa menggaru-garu kepalanya yang gatal tiba-tiba.
"Qil... Dah tu, pergi mandi. Solat."
Suara emaknya sekali gus membuatkan lantai rumah berderap kencang, dari biliknya hingga ke dapur. Diikuti dengan bunyi siraman air sambung-menyambung di bilik mandi.
SEWAKTU makan malam, Anissa terus-terusan menjeling adiknya yang duduk berhadapan dengannya di meja makan. Aqil yang sedari tadi tunduk tanpa berkata apa-apa terus menyuap nasi ke mulut. Surinah yang duduk di antara mereka perasan keadaan itu tetapi dia hanya mendiamkan diri. Bukan itu masanya untuk dia menegur anak perempuannya itu. Malah sebelum anak bongsunya keluar dari rumah petang itu lagi dia sudah maklum keadaan seperti itu akan berlaku.
Sebaik makanan di pinggan habis, si kecil itu segera bangun membawa pinggan ke dapur. Muka kak ngahnya yang dari tadi seperti hendak menelannya sempat dijeling dengan ekor mata.
"Anis tak percaya dia pergi ke padang, mak," bisiknya sebaik Aqil beredar dari situ.
"Sudahlah tu..." Si ibu terus cuba meredakan amarah si anak.
"Anis cium baju yang dipakainya tadi. Hangitnya semacam. Bukan bau padang! Bau ladang!"
"Anis, janganlah marah adik sampai macam tu sekali, biarlah kalau dia nak belajar berdikari."
"Jadi, mak taulah dia ikut Pak Haji Zabri ke ladang?" Suara Anissa keras tiba-tiba. Terkejut.
"Mak tau, dah dia beria sangat nak ikut. Petang tadi, pak haji datang lagi ke rumah ni, ajak dia pergi. Dia nak tolong Aqil cari duit poket katanya, macam mana mak nak halang?"
Anissa terdiam. Rasa terhenyak. Tegak matanya memandang emaknya. Seketika kemudian dia menghela nafas berat. Betul tekaannya. Patutlah sewaktu Aqil pulang, emaknya tidak bertanya sebarang soalan. Jauh lagi untuk menegurnya.
"Janganlah benarkan dia ikut pak haji tu mak, Anis takut apa-apa terjadi pada dia dalam hutan tu. Dahlah hutan, dengan pendatang asing yang entah dari ceruk mana masuk ke situ." Dia mula melepaskan rasa kesalnya. Kesal kerana emaknya seperti tidak memahami risiko yang terpaksa dihadapi oleh Aqil di kawasan seperti itu.
"Itu kan pekerja Haji Zabri...."
"Mak, dalam hutan tu macam-macam jenis orang boleh bersembunyi. Entah siapa-siapa lagi yang ada dalam tu kita tak tahu, mak. Sekarang ni macam-macam perkara pelik berlaku, Anis risau!" Sejelas mungkin Anissa cuba menerangkan alasan kebimbangannya.
"Mak tau Anis bimbangkan keselamatan Aqil tu. Mak pun tak suka dia pergi. Tapi, cakaplah baik-baik dengan dia. Dalam keadaan sekarang ni, dia hanya ada Anis. Kalau dia tak dapat perhatian daripada Anis, kalau Anis terus-terus marah dia, mak bimbang dia akan lebih tertekan. Lebih bahaya kalau dia jadikan kawan-kawan tempat mengadu. Anis kena faham tu."
Anissa diam. Terasa lemah apabila intonasi suaranya yang tinggi dibalas dengan nada yang mendatar oleh emaknya.
"Mak tengok sikap Aqil ni saling tak tumpah seperti sikap abang cik dia. Bertanggungjawab, tak suka buang masa. Macam dia dapat rasa beban tanggungjawab kak ngah dia cari rezeki untuk keluarga. Sanggup tinggalkan pelajaran, berkejar ke sana ke mari, langsung tak ada ruang untuk fikir pasal diri sendiri."
Beralas sungguh Surinah berbicara demi menjaga dua hati yang menjadi mutiara hidupnya selama ini. Sebagai ibu, dia tidak pernah mengajar anak-anaknya untuk menghukum antara satu sama lain. Memang Aqil yang bersungguh-sungguh hendak mengikut orang tua itu walau dia cuba menghalang. Tetapi si kakak tidak harus tahu semua itu. Menyelesaikan satu masalah bukan bermakna meletakkan masalah itu pada pihak yang lain. Bagai hendak menarik rambut dalam tepung. Rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
MALAM masih awal. Selesai memberikan ubat kepada emaknya, Anissa ke ruang tamu. Merenung sekeliling, semuanya seakan-akan kusam. Akibat terlalu sibuk, dia tidak ada masa untuk mengganti sarung kusyen. Bunga matahari plastik kesayangan emaknya juga telah berhabuk. Perlu dicuci. Hendak minta Aqil tolong cucikan? Emmm... Alamat tak bersihlah...
Memandang ke dinding, beberapa buah bingkai gambar yang tergantung seperti telah pudar. Dia segera mengambil sehelai kain. Satu per satu bingkai itu dibersihkan. Gambar Afif ketika di sekolah rendah, gambar Aqil ketika majlis penyampaian hadiah di sekolah, gambar emak dan ayah semasa muda dan akhir sekali gambar arwah abang longnya ketika usia sekitar sembilan tahun bersama anak angkat emaknya. Di hadapan rumah lama mereka. Muka nakal!
Perlahan-lahan Anissa mengusap wajah abang longnya. Saling tak tumpah seperti wajah emak. Kata orang, kalau anak lelaki wajahnya mirip emak bererti baik, berhati sejuk. Tapi menurut apa yang diceritakan oleh emaknya sendiri, abang longnya nakal! Sama naik perangainya dengan anak angkat kesayangannya itu. Ah, budak-budak, kalau dah dapat kawan, yang baik pun boleh tumbuh tanduk! Saat itu wajah Aqil terjengul di kepalanya.
"Anis rasa, Aqil ni ikut perangai abang longlah," bicaranya sendiri dalam senyum.
Merenung wajah di sisi arwah abangnya, saiz tubuh hampir sama. Kulit sedikit cerah dengan raut muka sedikit bujur. Cara mereka saling meletakkan tangan di bahu jelas menunjukkan keakraban yang terjalin. Abang Fahmi! Nama yang sering meniti di bibir emak. Seakan-akan harapan emak untuk bertemu dengannya tidak pernah pudar. Malah, dalam doa emak untuk anak-anaknya, nama itu tetap terselit.
Kasih sayang emak terhadap Abang Fahmi sampai ke syurga. Tapi apakan daya, Abang Fahmi bukan darah daging emak, dititipkan pada emak dan arwah ayah hanya untuk seketika. Beritahu emak, saat Abang Fahmi dibawa pergi jiwa emak bagaikan melayang. Mujur ketika itu dia telah wujud di dunia sebagai pengganti rindu. Setahun demi setahun, bila Seri Nur Anissa, Mohd Afif dan Mohd Aqil muncul dalam hidup emak, barulah hati emak lebih tenang. Pernah emak bersuara meminta Afif diberi nama Mohd Afif Fahmi, tetapi ayah menolak dengan alasan tidak mahu emak terus hidup dalam bayangan.
Sedang leka merenung wajah-wajah tersebut, tiba-tiba telinga Anissa menangkap sesuatu. Aqil terbatuk-batuk di biliknya. Kain di tangan diletakkan di atas meja. Dia menuju ke bilik tersebut. Langsir yang diikat ke sisi dikuak sedikit.
"Aqil," sapanya.
Diam. Seperti sudah tidur.
"Jangan tipu kak ngah. Kak ngah tau Aqil belum tidur lagi."
Serentak, selimut lusuh yang menutup seluruh tubuh kecil itu bergerak-gerak. Anissa memerhati gelagat adik bongsunya itu. Perlahan-lahan bahagian selimut yang menutup mukanya melorot ke bawah menampakkan sepasang matanya. Dengan wajah kesal, Anissa duduk di birai katil. Terus memandang ke wajah yang sedikit ketakutan itu.
"Berapa dapat hari ni?" soalnya lembut.
Perlahan-lahan tangan kurus itu menarik selimut tersebut ke bawah menampakkan bahagian kepalanya. Terkebil-kebil matanya memandang si kakak.
"130 ringgit," jawabnya takut-takut.
Jantung Anissa terasa terhenti. Serentak dahinya berkerut. Senyum. Cuba menyembunyi rasa terkejut.
"Banyak tu. Berapa lama Aqil ambil masa untuk kumpul sampai banyak macam tu?" soalnya lembut cuba menarik perhatian si adik.
"Lima jam."
Tersentak jantung Anissa. Lima jam? Saat itu dia terbayangkan bagaimana adiknya yang kurus itu terkejar-kejar mengutip sebutir demi sebutir buah kelapa sawit yang bersepah di atas tanah sambil mengheret sebuah guni yang mungkin lebih panjang berbanding ketinggiannya dan lebih besar berbanding saiz tubuhnya. Dan bagaimana adiknya itu menarik guni yang agak berat itu mencari-cari traktor pengangkut buah yang sesekali lalu di situ untuk menumpang pergi ke tempat penimbang. Entah berapa kali adiknya itu berulang-alik ke kawasan tersebut mengheret sebuah guni besar di tangan.
"Kak ngah..." Aqil perlahan-lahan bangun apabila melihat kak ngahnya tersandar di dinding dengan air mata yang berjurai.
"Aqil minta maaf, kak ngah... Aqil tak pergi dah lain kali..."
Anissa segera mengesat matanya dengan tapak tangan. Perasaannya yang selama ini dipendam tidak lagi dapat ditahan.
"Aqil bukan nak susahkan kak ngah... Aqil... Cuma nak tolong, kesian kak ngah kerja sorang-sorang. Nanti nak masuk asrama, kak ngah boleh guna duit tu untuk beli barang-barang Aqil..." Lengan kak ngahnya digoyang-goyang.
Penjelasan ikhlas itu membuatkan air matanya semakin lebat gugur ke pipi. Nafas yang ditarik terasa berat. Esakan yang semakin sarat cuba ditahan dari menerobos ke bilik emaknya. Seketika, dia hilang kata-kata.
Kepala si bongsu itu diusap perlahan.
"Kak ngah faham niat Aqil. Tapi tempat tu bahaya Qil, dalam hutan tu ada ular, lipan, kala jengking, babi hutan, macam-macam lagi. Kalau jadi apa-apa pada Aqil, siapa yang susah? Aqil, mak, kak ngah, kak lang, abang cik, semua orang akan susah. Aqil faham tak?" Kata-katanya tersekat-sekat. Sedaya upaya dia cuba menahan gelodak hatinya saat itu. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu adik bongsunya itu melihat dia sebagai seorang yang kalah. Getar dalam dada cuba ditahan. Menyembunyikan kesal, marah dan simpati yang bersabung dalam hati.
Aqil hanya mendiamkan diri. Terkebil-kebil memandang kak ngahnya.
"Kak ngah tau Aqil perlu duit, tapi bukan masanya sekarang untuk Aqil cari duit sendiri. Itu tanggungjawab kak ngah. Kalau betul Aqil nak bantu kak ngah, tolong jaga mak. Tunggu rumah, jangan pergi mana-mana. Itu dah cukup bernilai pada kak ngah, pada mak. Mak kan sakit. Kalau Aqil tak ada di rumah, kalau terjadi apa-apa pada mak, siapa nak tolong?"
Sepasang mata kecil yang berbaur rasa kesal itu terkebil-kebil memandangnya.
"Boleh janji dengan kak ngah?"
Si adik laju mengangguk.
"Jangan masuk hutan lagi, ya? Jangan ikut pak haji tu lagi lepas ni. Sementara Aqil tak duduk di asrama ni, temanlah mak. Nanti Aqil dah dapat duduk di asrama susah nak balik jumpa mak." Anissa mencari helah.
Aqil terus mengangguk pantas dengan wajah bersalah.
Anissa melepaskan nafas panjang. Dia keluar dari bilik tersebut. Tidak sanggup lagi dia menatap wajah itu lebih lama. Marah dan kesal berbaur. Kenyataan adiknya itu selama ini dianggap nakal sebaliknya meruntun hatinya.
Saat itu dia rasa benar-benar kalah!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro