Bab 10
PINTU masuk galeri Rayyan ditolak perlahan sebelum dia melangkah masuk. Dilihatnya Rayyan sedang melayan beberapa orang pelanggannya. Tangan kanannya diangkat tanda menyapa Rayyan yang memandang ke arahnya. Lelaki itu turut membalas sapaannya. Adam melangkah menuju ke couch yang terletak di tengah-tengah ruang galeri itu. Dia duduk di situ. Menatap lukisan yang sudah mencuri hatinya. Lukisan kosong.
"Hei, mata tu tak lepas aku tengok. Dah angau ke apa?" Rayyan tepuk bahu Adam sebelum duduk di sebelahnya. Matanya singgah pada lukisan yang tergantung di hadapannya.
"Taklah. Cuma mata aku ni tak boleh nak lari dari lukisan ni. Rasa macam ada something dalam lukisan ni yang nak dia sampaikan. Something yang susah aku nak describe." Matanya tak lepas dari meneliti setiap sudut lukisan itu. Susah nak jelaskan apa yang terkandung dalam lukisan tu. Walaupun pada pandangan orang lain ia cuma 'contengan' biasa tetapi bagi dirinya yang juga seorang pelukis, lukisan itu bagaikan ada kisah yang tersembunyi di sebaliknya.
Rayyan senyum. Dia perasan sejak Adam datang ke galerinya tempoh hari, mata lelaki itu tak pernah lari menatap lukisan yang tergantung itu. Nampaknya ada orang sudah jatuh cinta.
"Nasib kau tak baik." Adam berpaling ke arah Rayyan yang memakai T hitam dan berseluar khakis yang duduk di sebelahnya.
"Maksud kau?"
"Violet Hana datang semalam." Mata Adam membulat.
"Seriously?" tanyanya tak percaya.
"Yes and that was my first time meeting her. Cantik, bro. Terpegunlah juga aku seketika." Rayyan tersenyum membayangkan pemilik nama Violet Hana tu. Memang cantik dan kalau digandingkan dengan jejaka sebelahnya mesti sepadan. Rayyan berangan. Adam tiba-tiba rasa kecewa. Dia memang nak sangat jumpa dengan pemilik nama Violet Hana tu. Tapi sayang sebab semalam dia menjemput adiknya pulang ke rumah.
"Nama dia apa?" tanyanya dengan perasaan kecewa.
"Entah. Dia tak cakap nama penuh dia cuma dia sebut nama dia Hana. Kesian kau. Sabarlah, bro. Ada jodoh bolehlah jumpa." Rayyan ketawa. Suka dia melihat wajah sahabatnya yang sudah macam orang putus cinta. Kecewa sangat ke?
Adam mengeluh. Lukisan itu dipandangnya. Lama.
"Owh, lupa nak cakap, dia datang sebab ada orang nak beli lukisan dia. Sebenarnya aku ingatkan kawan dia yang nak datang tapi dia pun ikut sekali. Tu yang aku terkejut. Kalau aku tahu, awal-awal lagi aku ajak kau datang sini." Penjelasan Rayyan membuatkannya tersentak. Beli? Beli lukisan?
"Maksud kau lukisan ni?" Dia sudah berdebar-debar menunggu jawapan Rayyan. Jauh dalam sudut hati, dia mengharap yang bukan lukisan ini kerana lukisan ni bagaikan memberi sesuatu kepadanya. Sesuatu yang hanya pelukisnya yang tahu.
"Bukan. Kau jangan risau. Lukisan ni bukan untuk dijual. Hana sendiri yang tak nak lukisan ni dijual. Dia sayangkan lukisan ni. So, aku just exhibit ajelah dekat sini. Lupa pula nak letak signboard 'not for sale' dekat situ. Lukisan Eyesdrop yang dia nak jual tu." Rayyan tersenyum melihat Adam menghembus nafas lega. Nampak sangat hati tu dah tergolek dekat tuan lukisan ni.
"Kau ni aku tengok macam orang angau aje. Asyik tengok lukisan ni saja, kau tu bila pula? Dah lama aku tunggu lukisan kau nak exhibit dekat sini tapi habuk pun tak ada," tanya Rayyan sambil mengeluarkan telefon dari koceknya.
"Ala, nantilah dulu. Aku tak ada mood nak melukis sekarang," jawabnya malas. Rayyan mencebik.
"Ray..."
Bunyi namanya dipanggil membuatkan Rayyan berpaling ke belakang. Amir, pembantunya menunjukkan ke satu arah.
"Bro, ada customer. Kau layan dirilah." Bahu Adam ditepuk sebelum dia melangkah menuju ke arah pelanggannya. Adam masih lagi hanyut dalam lukisan itu, mencari cerita di sebalik lukisan itu.
FATIN duduk termenung di dalam bilik. Barang-barangnya sudah siap dikemas, hanya menunggu masa sahaja untuk bertolak. Flight dia pukul sepuluh pagi, sekarang baru pukul enam pagi. Abangnya pula sedang bersiap untuk menghantarnya ke airport.
Matanya meliar memerhatikan sekeliling biliknya. Hari ini dia akan fly ke France, entah bila pula dia akan pulang. Perancis... Dulunya dia memang berangan nak pergi ke sana bersama-sama keluarganya tetapi impiannya terkubur begitu sahaja. Kalau dulu mesti dia akan melompat gembira tetapi sekarang tidak lagi, perasaannya kosong. Terasa sedih mahu meninggalkan semua ini tetapi dia terpaksa. Dia kena lupakan kenangan lama, mulakan hidup baru. Be someone new.
Dia bangun menuju ke beranda biliknya. Taman bunga yang dibina ibunya dipandang lama. Satu per satu kenangan mereka berdua bermain di mindanya. Terasa sukar mahu membuang semua itu. Pandangan beralih pula ke arah kolam renang di sebelah kanan, mereka sekeluarga pernah berkelah di situ, sama-sama merenung langit pada waktu malam, mengira bintang, menyanyi dan sebagainya. Mana mungkin dia akan melupakan semua itu.
Tiba-tiba dia terasa hidup ni tak adil. Kenapa ibu dan abahnya yang pergi dulu sedangkan dia masih lagi belum puas bersama-sama mereka.
"Mati itu pasti. Yang hidup pasti akan mati. Semua orang tak terkecuali cuma lambat dan cepat sahaja yang membezakannya. Jangan pernah persoalkan semua itu. Allah dah tetapkan semua itu. Kita tak tahu apa yang akan jadi pada masa depan. Akak, hidup ni memang tak adil tapi kita kena fikir dari sudut positif, bukannya fikir pasal negatif sahaja. Allah dah tetapkan jalan hidup kita jadi tak ada sebab kita perlu sedih. Bila hujan, Allah datangkan pelangi dan bila kita sedih, Allah akan bagi kita kebahagiaan nanti. Cuma kita kena reda dengan semua ini. Reda tu kunci utama bahagia."
Kata-kata nasihat Faris terngiang-ngiang di mindanya. Reda. Ya, dia kena reda dengan semua ini. Pasti ada hikmahnya.
"Atin, jom."
Suara abangnya mematikan lamunannya. Fatin berpaling ke belakang. Abangnya sudah mengangkat begnya keluar dari bilik. Fatin tutup pintu beranda sebelum dia pandang sekeliling biliknya buat kali terakhir. Matanya singgah pada potret keluarganya di atas meja.
"Ibu, abah, Atin pergi dulu." Katanya dalam senyum. Fatin melangkah keluar. Pintu bilik ditutup rapat. Moga masa depannya lebih cerah berbanding sekarang, doanya dalam hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro