Bab 8
LANGKAH kakinya diatur menuju ke wad yang dihuni Faris. Termasuk hari ini, sudah tiga minggu Faris berada di hospital. Setiap kali dia melawat, senyuman tak pernah lekang dari bibir remaja itu, sukar untuknya menebak apa yang ada dalam fikiran Faris.
Pintu bilik ditolak perlahan. Kelihatan Faris sedang membaca majalah di atas katilnya. Ruang bilik itu kosong, hanya Faris seorang sahaja.
"Assalamualaikum. Amboi, khusyuknya membaca sampaikan akak datang pun tak sedar," usik Fatin.
"Waalaikumussalam, Kak Fatin. Mana ada, Faris sedarlah. Duduklah, kak." Majalah diletakkan di sisi katil. Senyuman dihulur kepada gadis yang memakai skirt kembang dipadankan dengan baju T labuh yang membaluti badannya dan macam biasa, sandal bunga-bunga tersarung di kakinya.
Fatin duduk di sisi Faris.
"Mana yang lain?"
"Kak Farah pergi tandas tadi, mak dan ayah datang petang nanti," jawab Faris bersama senyuman. Fatin angguk kepala. Sejak dua minggu lepas, kawan-kawan, saudara-mara dan jiran-jirannya tak habis berkunjung ke sini untuk melihat keadaannya. Semua risaukan keadaannya.
"Faris macam mana? Okey? Kenapa muka nampak pucat aje?" Wajah Faris yang kelihatan pucat itu dipandangnya. Risau dia dengan keadaan remaja itu.
"Alhamdulillah, Allah masih beri kesempatan untuk Faris bernafas. Biasalah, sekarang kan panas." Senyumnya lagi. Fatin seakan-akan dapat menghidu sedikit penipuan di situ tapi dia malas mahu bertanya sebab dia tahu jawapan yang sama akan diberikan.
"Faris baca apa tadi?" Tanyanya ingin tahu kerana dia tahu yang anak muda ini jarang mahu berenggang dengan buku. Pergi mana-mana mesti bawa buku. Tu yang dia kagum dengan peribadi anak muda ini. Rajin, pandai dan tak kedekut berkongsi ilmu.
"Owh, Faris baca majalah Solusi." Majalah itu diangkat lantas ditunjukkan kepada Fatin. Fatin membaca sekilas muka hadapan buku tersebut sebelum mengangguk. 'Biar mata membawa ke syurga.' Anak muda itu tersenyum kemudiannya.
"Faris memang betul-betul sihat ke? Akak nampak Faris macam sakit aje. Nak akak panggilkan doktor?" Dia memang betul-betul risaukan anak muda itu. Wajahnya memang sangat pucat, kalau ditoreh pun tak ada darah. Faris sakit ke?
"Eh, akak. Tak payah. Faris okeylah, biasalah muka pucat macam ni. Akak kan tahu yang Faris ni tak suka duduk dekat hospital," tegah Faris pantas. Dia memberikan alasan konkrit. Tidak mahu gadis itu risaukannya sedangkan dia memang rasa sakit sangat sekarang ni.
Fatin baru teringat yang Faris memang tak sukakan hospital. Sejak dulu lagi, sampai menangis-nangis tak nak pergi klinik. Klinik pun susah nak pergi, hospital lagilah. Haram nak nampak dia jejakkan kaki dekat sini, termasuklah datang melawat orang sakit.
"Hmmm... Faris ni penakutlah. Hospital pun takut, bukannya hospital ni telan orang," perli Fatin. Faris tersengih cuma.
Fatin hanya diam memandang wajah Faris yang agak pucat. Wajah itu nampak tidak bermaya seolah-olah menanggung beban yang berat. Dia merasakan terdapat sesuatu yang disembunyikan anak muda itu dari pengetahuannya. Bukannya dia tidak tahu yang Faris ni jenis perahsia, walaupun ada masalah seluas lautan ke, sebesar alam pun dia hanya akan senyum sahaja. Langsung tak pernah nak bercerita kepadanya.
Setelah sejam duduk menemani Faris, dia meminta diri untuk ke tandas. Hanya dibiarkan Farah menemani adiknya di dalam. Dia dapat melihat wajah Farah yang agak keruh sewaktu sahabatnya melangkah masuk tadi. Seperti ada yang mengganggu. Mungkin dia risaukan adiknya, pujuk hatinya.
Telinganya sempat mendengar Faris batuk berkali-kali sebelum pintu itu ditutup. Hatinya agak gusar sedikit tetapi cuba disedapkan, mungkin hanya batuk biasa sahaja.
FATIN melangkah keluar dari tandas. Sudah tiga minggu jugalah dia berada di kampung sahabatnya, untuk bersama-sama sahabatnya sebelum dia terbang ke Perancis. Minggu depan dia akan bertolak mengikut perancangan abangnya.
Kakinya dihala menuju ke taman hospital untuk mengambil angin sekejap. Lantas punggung dilabuhkan di atas bangku taman. Suasana aman dan tenang menyelubungi dirinya.
Matanya jatuh pada seorang kanak-kanak perempuan yang sedang asyik bermain buaian berseorangan di taman itu sambil memeluk patung miliknya. Tiba-tiba kanak-kanak perempuan tu berlari menuju ke satu sudut, seorang perempuan muda sedang menunggunya di sudut itu, pasti ibunya. Tiba-tiba kanak-kanak itu terjatuh, dia menangis, cepat-cepat si ibu datang memujuk. Tak lama kemudian tangisannya reda dan kembali menyambung aktivitinya tadi.
Fatin menghembus nafas panjang. Seronok kan jadi kanak-kanak? Tak perlu nak fikir pasal masalah, sentiasa bergembira. Kalau menangis pun hanya sekejap, selepas tu kembali ceria.
Jam di pergelangan tangan dipandang, sudah menjangkau ke angka tiga petang. Dia bangun dari duduk sebelum melangkah menuju ke wad yang dihuni Faris. Mahu berjumpa dengan Farah dan Faris sekejap sebelum beredar.
Pintu wad Faris sudah berada di hadapannya, hanya menunggu untuk dibuka sahaja. Pintu itu ditolak sedikit sebelum dia melangkah masuk tapi langkah kakinya terpaku di muka pintu. Telinganya menangkap perbualan Farah dengan adiknya.
"Adik kena teruskan juga operation tu!" Suara Farah lantang kedengaran.
"Akak, kalau adik teruskan pembedahan tu keputusannya tetap sama. Adik tetap akan mati juga." Kedengaran suara Faris membantah. Fatin semakin pelik. Pembedahan apa? Dia semakin ingin tahu.
"Siapa adik nak tentukan kematian adik sendiri? Adik bukan Tuhan. Allah dah bagi kita jalan, kita cuba dulu bukannya mengalah macam ni. Insya-Allah semuanya akan okey." Nada suara Farah berubah lembut.
"Adik tak nak susahkan akak, mak dan ayah," katanya lemah.
"Adik tak pernah menyusahkan akak. Mak dan ayah tak pernah pun anggap adik menyusahkan mereka." Wajah Faris menunduk. Fatin semakin penasaran. Apa benda ni sebenarnya?
"Tapi semua ni perlukan duit yang banyak. Kita bukannya ada duit banyak pun, akak. Adik tak nak disebabkan adik, kita perlu berhutang dengan orang lain. Adik... Uhuk.. Uhuk..." Wajahnya jelas pucat. Kata-katanya terhenti. Faris batuk. Berkali-kali sambil menutup mulut. Tangannya dialihkan dari mulut. Darah! Fatin tersentak.
"Dahlah tu, dik. Jangan banyak cakap." Farah mengambil tuala kuning lalu mengesat darah di hidung dan mulut adiknya. Fatin tergamam di situ. Faris sakit ke? Dia mahukan kebenaran. Wajah pucat Faris terbayang di matanya. Entah kenapa, hatinya kuat mengatakan yang anak muda itu sakit. Sakit teruk. Dia mahu melangkah masuk tetapi kata-kata Farah mengejutkannya.
"Adik jangan risau pasal duit. Kita tak akan berhutang dengan orang lain, akak guna duit akak. Akak tak nak adik sakit lagi, cukuplah selama ni adik tanggung semuanya sorang-sorang. Penyakit leukemia adik akan sembuh."
Fatin terkesima. Tangannya naik menutup mulut. Kata hatinya betul. Leukemia. Rasanya semua persoalan dia dah terjawab, kenapa Faris selalu pucat, selalu batuk-batuk dan sentiasa bercakap pasal kematian. Dia sakit rupa-rupanya.
FARAH selesai solat isyak sewaktu Fatin mengetuk pintu biliknya.
"Boleh aku masuk?" Farah angkat kening.
"Sejak bila kau pandai minta kebenaran ni? Selalu kau pakai main redah aje," sindir Farah. Pelik dengan sikap sahabatnya. Sejak petang lagi Fatin kurang bercakap dengannya. Entah apa yang tak kena. Dia malas nak ambik tahu.
"Sejak kau pandai tipu aku," katanya sebelum melangkah masuk lantas duduk di birai katil Farah. Farah tersentak. Wajah Fatin dipandang. Malam ni, hanya mereka berdua sahaja yang ada di rumah. Mak dan ayah Farah sudah keluar ke hospital, menjaga Faris.
"Apa kau cakap ni? Tipu? Aku tipu apa?" tanyanya dengan nada kebingungan. Dia duduk di hadapan cermin untuk menyikat rambutnya. Wajah Fatin dari pantulan cermin dipandang.
"Faris." Sepatah jawapannya. Reaksi Farah di cermin dipandang.
"Kenapa dengan Faris?" tanyanya dengan dada berdebar. Rasanya dia dah boleh agak apa yang ingin dikatakan sahabatnya.
"Kenapa kau tipu pasal penyakit Faris? Kenapa kau tak cakap Faris sakit? Kau tahu kan aku dah anggap Faris tu macam adik aku sendiri? Tergamak kau sorokkan benda ni. Kau cakap aku kawan baik kau tapi kau langsung tak cakap benda ni dekat aku. Kau sanggup tanggung semua ni sorang-sorang. Kalau aku tak dengar perbualan kau dengan Faris petang tadi, rasanya sampai bila-bila pun aku tak akan tahu." Farah terdiam. Dia tahu dia salah tapi bukan niatnya mahu merahsiakan semua ini. Dia terpaksa. Mata Fatin yang berkaca dipandang di dalam cermin sebelum dia berpusing menghadap gadis itu.
"Aku minta maaf. Aku tak bermaksud nak rahsiakan semua ni, aku cuma tak nak susahkan kau. Ni urusan keluarga aku. Aku boleh selesaikannya sendiri. Aku..."
"Keluarga kau pun keluarga aku juga. Kau sendiri yang cakap tapi kau tetap rahsiakan benda ni. Kau langsung tak cuba nak kongsi dengan aku. Tergamak kau, Ara. Aku tak sangka." Dia cuba tahan air mata dari mengalir ke pipi. Sanggup sahabat baiknya sendiri membelakanginya dalam hal ini. Dia juga berhak tahu, dia dah anggap keluarga Farah seperti keluarganya. Susah senang mereka bersama.
"Aku minta maaf sangat-sangat dengan kau. Aku tahu kau marah. Lagipun Faris sendiri suruh aku rahsiakan benda ni." Dia sudah beralih duduk di sisi Fatin. Tangan Fatin digenggamnya.
"Aku tak marah, aku cuma kecewa aje sebab kau rahsiakan benda ni dari aku. Kau tahukan aku sayang kau, sayangkan keluarga kau. Aku tak naklah kau tanggung semua ni sorang-sorang. Apa gunanya aku jadi kawan kau kalau dengan aku pun kau tak nak kongsi," luahnya perlahan. Dia benar-benar kecewa.
"Aku tahu. Aku minta maaf." Sekali lagi perkataan maaf meluncur dari mulutnya. Suasana senyap seketika.
"Bila lagi dia sakit?"
"Tahun lepas lagi. Aku sendiri terkejut bila tiba-tiba aje dia pengsan dan bila bawa ke hospital, doktor sahkan dia menghidap leukemia. Aku langsung tak percaya, mak dan ayah lagilah sebab setahu dia orang memang tak ada sesiapa pun yang pernah menghidap penyakit leukemia dalam keluarga aku. Faris dah tahu seminggu sebelum tu tapi dia rahsiakan," cerita Farah sebak. Sedih bila orang yang dia sayang diuji sedemikian.
"Kenapa tak buat kemoterapi?" tanya Fatin sebab setahunya orang yang menghidap leukemia ni akan menjalani rawatan kemoterapi untuk membuang kanser itu. Farah geleng kepalanya.
"Faris tak nak, buat pembedahan sumsum tulang pun dia tak nak. Aku dah paksa dia tapi dia tetap berkeras menolak. Dia kata tak nak susahkan mak dengan ayah untuk tanggung biaya sakit dia. Dia kata tak kesah sakit macam tu. Aku jadi bingung, tak tahu nak pujuk Faris macam mana lagi. Aku tak nak kehilangan dia, aku sayangkan dia." Air matanya sudah mengalir membasahi pipi. Ini kali pertama Fatin melihat Farah menangis di hadapannya. Tika ini, dia tahu yang sahabatnya sudah tak kuat untuk menanggung beban ni semua. Farah ditarik dalam pelukannya. Farah membalas. Erat.
Fatin tekad untuk membantu Faris. Perjalanan anak muda itu masih lagi panjang, jalannya sudah ada di depan mata cuma keputusannya dia sendiri yang tentukan. Sama ada nak terus melangkah atas berhenti di situ dan dia akan pastikan Faris terus melangkah ke hadapan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro