Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

Pipinya terasa disentuh lembut. Sejuk sahaja tangan itu mendarat di pipinya yang basah.

"Hei, kenapa menangis ni?" soal Puan Diana.

"Mummy!" Terus Dalila bangun dan memeluk Puan Diana. Kejap. Syukurlah ada mummy. Ya Allah, dia mimpi buruk rupa-rupanya.

"Dah, jangan menangis."

Cepat-cepat diseka segala sisa air matanya.

"Mummy jangan tinggalkan D tau. D tak sedia lagi nak hilang mummy. D janji akan jadi anak terbaik buat mummy. D tak akan buat mummy dan daddy susah hati lagi. Tapi mummy tolonglah janji jangan tinggalkan D," rayu Dalila sunguh-sungguh. Terlalu larut dalam emosi yang menggila tadi. Kehilangan tiga orang penting dalam hidupnya bukan sesuatu yang kelakar.

Puan Diana senyum.

"D, apa pun yang berlaku... D kena kuat. Jangan patah semangat. Kalaupun kami tak ada depan mata D, tapi kami sentiasa hidup di sini..." Jari telunjuk didaratkan di dada Dalila.

Laju kepala menggeleng.

"D nak mummy tinggal dalam hati D dan di depan mata D. Mummy tak boleh pergi mana-mana tanpa izin D."

Puan Diana tersenyum.

"Jangan tolak takdir yang berada di depan mata kita walau takdir tak akan selalunya memihak pada kita. Tetap ada kebaikan dalam keburukan dan keburukan dalam kebaikan."

"Mummy cakap apa ni?"

"Mummy tak boleh lama. Mummy kena pergi..." Satu kucupan dihadiahkan di ubun-ubun anaknya. Dinginnya kucupan itu meresap ke relung hati.

"Mummy!" jerit Dalila kuat seraya bangun dari perbaringan. Nafas yang tercungap itu disusun satu per satu. Mata menggeledah ruang bilik. Sama seperti bilik yang dia sedar pagi tadi. Maksudnya... Kehadiran mummy tadi hanya satu mimpi?

Ya Allah. Aku bermimpi rupa-rupanya. Jadi, benarlah kata-kata lelaki itu bahawa ahli keluarganya yang lain telah meninggal dunia?

Jadilah betullah juga yang lelaki itu adalah... Suami aku?!

Kenapa boleh jadi macam ni?

Dada dipalu debar sewaktu Dr. Suresh selesai menjalankan pemeriksaan ke atas isterinya.

"Puan Dalila tidak mengalami masalah serius kecuali sedikit gegaran di kepala yang sepatutnya tidak memberi kesan terhadap ingatannya. Tapi Puan Dalila berkemungkinan mengalami kecederaan otak yang membawa kepada penyakit retrograde amnesia. Pesakit biasanya akan berasa gelisah, tidak berupaya mengingati sesuatu perkara sama ada yang berlaku sebelum atau sesudah kemalangan serta menghadapi masalah daya tumpu yang sangat lemah. Dalam situasi Puan Dalila, dia gagal mengingati sebarang peristiwa yang baru sebaliknya lebih cenderung mengingati kisah lampau," jelas Dr. Suresh ringkas.

"Jadi, isteri saya menghidap amnesia?"

"Yup. Dari hasil pemerhatian saya, kecederaan di kepala Puan Dalila selepas terjatuh tangga telah memadamkan kenangan dia hampir lima tahun hingga dia gagal untuk menyedari perkara yang berlaku di sekelilingnya dalam lewat lima tahun ini. Dia tidak berupaya untuk mengingati banyak perkara termasuklah perkahwinan encik. Bukan itu sahaja, Puan Dalila merasa bahawa dia masih berumur dua puluh dua tahun."

Mukanya diraup. Padanlah wajah Dalila terpinga-pinga tadi. Dia langsung tak berada di dalam kotak memori isterinya.

"Kebiasaannya, berapa lama pesakit akan sembuh, doktor?" Dia perlukan isterinya. Tak sanggup rasanya melihat keadaan Dalila tadi.

"Tak tentu. Ada yang makan masa sehari, ada yang berbulan bahkan ada yang bertahun," jawab Dr. Suresh.

"Jadi ada peluang tak ingatan isteri saya akan pulih seperti biasa?" tanya Fayyad debar.

"Ingatan Puan Dalila akan kembali secara bertahap dari waktu ke waktu. Mungkin sebagai suami, encik boleh melakukan cara untuk membantu Puan Dalila kembali mengingat seperti mencatat beberapa informasi atau kegiatan sehari-sehari."

Badan disandarkan ke belakang kerusi. Berat untuk dia terima. Tapi ini lebih baik daripada melihat Dalila terlantar di atas katil. Sekurang-kurangnya, Allah pulangkan isteri ke pangkuannya. Ya. Dia perlu rawat hati dengan syukur.

Diam. Itu sahaja yang Dalila mampu lakukan. Otaknya tak mampu memikirkan apa pun. Semuanya kosong!

Tangan Fayyad ligat mengemas barang-barang isterinya. Sebentar lagi, mereka akan pulang ke rumah.

"Nah..." Sehelai tudung dihulurkan pada Dalila.

"Buat apa?"

Dahi Fayyad berkerut. Apa punya soalan tu?

"Tudung."

"Yalah. Saya tahulah tudung tapi untuk apa?" Suara Dalila sudah meninggi sikit.

"Kalau tudung saji, untuk tutup makanan. Kalau tudung macam ni, haruslah untuk tutup kepala," terang Fayyad tak faham. Namun seketika cuma sebelum Fayyad sudah mula memahami motif soalan Dalila itu. Ketika pertama kali dia jumpa Dalila, wanita itu memang belum mengenakan tudung. Bukankah ingatan Dalila telah terhenti di situ?

Tanpa izin Dalila, tudung itu disarungkan ke kepala Dalila.

"Apa ni? Saya tak nak pakailah!" protes Dalila kasar. Dah orang tak nak pakai tu, tak payahlah nak paksa-paksa.

"Lila, bab aurat abang tak boleh kompromi. Hukum tetap hukum whether you like it or not." Tangan Fayyad masih ligat menyarungkan tudung di kepala isterinya.

"Awak tak boleh paksa saya! Rambut saya, jadi suka hati sayalah!"

"Salah tu. Rambut awak tapi dosa awak tu pun saya yang tanggung." Lembut suara Fayyad. Dia pun sedang membiasakan hidup untuk melayan kedegilan Dalila yang langsung tak pernah dia jumpa sepanjang perkahwinan mereka.

Tiada lagi Dalila yang manja.

Tiada lagi Dalila yang lembut.

Tiada lagi Dalila yang suka mengusik.

Tiada lagi Dalila yang tegas.

Yang ada... Dalila yang double degil! Tapi Fayyad percaya yang di hadapannya ini, masih lagi Dalila yang sama. Dalila yang sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan mereka sekeluarga. Moga dia punya kesabaran yang berganda untuk berhadapan dengan Dalila versi baharu ini.

"Sejak bila saya pakai tudung?" Akhirnya, dibiarkan sahaja Fayyad melilitkan tudung itu di kepalanya.

"Sejak dulu."

"Boleh tak jangan sebut pasal dulu. Sebab yang dulu itu, langsung tiada dalam memori saya. So, saya pakai tudung lepas kahwin dengan awak ke?" Belum pun sehari dia kenal lelaki ini. Tapi pemerhatiannya, Fayyad ni macam stok imam muda aje.

"Awak pakai tudung sebelum kahwin dengan saya lagi."

Mata dipejam. Cuba diperah otaknya untuk mengingati sebanyak yang mampu. Namun hampa. Yang ada hanyalah kosong!

"Lila, jangan paksa. Abang percaya suatu hari nanti, ingatan Lila akan sembuh seperti sediakala." Bahu Dalila digosok lembut. Namun cepat sahaja ditepis oleh Dalila.

"Kalau bercakap tu, tangan jangan bergerak sama boleh tak? Saya masih tak boleh terima apa yang jadi ni."

"Okey. Sorry. Jom kita balik." Jari-jemari isteri dicapai untuk memimpin. Tapi sekali lagi ditepis.

"Saya ni hilang ingatan. Bukan buta," jawab Dalila kasar. Mamat ni memang overdose sweet ke apa? Tolonglah dia bukan suka jenis lelaki yang terlebih romantik ni. Dia boleh jalan sendiri.

Fayyad angkat bahu. Membiarkan sahaja Dalila yang berjalan sendiri.

Sewaktu kereta sudah membelah bahu jalan, Dalila mengambil kesempatan untuk melebarkan pandangan ke arah sekeliling. Tapi kenapa tempat ini langsung tiada dalam memorinya?

"Kita kat mana ni?"

"Kuantan."

"Kuantan?" Nada suara Dalila terus naik mendadak.

"Bukan kat KL? Bukan kat Shah Alam?"

Sambil memandu, Fayyad menggeleng. "Dah lama kita tinggal kat sini, Lila. Hampir empat tahun. Awak pun lahirkan Faqih di sini. Hospital yang sama awak keluar tadi."

Kejap. Penerangan Fayyad tadi buatkan otaknya blur seketika. Ke telinga dia salah dengar.

"Awak cakap apa tadi? Faqih? Siapa Faqih tu?"

Stereng dipegang kejap. This is gonna be a long journey, Fayyad. Tuhan, tolong kuatkan aku!

"Anak kita."

Whoa! Jatuh lagi rahang Dalila. Semuanya kedengaran sangat tak masuk akal. "Kita ada anak? Macam mana kita boleh ada anak?"

"Errr, Lila nak abang tunjuk demo ke macam mana Lila boleh mengandung? Bukan apa, abang bimbang Lila mengandung sekali lagi aje." Wajahnya sudah tersengih nakal. Sengaja ingin bergurau dengan isterinya. Dia pun letih bertegang urat dengan Dalila.

Belum pun sempat habis ayat Fayyad, bahunya sudah dihempuk kuat. Hampir sahaja terlepas pegangan strerengnya. Hilang nak bergurau.

"Jangan nak melawaklah!"

"Wahai isteriku Deeba Dalila, kita memang dah ada anak. Nama dia Faqih Damian. Umur anak kita dah tiga tahun lebih."

Apa lagi kejutan hidup dia ni? Mula-mula ada suami. Kemudian, ada anak? Happy ever after?

Dalam sedar, Dalila hantukkan kepala ke cermin kereta. Berkali-kali tanpa henti. Makin lama makin kuat hantukkannya.

"Hei Lila, kenapa buat macam tu?" tanya Fayyad panik.

"Manalah tahu. Hantukan ini akan bantu saya ingat balik ke? Atau hantukan tu akan mampu buat saya koma dan kembali ke masa lalu?"

Walaupun acap kali dimarahi oleh Dalila, namun Fayyad tetap tak mengalah. Tangan kanan isteri dicari dan digenggam kuat.

"Tak baik macam tu. Abang dan Faqih perlukan Lila. Lila tak boleh tinggalkan kami."

Ayat Fayyad itu umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kasih sayang itu langsung tak menyerap ke dalam hatinya. Kepalanya terus-terusan dihantukkan ke cermin.

Tak boleh jadi ni. Signal diberi. Pemanduan Fayyad berhenti di bahu jalan. Badan dikalihkan menghadap si isteri. Ya. Dia tahu semua ini tidak mudah untuk diterima bulat-bulat. Tapi apa lagi pilihan yang mereka ada selain daripada menerima takdir yang Allah bentangkan ini?

Kepala Dalila yang melekat di cermin kereta itu ditarik.

"Abang rasa cara hantukan kepala ke cermin tu langsung tak akan bagi kesan apa-apa. Jadi, biar abang aje yang jampi."

Wajah Dalila terpinga sendiri. Jampi? Apa maksud Fayyad?

"Jampi macam mana?"

Cup!

Satu ciuman singgah di dahi Dalila. Turun darah dari wajah isterinya itu. Bahu Fayyad terus ditolak kasar.

"Awak buat apa ni?" Dahi sendiri digosok kasar. Geram pastinya.

"Jampilah. Moga ingatan Lila cepat pulih. Moga Lila tak akan lupakan abang sampai bila-bila. Rugilah kalau tak ingat abang sebab abang ni suami yang best tau!" Fayyad dah mula masuk bakul angkat sendiri. Selebihnya, dia mahu melihat reaksi Dalila.

"Suka hati awak aje, kan? Awak ingat dahi saya ni harta awam ke?" Makin meledak kemarahan Dalila dengan tindakan spontan Fayyad tadi.

"Harta awam tu memanglah tak tapi awak tu harta abang. Jadi, suka hati abanglah nak buat apa pun!"

"Saya nak warning awak, awak jangan nak melampau, ya? Jangan ambil kesempatan atas kelemahan saya sekarang ni." Dia ingat elok ke buat perangai macam orang tak sekolah tu.

"Apa yang melampaunya. Saya cium dahi aje, kan? Ke awak nak saya cium tempat lain?" Mata dikecilkan. Jari sudah bermain di hujung dagu.

Blush! Terbuntang mata Dalila. Makin sakit hatinya saat mendengar tawa lepas Fayyad.

"Jangan nak melebih-lebih, ya?" Tiba-tiba Dalila rasa seram sejuk. Bagaimana dia hendak hidup dengan lelaki ini? Tindakannya langsung tak terjangka. Makin orang marah, makin dia suka nak menyakat. Dia ingat elok sangat ke perangai macam tu?

"Kenapa marah sangat ni? Nak balas dendam ke? Nah..." Dengan sisa senyuman yang tak putus, Fayyad hulur wajah sendiri.

"Balas aje kat mana yang awak nak," usik Fayyad lagi.

"Eee... Tak ingin!" Pipi si suami terus ditolak kasar. Biar jauh dari wajahnya. Ini baru sehari. Dalila dah rasa hidupnya huru-hara. Apa lagi yang menantinya selepas ini?

Fayyad terus memulakan pemanduan. Senyuman cuba disembunyikan. Kenapa dia rasa bahagia dapat mengusik Dalila versi garang ini? Tapi ada satu lagi rahsia yang belum Dalila tahu. Agaknya, apalah penerimaan Dalila nanti. Mampukah dia telan segalanya dalam masa sehari?

"Sepanjang awak jaga saya di hospital, siapa yang jaga anak... Kita?" Sumpah kekok untuk membiasakan semua ini. Perut sendiri diraba. Kempis. Bagaimana rasanya mengandung dahulu dan sekali gus keperitan ketika melahirkan anak?

"Isteri saya."

"Huh?"

"Maksud saya, isteri nombor dua. Madu awak," jawab Fayyad tanpa perasaan sebelum kembali memulakan pemanduan.

"You what?" 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro