Bab 8
Diperhatikan Dalila yang lena tidur itu. Fayyad sendiri pun bingung dengan takdir yang tiba-tiba menyerbu hidup mereka. Ya. Dia faham Dalila terkejut. Dia sendiri pun tak lari dengan rasa terkejut.
Telefon dicapai sebelum dia keluar dari bilik. Nombor sahabat baiknya didail.
"Kau dah kenapa telefon aku malam-malam?" Tanpa salam, suara Azizi menerpa laju.
"Kenapa? Aku tak boleh telefon ke?"
"Yalah... Dah nak dekat pukul satu kut. Gila tak terkejut."
"I need someone to talk. Kau busy ke?" Sungguh dia sendiri tak perasan jam sudah menjejaki angka satu pagi.
"Aku tengah layan movie."
"Layan movie? Dengan siapa?" Rajin pula Azizi layan movie.
"Soranglah... Kalau ada bini, taklah aku angkat call kau ni." Eee... Geram pula dengan soalan Fayyad itu.
Lepas tawa Fayyad.
"Sebab tu Allah tak bagi kau isteri lagi, Zi. Dia tahu kawan kau lebih perlukan kau," sakat Fayyad.
"Kurang ajar! Bukannya nak doakan jodoh untuk aku." Sekejap sahaja, perbualan mereka sudah melalut entah ke mana.
"Aku doakan apa. Doakan kau dapat jodoh baik-baik supaya dapat bekal pahala ke dunia sana nanti," putus Fayyad ikhlas.
"Hmmm, kau call aku malam-malam ni semata-mata nak doakan jodoh aku ke macam mana?" Kening dah terangkat. Reaksi spontan walau Fayyad tidak dapat melihatnya.
"Mestilah tak..."
"Kejap, kau call malam-malam ni takkan nak minta tip kut? Aku ni teruna lagi, weh. Masih belum ada kepakaran," sakat Azizi kotor.
"Choihhh... Menyimpang betul ayat kau tu."
Azizi ketawa. Dia tahu, pasti ada sesuatu yang menganggu Fayyad tika ini. Jadi, dia cuba membantu untuk menjernihkan kekusutan kawannya itu.
"So, apa halnya?"
"Tak ada apa. Aku cuma tak boleh tidur." Akhirnya, Fayyad putuskan untuk tidak bercerita.
"Dah tu, call aku ni nak ajak tidur sama ke? Sorry ya... Walaupun aku ni mungkin belum kahwin, tapi tak bermakna aku gay, ya."
Fayyad ketap bibir.
"Aku tumbuk juga kau esok..."
"Kenapa esok? Datanglah malam ni," cabar Azizi sengaja dengan tawa yang masih bersisa.
"Eee... Menyesal call kau. Makin menyakitkan hati aje." Sebenarnya, Fayyad dah rasa lega. Walaupun mereka tak bincangkan apa pun. Barangkali, inilah kelebihan yang ada pada Azizi.
"Lah, kau ni tahu marah juga, ya? Ingatkan cool memanjang."
"Bila masa aku cool memanjang?"
"Yalah. Aku tengok wife kau hilang ingatan, aku tengok kau cool aje. Apa pun yang menimpa kau, kau memang tenang aje," puji Azizi tanpa sedar. Sebenarnya dia sangat kagum dengan Fayyad. Masa dia tahu pasal penyakit anak dia pun, dia masih tenang seperti biasa. Kadang-kadang dia rasa Fayyad ni tak dikurniakan deria yang lain ke? Marah misalannya.
"Apa lagi pilihan yang aku ada? Sedangkan dalam hati... Tuhan aje yang tahu." Atau dia sejenis manusia yang tak mampu menunjukkan kelemahan diri? Jadi diajar diri untuk tenang sedangkan dia tak pernah sekuat itu.
Diam.
"Hmmm, wife kau dah okey? Ke dia still lupa?"
"Dia masih tak ingat apa-apa. Dan dia... Dia tak sama seperti yang aku kenal."
Diam.
"Hmmm, bolehlah aku try market. Kot-kot dia jatuh suka pada aku ke..." Sempat lagi Azizi berseloroh. Tak mahu perbualan mereka jadi tegang dengan emosi. Lagipun, tak guna layan dialog standard seperti sabarlah, tenanglah atau seangkatan dengannya. Kadang-kadang, apa yang manusia perlukan ialah rehat. Ya, tempoh untuk mengimbangi emosi sendiri.
"Okey gak cadangan tu."
"Seriuslah?" Azizi dah tergamam.
"Serius. Tapi sebelum tu aku tempah kain kafan dulu, ya? Senang siap sedia awal-awal. Tak menyusahkan aku nak tanamkan kau nanti."
Akhirnya meletus tawa kedua-duanya.
"Zie..."
"Ya..."
"Thanks. I feel better." Dia tahu, gurauan Azizi itu adalah untuk membangkitkan emosinya yang kian jatuh.
"Tak ada apalah. Esok aku hantar invois lengkap dengan caj GST."
"Cheit! Dengan aku pun nak berkira ke?"
"Mestilah. Money still money. Boleh tambahkan duit belanja kahwin aku."
"Tak guna duit belanja kahwin berjuta pun kalau kau masih tak ada calon, bro." Pelik betul persahabatan dia dengan Azizi. Gurauan mereka kasar benar. Jauh sekali perangai Azizi dengan arwah Wakeel.
"Itu memang satu penghinaan! Kahwin nanti malas nak jemput."
"Tengok, niat pun dah tak elok. Sebab tu tak kahwin-kahwin lagi."
Perbualan seterusnya, berlangsung dengan usikan yang seperti tiada penghujungnya.
Jam loceng berbunyi. Mengejut Dalila daripada lena. Jam yang berada di meja tepi itu ditutup. Baru pukul lima pagi. Siapa yang kunci jam awal-awal ni? Sedang Dalila berkira-kira hendak menyambung tidur, dia mula sedar ada tangan yang melingkar di pinggangnya. Automatik dia menjerit kuat! Tubuh itu terus ditolak kuat agar menjauhinya.
Fayyad yang masih mamai terus gagal mengimbangi tubuhnya dan terus terjatuh ke bawah.
"Kau siapa hah?" jerit Dalila kuat. Kakinya dibawa turun dari katil.
"Aduh." Belakang badan yang sakit digosok.
Dengan disirami cahaya luar, Dalila raba dinding. Mencari suis lampu.
"Kau siapa? Kenapa kau ada dalam bilik ni? Kau cuba nak rogol aku ya?" Dadanya naik turun menahan debar.
"Lila, ni abanglah. Suami Lila." Perlahan suara Fayyad. Mungkin si isteri belum membiasakan diri dengan kehadirannya. Mujurlah dia tak ada penyakit jantung. Gila tak haru bila pagi-pagi dah kena tendang ke bawah?
"Suami?" Dalila pegang kepala sendiri. Cuba berfikir.
Ya. Bukankah dia sedang berada di dunia baharu? Dia sudah punya suami dan anak. Mengingatkan si anak, terus Dalila bergegas mendapatkan Faqih yang berada di dalam baby cot. Mujurlah si kecil tidak tersedar dek jeritan kuatnya tadi.
"Sorry."
"Aduh..." Lengan yang terlipat tadi dipegang. Berpura-pura mengadu.
"Sakit sangat ke?" Rasa bersalah menerjah hati. Lengan Fayyad ditelek.
Fayyad anggukan kepala. Siap dengan pakej muka kesian.
"Nak pergi klinik ke?" Bimbang juga kalau patah ke retak tulang Si Fayyad ni.
Fayyad simpan senyum. Keprihatinan Dalila membuatkan dia sedar yang isterinya masih orang yang sama.
"Lila ajelah tolong ubatkan."
"Saya nak ubatkan macam mana? Saya bukannya reti," bidas Dalila dengan dahi yang berkerut-kerut.
Fayyad angkat lengannya. "Cuba Lila cium kat sini, mesti sembuh sakit abang."
Kali ini Dalila kecilkan matanya sedikit. Sudah menghidu sesuatu. Tapi tetap dirapatkan mukanya di lengan Fayyad. Tapi belum sempat dicium, jarinya terus buat kerja. Diketip kuat lengan Fayyad.
"Adoi! Sakitlah..." Lengan yang perit digosok kasar.
"Hah... Anggap aje macam kena cucuk sebab nak hilangkan sakit. Siapa suruh mengada-ada?!" Tangan dicekak ke pinggang. Melontar rasa.
"Alah, mengada sikit pun tak boleh ke?" Fayyad buat muka manja. Cuba mencuri perhatian dari isterinya.
"Pergi mengada-ada dengan orang lain."
"Okey, esok saya kahwin lain. Boleh mengada-ada dengan isteri baru." Fayyad sengaja memprovokasi.
Dalila gigit bibir. Fayyad memang suka menjentik amarahnya.
"Esok mohon jangan buat macam tadi lagi. Abang bimbang jantung abang tak kuat," pesan Fayyad sambil mengambil duduk di hujung katil. Kantuk yang masih bersisa tadi sudah lama hilang apabila bergaduh mulut dengan Dalila.
"Salah awaklah! Siapa suruh peluk saya!? Pergilah tidur kat bilik lain." Yalah, dah nama pun dia hilang ingatan. Janganlah main redah aje tidur di atas katil yang sama.
"Awak yang tetapkan rules dulu. Gaduh macam mana pun, kita dilarang untuk mengasingkan tempat tidur."
"Itu saya yang dulu. Sekarang lain," dalih Dalila. Lagipun, kalau Fayyad menipu sekalipun bukannya dia tahu.
"Apa yang lain? Awak masih isteri saya. Hakikat tu tak akan pernah berubah sampai bila-bila." Tegas suara Fayyad kali ini. Dia tak akan beri ruang untuk Dalila berfikir yang mereka akan berpisah. Never!
"Dahlah, abang tak nak mulakan hari ni dengan bertekak. Jom, siap untuk solat." Suara Fayyad sudah dikendurkan.
"Awal lagi nak solat subuh," protes Dalila. Kembali ingin mengambil tempat di atas katil.
"Kita buat tahajud dulu."
"Malaslah. Awak ajelah buat." Jujur Dalila berterus terang. Dia tak biasa dengan segaja jenis solat sunat ini. Solat yang wajib pun huru-hara.
Tidak mahu memaksa, Fayyad ke bilik air membersihkan diri. Usai mengerjakan solat, Fayyad mengaji sebelum menanti waktu subuh.
Alunan suara Fayyad sungguh menusuk kalbu. Terbuai Dalila yang sedang baring di atas katil itu. Langsung tak dapat melelapkan diri. Apabila masuk sahaja azan subuh, terus Dalila bangun mengambil wuduk dan mendapatkan tempat di belakang Fayyad.
"Tak mandi?"
"Sejuk."
"Tapi semalam kita dah..." ayat Fayyad tergantung. Mata melirik ke arah si isteri.
"Dah apa? Awak jangan lebih-lebih ya?" Jari terlunjuk terangkat. Menuding ke arah suami yang sedang tersengih.
"Gurau sikit pun tak boleh ke?"
Jawapan Fayyad itu hanya mengundang jelingan dari Dalila. Fayyad sekadar tersenyum sebelum beristighfar untuk mengimamkan solat subuh.
Usai Fayyad membaca doa, dia kalih ke belakang. Menghulurkan salam.
Teragak-agak Dalila menyambutnya. Sebagai tanda hormat, disambut juga huluran salam itu. Baru sahaja Dalila ingin menarik tangannya, Fayyad lebih laju bertindak dengan menariknya ke dalam pelukan.
"Eee... Awak buat apa ni?"
"Kita ada rules. Setiap pagi selepas solat, kita akan berpelukan dalam sepuluh saat."
"Merepeklah!"
"Ya. Rules ni awak yang buat tau?"
Bulat mata Dalila mendengarnya. Kenapalah aku bodoh sangat nak buat rules macam gitu?
"Nonsense!"
"Banyak kelebihan berpeluk ni. Kajian menunjukkan yang bila kita berehat di samping pasangan yang kita cintai, ia dapat membuatkan otak, jantung dan organ yang lain bekerja secara santai. Sekali gus dapat meningkat umur. Itu baru peluk kejap. Kalau berpeluk waktu tidur lagi banyak kelebihan dia." Suatu ketika dahulu, Dalila juga yang memberikan hujah ini kepadanya.
Dalila tutup telinga.
"Stop it! Semua tu merepek. Jadi berhenti bodohkan saya, ya?"
Akhirnya Fayyad angkat bahu. Seperti tadi, dia tak mahu mulakan harinya dengan pergaduhan bersama Dalila.
"Saya siapkan minum pagi. Awak nak makan apa?" Sejadah yang digunakan tadi dilipat sebelum diletakkan di atas birai.
Tiba-tiba Dalila terfikirkan sesuatu. "Banyak betul masa awak nak buat sarapan. Awak tak kerja ke? Ke cuti?"
Lewat dua hari ini, memanglah Fayyad sentiasa ada. Tak ditanya pula apa pekerjaan suaminya itu.
"Erk... Abang tak kerja." Sedikit tergagap suara Fayyad. Anak mata dilarikan dari memandang wajah Dalila.
"Maksud awak tak kerja tu... Awak cuti ke awak tak ada kerja?" Tapi melihatkan akan kehidupannya yang agak selesa ini, mustahil pula jika Fayyad tak bekerja.
"Abang. Tak. Ada. Kerja."
Jatuh rahang Dalila.
"Maksud awak, awak penganggur?"
Anggukan Fayyad buat Dalila rasa nak rebah. Lepas satu, satu. Apa lagi kejutan yang menantinya selepas ini?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro