Bab 15
JAM di dinding sudah beranjak ke pukul sebelas setengah malam tapi Fatin masih lagi belum tidur. Matanya masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda mahu tidur. Dia berbaring di atas sofa sambil memeluk bantal berbentuk bintang dan merenung siling bilik. Sudah seminggu sebenarnya dia tinggal di rumah tanpa buat apa-apa. Hanya mengisi masa lapangnya dengan membaca novel sahaja. Abangnya pun memang selalu bagi ayat sindiran.
"Makin gemuk Atin sekarang ni sejak duduk rumah."
"Pipi tu, abang nampak makin tembam dari dulu. Pakai petua apa ek, cuba kongsi sikit."
Ah, annoying gila. Sakit hati juga dengar sindiran demi sindiran abangnya. Bukan dia tak tahu yang abangnya sengaja tak nak dia duduk rumah. Takut aku ternak lemak aje. Ingat aku ni lembu, nak kena ternak-ternak bagai? Dan bukannya abangnya tak pernah bagi hint dekat dia suruh kerja, kerja pula dekat syarikat abah. Memang taklah sebab dia memang tak minat business. Dia minat fesyen, segala benda yang berkait dengan fesyen. Sejak dulu lagi, tambahan pula arwah ibunya suka menjahit, jadi sejak itulah dia mula tanam minat nak jadi pereka fesyen.
Buat masa sekarang ni, dia tak ada kesempatan nak kerja dekat mana-mana butik lagi. Lagipun dia bercita-cita nak buka butik sendiri dengan jenama sendiri. Barulah rasa bangga sikit. Cis, jauh angan-angan kau Fatin, tuan badan masih lagi tercongok kat sini. Kau ingat butik tu akan jalan dekat kau macam jalan dekat pasar malam?
Fatin mengeluh. Dia ada cita-cita tapi sayang, tuan punya badan pemalas. Nak kerja pun fikir dua tiga kali. Sebenarnya kalau dia kerja dengan abangnya pun tak ada masalah. Boleh aje dia curi-curi tulang kadang-kadang tapi memang dia langsung tak berminat dengan kerja-kerja business ni, jadi jawapannya memang taklah. Ada baiknya dia kerja dengan Farah. Bolehlah makan free, untung juga perut. Akhirnya Fatin terlelap setelah penat berfikir. Mungkin hari esok akan lebih baik dari semalam.
USAI sahaja solat subuh, dia terus turun ke tingkat bawah menghala ke ruang dapur. Selalunya dia tidur balik tapi hari ni rasa nak jadi chef sekejap. Sekali-sekala katakan. Bukan dia tak tahu masak cuma malas aje. Selama ni pun abangnya yang rajin masak, jadi hari ni biar dia tunjuk rajin sikit. Alang-alang dapat hadiah boleh pergi melancong ke? Huh, merepek aje kau ni, Fatin. Takkanlah sebab buatkan sarapan, dapat pakej melancong ke Korea 2 hari 1 malam? Itu tak masuk akal namanya.
Hari ini, dia bercadang mahu buat nasi goreng. Senang sikit. Potong-potong, lepas tu main campak-campak. Amboi, kau ingat kau tengah main masak-masak ke, hah? Biarlah, asalkan siap dan boleh dimakan.
Setelah sejam bertukang di dapur, potong tu, potong ni, campak tu, campak ni. Akhirnya nasi goreng siap. Hmmm... Baunya pun dah sedap apatah lagi bila dah masuk dalam mulut, lagilah sedap. Nasi goreng yang sudah dipindah ke dalam mangkuk diletakkan di atas meja sebelum dia capai teko air. Buat air Milolah.
"Hmmm... Sedapnya bau. Ni, sejak bila pula ada chef muda dalam rumah ni?" sindirnya sebaik ternampak kelibat adiknya yang sedang membuat air. Fatin buat tak tahu. Adam tarik kerusi dan duduk di meja.
Nasi goreng yang sudah siap dimasak menjadi santapan matanya. Dia senyum.
"Ni kenapa masak pagi-pagi ni? Mimpi ke mengigau ni?" Pelik juga dia bila adiknya rajin pula nak masak hari ni. Mimpi ke apa?
"Ya, mengigau," jawab Fatin tanpa nada. Air Milo yang sudah siap diletakkan di atas meja di hadapan abangnya. Pinggan dicapai sebelum tangannya laju menyenduk nasi goreng ke atas pinggan. Satu untuk abangnya dan satu untuk dia.
"Nampaknya, langkah kanan abang hari ni sebab ada yang sudi masak. Selalunya makan roti aje hari-hari, nak tunggu dia tu bangun rasanya kalau matahari terpacak atas kepala pun belum tentu nak bangun," sindirnya lagi. Fatin mencebik, tahu siapa 'dia' yang dimaksudkan abangnya. Dialah tu.
"Tak payah nak sindir-sindir oranglah pagi-pagi ni. Karang ada juga kang yang pergi kerja jalan kaki." Nadanya tetap biasa walaupun kata-kata itu berbau ugutan. Adam sengih.
Nasi goreng disuap ke dalam mulut. Dirasa seketika. Sekilas kepalanya terangguk-angguk. Sedap juga.
"Nampaknya tak perlulah abang ambil orang gaji sebab dah ada orang lain sudi nak jadi orang gaji dekat rumah ni," usik Adam lagi. Suka dia melihat wajah marah adiknya. Dah lama tak bergurau macam ni.
"Abang!" Adam gelak. Fatin mendengus geram. Nasi kembali disuap. Suasana sunyi seketika.
"Atin ada nak pergi mana-mana ke hari ni?" tanya Adam. Jarang adiknya bangun awal macam ni. Selalunya lepas solat subuh, tumbang balik.
"Cari kerja." Jawapan Fatin membuatkan kening Adam terjongket.
"Apa pasal pula nak cari kerja? Kerja ajelah dengan abang. Kan senang?" Fatin mengeluh. Sudu dan garpu diletakkan di sisi. Dah banyak kali abangnya cakap pasal tu dan dah banyak kali jugalah dia cakap...
"Atin tak nak. Abang tahu kan yang Atin tak minat pasal business ni. Abang tak payahlah cakap pasal benda ni lagi. Tahulah Atin cari kerja." Muk berisi air Milo dicapai.
"Abang tahu tapi takkanlah Atin tak nak tolong abang kembangkan lagi syarikat keluarga kita tu?" Dia masih lagi cuba memujuk walaupun dia tahu yang adiknya langsung tak berminat dalam bidang itu.
"Abang. Tolonglah faham. Atin tak nak, tak minat. Lagipun syarikat abang tu dah cukup kembang dah. Dah macam doh karipap."
"Yalah... Yalah..." Adam mengalah. Malas mahu memaksa adiknya lagi. Dia cuma senyum aje bila dengar adiknya cakap kembang. Ingat syarikat dia ni kuih ke apa, nak kembang bagai.
TEPAT jam lapan pagi, Fatin sudah terpacak di hadapan Serenity Cafe. Hari ni dia dah buat keputusan, sebenarnya baru saja setengah jam tadi. Lebih baik dia kerja dengan Farah, boleh juga isi duit poket.
"Wei, kau buat apa dekat sini?" tanya Farah terkejut melihat sahabat baiknya yang sudah terpacak di hadapannya sekarang ni. Mimpi ke apa minah ni?
"Jadi guard kejap. Tunggu kaulah, apa lagi?" Fatin sengih. Farah pelik. Dia terus membuka pintu kafenya. Kafenya dibuka jam sembilan pagi tapi sejam sebelum tu dia dah datang, banyak benda yang kena selesaikan.
"Tunggu aku? Apa pasal? Tak sabar-sabar nak dermakan duit dekat kafe aku ke apa?" Farah melangkah masuk ke dalam kafenya diikuti Fatin.
"Taklah, tapi kau yang kena dermakan duit kau dekat aku." Fatin berjalan menuju ke kaunter kafe.
"Maksud kau?"
"Aku nak kerja dengan kau."
FATIN melabuhkan punggungnya di atas sebuah kerusi di tepi kaunter. Penat. Walaupun baru sahaja memulakan kerjanya di sini, tak sampai satu hari pun dah letih. Stamina tak kuat langsung.
"Kenapa, Kak Raina? Letih?" Suara Nabila atau lebih mesra dipanggil Bella menerpa gegendang telinganya. Fatin senyum. Dia sendiri agak pelik kenapa budak ni suka sangat panggil dia Raina sedangkan yang lain lebih selesa panggil dia Fatin tapi dia tak kesah.
"Ya, letih sikit." Sikit? Sikitlah sangat.
"Ala, biasalah first day, kan? Bella pun macam tu juga dulu." Biasa? Biasa ke kalau first day dah kena mop satu kafe ni? Kena cuci toilet? Huh, rasanya memang taklah. Aku sorang aje yang dapat special treatment macam tu. Ni semua Farah punya pasal. Sengaja nak mendera aku. Kalau bukan sebab dia perlukan kerja sekarang, tak ada maknanya dia nak buat semua benda tu.
Kling! Kling!
Bunyi loceng yang menandakan ada pelanggan membuatkan Bella terus meminta diri untuk menjalankan tugasnya. Fatin diam sambil memerhati keadaan sekeliling kafe itu. Sememangnya dia kagum dengan sahabatnya, pandai menghias. Lima bintang untuk itu.
Satu kafe ini dah dijelajahinya. Bawah, atas, depan dan belakang. Semuanya dia dah tengok dan yang paling dia suka adalah tingkat atas. Sebenarnya bukan hanya dua tingkat tapi tiga tingkat termasuk rooftop. Cumanya kawasan itu hanya untuk pekerja kafe ini berehat sahaja. Tingkat dua memang cantik. Walaupun tidak terlalu luas tapi tingkat atas memang sesuai untuk remaja serta pasangan kekasih halal berdating sebab suasana di kafe atas lebih ceria dan juga agak romantik.
Satu sudut disediakan untuk para remaja melepak di kawasan yang penuh dengan anak patung comel dan sudut itu diletakkan penghadang dengan sudut untuk kekasih halal berdating, adalah privasi sikit. Yang dia suka adalah sudut melepak itu sebab tempatnya selesa dengan sofa, televisyen, gambar-gambar yang tergantung dan juga alunan lagu yang dikawal pekerja Farah. Sudut itu memang best kalau dibuat port tidur ditambah pula kalau dipasang dengan lagu mendayu-dayu. Fuh, memang tidur sampai ke malam la. Tu yang dia suka. Tapi seriously, kafe Farah ni agak besar jugalah.
Pekerja? Dalam kafe ini sekarang, ada lapan orang semuanya termasuklah dia. Tu pun dah cukup. Walaupun dia baru sahaja kerja hari ni, tapi dia dapat nampak kemesraan yang wujud dalam keluarga kecil kafe ini. Semuanya ramah-tamah belaka, langsung tak kekok untuk bergurau senda dengannya dan semuanya masih lagi muda.
Pandangannya singgah pada kelibat Bella yang lincah ke sana sini, mengambil pesanan pelanggan. Gadis itu masih lagi muda, dalam lingkungan 23 tahun, muda darinya. Entah kenapa, dia rasa senang dengan gadis itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro