Bab 3
Samar-samar cahaya mula menerangi pandangan yang gelap. Dalila raba kepala yang rasa berpusing. Kotak suara yang kering ikut dibetulkan. Hampir beberapa minit, barulah kelopak mata mampu berfungsi dengan baik.
Pandangan meliar di sekitar kawasan. Aku kat mana ni?
"Alhamdulillah, awak dah sedar sekarang." Seorang lelaki asing memandang Dalila dengan senyuman panjang.
Tanpa berlengah, lelaki itu terus melakukan sujud syukur. Hujung kelopak matanya juga sedikit berair. Melampiaskan rasa syukur yang tak berbelah bahagi.
Usai berbuat demikian, lelaki itu kembali merapati Dalila
"Lila..."
"Awak siapa? Apa awak buat kat sini?" Ini sahaja soalan yang berlegar di benak Dalila sekarang.
Air wajahnya nampak berubah.
"Lila cakap apa ni?" Panggilan lelaki itu kedengaran sangat aneh.
Lila? Euwww... Tak pernah-pernah orang panggil aku macam tu. Biasanya D, DD atau Deeba. Lila tu macam stok nama isteri mithali sangat. Tak melambangkan seorang Deeba Dalila.
"Kalau saya tanya awak siapa, mestilah sebab saya tak tahu siapa awak!" Eh dia ni, banyak tanya pula. Yang dia duduk dalam bilik aku ni kenapa?
Tiba-tiba...
Kejap!
Otak Dalila sudah menjalankan kerjanya.
Dia ni bukan ke mamat yang tangkap aku tengah mencuri tu ke? Oh tidak! Terus anak mata Dalila membulat sebelum dia bangun secara mengejut.
Baru sahaja Dalila berkira-kira untuk turun dari katil tapi pergerakannya terbatas dengan wayar yang dipasang di belakang tangannya. Aduh, aku ada kat hospital ke?
Haih, nak lari ke mana ni?
Tanpa berfikir lagi, terus Dalila tekup muka dengan bantal. Nak berlakon macam mana supaya mamat ni keluar dari bilik? Habislah. Mesti mummy dah tahu. Mummy mesti piat-piat telinga dia buat sup! Sungguhlah dia rasa seperti nyawanya sudah di hujung tanduk. Bagaimana pula dengan Raif dan rakan-rakannya yang lain? Bagaimana penerimaan mereka?
Mata dipejam rapat. Cuba mengingati apa yang terjadi sebelum dia tersedar.
Oh, kes di Paradigm Mall. Semasa dia cuba larikan diri daripada dibawa ke pihak berkuasa dan akhirnya... Dum! Dia dilanggar dengan sebuah kereta.
Kenapalah hidup aku ni banyak drama sangat ni? Dalila mula nak salahkan diri sendiri.
"Lila..." panggil lelaki itu lagi.
Aduh, rimaslah Lila... Lila... Nafas dilepaskan. Bantal juga ditarik dari wajahnya. Dia perlu cool. Kalau tak salah, kenapa nak takut, kan? Memang bukan dia pun yang curi barang tu.
"Awak buat apa kat sini? Boleh tak keluar sebab saya nak rehat!" Tegas suara Dalila memberi arahan.
"Awak okey ke tak ni?" Tanpa keizinan Dalila, laju sahaja belakang tangannya melekap di dahi Dalila. Tak panas. Maknanya Dalila tak demam.
"Hei... Apa sentuh-sentuh ni? Jangan lebih-lebih ya! Aku terajang kau nanti!" Mamat ni ingat dia perempuan murah ke sewenang-wenang boleh sentuh? Sentuhlah sekali lagi, memang melayang kau kejap lagi.
"Lila! Ini abanglah!" Fayyad dekatkan wajah namun cepat sahaja Dalila larikan wajahnya. Tubuh lelaki itu ditolak kuat.
"Abang? Jangan nak membongak. Saya ada seorang aje abang, ya! Ke daddy dah kahwin lain? Awak abang tiri saya ke?" Aduh, apa ni terima berita tak best pada saat dia bangun dari sakit ni? Daddy ni nak kena nih!
"Lila..." Wajah Dalila dipegang. Mata betul-betul dilabuhkan pada anak mata Dalila. Fayyad sendiri tak tahu bagaimana harus diceritakan gelodak hatinya sekarang apabila melihat keadaan Dalila.
"Kau ni kenapa?" Tangan tangan yang hinggap di pipi itu sedaya upaya ditepis pergi. Tak selesa betul.
"Abang. Suami. Awak." Sepatah-sepatah Fayyad menjawab. Ada yang tak kena dengan isterinya ini. Ya. Tak. Kena.
Jawapan yang diterima itu terus mematahkan semua semangat Dalila. Suami kejadah apa pula ni? Akhirnya, Dalila ketawa kuat.
"Kau merepek apa ni? Aku mana kahwin lagi!" Bidas Dalila laju. Agak-agaklah kalau nak prank pun!
Ya Allah. Apa yang dah jadi pada Dalila ni? Fayyad seakan-akan hilang kata-kata.
Lama Dalila melebarkan pandangan ke arah lelaki di hadapannya ini. Dari hujung rambut hinggalah ke hujung kaki.
Mustahillah kalau dia ni suami aku. Macam mana aku ada taste lelaki macam gini? Tak mungkinlah. Dengan janggut sejemput. Dengan kulitnya yang sawo matang. Dengan badan agak sasa itu. Lelaki yang dia suka biasanya, kurus, putih dan yang pastinya tak ada jambang
"Dahlah, tak payah nak melawak kau ingat aku nak percaya ke? Aku nak mummy... Mana mummy? Panggilkan mummy untuk aku," arah Dalila kasar.
Lama Fayyad pandang Dalila. Diam tanpa seribu bahasa. Perlahan dia bangun dari sisi Dalila. Tubuhnya dijarakkan dari Dalila supaya dapat menghilangkan rasa tidak selesa... Percayalah, dia pun ikut turut rasa tak sedap hati dengan apa yang terjadi. Apa yang tak kena ni?
"Jangan pandang aku macam tu boleh tak? Kan aku suruh panggil mummy!" jerit Dalila kuat. Walaupun kepalanya rasa berdenyut, namun rasa sakit itu langsung tidak dihiraukan. Dia betul-betul mahukan mummynya.
Fayyad berdiri betul-betul di hujung katil Dalila. Seperti tadi, matanya masih tidak lepas daripada memandang Dalila. Pandangan yang Dalila sendiri tak mampu tafsirkan.
"Eh, kau pekak ke? Aku suruh panggilkan mummy, kan?" Suara dah naik satu oktaf. Bengang bila lelaki itu masih tidak berganjak sedikit pun.
"Please... Tolonglah panggilkan mummy aku." Daripada arahan, nada suaranya sudah bertukar menjadi rayuan. Sungguh, dia perlukan mummy saat ini. Selagi tak nampak mummy, selagi itulah hatinya tak tenteram.
Pandangan redup lelaki ini tak mampu menenteramkan gelora jiwanya.
"Lila..." Fayyad berjeda seketika.
"Mummy kan dah lama tak ada," sambung Fayyad perlahan.
"A... Aaa... Apa?" Air mata dah mengalir deras. Kepala tergeleng sendiri. Menidakkan kata-kata lelaki itu. Tak mungkin mummy dah meninggal. Baru tadi Dalila berbual dengan mummy di telefon. Baru tadi Dalila bergurau dengan dia.
"Lila..." Walaupun hatinya berat tapi tubuh Dalila tetap didekati.
Cepat Dalila tepis tangan Fayyad yang baru hendak mendarat di bahu. Tak hingin bila ada tangan asing memegang tubuhnya.
"Lila..."
Dalila menggeleng. Laju. Ini mesti mimpi. Mesti!
Pipi dicubit. Sakit.
Cubitan bertukar ke lengan sendiri. Pun sakit.
Beralih pula ke paha. Masih sakit.
Itu tandanya ini semua bukan mimpi? Huwaaa! Apa yang dah berlaku dengan hidup dia ni?
"Apa yang dah jadi?"
"Awak jatuh tangga, sayang. Lepas tu awak terus tak sedarkan diri." Wajah lelaki itu nampak tenang menjelaskan insiden yang terjadi. Tapi haruslah tak seserabut jiwa seorang Deeba Dalila.
"Jangan panggil aku sayanglah, bodoh! Aku tak kenal pun kau!" Hati yang membengkak dengan tanda tanya mula nak melenting. Tapi kenapa lelaki ni cakap aku jatuh tangga? Bukan ke aku kena langgar dengan kereta?
Lutut dibawa ke tubuh sendiri. Cuba buat sesuatu yang buat dirinya rasa selamat. Air mata tak mampu berhenti mengalir. Gila tak menangis weh. Laki ni cakap mummy dah meninggal.
"Daddy? Abang Darius? Boleh tak panggilkan dia orang?" Kali ini Dalila berharap sangat yang daddy dan abang muncul untuk selamatkan dirinya sekarang.
Kali ini Fayyad labuhkan tapak tangan di atas bahu Dalila. Nafas ditarik dalam-dalam. Debaran di dada cuba sedaya upaya disembunyikan.
"Mungkin Lila lupa tapi mummy, daddy dan Abang Darius dah meninggal dalam kebakaran." Bukan mudah untuk Fayyad kembali buka satu per satu memori pahit ini. Apatah lagi bila menerima reaksi Dalila yang berbeza itu. Seolah-olah semua ini langsung tak berada dalam memori Dalila. Adakah ini bermakna... Dalila hilang ingatan?
Kali ini, makin kuat Dalila meraung. Apa yang dah jadi ni? Kenapa semuanya jadi macam ni? Dalila pegang kepala yang terasa berdenyut. Seingatnya, perkara yang terakhir yang dia ingat ialah...
"Lila... Jangan macam ni, sayang. Jangan menangis. Kan abang ada ni." Dipujuk isteri yang bagai hilang semua ingatanya tentang masa lalu. Mungkin kesan daripada hantukan di kepalanya.
"Yang aku ingat, aku accident di depan Paradigm Mall. Masa tu kau tengah kejar aku. Itu perkara terakhir yang aku ingat," jelas Dalila senada.
Fayyad dapat rasa yang nafasnya seakan-akan berhenti berfungsi. Kata-kata Dalila membuatkan ingatannya melayang mengejar memori lama.
"Maksud Lila, insiden yang jadi lima tahun yang lepas?"
"A... A... Apa? Li... ma... Ta... hun?" Tergagap-gagap Dalila mengulangi ayat lelaki itu. Kali ini rahangnya bagai sudah jatuh ke lantai.
Huwa... Aku ada kat mana ni, weh?!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro