Bab 9
SENYUMAN Faris dibalas sebaik sahaja Fatin melangkah masuk ke dalam bilik itu. Dia duduk di sisi katil Faris. Sejak dia mengetahui berita mengenai penyakit Faris, perasaan sayang dia semakin bertambah. Macam mana sabarnya anak muda itu menghadapi semua ini, langsung tak mengeluh dan tidak pernah sekali pun dia tidak bercakap mengenai kematian, mengingatkan aku dan juga dirinya.
Melihatkan seraut wajah tenang milik Faris membuatkan Fatin rasa tenang. Budak ni memang tabah. Sejak semalam juga dia sudah buat keputusan untuk membantu Faris.
"Akak kagum dengan Faris." Empat patah perkataan itu berjaya membuatkan Faris pelik.
"Kenapa?"
"Faris langsung tak pernah mengeluh walaupun Faris sakit, walaupun Faris sedih." Wajah Faris yang memandangnya pelik dipandang. Dia tahu remaja itu masih lagi terpinga-pinga dengan kata-katanya.
"Akak dah tahu semuanya. Akak terkilan sebab Faris sanggup rahsiakan penyakit Faris dari akak. Akak ingatkan Faris sayangkan akak." Suaranya mula mengendur. Faris menghela nafas. Riak wajahnya berubah sedikit. Terkejut tapi dia sudah boleh mengagak yang berita tentang penyakitnya akan singgah di telinga Fatin juga.
"Akak jangan salah faham. Faris sayangkan akak. Faris bukan sengaja nak rahsiakan, Faris tak nak orang sekeliling Faris risaukan Faris. Faris boleh tanggung semua ni. Semua ni hanya ujian Allah, Dia sayangkan Faris sebab tu Dia uji Faris." Tenang remaja itu menjawab. Langsung tidak rasa terbeban dengan ujian yang dihadapinya. Kenapalah dia tak boleh jadi macam tu?
"Akak tahu... Kenapa Faris tak nak teruskan pembedahan itu?"
Faris senyap. Bukan dia tak nak cuma yang menjadi masalah sekarang, duit. Pembedahan tu memakan perbelanjaan yang banyak.
"Akak tahu. Sebab wang, kan?" Faris diam. Fatin senyum. Faris bukannya tak nak cuma masalah kewangan sahaja menjadi penghalang. Anak muda tu ada cita-cita, mahu menjadi doktor, menyelamatkan ramai orang.
"Yang tu Faris jangan risau, akak dan Abang Adam tanggung semuanya." Sepantas kilat Faris mengangkat muka memandang Fatin yang sedang tersenyum. Dia tak percaya.
"Tak payahlah, akak. Faris tak nak menyusahkan akak dan abang," tolak Faris lembut. Dia memang tak nak menyusahkan gadis itu, walaupun mereka rapat tak bermakna dia boleh ambil kesempatan macam tu.
"Faris langsung tak menyusahkan akak dan abang. Faris tak nak ke berjaya macam orang lain? Kejar cita-cita Faris, balas jasa mak dan ayah Faris, buatkan akak Faris happy. Faris tak nak ke? Allah dah hadirkan akak untuk bantu Faris. Semuanya terpulang pada Faris, jangan disia-siakan peluang yang ada. Faris tahu kan yang peluang hanya datang sekali sahaja dalam hidup?" Faris menunduk mendengarkan kata-kata kakak angkatnya.
"Terima kasih, akak. Faris tak tahu macam mana nak balas budi baik akak dan Abang Adam," ucapnya perlahan. Fatin senyum.
"Akak dan Abang Adam cuma tolong apa yang termampu. Anggaplah ni amal jariah untuk Faris. Akak tak minta Faris untuk balas budi baik kami, cuma akak nak Faris belajar baik-baik. Kejar cita-cita Faris nak jadi doktor tu. Nanti bila akak sakit, bolehlah akak pergi klinik Faris, free saja." Fatin angkat kening sambil senyum. Faris turut tersenyum.
"Untuk akak manis free saja Faris bagi." Mereka ketawa. Jauh di sudut hati Faris, dia gembira dan terharu dengan keprihatinan Fatin dan Adam. Jasa baik mereka tidak akan dilupakan.
ESOKNYA, Fatin sudah bersiap sedia mahu pulang ke rumah. Cadangnya nak balik dengan kapal terbang tapi abangnya datang menjemput.
"Atin..."
Sebaik sahaja dia berpaling, badannya terus dipeluk Farah. Dia terkedu seketika sebelum membalas pelukan itu.
"Thanks for everything. Aku tak tahu macam mana nak balas budi baik kau orang." Pelukan terlerai. Wajah Farah basah dengan air mata. Tangan Fatin naik menyapu air mata yang masih lagi mengalir.
"Dahlah tak payah nangis, aku tak minta kau balas pun. Anggaplah kita orang buat amal jariah dekat kau orang. Faris tu kan dah macam adik aku, aku tak sanggup nak terus tengok dia menderita." Fatin menyambung aktiviti melipat bajunya. Abangnya sudah lama sampai, sedang berborak dengan ayah Farah di luar.
"Tapi aku tak boleh terima. Bukannya sikit kos pembedahan tu, Atin." Tak semudah itu dia akan lupakan budi baik sahabatnya. Dia sebenarnya agak terkejut apabila adiknya memberitahu mengenai hal itu semalam. Tidak sangka yang sahabat baiknya sanggup menghulurkan bantuan.
"Ara... Aku buat semua tu bukan sebab aku nak minta kau balas balik. Aku cuma nak Faris sihat. Tu saja. Kau tak payahlah nak fikir sangat." Tangan Farah dipegang. Ya, dia tahu Farah rasa terhutang budi dengannya tapi dia hanya lakukan semua itu kerana fikirkan masa depan Faris sahaja, dia tak minta pun budinya dibalas. Dia ikhlas.
"Aku..."
"Dahlah Ara, tak payahlah nak cakap pasal ni. Kau tahu kan next week aku dah fly ke France. Entah balik ke tidak aku nanti." Baju yang terakhir dimasukkan ke dalam beg sebelum dizip. Dia pandang sekeliling bilik, takut ada tertinggal barang, jenuh pula nak datang balik.
Farah baru teringat. Dia lupa seketika mengenai situasi Fatin sekarang dek terlalu memikirkan kesihatan adiknya.
"Ya Allah, Atin. Aku lupalah. Minggu depan ya? Cepatnya kau pergi." Dia pun agak terkejut apabila diberitahu mengenai kepergian Fatin ke luar negara untuk menyambung pelajaran. Jauh gila nak tinggalkan dia dekat sini.
"Kenapa Perancis? Semua universiti dekat Malaysia ni dah penuh ke sampai ke luar negara kau nak pergi?" Fatin senyum. Dah datang dah Farah yang asal.
"Entahlah. Abang aku yang aturkan semuanya. Aku ikut sajalah lagipun ada baiknya aku pergi jauh sikit dari famili aku untuk mulakan hidup baru. Mungkin," ucapnya perlahan. Sejujurnya, dia masih lagi sukar untuk melupakan apa yang telah terjadi. Sebab tu dia terima permintaan abangnya untuk masa depannya.
"Hmmm... Aku faham. Kau belajar baik-baik dekat sana nanti. Kalau ada apa-apa masalah, kau call saja aku. Aku sentiasa di sisi kau." Mereka berpelukan.
"Thanks, Ara. Kaulah kawan aku dunia akhirat."
"Kau pun. Thanks, Atin."
Pelukan terlerai. Fatin senyum sebelum beg diangkat keluar bilik. Kepulangan Fatin hari ini sudah diberitahu kepada Faris. Anak muda itu hanya tersenyum dan memberikan nasihat kepadanya. Farah mengikut dari belakang. Jasa baik Fatin dan abangnya akan sentiasa diingatinya sampai bila-bila.
"Dah siap. Okeylah, pak cik, mak cik, kami minta diri dulu." Mereka bersalam dengan Puan Atikah dan Encik Rahim. Puan Atikah memeluk Fatin erat. Dia terhutang budi dengan dua beradik ini kerana sudi menolong mereka sekeluarga.
"Atin jaga diri dekat sana, ya? Jangan segan silu telefon mak cik kalau ada apa-apa." Sememangnya dia bersimpati dengan nasib yang menimpa dua beradik ini tetapi apakan daya, semua itu telah tersurat.
"Insya-Allah, mak cik." Farah memeluknya pula.
"Take care." Fatin senyum. Dia melangkah ke arah kereta. Begnya sudah dimasukkan ke dalam bonet kereta.
"Adam, Fatin, terima kasih," ucap Encik Rahim sambil tersenyum. Fatin dan Adam tersenyum menerima ucapan itu sebelum mereka masuk ke dalam perut kereta. Tak lama kemudian, BMW hitam itu terus bergerak perlahan-lahan meninggalkan pekarangan rumah itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro