Bab 7
Apabila hanya tinggal mereka berdua sahaja di dalam rumah, Dalila masuk ke dalam bilik.
"Lila..."
"Saya nak mandi." Tapi sebelum itu, dia perlukan pakaian ganti. Takkan dia nak keluar dari bilik dengan berkemban?
Kakinya terus dibawa ke pintu wardrobe.
"Lila, bilik air kat situ. Itu pintu almari," tegur Fayyad.
Dalila buat muka berang. "Awak ingat saya ni bengap sangat ke sampai tak boleh bezakan pintu almari dengan pintu bilik air? Saya nak ambil bajulah."
Bahu diangkat. Membiarkan sahaja si isteri berdiri di hadapan almari milik mereka.
Apabila pintu wardrobe dibuka. Matanya membulat dengan sendiri. Diperhatikan semua pakaian yang ada. Tercengang dia seketika apabila mata menjamah juadah isi almari. Apa hal semua jubah? Baju kurung? Jean dan T-shirt mana?
"Lila cari apa?"
"Buka pintu almari, kan? Mestilah nak cari baju. Takkan nak cari pili air pula." Keras Dalila membalas.
"Maksud abang, cari baju tidur ke?" Ringkas soalan Fayyad. Amarah Dalila ditolak ke tepi.
"Seriuslah semua ni baju saya?"
"Yalah. Setakat hari ni abang tak bertukar jantina lagi nak pakai jubah." Fayyad pulang paku buah keras. Sedikit mengusik. Namun usikan itu makin menanamkan bara dalam hati Dalila.
Dibelek satu demi satu jubah yang terpamer. Cantik-cantik juga tapi sangat tak sesuai dengan jiwanya. Dulu dia sehelai jubah pun tak ada. Aduh, kenapa Dalila versi alaf baru lagi old school ni?
"Seluar jean?"
"Kalau Lila pakai seluar jin, kesianlah jin kena berbogel." Tanpa sedar, Fayyad beri lawak hambar. Lawak yang menambahkan lagi ketegangan di wajah Lila.
"Kalau Lila tak pakai jubah, Lila akan pakai blouse dan palazzo. T-shirt pun ada tapi T-shirt Muslimahlah." Fayyad tolak satu lagi pintu almari. Ada bermacam jenis blouse.
Dalila garu kepala.
"Habis tu, takkan dalam rumah pun saya pakai baju macam ni?" protes Dalila, geram. Fayyad ni faham ke tak apa yang dia cakap ni? Satu lagi, kalau kat luar rumah pun dia akan fikir berjuta kali untuk sarungkan jubah. Kat luar tu panas kut! Lainlah kalau turun salji.
"Oh... Cakaplah awak cari baju nak pakai dalam rumah." Satu lagi pintu almari ditolak. Bergantung beberapa helai lingerie yang agak terdedah.
"Ini pakaian harian Lila dalam rumah," jelas Fayyad.
"Takkan saya nak pakai baju tu!" Lagi terbeliak biji mata Dalila melihatnya.
"Lah, apa yang salahnya? Kita suami isteri, kan?"
"Isy... Awak ni langsung tak peka dengan perasaan saya, kan? Fikir pasal awak aje!" Memang tak lah dia nak pakai baju-baju ni semua. Apatah lagi dengan dengan lelaki asing seperti Fayyad.
"Apa yang tak pekanya?" Letih juga nak layan Dalila yang versi begini. Kuat bergaduh.
"Ini almari baju awak ke?" Kali ini Dalila bukan almari yang berada di sebelah almari miliknya.
"Haah. Awak nak buat apa?"
Pintu almari itu terus dibuka. Terus dicapai sehelai T-shirt dan seluar milik Fayyad. Sewaktu di hostel dahulu, memang sudah kebiasannya berseluar pendek dan berbaju tanpa lengan. Tapi bila bersama dengan Fayyad, dia rela pakai baju besar milik Fayyad.
Huwa... Serius dia rasa nak menangis. Tanpa menunggu lama, terus kakinya dibawa ke kamar mandi.
"Lila..." seru Fayyad. Namun panggilannya langsung tak diendahkan. Satu keluhan dilepaskan. Menyesal pula kerana menyakat Dalila tadi. Sebenarnya ada sahaja baju tidur isterinya yang lain.
Lama dia berdiri di bawah pancuran air. Biar terbasuh segalanya yang menghurung fikiran. Memikirkan segalanya yang bakal dia tempuhi, Dalila mula rasa gerun. Dan sekarang dirasakan otaknya sudah mula membengkak.
Apabila merasakan kulitnya sudah mengecut, pancuran air ditutup. Dalila merenung diri sendiri di hadapan cermin bersama keluhan. Kulitnya dibelek. Mengira kedut yang ada. Tak sangka, di hadapannya ini adalah Deeba Dalila yang sudah berusia dua puluh lapan tahun. Mungkin ada sedikit perbezaan. Rambutnya juga agak panjang. Tidak sependek dahulu.
"Lila..." Ketukan di muka pintu itu langsung dihiraukan.
"Lila..." seru Fayyad lagi.
Dalila lepas nafas. Nak apa lagi mamat ni? "Apa?"
"Tak ada apa. Just want to make sure that you are still alive."
Huh? Apa dia ingat aku ni tak ada iman ke sampai nak bunuh diri.
"Lila..."
"Apa lagi?" Tiba-tiba Dalila rasa yang Fayyad ni lagi teruk daripada Raif. Annoying! Kenapa dia kena stuck dengan lelaki tak normal macam Fayyad ni?
"Jangan duduk lama-lama dalam bilik air tu. Syaitan banyak. Takut pula abang kalau awak pun keluar bertukar jadi syaitan."
Rambut yang basah dan panjang mengurai itu ditarik geram. Apa masalah Fayyad ni? Dia ni nak jadi pelawak ke apa? Nak mandi pun tak senang. Malas hendak melayan, Dalila terus membersihkan diri.
Tindak tanduknya berhenti saat tangannya ingin mencapai berus gigi. Mana satu berus gigi aku ni? Aduh, nak gosok gigi pun tak amanlah! Tanpa berfikir panjang, pintu bilik air terus dibuka.
"Fayyad!" jerit Dalila kuat.
Aik, dah hilang? Tadi bukan dia ada depan pintu bilik air ni ke?
"Fayyad!" Nada suara makin meningkat naik.
"Apa jerit-jerit macam kena rasuk ni? Sebab tu abang dah pesan jangan duduk dalam bilik air lama-lama," tegur Fayyad senada. Selepas ini dia kena biasakan diri dengan tingkah laku Dalila yang tak terjangka ini.
"Mana satu berus gigi saya?" Tanpa menghiraukan bebelan si suami, Dalila hulurkan pertanyaan.
Soalan polos Dalila itu nyata mengundang tawa Fayyad. Bahu disandarkan di pintu bilik air.
"Kenapa tanya? Pakai ajelah mana yang awak berkenan."
Jari dah naik ke kening. Mengurut lembut. Nak kena mamat ni! Dia ingat kelakar ke kalau kongsi berus gigi? Buatnya Fayyad makan petai, jering, tempoyak tu? Euwww... Haru!
"Janganlah main-main."
"Betullah. Pakai aje mana-mana yang awak berkenan. Kalau hidup pun kita boleh kongsi, kenapa tak berus gigi?"
Melihatkan Fayyad yang langsung tak membantu itu, pintu bilik air terus ditolak kasar. Tapi tangan Fayyad sempat menghalangnya. Malah kepalanya terjengul di balik pintu yang separa terbuka itu.
"Apa lagi?"
"Lama tak tengok awak seksi macam ni."
What?
Rahang Dalila sedikit terbuka. Mata menunduk memandang tubuh sendiri. Walaupun dia memakai T-shirt longgar namun warna bajunya agak cerah. Dah dia pun satu. Apa hal buat perangai tak sekolah pergi main buka aje pintu bilik air tadi?
"By the way, berus gigi awak warna purple." Sayup-sayup kedengaran suara Fayyad dari luar.
Apabila tangannya mencapai berus itu, Dalila mula teragak-agak sendiri. Entah-entah mamat tu tipu tak? Aduh! Ini baru kes nak pilih berus gigi. Apa lagi pancaroba yang dia akan jumpa nanti?
Usai membersihkan diri, Dalila sekadar menjadi pemerhati apabila Fayyad membersihkan Faqih. Ketika di bilik mandi, Faqih akan didudukkan di atas bangku. Si kecil itu ceria sahaja dilayan oleh ayahnya.
Satu per satu gelagat si anak dan si ayah diperhatikan. Dalam pada masa yang sama, Dalila cuma mengasah ingatannya. Siapa tahu, ingatan yang tersekat itu muncul kembali? Tapi sayang, satu pun tiada dalam memorinya. Jadi, bagaimana harus dia yakin yang dia pernah berada di situasi seperti ini?
"Diam aje?" tegur Fayyad.
"Kalau bising karang awak cakap saya kena rasuk dek syaitan pula," perli Dalila. Geram.
Fayyad ketawa nipis.
"Maghrib dah masuk ni. Awak dah ambil wuduk? Kalau belum, pergi ambil. Kejap lagi kita solat sama-sama."
"Saya solat sendiri aje nanti," tolak Dalila.
"Jomlah solat sama-sama. Pahala berganda tau." Pujuk Fayyad. Masih mencuba.
"Apa yang saya dapat kalau saya solat ni? Allah akan makbulkan doa saya ke?" Nadanya penuh rasa prejudis.
"Allah tak pernah menolak doa setiap hambanya."
"Ya ke? Habis tu kenapa dia tak dengar doa saya? Saya tak nak duduk dalam dunia awak ni. Ada awak. Ada Faqih. Ada mentua macam tu. Saya tahu saya bukan hamba yang baik. Tapi... Kenapa Dia ubah hidup saya tiga ratus enam puluh darjah. Saya nakkan keluarga saya. Hidup saya yang dulu. Hidup saya yang dulu!" raung Dalila kuat. Emosi sudah bermaharajalela bergelung dalam hati.
Air mata jatuh menitis di pipi. Akalnya masih belum mampu menerima semua yang berlaku secara tiba-tiba ini. Tragis dan sadis!
"Tak ada seorang pun yang berdoa pada Allah melainkan Allah pasti doanya akan dimakbulkan. Tapi sebagai manusia, kita kena serahkan pada kebijaksaan Allah. Akal fikiran kita terbatas Lila. Sebab tu ada sesetengah perkara di luar pengetahuan kita. Allah tahu kenapa dia letakkan Lila dalam keadaan ni."
Dalila terus menangis.
"Umi... Nape umi angis?" Suara pelat si kecil itu bagai menarik Dalila kembali ke dunia realiti. Si kecil kelihatan mengengsot untuk mendapatkan dirinya.
Melihatkan kesengsaran si kecil itu bergerak, tapak kaki Dalila terus mendapatkan Faqih. Tubuh si kecil dipeluk erat. Bagaimana kasih dia boleh tumpah buat Faqih dengan sebegini mudah?
Fayyad ikut turut mendekat dan memeluk kedua-duanya.
"Tak apa. Menangislah Lila. Tangisan itu adalah bicara dari rasa sakit. Jangan simpan. Apa pun yang berlaku, Lila kena ingat yang Lila ada abang dan Faqih. Lila takkan keseorangan untuk harung semua ni," pesan Fayyad pasti. Dia tak akan biarkan si isteri terkontang sendirian. Dan biarlah ini kali terakhir Dalila melepaskan tangisnya.
Lila, ketahuilah bahawa tangisanmu sering menjadi alasan dadaku menjadi sesak dan sempit.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro