Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Prolog

Cinta wujud untuk memberi dan menerima.

Tapi bagaimana pula jika hanya satu pihak sahaja yang wujud?

Duduk dilabuhkan di atas pasir pantai. Nafas yang tersangkut dilepas berat. Lutut dibawa rapat ke dada. Mata sudah bertakung dek air mata. Dan perlahan air mata menjamah pipi.

Dia tak muncul seperti yang dia cerita. Inilah harinya. Inilah tempatnya. Inilah waktunya. Tapi puas dicari. Kenapa si dia masih belum munculkan diri?

Atau mungkin... Dia memang tak pernah wujud? Dia hanya mimpi indah yang mungkin akan terus kekal sebagai mimpi. Menyedari realiti yang satu ini, hati Dalila dihempap rasa sedih yang menggila.

Tapak tangan dibawa ke dada. Denyut jantungnya berdegup kencang. Kepala digeleng laju. Organ hatinya bagai merasai kehadiran si dia. Hati tak akan pernah mengkhianati dirinya.

"Tak, aku percaya yang dia memang ada. Dia memang wujud. Aku dapat rasa. Perasaan ini tak mungkin akan menipu," tutur Dalila yakin. Air mata ditepis.

Menyerah ajelah, Dalila. Satu suara menerjah ruang pendengaran.

"Putus asa? Sorry itu bukan perangai aku. Pantai ni besar. Boleh jadi dia ada di satu tempat yang aku tak nampak." Bergegas Dalila bangun dan kembali melebarkan pandangan mata ke sekeliling pantai Boracay ini. Mencari 'si dia'.

Suasana di pantai penuh dengan kehadiran pelancong. Mungkin pandangan mata yang terbatas ini akan menghalang pencariannya.

Remang senja sudah menghiasi dada langit. Dalila perlu cepat mencari. Sikit masa lagi, langit akan bertukar ganti.

Akibat ralit menebarkan pandangan, Dalila langsung tidak sedar akan kewujudan batang kayu di hadapan jalannya.

"Hei, watch out!" tegur satu suara.

Belum sempat Dalila menghentikan langkah, kakinya tersadung sebelum tubuhnya jatuh tersembam di atas pasir pantai. Dan dia jatuh betul-betul di hadapan seorang lelaki.

Bukan rasa malu yang menjentik hati. Tapi rasa sayu. Dia sudah hilang kudrat untuk mencari. Dari pagi dia duduk di persisiran pantai ini. Menunggu kedatangan si dia. Dan tika ini, baterinya benar-benar haus.

Mungkin benar.

Dia perlu berhenti daripada berharap.

"Miss, are you okay?" tegur satu suara.

"Miss..." Suara itu bergema lagi. Terasa bahunya disentuh dengan jari.

Tangisan kecil sudah kedengaran. Dalila tak mampu menahannya lagi. Dadanya terasa seperti hendak pecah.

"Miss... Did you hurt?" soal pemuda itu sopan sambil cuba membantu Dalila untuk bangun.

"I'm okay." Bantuan lelaki itu ditolak lembut.

"Are you sure?"

Angguk. Lemah. Tapak tangan yang dipenuhi pasir itu dikibas.

"Are you Malaysian?" Soalan itu terus buat tangan Dalila terkaku sendiri.

Lambat-lambat Dalila memberanikan diri untuk mengangkat muka. Dan... Rahangnya terus terjatuh.

"Ya Allah!"

"Lain kali hati-hatilah." Dah agak dah orang Malaysia dari cara gadis ini berpakaian. Tak Malaysia, mungkin Indonesia. Yalah, rata-rata manusia di Pantai Boracay ini berpakaian macam orang tak cukup kain.

"Cik, awak okey ke tak ni?" tegur Fayyad apabila dia melihat mata wanita itu tidak lepas daripada memandangnya. Apa dia terlebih handsome ke hari ni?

Mata Dalila langsung tak berkelip memandang pemuda di hadapannya. Satu per satu diperhatikan.

Mata yang sama.

Kumis yang juga sama.

Yang lain mungkin hanyalah bentuk tubuh yang sedikit kurus.

"Abang..." panggil Dalila dengan deraian air mata yang sudah jatuh di pipi. Tak menyangka Allah mendengar doanya saban waktu.

"Akhirnya Lila jumpa abang." Tanpa sedar, tubuh lelaki itu terus dipeluk. Perbuatan yang membuatkan Fayyad seperti kena lempang.

"Sorry cik, rasanya cik salah orang ni." Tubuh wanita itu ditolak lembut. Aduh, tak pernah hayat peluk perempuan lain selain daripada mak sendiri. Berderau rasa darah yang menumpang badannya.

"Tak mungkin Lila salah orang. Abang, Fayyad Syakir, kan?"

Berkerut-kerut dahi Fayyad apabila gadis ini berjaya menyebut nama penuhnya. "Ya, itu memang nama saya."

"Ini Lila, bang... Lila. Masa depan abang. Separuh takdir abang." Dadanya ditepuk berulang kali. Cuba mengingatkan Fayyad.

"Cik ni tukang tilik ke? Tak baik, cik. Dosa tu. Jatuh syirik." Spontan ayat itu keluar dari mulut Fayyad. Yalah, tiba-tiba ada orang mengaku yang dia adalah masa depannya. Separuh takdirnya. Gila tak pelik?

Kata-kata Fayyad langsung tak dihiraukan. Tubuh lelaki itu dipeluk. Erat. Bagai tidak mahu dilepaskan lagi. Fayyad benar-benar telah memaksudkan kata-katanya. Seorang Deeba Dalila memang sudah tidak tahu bagaimana untuk hidup tanpa Fayyad Syakir.

"Cik... Saya bukan suami cik! Cik tak boleh buat macam ni," tegas Fayyad. Menolak wanita itu penuh hati-hati. Kalau dia sejenis lelaki yang mengambil kesempatan, sudah lama pelukan wanita itu berbalas.

"Abang, abang tak kenal Lila ke? Abang saja kan nak balas dendam?" Adakah Fayyad ingin membalas dendam kepadanya atas apa yang dia lakukan dahulu?

Fayyad lepas nafas. Kepala digeleng.

"Like seriously, I have no idea what are you talking about. I need to go." Tanpa perasaan, kakinya dibawa pergi. Pening bila berhadapan dengan perempuan yang separa waras ini.

Air mata Dalila menitis. "Sampai hati abang... Lupa Lila." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro