Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14

LANGKAH kaki diatur satu per satu menuju ke kafe milik sahabatnya. Semalam dia sudah berjanji untuk melawat kafe sahabatnya dan dia seorang yang berpegang pada janji. Janji yang dipegang akan dikotakan sebaik mungkin. Lagipun dia memang tak ada benda nak buat, daripada dia buang masa tidur dekat rumah baik dia datang ke kafe Farah. Bolehlah juga tahu perkembangan baru sahabatnya itu.

Dia tersenyum sebaik sahaja matanya tertancap pada papan nama yang terukir perkataan Serenity Cafe dihiasi dengan bentuk hati tergantung kukuh di atas sudut masuk kafe tersebut. Pintu kaca kafe itu ditolak perlahan.

Kling! Kling!

Semerbak bau kopi menusuk masuk ke dalam rongga hidungnya.

"Atin..." Terasa badannya dipeluk sebaik sahaja namanya disebut. Pelukan Farah dibalas erat. Rindu dengan sahabat baiknya.

"Wow, is this you? Fatin Nor Raina binti Zahid? Aku..." Farah tutup mulut dengan tangan. Tak percaya dengan perubahan yang dialami sahabatnya. Fatin tayang senyum. Tahu yang sahabat baiknya seakan-akan tidak mengenalinya lagi. Nampak sangat dia sudah jauh berubah.

"Yes, it's me. Kenapa? Tak percaya?" Dia angkat kening. Farah menggelengkan kepalanya. Fatin ditilik dari atas sehingga bawah. Blaus longgar separas paha dipadankan dengan skinny hitam melekat di tubuh tinggi langsing berdigit lapan itu ditambah pula dengan sneakers berwarna merah yang dipakainya. Nampak ringkas tapi penuh bergaya. Rambutnya yang lurus dilepas bebas. Beg sandang berwarna merah terlilit di badannya.

Petikan jari Fatin menghentikan analisis Farah. Dia tersengih. Sahabatnya memang dah berubah. Dia nampak kelainan pada diri sahabatnya, lebih matang, cantik dan pandai bergaya sementelah gadis ini pereka fesyen. Memang pandai bergayalah. Kalau bagi kain compang-camping pun, percayalah memang akan jadi cantik punya dengan sentuhannya. Sentuhan pereka fesyen made in France pula tu.

"Dah habis analisis kau? Kalau dah habis, boleh aku duduk? Aku lapar." Langkah dibuka menuju ke satu sudut yang hanya terdapat dua buah kerusi kayu bersebelahan dengan air terjun kecil buatan tangan manusia. Dia duduk di situ.

Farah mengikuti Fatin dari belakang selepas membuat pesanan untuknya dan sahabat baiknya. Dia duduk menghadap Fatin yang sedang bermain dengan telefon. Pagi-pagi macam ni, agak kurang sedikit pelanggan yang datang, tu yang dia boleh lepak dengan Fatin. Kalau tak, memang tak menang tangan dia nak layan pelanggan yang datang. Macam-macam kerenah.

"Wei, seriously. Memang aku tak kenal kau tadi."

"Dah tu yang kau tiba-tiba peluk aku tadi apa pasal? Kata tak kenal?" tanyanya sambil matanya mula meliar memerhatikan susun atur dan hiasan dalam kafe itu. Warna coklat yang dicampur dengan oren jelas memberi suasana yang berbeza dalam kafe ini ditambah pula dengan hiasan bunga-bungaan yang digantung di setiap sudut tingkap dan air terjun kecil buatan manusia yang menimbulkan rasa tenang dan damai dalam diri para pelanggan yang datang. Susun atur meja dan perabot dalam kafe itu juga tersusun rapi. Alunan muzik yang mendayu-dayu makin membuatkan suasana jadi tenang.

"Entah. Badan aku tiba-tiba aje bergerak sendiri. Dekat badan kau ada magnet kut? Tu yang aku tertarik tu," jawabnya sarkastik. Fatin mencebik.

"Poyo aje."

"Serius, Atin. Kau memang dah berubah. Semakin cantik aku tengok kau sekarang. Berbeza sangat dengan Atin yang dulu," puji Farah ikhlas. Dia nampak kelainan dalam diri Fatin. Senyumannya, personalitinya, semuanya berbeza cuma kata-katanya masih lagi sama. Tidak berubah. Sopannya masih ada.

"Time changed everything," jawabnya ringkas. Itu kenyataannya. Masa yang merubah segalanya. Dia bangkit dari kisah lalu untuk kehidupan yang lebih baik. Menjadi orang yang lebih kuat berbanding dahulu.

Matanya meliar pada sudut kaunter kafe. Seorang pekerja sedang melayan seorang pelanggan yang mahu membeli donut di sudut itu. Dia perasan ada tangga yang dihiasi dengan anak patung di atas palang tangga tersebut, pastinya menuju ke tingkat atas sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam kafe ini tadi.

Kedatangan pekerja Farah membawakan pesanan mereka menghentikan perbualan mereka seketika. Tersenyum Fatin apabila melihat minuman kegemarannya bersama-sama kek coklat diletakkan di atas meja. Sahabatnya masih lagi ingat makanan dan minuman kegemaran dia. Rasa terharu sekejap.

"Nah, capuccino. Your favourite drink and kek coklat." Muk berisi capuccino ditolak perlahan ke arah Fatin.

"Tak sangka kau ingat lagi."

"Well, time does change but our friendship still the same. Aku tak akan lupalah," jawabnya dengan senyuman. Fatin turut tersenyum. Minuman itu dihirup perlahan. Seketika dia bagaikan teringatkan sesuatu sebaik sahaja perasan dengan perabot-perabot yang ada di segenap sudut kafe itu.

"Macam kenal aje perabot semua ni?" tanyanya dengan nada sarkastik. Sememangnya dia kenal dengan corak dan ukiran yang terdapat pada perabot-perabot dalam kafe Farah. Farah sengih.

"Tak payah buat tak kenallah. Ni perabot abang kaulah. Aku sengaja beli dengan abang kau, bolehlah dapat diskaun sikit-sikit. Amacam, pandai tak aku?" Fatin mencebik.

"Hmmm... Pandai. Patutlah kafe kau ni nampak tenang aje, rupa-rupanyanya perabot abang aku yang jadi penyeri." Wajah Farah masam. Huh, aku penat-penat hias semua, orang lain yang dapat kreditnya.

"Banyak cakaplah kau ni. So, sekarang ni macam mana? Apa plan kau lepas ni? Kau nak kerja dekat mana?" Farah ubah topik. Nak juga dia tahu apa rancangan sahabatnya selepas ini setelah bertahun-tahun menghabiskan pengajian di Perancis dalam bidang fesyen. Jangan tak percaya, sahabatnya sudah menjadi fashion designer.

"Hmmm... Aku tak ada apa-apa rancangan lagilah." Dia sebenarnya masih lagi belum memikirkan apa yang akan dilakukannya selepas ini. Dia pulang ke sini, cadangnya nak berehat buat seketika sebelum mencari kerja.

"So, kau nak berehat dekat rumah dululah ni?" tanya Farah sambil menghirup kopi miliknya. Sememangnya dia penggemar kopi. Kalau sehari tak pekena kopi, memang tak sah.

Fatin angguk. Memang itu yang dimahukannya.

"Okey... Tapi kalau kau ubah fikiran, kau call aku ya sebab aku tak cukup tangan nak handle kafe ni." Farah sengih. Fatin mencebik. Tahu dah, nak suruh aku kerja dekat sinilah tu. Jadi kuli dia.

TEPAT jam tiga petang, Fatin melangkah keluar dari kafe Farah. Banyak benda yang mereka bualkan tadi. Pasal Faris, pasal parents Farah yang akan pergi haji nanti, pasal kafenya dan banyak lagilah hatta pasal kucing jiran sebelah rumah dia pun ada sebut juga. Langkah kaki diatur menyelusuri jalan raya. Perodua Axia merah yang dibelikan abangnya untuk dia sebelum kepulangannya lagi elok terparkir di hadapan kafe Farah.

Kunci diambil dari beg sandangnya. Kunci terus disumbat dalam lubangnya. Dia terus masuk ke dalam kereta. Pintu ditutup. Tali pinggang dipasang. Belum sempat enjin dihidupkan, tiba-tiba sebuah kereta menghalang jalan keluarnya.

Fatin tersentak. Matanya membulat. Kurang ajar punya orang.

Pon! Pon!

Berkali-kali hon dibunyikan tetapi pemilik kenderaan itu langsung tidak mempunyai inisiatif untuk mengalihkan kenderaannya. Pekak ke apa? Dahlah panas, kereta ni pula cari pasal dengan aku. Tahulah kereta kau besar, tapi tak payahlah nak halang laluan keluar aku. Ah, bengang.

Tali pinggang dibuka dan Fatin terus keluar dari kereta. Cermin Range Rover hitam di bahagian pemandu diketuk kuat. Geram. Dahlah pakai cermin gelap, tak ikut undang-undang langsung.

Tak lama kemudian cermin tersebut diturunkan. Mata bersabung mata, tak sampai sesaat Fatin mengalihkan matanya. Agak terpanar melihat sepasang mata hazel itu. Macam ada aura gelap aje.

"Kenapa?" Mata Fatin membulat. Selepas dia dah tutup jalan keluar aku, boleh dia tanya kenapa? Mamat ni buta ke apa? Ah, sakit jiwa rasanya.

"Awak sedar tak awak dah halang jalan saya keluar? Awak tak dengar ke dah banyak kali saya hon awak?" Fatin sudah berpeluk tubuh sambil matanya tajam memerhatikan lelaki itu.

"Owh... Maaf, tak perasan."

Sekali lagi Fatin terkedu. Rasa macam nak penyek-penyek aje manusia depan dia ni biar jadi rempeyek. Boleh dia cakap tak perasan macam tengah cakap pasal cuaca aje. Ni yang aku berasap ni, dahlah tengah panas dicampur pula dengan panas hati. Kang terbakar juga Range Rover ni kan.

"You are such..."

Fatin rasa macam nak menjerit aje apabila tanpa pesan, kereta itu terus aje meluncur pergi meninggalkannya sendirian membebel dekat situ macam orang gila. Memang kurang ajar gila! Fatin ketap gigi. Sekali lagi aku jumpa kau, siaplah.

"KAU cakap dengan siapa tadi, Dani?" tanya Ian sebaik sahaja kereta itu meluncur laju di jalan raya. Pelik apabila melihatkan seorang gadis sedang bercakap dengan pengawal peribadinya. Tapi tidak dipedulikan lelaki itu. Perempuan tu cakap sorang-sorang ke?

"Entah. Tak kenal," jawabnya ringkas. Ian diam. Macam itulah sikap pengawal peribadinya. Tak banyak cakap, ikut aje apa orang kata dan juga tak pernah senyum.

Range Rover terus meluncur di atas jalan raya tanpa sebarang suara. Dia sengaja pergi ke Serenity Cafe untuk berjumpa dengan adiknya tetapi hasilnya tetap sama, adiknya tetap berdegil tidak mahu pulang. Ian tahu adiknya masih lagi marahkan mummynya atas apa yang terjadi. Dia tak tahulah apa yang mummynya tak puas hati dengan Si Mikael, teman lelaki adiknya. Tanpa sedar dia mengeluh.

"Kenapa, tuan?" Tanya Daniel tanpa nada.

"Hmmm... Si Bella tu tetap tak nak ikut cakap aku. Tak tahulah aku nak pujuk macam mana," luahnya kepada pengawal peribadinya. Daniel senyap. Dia sememangnya tak akan masuk campur urusan keluarga majikannya. Tugasnya hanyalah sentiasa berada di sisi Ian Ridhuan sahaja. Mengawasi setiap gerak-gerinya atas arahan Puan Sri Rafiqah, orang yang telah mengupahnya dan dia hanya mengikut arahan sahaja.

"Aku tak tahulah apa yang buatkan mummy aku begitu bencikan Si Mikael itu sedangkan mamat tu okey aje. Baik pun baik. Tapi mummy tetap tak suka. Dan sekarang ni Si Bella pula nak merajuk. Aku tak fahamlah." Kepalanya disandarkan ke kepala kerusi. Daniel di sebelahnya hanya diam memandu.

"Manusia. Tak semua benda disukainya. Lain orang lain cita rasanya." Pendek komen dia tapi cukup membuatkan Ian tersenyum. Inilah yang dia suka dengan pengawal peribadinya, sikapnya yang tidak suka berprasangka buruk terhadap orang lain. Meskipun pada mulanya dia tidak berkenan dengan lelaki itu tetapi lama-kelamaaan dia mula terbiasa dengan kehadiran lelaki itu. Kata-katanya meskipun tidak ditujukan kepada sesiapa, ada kalanya dia tetap terasa kata-kata itu kena atas mukanya. Lelaki ini memang misteri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: