Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

SUASANA pilu menyelimuti pekarangan hospital itu sebaik sahaja Fatin melangkah masuk bersama-sama abangnya. Matanya menangkap kelibat sahabat baiknya, Farah yang sedang duduk termenung di atas kerusi hospital. Raut wajah itu jelas menunjukkan kesedihan yang ditanggungnya. Tanpa berlengah, Fatin terus melangkah mendekati sahabat baiknya. Dia duduk di sisi sahabatnya.

"Farah..." Bahu Farah disentuhnya perlahan. Gadis itu berpaling.

"Atin..." Senyuman tawar diukir kepada sahabatnya tetapi Fatin tidak membalasnya. Dia tahu Farah berpura-pura kuat bagi mengaburi matanya.

Adam melangkah mendekati Encik Rahim yang baharu sahaja melangkah keluar dari bilik ICU. Wajah keruh lelaki tua itu dipandangnya dengan rasa simpati.

"Macam mana keadaan Faris, pak cik?" tanyanya sebaik sahaja menyalami tangan lelaki itu. Wajah Encik Rahim yang muram sudah menjawab soalannya.

"Macam itulah, Adam. Adam masuklah, tengok sendiri." Adam hanya memandang langkah longlai Encik Rahim yang sedang menuju ke arah kerusi yang tersedia di situ. Pandangannya dihalakan ke arah adiknya yang sedang bercakap dengan Farah. Dia sendiri agak terkejut mendengar berita dari adiknya yang adik Farah kemalangan. Tanpa berlengah, mereka terus pulang ke Kelantan bagi menjenguk keluarga Farah.

"Atin, nak masuk tak?" tanya Adam. Fatin mengangkat muka menghala ke arah abangnya sebelum dia memeluk sahabatnya sekejap.

"Ara, aku masuk dalam kejap. Kau sabar, ya?" Farah mengangguk sebelum kelibat Fatin dan abangnya menghilang di sebalik pintu ICU itu. Dalam diam, air mata Farah mengalir membasahi pipinya.

SEBAIK sahaja melangkah masuk ke dalam wad ICU itu, mata Fatin membulat melihatkan keadaan adik sahabat baiknya itu. Tangannya naik menekup mulut. Matanya meliar memerhati satu per satu wayar yang berselirat di badan anak muda itu. Kepalanya berbalut manakala kaki sebelah kanannya bersimen, patah. Hanya mesin degupan jantung sahaja yang berfungsi membuktikan jasad tersebut masih lagi bernyawa.

Fatin melangkah mendekati sekujur tubuh itu. Dia langsung tidak menjangka anak muda yang dulunya selalu sahaja tersenyum memandangnya sedang terbujur kaku di hadapannya. Masih lagi tidak mengetahui apa yang akan terjadi kelak.

"Keadaan dia kritikal, Atin. Aku pun tak tahu macam mana benda tu boleh jadi. Masa aku balik rumah lepas hantar kau ke airport, masa itulah dia kena langgar. Aku ingatkan biasa-biasa aje tapi..." kata-kata Farah terhenti seketika, cuba menahan air mata yang bila-bila masa sahaja akan menitis. Fatin di hujung talian hanya diam. Sememangnya dia terkejut apabila mendapat panggilan dari Farah yang mengatakan adiknya terlibat dalam kemalangan.

"Keadaan dia kritikal. Doktor kata harapan untuk dia hidup tipis. Lima puluh lima puluh. Kepala dia terhentak kuat atas jalan. Kemungkinan besar dia akan hilang ingatan." Fatin tersentak. Hilang ingatan? Ya Allah, beratnya dugaan yang kau berikan kepada sahabatku. Dia yakin sangat yang Farah sedih dengan kejadian yang berlaku tapi dia cuba kuat. Farah sangat sayangkan adiknya, sementelah hanya mereka berdua sahaja adik beradik dalam keluarga mereka, samalah dengan dia dan abangnya.

Matanya masih lagi menatap sekujur tubuh itu. Masih lagi tidak percaya dengan kenyataan itu. Serasanya dia baharu sahaja bercakap dengan Faris semalam, sebelum dia pulang. Anak muda itu sempat menitipkan pesan kepadanya.

"Akak tahu tak kenapa Allah turunkan hujan?" Fatin pandang Faris yang tiba-tiba muncul di sisinya sambil memegang sebuah buku. Pandangannya dilemparkan ke arah langit biru. Pelangi yang terbentuk indah di langit biru yang baharu sahaja menumpahkan hujan dipandang lama.

"Sebab Allah nak bagi kita pelangi. Memang pada mulanya kita sedih bila hujan turun sebab semua benda kita nak buat tertangguh tapi bila Allah hadirkan pelangi untuk kita, kita terus senyum sebab pelangi tu cantik. Samalah macam hidup kita, bila Allah hadirkan musibah kepada kita, kita sedih sampai kita lupa yang musibah itulah yang mendekatkan diri kita dengan Allah. Allah rindukan kita, sebab itulah Dia hantar ujian tu sebab Dia nak tengok sejauh mana kita ingatkan Dia, rindukan Dia." Nada Faris mula berubah, mula sebak.

"Allah rindu nak dengar kita mengadu dekat Dia. Dia nak kita sedar yang kita masih ada Dia biarpun beribu musibah melanda. Allah tak akan uji hamba-Nya tanpa sebab. Percayalah, musibah yang menimpa kita adalah sesuatu yang indah, banyak hikmahnya daripada musibah yang berlaku. Dan mati itu pasti, setiap orang akan merasai mati cuma bezanya cepat atau lambat saja." Kata-kata itu meresap masuk ke dalam hatinya. Dia tak sangka remaja seusia Faris yang bakal menduduki PT3 boleh berkata-kata sedemikian. Dia kagum dengan Faris.

"Akak percaya qadak dan qadar?"

Fatin angguk. Perlahan-lahan dia sudah boleh menerima hakikat yang ibu dan abah sudah tidak ada dalam hidupnya lagi. Hakikat yang pedih untuk diterima tapi nak tak nak dia kena terima juga semua benda tu. Tak ada guna terus menangisi takdir yang sudah berlaku. Kata-kata Faris betul, Allah tak akan uji hamba-Nya tanpa sebab. Perjalanan hidupnya masih lagi panjang, banyak lagi dugaan yang akan dihadapinya.

"Semuanya sudah ditetapkan. Ajal, jodoh, maut, pertemuan, rezeki, semuanya Allah yang tentukan. Kita tak boleh nak pertikaikan semua itu. Allah ambil benda yang kita sayang tapi suatu hari nanti dia akan gantikan dengan benda yang langsung tak diduga. Allahlah sebaik-baik perancang." Faris pandang sahabat baik kakaknya. Dia amat menyenangi gadis itu walaupun tidak bertudung.

"Okeylah, Faris masuk dululah. Akak bacalah buku ni."

Buku bertajuk Dance In The Rain karya Rabiatul Faazra diletakkan di sisi Fatin sebelum Faris melangkah masuk ke dalam. Buku itu dipandangnya sekilas sebelum tangannya membuka halaman pertama buku itu. Matanya tertancap pada dada kertas yang bertulis pen berdakwat hitam.

Setiap bencana yang menimpa di bumi dan menimpa dirimu sendiri semuanya telah tertulis di dalam kitab di lohmahfuz sebelum Kami mewujudkannya. Sungguh yang demikian itu mudah bagi Allah. Agar kamu tidak bersedih hati terhadap apa yang luput dari kamu dan tidak pula terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang sombong dan membangga diri. - Surah al-Hadid. Ayat 22-23.

FARAH menyuap nasi ke dalam mulutnya perlahan-lahan. Fatin hanya menjadi pemerhati. Tu pun setelah dipaksanya makan. Dia tahu yang fikiran Farah tak lepas memikirkan adiknya yang masih lagi belum sedar walaupun sudah dua hari berlalu. Hanya mereka sahaja yang berada di ruang kafeteria hospital.

Dia melihat gadis itu tak pernah menangis di hadapannya, cuba menjadi kuat tetapi dia tahu setiap kali Farah sujud pada Allah, air mata gadis itu akan mengalir tanpa segan silu, memohon kepada Allah. Dalam diam dia kagum dengan peribadi sahabatnya. Dalam diam dia turut mendoakan kesejahteraan Faris, berharap agar remaja itu akan bangkit semula. Tersenyum dan kembali memberi nasihat kepadanya seperti dahulu.

Telefonnya tiba-tiba berdering. Panggilan itu terus diangkat. Tak lama kemudian, senyuman gembira terukir di bibirnya.

"Alhamdulillah. Okey, kejap lagi Atin sampai." Panggilan terputus.

"Ara, Faris dah sedar." Farah tersentak. Pandangan dialihkan ke arah Fatin dengan wajah tidak percaya sebelum ucapan syukur ke hadrat Ilahi terluah di bibirnya.

Makanan di atas meja dikemas sebelum mereka mengorak langkah menuju ke bilik ICU.

"ALA, akak ni cengenglah. Suka sangat nangis. Faris okeylah."

Fatin tersenyum bila dalam situasi begini, remaja itu masih lagi boleh buat lawak. Ahli keluarganya yang lain sudah mengelilingi katil Faris. Farah senyum. Mujurlah adiknya sudah sedar dan tidak mengalami masalah hilang ingatan seperti yang dikatakan doktor. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang.

"Mana ada akak nangis, akak okey ajelah," nafi Farah. Hatinya cukup lega dan gembira tatkala melihat adiknya sudah mampu membuat lawak. Terima kasih kepada Allah kerana masih memberi peluang untuk dia bersama-sama adiknya lagi.

"Yalah tu. Mak..."

"Ya, Faris nak apa, sayang?" tanya Puan Atikah sambil membelai kepala anaknya.

"Faris lapar." Dia senyum sambil buat muka comel. Puan Atikah senyum.

"Boleh aje. Faris nak yang mana satu? Buah Epal? Pisang?" Puan Atikah gembira melayan kerenah anak bongsunya. Fatin tersenyum kelat melihat kemesraan keluarga itu. Sejenak, perasaan rindu kembali menjengah mindanya. Dia rindukan keadaan sebegini dengan keluarganya. Birai matanya terasa panas tiba-tiba.

Tiba-tiba dia terasa bahunya dipeluk erat. Dia berpaling ke kanan, abangnya sedang tersenyum kepadanya. Memahami apa yang dirasakannya sekarang. Senyuman abangnya dibalas.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: