Bab 14
Suka dan duka,
Tangis dan tawa,
Itulah lumrahnya,
Sukma didera sepi menyapa,
Dan rindu menyeksa...
Haruskah luka dibiar saja,
Membarah di dada,
Sembuhkan ia dengan setulus benih kemaafan...
Cinta telah menzahirkan sebuah pertemuan,
Tuhan yang menguji dengan perpisahan,
Kini ditakdirkan bertemu semula...
Usah persia peluang yang ada
begitu sahaja,
Ini detiknya kasih dan sayang ditaut semula...
Kita tidak mungkin mampu mengulangi masa,
Hujan tak kan balik ke langit semula,
Jemputlah kenangan yang terindah saja...
Satu demi satu playlist dibelek. Apa hal semua lagu nasyid ni? Aduh! Nak bahagiakan jiwa pun tak boleh.
"Monyok kenapa?"
"Tengok playlist dalam iPod awak ni. Semua lagu nasyid."
Fayyad senyum. "Sedap apa. Cuba dengar lagu ni."
"Lagu apa?"
"Bertemu semula."
Lagu dari Reunic itu dimainkan. Sungguh Fayyad suka dengan bait lagu terbaru mereka itu. Rasa sayu. Rasa syahdu. Betapa setiap pertemuan pasti akan ada perpisahan. Dan... Akan ada pertemuan semula.
Khusyuk Dalila mendengar namun satu habuk pun tak masuk ke benaknya. Old school betul pilihan Fayyad ini. Zaman sekarang, ada lagi ke orang dengan nasyid? Kadang-kadang Dalila rasa dia kahwin dengan orang tua pangkat atuk-atuk pun ya. Tapi orang tua biasanya layan Ahmad Jais ke, DJ Dave tak pun Jamal Abdillah.
"Saya suka part... Kita takkan mampu mengulangi masa. Hujan tak balik ke langit semula." Dinyanyikan part korus. Penuh jiwa mengikut alun lagu.
Dalila hanya sekadar mengangguk tanda memberi respons tapi penuh rasa tak berminat.
Fayyad yang sedar akan masalah isterinya, terus tersenyum pendek. Kepala Dalila terus digosok. Hobinya sejak dua tiga menjak ini.
"Isy... Jangan main kepala boleh tak?" Dahlah kepala dia sedang mengalami sistem baik pulih. Makin Fayyad pegang, makin lari semua ingatannya.
"Alah, kedekut!" Makin dilarang, makin laju digosok kepala Dalila. Hingga serabai rambut panjangnya.
"Mungkin suatu hari nanti... Awak akan sukakan lagu tu. Tapi waktu tu, awak dah tak berpeluang untuk mendengar dan menghargainya," putus Fayyad tanpa memandang si isteri.
"Maksud awak?"
"Yalah kita cenderung untuk hargai perkara yang kita dah hilang berbanding benda yang berada di depan mata. Itu lumrah..."
Diam.
Dalila alih pandangan. Mesti Fayyad sengaja nak menyakitkan hatinya.
"Eh, esok hari Isnin. Jom puasa sunat?" ajak Fayyad.
"Puasa sunat?" Mata yang dijentik kantuk tadi terus segar-bugar. Fayyad sebut puasa sunat?
"Yalah. Puasa sunat. Yang terkejut sangat macam tak pernah puasa ni dah kenapa?"
"Yalah... Puasa tu memanglah pernah tapi puasa sunat? Ramadan lambat lagi, kan?"
"Memanglah Ramadan lambat lagi. Tapi kita kan disunatkan berpuasa Isnin dan Khamis. Yalah sesekali kena ingatkan perut tentang kedaifan orang lain. Jangan fikir nak melantak aje."
Dalila garu kepala. Aduh! Puasa pula. Lepas satu, satu bila kahwin dengan pak imam versi imam muda.
"Erk... Kalau saya tak nak puasa boleh?"
"Kenapa? Cuti?"
"Saja. Lagipun sunat aje, kan? Bukannya wajib." Protes Dalila tak simpan-simpan. Mula-mula pasal tutup aurat. Kemudian pasal solat secara jemaah dan pelbagai jenis solat sunat siang dan malam. Sekarang puasa pula? Zuhud gila suami aku ni? Selama ni hidup aku tak bosan ke dihabiskan dengan lelaki macam ni?
"Kan bagus kalau kita buat sama-sama." Lengan si isteri dicapai. Anak mata mencari wajah Dalila. Biar mata mereka sahaja yang saling berbicara.
"Tapi..."
Aduh, dengan suaranya yang lembut macam tu gilalah kalau tak cair weh! Jadi inilah taktik yang selama dia gunakan untuk memujuk seorang Dalila? Tapi Dalila versi baru ini tak akan mudah terpedaya.
"Kalau tak nak tak apa. Sedangkan Islam sendiri tak memaksa, apa pula hak abang, kan?" Fayyad sedar yang dia tidak boleh terlalu mendesak Dalila.
"Kalau saya tak puasa sama dengan awak, saya jadi isteri derhaka ke?" Tak pasal ada waswas yang menjelajah ruang hati. Dia pun masih kurang arif dengan definisi derhaka sebagai seorang isteri ni.
Terus terlepas tawa Fayyad setelah mendengar soalan polos Dalila itu.
"Jangan risau, reda abang sentiasa ada dengan awak, Lila. Jadi, tak ada istilah isteri derhaka."
Fuh, lega sikit dengar. Tapi, kenapa aku kesah pula derhaka ke tak? Lantak Fayyadlah, kan? Haih, makin lama Dalila sendiri jadi makin bengap dalam bab mengelola hati sendiri.
"Lila, awak mengantuk ke?"
Laju Dalila menggeleng. Kemudian tersedar. Kalau mengantuk, Fayyad nak buat apa? Spontan, tangan disilangkan ke tubuh.
Tidak! Nehi! Kabi Nehi!
"Oi... Fikir apa sampai ke situ?" Seolah-olah dapat memahami, Fayyad tarik telinga Dalila. Amboi, ke situ pula fikirnya?
"Awak... Bukan nak buat apa-apa kat saya, kan?"
"Eee..." Kenapa isteri dia ni ada terlebih dos comel ni? Tanpa izin, kepala Dalila ditarik supaya dibaringkan di atas pahanya. Namun si isteri mula keraskan badan. Air mukanya tegang.
"Please... I'm not ready yet!"
"Jangan nak merepeklah, Lila! Baring aje sini." Akhirnya paha sendiri ditepuk beberapa kali. Menyuruh Dalila melabuhkan kepala di situ.
Dengan teragak-agak, Dalila letakkan kepalanya dan membiarkan tangan Fayyad bermain rambutnya yang mengurai. Tapi percayalah, kondisi ini buat nafasnya benar-benar tersekat.
"Nak tahu tak, waktu zaman dahulu ada seorang sultan dia ambil seorang ustaz jadi menteri di negaranya. Ustaz itu diberi istana, gelaran, isteri yang cantik dan pelbagai kemewahan. Suatu hari sultan telah memanggil menteri agama itu dan bertanyakan tiga soalan." Sengaja dia berjeda. Menantikan respons si isteri.
Dalila telan liur. Kelas apa pula ni?
"Errr... Apa tiga soalan tu." Takkan dia nak biar suami bercakap sorang diri, kan? Lambat-lambat Dalila bersuara.
"Pertama, sultan tanya apa itu dunia? Kedua, sultan tanya apa itu akhirat? Ketiga, sultan tanya apa itu iman?"
Mulut Dalila terus berbentuk huruf O. Tapi akalnya ikut turut ligat berfikir apa jawapan kepada tiga-tiga soalan itu. Janganlah suami dia tujukan soalan ini pada dirinya. Malam-malam ni otak bengap sikit nak bekerja. Kalau nak jawapan juga, dia akan minta masa untuk jawab esok. Adalah masa dia nak Google jawapan.
"Sultan nak jawapan yang tepat dan padat. Bukan berbentuk syarahan yang panjang."
"Menteri agama tu kan ustaz, mestilah dia dapat jawab, kan?" Tak gunalah jadi ustaz kalau tak reti. Suaminya yang bukan ustaz pun reti serba-serbi.
Fayyad menggeleng. "Nope. Ustaz tu terpinga-pinga dan membuatkan sultan murka."
"Jadi, ustaz tu kena hukum ke macam mana?"
"Sultan taklah kejam. Dia titahkan waktu seminggu untuk menteri agama itu memberi jawapan yang dikehendaki. Kalau menteri tu gagal, semua kemewahan yang diberi itu akan dirampas semula," sambung Fayyad lagi.
"Teruknya. Lepas tu apa jadi?" senyum panjang mula merekah di wajah Fayyad apabila melihat kesungguhan Dalila mendengar ceritanya.
"Menteri agama tu jadi sangat runsing sebab memikirkan yang dia akan kehilangan segala-galanya jika gagal memberi jawapan. Dia langsung tak dapat tidur. Makan pun tak berselera. Dia dah kumpulkan semua cerdik pandai tetapi tetap gagal mencari jawapan."
"Dan akhirnya ustaz tu pun gagal?" Dalila dah membuat kesimpulan sendiri.
"Belum. Sabar dulu. Cerita tak habis lagi," tutur Fayyad sedikit tersenyum menyambut kegelojohan Dalila.
"Dah lambat sangat."
"Eh, drama kat tv pun ada iklan tau. Apatah lagi sesi drama yang abang buat. Mestilah ada iklan juga." Sempat lagi Fayyad berseloroh.
"Okey, sesi iklan tamat. Apa jadi lepas tu?"
"Akhirnya menteri agama tu keluar dari istana untuk mencari orang yang boleh merungkaikan keresahannya sekali gus menyelamatkan apa yang dimilikinya. Sehari sebelum sampai tempoh masa tu, dia duduk termenung di bawah sepohon pokok besar. Bersandar sambil mengenangkan nasibnya. Tengah dia termenung, si menteri ni terpandangkan seorang tua yang sedang berkebun. Bila masuk waktu zohor, orang tua itu berhenti untuk makan tengah hari dan solat zohor."
"Panjang juga ya cerita ni..." Sempat juga Dalila menguap beberapa kali. Ditahan kantuk kerana dia tetap mahu mendengar hingga ke penamatnya.
"Kalau macam tu sambung esoklah..."
"Eh, tak mahu. Ceritalah bagi habis," pinta Dalila bersungguh-sungguh. Kantuknya masih boleh ditahan.
"Orang tua tu ajaklah menteri tu untuk makan bersama. Menteri yang kerunsingan memikirkan jawatannya itu langsung tak ada selera untuk makan. Orang tua tu pun tanya... Menteri tu ada masalah ke? Menteri pun ceritakan soalan-soalan daripada sultan itu."
"Mesti orang tua tu tolong, kan?" tebak Dalila semangat.
Fayyad mengangguk.
"Yup. Apa itu dunia. Dunia ini adalah apa-apa amalan yang kita buat untuk ditinggalkan. Hal ini diketahui oleh hati masing-masing."
Dalila mengangguk sekali gus mencerna jawapan dari orang itu yang ternyata benarnya. Kalau ikut hati, memang boleh binasa hidup. Ini Dalila rujuk diri sendiri.
"Jawapan kedua. Apa itu akhirat. Akhirat itu adalah apa-apa amalan yang kita buat untuk dibawa ke sana tanpa ada apa-apa maksud dunia di dalamnya. Ini pun diketahui oleh hati masing-masing."
Dahi Dalila sudah berkerut seribu. "Something wrong somewhere. Kenapa orang tua tu baik sangat pergi bagi tahu semua jawapan tu pada menteri?"
Fayyad ketawa kecil. "Ke situ pula fikirnya. Tapi jangan ingat orang tua tu beritahu semua jawapan. Untuk soalan ketiga, orang tua tu cakap akan jawab lepas solat asar."
"Berdebarlah member tunggu jawapan..." komen Dalila menggeleng.
"Jadi lepas solat asar berjemaah, si menteri terus tanya apa itu iman? Pada masa itu terdapat beberapa ekor anjing sedang makan sisa-sisa makanan tengah hari tadi. Orang tua tu memberi syarat sebelum dia berikan jawapan yang ketiga."
"Syarat? Apa syaratnya?"
"Syaratnya ialah, si menteri tu kena makan bersama-sama anjing tu."
Jatuh rahang Dalila. Makin menarik cerita suaminya ini. Tapi dia seperti dapat mengesan sesuatu yang tak kena. "Serius? Tapi itu macam soalan perangkap aje!"
Fayyad senyum melihat reaksi Dalila yang pelbagai perasa itu.
"Fikir punya fikir, menteri rasa makan dengan anjing ini najis yang berat tapi kalau tak makan nanti jawatan lesap lepas tu hidup susah dan melarat... Jadi nak tak nak, si menteri ni pun buat keputusan untuk makan bersama-sama anjing tu."
Dalila sudah bangun dari perbaringan. Teruja untuk mendengar ending cerita si suami.
"Ending dia macam mana?"
"Bila menteri tu duduk bersama anjing tu, orang tua tu pun tarik kolar baju menteri agama tu dan cakap... Wahai tuan, inilah iman. Bagi mereka yang ada iman, mereka sanggup kerugian segala dunianya tetapi tidak akan sanggup melanggar perintah Allah. Tetapi jika mereka tak ada iman, dia sanggup melanggar perintah Allah untuk selamatkan dunianya."
Jatuh rahang Dalila kemudian ditelan liur beberapa kali. Tak tahu kenapa, hatinya rasa bagai dicubit sahaja. Bisanya terasa hingga ke ulu hati.
"Kita mungkin boleh buat apa sahaja di dunia ini untuk capai apa yang kita nak. Tapi imanlah yang akan membatasnya. Yalah, bila nak buat jahat... Terbatas kerana iman kita menahannya. Iman yang akan guide kita. Jadi, penting kita pelihara iman."
Tanpa sedar, Dalila raba pipi sendiri. "Auch!"
"Kenapa?" Risau pula Fayyad tengok respons Dalila.
"Rasa macam kena lempang aje."
Fayyad ketawa melihat telatah si isteri. "Awak tahu tak Lila?"
"Tahu... Iman saya ni senipis kertas A4 aje, kan? Lainlah iman awak, setebal sebuah buku."
Panjang Fayyad beristighfar. "Ke situ pula fikirnya..."
"Yalah. Saya sedarlah kedaifan iman saya." Mungkin itu hala tuju perbualan mereka tadi.
"Lila, orang yang baik akan selalu menemukan kebaikan di tengah rimbunan keburukan. Malah, kemuliaan tak pernah dijumpai hanya dengan memandang hina orang lain. Jadi, jangan cakap macam tu lagi. Hanya kerana manusia itu pernah jahil, kita tak layak nak pandang hina pada dia. Kita sama-sama saling istiqamah untuk buat kebaikan. Ya, istiqamah tu memang susah, sebab kalau senang ia digelar istirahat."
Ada senyum di hujung bibir Dalila apabila mendengar ceramah Fayyad. Tanpa disuruh atau dipaksa, Dalila paut tubuh Fayyad. Dipeluk erat.
"Hmmm... Pelukan ni ada maksud apa-apa ke?" Walaupun dijengah tanda tanya, tetap dibalas pelukan si isteri. Ajaib rasanya sebab si isteri lakukan dengan rela hati.
"Ini upah."
"Upah?"
"Upah untuk kesah yang mengingatkan tentang iman dan amal. Terima kasih." Pelukan dileraikan. Satu senyuman paling manis dihadiahkan.
Kening Fayyad sudah terangkat. "Ini aje upah dia? Tak boleh minta upah versi lain ke?"
Tak tunggu lama, terus Dalila hilang dalam comforter. Meninggalkan senyum di bibir Fayyad. Dalila yang ini pun dah cukup membuatkan dirinya bersyukur. Terlalu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro