Bab 15
Pemanduan Fayyad berhenti di satu rumah banglo yang agak besar. Sebenarnya, hatinya berat untuk berkunjung di sini. Namun apakan daya. Walaupun dia selalu bertegang urat dengan Farid, namun silaturahim antara mereka tak mungkin diputuskan begitu sahaja.
"Saya tak nak pergi boleh tak?" mohon Dalila yang meliarkan mata melihat di luar rumah. Ada beberapa tetamu sedang melepak di luar rumah.
"Abang pun malas nak pergi, Lila. Tapi... Kita tak ada pilihan lain selain dari turun dari kereta. Tu, ibu pun dah nampak kita." Tali pinggang dibuka dan terus dari kereta. Kakinya dibawa ke pintu Dalila. Dibuka dan diambil Faqih dari dukungan Dalila.
"Sampai pun... Lambat betul. Macamlah jauh sangat rumah Yad ke sini." Ramah Hajah Mariani menyapa anak lelakinya.
"Biasalah mak bila ada keluarga ni." Fayyad sekadar berbasa-basi. Disalam dan dipeluk erat ibunya.
Usai itu, Hajah Mariani menghulurkan tangan pada Dalila. Wajahnya dimaniskan. "Lila sihat ke?"
"Sihat," jawab Dalila sepatah. Huluran salam itu disambut. Tak pelik dengan sapaan mesra dari mentuanya bila Fayyad ada bersama.
Fayyad perhatikan kedua-duanya. Tak nampak pun macam ibunya tak sukakan Dalila? Nampak macam kedua-duanya baik-baik sahaja. Lega Fayyad dibuatnya. Mungkin sewaktu Dalila keluar dari hospital dahulu, terdapat sedikit salah faham.
"Rindunya cucu nenek ni. Faqih sihat ke?" Pipi cucunya sekadar dicuit. Berpura-pura mesra. Dalila yang melihat jadi meluat dengan lakonan Hajah Mariani.
"Sihat... Faqih, salam dan cium nenek," suruh Fayyad.
Hajah Mariani sedikit teragak-agak untuk menyambut huluran salam dan ciuman dari Faqih itu diterima dengan wajah yang kelat.
"Nah, Faqih duduk dengan nenek, ya?" Si kecil cuba diserahkan pada Hajah Mariani namun tangan Faqih terus memeluk erat tubuh abinya.
"Alah, tak nak ke duduk dengan nenek?" Hajah Mariani berpura-pura berkecil hati.
Dalila sembunyikan senyum. Meluatnya sudah sampai ke skala sepuluh per sepuluh. Tolonglah ada singki di sini kerana dia betul-betul rasa nak muntah!
"Mari sini kat umi..." Dengan penuh sengaja, Dalila hulurkan tangan pada si kecil. Laju sahaja disambut.
"Faqih memang tak berapa nak orang sangat, ibu." Fayyad membela keadaan. Bimbang ibunya terasa hati.
Mahu sahaja Dalila sambung ayat suaminya itu. Faqih tak mahu pada perempuan sihir macam mak cik. Namun ayat itu sekadar tergantung di hujung fikiran. Dia masih belum lupa bahawa Hajah Mariani adalah ibu kepada suaminya. Syurga Fayyad.
"Ibu... Borak apa kat luar rumah tu? Ajaklah Yad masuk." Farid yang muncul di pintu pagar memanggil.
"Haah. Ralit sangat sampai tak masuk rumah lagi ya. Jom, Yad..." Tangan anak lelakinya terus ditarik. Tak mahu Fayyad duduk berdekatan dengan Dalila. Biar Dalila terasa seperti orang asing di sini.
"Jom, sayang..." Namun Fayyad langsung tidak meninggalkan si isteri. Tangan kanan ditarik oleh uminya. Tangan kiri menarik isterinya.
Satu pandangan yang membuatkan mata Hajah Mariani makin berbulu!
Masuk ke dalam rumah, Dalila memilih satu tempat yang agak terpencil. Tak mahu duduk berdekatan dengan tetamu yang lain. Lagipun, tetamu itu bukannya dia kenali. Ralit menyusukan Faqih. Fayyad hilang entah ke mana.
"Alah... Kesiannya duduk terpinggir macam ni. Eh, jaga anak kau tu elok-elok, ya? Jangan sampai dia rosakkan perhiasan rumah aku ni. Kau tu bukannya mampu nak bayar balik!" Satu suara yang sangat Dalila kenali, muncul di hadapannya.
Diam. Dalila malas nak layan spesies pelepah macam Afifah ni.
"Kesian, tak ada orang layan kau. Kejap ya, aku panggil bibik suruh berborak dengan kau. Sebab kau dengan dia tu sama level." Afifah masih belum jemu menjentik kemarahan Dalila.
"Ya Allah, rumah besar macam ni ada langau! Malangnya tuan rumah. Eh, entah-entah tuan rumah sendiri yang langau?" Tangan Dalila naik melibas sekeliling. Membuat gaya seperti sedang menghalau langau. Kau silap oranglah nak cari gaduh...
Berubah air muka Afifah. Dalila ni tak habis-habis mencekik hatinya.
"Eh, perempuan... Kau jangan melampau, ya? Kalau ya pun rumah aku ada langau, at least rumah aku lebih besar dan lebih cantik dari rumah kau tu!"
Adoi, bimbo detected!
"Sorry aku tak bercakap dengan langau. Bukan standard aku nak layan." Makin sarkastik Dalila menjawab. Makin panas hati Afifah.
"Kau memang perempuan kurang ajar! Langsung tak ada adab bertandang rumah orang."
"Lah, bertandang rumah langau kena ada adab ke? Tapi kan... Aku ni memang diciptakan untuk berkurang ajar dengan orang yang kurang adab macam kau," jawab Dalila bersahaja. Makin seronok pula bila dapat menyakitkan hati bulu pelepah ini.
"Eee... Kau ni memang," belum sempat Afifah berdrama, Fayyad muncul di antara mereka.
"Kenapa ni?" Fayyad kembali dengan beberapa makanan yang dibawa bersama.
"Tak ada apa. Pipah ni cakap rumah dia banyak langau. Dia minta awak carikan pest control terbaik." Dalila reka cerita.
"Langau? Tengok macam tak ada apa-apa pun?" Fayyad sudah pelik sendiri. Masakan kawasan mewah seperti ini ada benda seperti itu.
Tanpa mempedulikan kedua-duanya, Afifah angkat kaki. Hilang nak sakitkan hati Dalila, hatinya pula yang merasa sakit. Dia kena panggil mentuanya. Misi membalas dendam yang dirancang perlu dilancarkan. Cukuplah tempoh hari sahaja dia kalah dengan Dalila.
"Kenapa ni? Ada apa-apa yang Lila nak cerita ke?"
"Tak ada apalah. Hal orang perempuan." Malaslah nak mengadu benda remeh-temeh macam ni. Bukan perangai dia. Lagipun setakat perempuan macam Afifah tu, jentik guna jari pun boleh.
"Betul ni?"
"Betul. Ni apa hal bawa makanan banyak sangat ni?"
"Untuk kitalah. Mari abang suap." Menyedari yang Dalila sedang memangku anak mereka, Fayyad sudah mengambil kesempatan untuk menyuap isterinya.
"Tak payahlah. Saya boleh makan sendiri. Saya ada tangan, kan?"
"Tak apalah. Abang nak suap juga. Tak nak pahala ke?" Pada mulanya, Dalila ingin menolak namun apabila melihat ada dua pasang mata yang memerhatikan perlakuan mereka, akhirnya dia menurut.
"Hmmm... Makanan ni rasa lebih sedap lepas awak suap."
"Amboi, sejak bila reti guna ayat manis ni?" Pelik juga apabila melihat Dalila tiba-tiba berubah manja.
"Berjangkit dengan si tukang suap. Mari saya suap awak pula..." Garpu bertukar tangan. Spageti itu disua pada Fayyad pula. Pipi Fayyad yang comot dikesat lembut. Makin berdrama bila ada penonton setia. Penonton yang tidak disedari oleh suaminya.
"Kenapa awak tak makan dengan yang lain?" Punyalah ramai kenalan yang hadir. Kenapa Fayyad masih di sisinya?
"Malaslah." Sewaktu mengambil makanan pun, Farid tak habis-habis ingin membawanya berjumpa dengan rakannya. Katanya kabel baik untuk bekerja di sebuah syarikat besar. Dia tidak mahu terhutang budi dengan Farid.
"Kalau awak nak pergi, pergi ajelah. Saya dengan Faqih okey aje kat sini."
"Tak naklah. Lila dah lah tak kenal siapa-siapa."
Di pendengaran Dalila, Fayyad seperti tidak mempercayainya sahaja.
"Awak macam ragu-ragu dengan saya aje? Awak takut saya buat perangai ke apa?" Kening sedikit terangkat. Menduga.
"Taklah. Abang takut ada orang nak mengurat awaklah. Buatnya awak jatuh hati naya aje. Hati awak tu dahlah memang tak ada untuk abang." Disalurkan rasa bimbang tanpa berlapik. Biar Dalila tahu isi hatinya.
Meletus tawa Dalila.
"Eee... Ke situ pula fikirnya."
"Kenapa? Salah ke? Oh, jadi dalam hati Lila dah ada abanglah, ya?"
"Perasan."
"Dah tu, mana satu ni? Cuba update sikit status hati Lila tu pada abang."
"Update status? Awak ingat ni status laman sosial?" Ada tawa di hujung bicaranya. Makin lama, dia makin selesa dengan Fayyad. Lagipun, bukankah mereka sudah berjanji untuk menjadi kawan yang baik.
"Yalah... Boleh apa kita update status hati."
"So, apa status hati awak sekarang untuk saya?" duga Dalila dengan kening yang sedikit terangkat. Menanti ayat yang bakal keluar dari mulut suaminya.
"Bahagia."
"Alah, boringlah awak ni..." Dalila mencebir. Itu aje ke? Kalau dah namanya perempuan, memang sukalah digulakan dengan ayat manis. Tak suka kononnya.
Fayyad lepaskan tawa.
"Dear Lila, kebahagiaan yang sempurna itu terpantul dari orang yang sederhana sebab yang indah itu tak seharusnya mewah. Sebab itu, awak selalu dan selalu akan jadi definisi kebahagiaan yang paling sempurna pada abang. Currently my status hati."
Dalila ketap bibir. Kenapa dia rasa blushing ni?
"Tak sayangkan abang konon tapi bila bagi ayat-ayat cinta macam tu, reti pula muka tu nak merah? Pandai pula nak malu bagai," sakat Fayyad sengaja. Dia percaya yang hati Dalila memang sudah tertanam rasa cinta itu. Cuma ia terendam di lautan jiwa yang paling dalam.
"Eee... Mana ada merah!" Bahu suaminya ditepuk geram.
Di satu penjuru, Hajah Mariani dan Afifah jadi jelak melihat kebahagiaan kedua-duanya.
"Macam mana ni, ibu? Makin lama Fifa rasa menyampah sangat dengan Si Lila tu! Eee... Rasa macam nak cekik-cekik dia. Nak nak sekarang dia dah pandai menjawab! Kalaulah ibu ada waktu kat rumah dia tu.... Mesti ibu rasa nak cekik-cekik dia!"
"Jangan cakap Fifa, ibu pun naik loya tengok muka dia. Kejap lagi kita ikut dengan rancangan kita." Apa pun akan dia lakukan untuk pisahkan Dalila daripada anaknya!
Fayyad dan Dalila sudah berkira-kira untuk beransur pulang. Lagipun, sudah hampir dua jam mereka berada di rumah Farid. Namun niat mereka tergendala apabila mendengar jeritan Afifah.
"Huwaaa..." Sekuat hati Afifah menjerit.
"Kenapa ni, sayang?" Farid merapati susuk tubuh isteri yang baru turun dari bilik mereka.
"Abang, rantai Fifa hilang," rengek Afifah manja. Kaki dihentak ke lantai.
"Hilang? Macam mana boleh hilang?"
"Tak tahu. Tadi ada aje atas meja solek dalam bilik kita. Mungkin ada orang masuk dan ceroboh bilik tidur kita. Rantai tu mahal tau tak? Lima puluh ribu. Jauh mama dan papa belikan dekat London," cerita Afifah lagi dengan sedu-sedan.
"Alah, kesian menantu ibu. Siapalah yang dengki dengan Fifa ni? Tak habis-habis cari masalah." Kali ini giliran ibu mentua memujuk tangisan si menantu.
Dalila yang menonton sinetron tanpa pengarah ini, mula rasa mual dan loya. Kuat drama betul! Boleh jadi drama bersiri ni.
"Awak, jomlah balik," gesa Dalila. Makin lama mereka di sini, makin sendat dadanya ingin bernafas.
Fayyad mengangguk. Hatinya mula rasa tak sedap.
"Ibu, ayah... Kita orang gerak balik dululah." Fayyad memohon diri.
"Kejap, kenapa tiba-tiba bila jadi macam ni, kau tiba-tiba nak balik hah?" Suara Afifah gempita melempar rasa tanda soal pada birasnya.
"Apa yang tiba-tibanya? Dari tadi memang aku nak balik pun." Dalila membela diri.
"Tak... Entah-entah semua ni angkara kau, kan?" Jari telunjuk sudah naik menghampiri hidung Dalila.
"Apa yang kau merepek ni?" Ditepis jari telunjuk Afifah.
"Dia bukan merepek. Fifa cuma bentangkan keraguan. Lagipun, ini bukan kali pertama ada barang hilang. Setiap kali kalau kamu datang, mesti ada kecurian, Lila." Kali ini Hajah Mariani pula yang bersuara. Membela menantu kesayangan.
"Ani... Apa cakap macam tu? Itu dah kira menuduh," sampuk Haji Farhan.
"Menuduh apanya, bang? Abang lupa apa yang jadi dulu? Masa saya hilang telefon dulu. Siapa pencuri yang kita tangkap?"
Dalila sudah terpinga-pinga sendiri. Apa yang ayah dan ibu mentuanya bincangkan ini?
"Hal yang lepas tu biarlah lepas."
Hajah Mariani senyum mengejek. "Hal yang lepas memanglah dah lepas. Tapi sekarang ni, kita tetap kena cari siapa yang curi rantai Fifa."
"Saya tak ambil rantai Fifa tu, ibu." Dalila kembali membela diri. Tegas. Sesekali, dia menjeling ke arah suaminya yang terdiam. Kenapa Fayyad tidak bersuara untuk membelanya saat dia diperlakukan seperti penjenayah ini?
"Buktikan!"
"Nah, ibu boleh periksa beg tangan saya ni." Dengan penuh yakin, Dalila hulur beg tangannya. Memang sentiasa di sisi Fayyad tadi kecuali sewaktu dia menunaikan solat zohor sahaja.
Dengan rakus, Hajah Mariani dan Afifah menggeledah beg tangan itu.
"Ini apa?" Seutas rantai keluar dari beg tangannya.
Jatuh rahang Dalila melihatnya. Macam mana rantai itu boleh berada dalam beg tangannya?
Pang! Tapak tangan Hajah Mariani singgah di pipi menantunya.
"Pencuri!"
"Ani, apa buat Lila macam tu?" Sekali lagi Haji Farhan terpanggil untuk membela. Tidak senang dengan cara isterinya yang kasar.
"Ini semua fitnah!" Pipi yang perit itu ditolak ke tepi. Yang penting sekarang ialah maruahnya. Maruah yang telah dipijak oleh Hajah Mariani dan Afifah. Dan yang paling malang ialah, si suami masih terpaku di tempatnya berdiri. Langsung tidak bertindak untuk bersuara sedikit pun.
"Fitnah apanya, Lila? Ini bukan kali pertama kau buat kerja-kerja mencuri ni. Dulu dah kantoi, tapi tak serik-serik, kan?"
Alignment otak Dalila tak mampu nak diagnose ayat Hajah Mariani itu. Apa maksud ini bukan kali pertama dia mencuri?
Hilang dari memandang menantunya, Hajah Mariani mencari wajah anaknya.
"Yad, inilah sebab kenapa ibu berat hati nak terima dia sebagai menantu dari dulu. Bukan ibu tak cuba tapi... Yad tak boleh menidakkan naluri seorang ibu, Yad. Tak boleh. Ibu tak tahulah kenapa Yad masih nak teruskan perkahwinan dengan perempuan macam ni. Kalau Yad sayangkan ibu, ceraikan dia, Yad!"
Sungguh, ayat Hajah Mariani itu buat Dalila rasa lebih teruk dari tamparan tadi.
Kali ini rata-rata sedang memandang wajah Fayyad. Menanti respons lelaki itu. Dan entah kenapa, Dalila benar-benar berharap yang suaminya percayakan dia. Bukan dia yang ambil kalung tersebut dan dia sendiri tak tahu bagaimana rantai itu boleh berada di dalam beg tangannya.
Tapi adakah cinta Fayyad akan menyebelahinya kali ini atau... Kasih seorang anak terhadap ibunya lebih besar ukurannya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro