Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

SLIP peperiksaan yang berada di tangannya dipandang untuk kesekian kalinya. 4 flat. Keputusan adiknya sangat membanggakan dan untuk keputusan sebaik ini, mana mungkin dia akan membenarkan adiknya untuk tinggal di rumah sahaja. Dia nak adiknya sambung belajar, capai cita-citanya yang sudah lama diimpikan.

Ya, dia tahu dia kejam apabila dia terlalu mendesak adiknya dalam situasi sebegini tetapi dia terpaksa. Dia tidak mahu adiknya terus dibelenggu dengan kematian ibu bapa mereka. Dia bimbang seandainya Fatin masih lagi trauma dengan kejadian itu. Meskipun dari segi luaran dia okey tetapi siapa tahu dalamannya macam mana.

Oleh itu, dia tekad mahu menghantar adiknya ke luar negara. Sambung belajar di sana. Dia mahu adiknya mulakan hidup baharu. Belajar berdikari dan belajar untuk melupakan kisah lama. Amanah ibu dan abahnya supaya dia dapat menjaga satu-satunya adik yang dia ada dipegang dengan kemas. Dia berjanji akan tunaikan amanah terakhir ibu bapanya.

Badannya disandarkan ke sofa. Mindanya laju menggali ingatan mengenai kali terakhir dia bercakap dengan ibunya.

"Adam, kamu sihat?" Panggilan dari ibunya dua bulan lepas masih lagi terngiang-ngiang di kepalanya.

"Adam sihat aje, ibu. Kenapa, ibu?" Dia sebenarnya pelik apabila ibunya menelefon.

"Kenapa? Kamu tak suka ibu telefon kamu?" Suara ibunya seakan-akan merajuk. Dia tersenyum.

"Taklah, ibu. Mana ada Adam tak suka. Adam suka gila tau bila ibu call. Lagi suka kalau ibu call selalu. Ibu sihat?"

"Ibu okey aje, Adam." Suasana sunyi seketika. Masing-masing diam. Adam mula merasai sesuatu yang tidak enak. Selalunya, ibunya banyak cakap tapi sekarang ni, sikap ibunya agak berbeza.

"Adam..."

"Ya, ibu? Kenapa ni, ibu? Ibu ada masalah ke? Cakaplah dengan Adam, manalah tahu Adam boleh selesaikan. Adam kan pandai." Puan Zarina ketawa. Tahu yang anak terunanya mahu bergurau, mahu meredakan kegelisahan hatinya. Sememangnya sejak dua menjak ni, hatinya tak aman, seperti akan ada sesuatu yang buruk bakal berlaku.

"Ibu tak ada masalah pun cuma ibu nak kamu janji dengan ibu satu benda. Boleh tak, Adam?" Adam telan air liur. Entah kenapa dia rasa macam ibunya mahu pergi meninggalkannya.

"Apa dia, ibu? Kalau Adam boleh buat, Adam cuba."

"Ibu tahu kamu boleh buat. Ibu yakin." Suara ibunya yang kedengaran agak sedikit sebak itu membuatkan Adam tak senang duduk. What is going on actually?

"Jagakan Fatin. Ibu dan abah nak kamu jaga adik kamu baik-baik. Ibu tak rasa yang ibu dan abah akan hidup lama lagi, mungkin tak lama lagi masa kami akan sampai. Jadi ibu..."

"Ibu..."

"Dengar dulu, Adam. Kamu tahu kan adik kamu tu tak kuat, jadi bila tiba masanya ibu dan abah pergi, ibu nak kamu jaga dia. Jadi kekuatan dia. Jadi tempat untuk dia berpaut. Jangan sesekali biarkan dia buat benda yang tidak sepatutnya. Ibu tak nak dia musnahkan masa depan dia kalau dia terus bersedih. Kamu dengar tak apa yang ibu cakap ni, Adam?" Tegas suara ibu di talian sana. Adam meraup wajahnya.

"Ya ibu, Adam janji. Adam janji akan jaga Fatin. Adam janji." Dia tahu, saat janji itu termeterai, satu tugas berat sudah berada di bahunya. Saat itu juga dia tahu yang ibu dan abahnya mungkin sudah tahu masa mereka bakal tiba.

Dan hakikatnya semua itu betul. Beberapa hari selepas itu, dia mendapat panggilan dari adiknya mengkhabarkan berita kematian ibu bapanya. Saat itu, dia kena bersedia dari segi mental dan fizikal. Meskipun dia juga sedih tetapi kesedihan adiknya lagi berlipat kali ganda darinya.

Slip peperiksaan yang terdampar di atas meja dipandangnya. Dia sengaja memberi masa kepada adiknya yang mungkin sedang menenangkan fikiran di kampung sahabat baiknya untuk memikirkan perkara ini. Sebaik sahaja adiknya pulang, keputusannya tetap sama. Fatin akan dihantar ke luar negara. Noktah!

"WEH, kau ni dah kenapa? Dari tadi lagi aku tengok kau duduk termenung? Kau fikir pasal apa? Macam mana result kau?" Farah duduk bersebelahan Fatin di tangga rumah. Keputusan STPMnya sudah diambil dan Alhamdulillah keputusannya sudah seperti yang dijangka. Meskipun dia tahu mungkin tidak sebaik sahabatnya yang memang pandai itu tapi sekurang-kurangnya keputusan itu sudah cukup menggembirakan kedua-dua ibu bapanya.

"Entahlah. Aku tak tahu," jawabnya tanpa perasaan. Dia malas mahu mengambil tahu mengenai keputusan peperiksaannya walaupun dia sudah tahu keputusannya. Abangnya pasti sudah mengambil slip peperiksaannya dan... Dia tahu yang mungkin kata-kata abangnya akan jadi kenyataan. Menghantarnya sambung belajar ke luar negara.

"Abang kau tak ada telefon kau ke?" Pelik dia melihatkan sikap sahabatnya walaupun dia tahu yang semalam Fatin bergaduh dengan abangnya. Rumah kayu macam rumah dia ni, memang tak boleh nak soroklah. Kalau kentut sekalipun, mesti dengar punya.

"Entah." Sepatah jawapannya. Farah menjulingkan matanya ke atas, jawapan yang dia dah puas dengar.

"Atin... Aku rasa ada benarnya kata-kata abang kau semalam."

Fatin berpaling 180 darjah ke arah sahabatnya.

"Kau dengar?" tanyanya terkejut. Serasanya dia sudah mengawal suaranya semalam agar tidak kedengaran terlalu kuat walaupun dia tahu sukar untuk dia mengawal emosinya semalam.

"Kau rasa?" tanyanya sarkastik. Fatin mengeluh.

"Entahlah, Ara. Aku tak rasa aku nak sambung belajar sekarang ni. Kalau boleh aku nak duduk rumah aje. Aku tak nak kusutkan otak aku dengan benda-benda macam ni." Suaranya kedengaran lemah. Mungkin letih dengan apa yang dihadapinya sekarang ni.

"Your brother totally would not be agree on that. Atin... Aku tahu kau masih lagi terkesan dengan kejadian yang berlaku ni. Kalau kau buat keputusan nak stay, aku tak suka sebab ia akan membuatkan kau semakin teringatkan arwah ibu dan abah kau. Jadi semakin sukar untuk kau lupakan mereka. Tindakan abang kau tu sememangnya satu tindakan yang terbaik untuk kau. Dia bukannya kejam nak pisahkan memori ibu bapa kau dengan kau, dia cuma nak kau move on. Starts a new life. Dia tak nak kau terus stuck macam ni. Apa kau dapat kalau kau terus macam ni? Kau hanya seksa diri kau aje." Panjang lebar Farah bercakap. Dia pun mahukan sahabatnya mulakan hidup baru, dia tak nak sahabatnya terus hanyut dengan kisah lama.

Fatin terdiam seketika. Pandangannya dijatuhkan ke arah pokok mangga yang sedang berbuah lebat sambil mindanya mula menghadam satu per satu kata-kata sahabatnya. Dia bukannya mahu menyeksa dirinya tetapi cukup sukar untuk dia melupakan semua kenangannya bersama-sama ibu bapanya. Bukannya sehari dua dia tinggal bersama mereka. Sudah dua puluh tahun. Tak mudah untuk dia melupakan semua itu dalam sekelip mata.

"Tapi kenapa sampai perlu hantar aku ke luar negara? Aku tak sedia lagilah."

"Mungkin abang kau ada alasan yang tersendiri. You just have to ask him. Kalau kau cakap kau tak sedia, sampai bila-bila pun kau tak akan sedia. Kau kena paksa diri kau, jangan bagi seribu alasan. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih." Fatin menggigit bibir bawahnya sambil mula mempertimbangkan kata-kata Farah tadi.

BUNYI deringan Night Changes mengganggu Adam yang sedang asyik melukis di atas kertas kanvas. Sejak dia pulang ke tanah air ini, itulah kerjanya sekarang ini. Sekali sekala dia akan melawat syarikat milik arwah abahnya, syarikat yang didirikan dengan penat lelah abahnya dan tanpa sedar, kedai yang pada permulaannya hanya kedai kayu kecil sudah mula berkembang menjadi sebuah syarikat.

Abahnya juga sudah banyak membuka cawangan di Kuala Lumpur. Siapa sangka yang abahnya akan meraih kejayaan tersebut. Akhirnya penat lelah abahnya selama ini terbayar juga. Samsung Galaxy II di atas meja dicapainya sebelum butang hijau ditekan tanpa melihat pemanggilnya. Telefon dilekapkan di telinga sebelah kanan manakala tangan kirinya masih lagi aktif melakar.

"Assalamualaikum, Adam. Pak long ni. Kamu busy tak hari ni?"

"Waalaikumussalam, pak long. Adam free aje hari ni. Kenapa?"

"Kalau macam tu, boleh tak kamu datang rumah pak long sekejap petang ni? Ada hal nak dibincangkan." Tangan kirinya berhenti melukis. Mindanya mula fokus pada perbualan mereka.

"Boleh aje, pak long. Petang nanti Adam pergi." Panggilan terus terputus sebaik sahaja pak long meminta diri kerana ada urusan mahu diselesaikan. Telefon diletakkan di atas meja kecil di sebelahnya. Adam termenung seketika. Hal apa yang pak long mahu bincangkan? Rasanya sudah seminggu dia tidak berjumpa dengan pak longnya, mungkin adalah tu bendanya. Adam akhirnya meneruskan kerjanya.

PETANG itu, usai sahaja solat asar. Adam terus memandu BMW hitam milik abahnya menuju ke rumah pak longnya. Dia masih memikirkan apa benda yang pak long ingin bincangkan dengannya? Berkenaan dengan masa depan adiknya atau syarikat abahnya?

Akhirnya selepas setengah jam memandu, dia sampai di rumah banglo dua tingkat milik pak longnya. Keretanya menjalar masuk ke halaman rumah pak longnya sebaik sahaja pintu pagar dibuka. Dia melangkah keluar dari kereta dan menuju ke arah pak longnya yang sedang bersantai di taman buatan mak longnya. Sememangnya minat mak long dan arwah ibunya sama sahaja, dua-dua sukakan bunga.

"Adam, sampai pun kamu. Mari duduk sini," panggil Pak long sebaik sahaja dilihat Adam yang sedang melangkah ke arahnya. Adam terus menyalami lelaki itu dan mengambil tempat bertentangan dengan lelaki itu. Kunci kereta diletakkan di atas meja.

"Pak long sihat?" tanyanya membuka bicara sebaik bersalaman dengan bapa saudaranya.

"Pak long sihat aje. Macam yang kamu tengoklah ni. Kamu pula macam mana? Sihat? Adik kamu macam mana?" soal Pak long pula. Dapat dilihat masih lagi ada kesedihan pada raut wajah anak saudaranya itu.

"Adam sihat aje, pak long. Atin pun sihat tapi... Pak long tahulah dia macam mana, kan? Lagipun Adam tak nak terus paksa dia. Biarlah dia bersendirian dahulu, tenangkan fikiran dia. Buat masa sekarang ni, emosi dia tak berapa nak stabil lagi," luahnya. Sekarang ni dia hanya ada pak long dan mak long sahaja sebagai tempat bergantung sementelah adik beradik ibunya hanya pak long sahaja.

"Pak long faham. Adam kena sabar dan kuat sebab Adamlah satu-satunya ahli keluarga yang dia ada. Adam yang jadi penguat semangat dia, pak long tahu Adam nak yang terbaik untuk adik Adam tapi Adam kena bagi ruang juga untuknya. Semua ni perlukan masa, pak long pun rasa macam tak percaya lagi yang ibu dan abah kamu pergi secepat itu tapi semua ini dah ketentuan-Nya. Kita kena terima walaupun sukar." Sememangnya Zarinalah satu-satunya adik yang dia ada. Kehilangan adiknya dalam sekelip mata memang sukar untuk diterima tapi dia tidak mahu menolak takdir yang telah berlaku. Semua itu sudah tersurat. Ajal, maut, rezeki dan jodoh semua di tangan Allah.

Adam pamer senyum kelat.

"Adam tahu." Suasana kembali senyap.

"Mak long mana, pak long? Adam tak nampak pun dia hari ni?" tanyanya setelah tidak nampak kelibat wanita kesayangan pak longnya.

"Mak long kamu pergi rumah kawan dia tadi. Ada kenduri katanya, sekejap lagi baliklah. Minumlah Adam, kopi bujang aje ni. Pak long yang buat." Adam senyum. Cawan yang berisi kopi itu dihirupnya sedikit.

"Sedap juga. Lama tak minum air tangan pak long. Masih sama macam dulu."

Pak long ketawa.

"Air kopi aje Adam oi... Bukannya susah pun nak buat."

"Hmmm... Kamu tahu tak kenapa pak long panggil kamu datang ni?" Nada suaranya mula bertukar serius. Adam pandang wajah lelaki di hadapannya itu, walaupun sudah melangkau ke angka lima puluh lima tetapi lelaki itu masih lagi cergas dan bertenaga.

"Tak. Pak long nak bincang apa dengan Adam sebenarnya?"

Pak long menarik nafas sebelum dia membuka bicara.

"Macam nilah, pak long cakap terus sahajalah, ya? Arwah abah kamu dah amanahkan syarikat perabot dia tu kepada kamu adik-beradik dan dia nak kamu yang uruskannya selepas dia pergi. Kamu faham?" terang Pak long sambil memandang wajah anak saudaranya yang kelihatan tenang. Adam mengangguk. Dia sudah agak benda ni.

"Siapa lagi yang dia boleh harapkan untuk kembangkan lagi syarikat perabot tu? Kamu tahu kan yang abah kamu tu dah banyak berkorban semata-mata mahu membina syarikat sendiri? Pak long yang jadi saksi macam mana dia sanggup tak tidur malam semata-mata nak cari cara kembangkan kedai perabot dia tu, macam mana dia sanggup buat apa sahaja asalkan kedai perabot dia tu berjaya menembusi pasaran dan sekarang ni dia dah berjaya. Arwah abah kamu dah amanahkan kamu untuk menjadi pewarisnya pula. Dia nak tengok syarikat perabotnya berkembang dengan pesat supaya dapat bersaing dengan syarikat-syarikat lain. Ini amanah arwah abah kamu, Adam."

"Adam ikut aje, pak long. Adam pun tak sanggup nak tengok syarikat milik abah tu jatuh ke tangan orang lain. Adam setuju."

Pak long tersenyum. Dia tahu yang anak saudaranya itu ada cita-citanya yang tersendiri tetapi pada masa yang sama juga amanah abahnya perlu dituruti. Dia tahu Adam anak yang baik.

"Pak long tahu yang kamu ada cita-cita kamu sendiri. Kalau kamu rasa kamu nak kejar cita-cita kamu tu dulu..."

"Tak apa, pak long. Ini amanat abah dan Adam tak nak kecewakan arwah abah," potong Adam laju. Amanat abah lebih penting daripada cita-citanya. Walaupun dia sudah tidak boleh menjadi pelukis tapi sekurang-kurangnya dia masih lagi boleh melukis. Mungkin dah tiba masanya untuk dia berkorban demi orang tersayang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: