Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

Tak sampai dua jam pun dia habiskan masa dengan Jannah, Dalila kembali pulang ke rumah. Ketika itu jam sudah menunjukkan angka empat petang. Tengiang-ngiang di pendengarannya permintaan Fayyad untuk menyediakan makan malam. Aduh, nak masak apa, ya?

"Lila, abang nak pergi masjid. Lepas tu abang nak pergi jumpa kawan kejap. Lila boleh tengokkan Faqih kejap?" Bukan niatnya untuk membebankan Dalila tapi dia mahu melatih isterinya untuk memberikan perhatian pada Faqih.

Dalila sekadar mengangguk.

Pipi si isteri terus dicubit. "Abang pergi kejap aje. Jangan rindu-rindu tau!"

"Auch! Pergilah cepat." Cepat dihalau suaminya yang tersengih-sengih itu. Tubuh anaknya dirapati. Seronok melihat Faqih yang sedang menyusun Lego satu per satu. Mulutnya juga galak bertanya itu ini. Satu yang dia perasan, dia lebih mudah menerima Faqih berbanding Fayyad.

Loceng pintu yang berbunyi membawa langkah kaki Dalila ke depan. Sejurus selepas pintu dibuka, satu wajah yang tidak asing menyapa matanya.

"Fayyad mana?" Kalau tak kerana ibu mentuanya, tak hingin dia datang ke sini mencari Fayyad.

"Dia keluar kejap."

Berita yang satu itu buat senyuman Afifah merekah secara tiba-tiba. Tanpa dipelawa, pintu grill dibuka sendiri. Kakinya melangkah masuk hingga ke ruang tengah. Hatinya perlukan hiburan.

"Fayyad tak bawa anak terencat dia ni?" Rambut yang mengurai diselit ke belakang telinga.

Dalila ketap bibir. Cari masalah betul perempuan ni.

"Kau nak apa sebenarnya?" Dalila bawa lengan ke tubuh sendiri. Tak payahlah nak berlembut-lembut sangat dengan perempuan sihir ni. Sekali tengok pun dah tahu, mesti dia datang untuk buat masalah.

"Saja. Aku nak datang jumpa bitch!" caci Afifah. Seronok pula melayan Dalila versi baharu ini. Ada juga cabarannya. Dalila yang lama terlalu mudah digunakan dan terlalu membosankan.

"Yeah, I am." Akui Dalila dengan senyuman.

Berkedut-kedut dahi Afifah menyambutnya. Ini bukan respons yang Afifah mahukan. Dia menantikan kemarahan Dalila. Bukan versi senyuman seperti ini.

"So, kau mengaku yang kau bitch? Oh My God..." Afifah tayang muka tak percaya. Pertama kali jumpa perempuan murah seperti Dalila. Dia ni tak ada maruah ke apa?

"Yeah... Tapi kan aku ada sifu. Dia tu queen of the bitch! Banyak benda jahat dan puaka dalam dunia ni, aku jadikan dia mentor. Hah... Panjang umur, kau pusing belakang, dia dah datang."

Pebenda yang Dalila maksudkan ini? Sekilas Afifah berpusing ke belakang. Tiada sesiapa yang berdiri di belakangnya. Takkan perempuan ni boleh tengok benda ghaib pula?

"Kau merepek apa ni?"

"Isy... Cuba tengok betul-betul. Ada..." tekan Dalila lagi.

Dan kali ini, Afifah menoleh semula. Cuba memerhatikan keadaan sekeliling. Tiada sesiapa di situ melainkan... Pantulan tubuhnya dari cermin yang tersedia. Oh, shit! Otak Afifah baru mampu menjana dengan baik.

"Isy... Isy... Isy... Terima kasih kerana membuktikan bahawa gelaran itu sangat sesuai disandang oleh bulu pelepah macam kau. Bengap!"

Afifah ketap bibir.

"Kau memang kurang ajar!" Tangan sudah naik tinggi. Menunggu masa untuk mendaratkan tamparan di wajah Dalila.

Namun cekap Dalila menahan lengan Afifah dari hinggap ke wajahnya. Jangan harap Dalila akan benarkan dirinya dibuli oleh perempuan tak guna macam Afifah. Tak cukup dengan itu, lengan Afifah terus dipulaskan ke belakang. Tindakan yang mengundang jeritan Afifah. Tahu pula marah bila orang gelar 'bitch'.

"Kurang ajar, ya? So, tunjuk ajarku sifu wahai queen of the bitch!"

"Auwww sakit! Lepaslah!"

Apabila Dalila sudah puas hati, barulah cengkaman itu dilepaskan. Wajah birasnya itu nyata berubah. Berang sudah pasti.

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Kalau takut rumah terbakar, jangan cuba bermain api. Tapi... Kau memang daripada persatuan api neraka, kan? Mesti kau tak kesah nak pergi sana semula." Sempat lagi Dalila menuangkan minyak ke dalam api yang membara.

"Kau ingat, kau tu penduduk syurga ke, hah? Jangan nak berlagak baiklah, Lila!"

"Aku tak pula claim aku ni penduduk syurga. Tapi aku ambil sikap sedar diri. Bukan macam kau, perempuan tak sedar diri."

Terluah juga perkataan yang selama ini tersimpan kemas. Berpura-pura tenang tak mampu menyelesaikan masalah.

You want a drama? So, here we go! Kalau kau nak jadi pelakon, biar aku jadi pengarahnya!

"Aku akan pastikan kau menyesal sebab buat aku macam ni!" Dada Afifah berombak sewaktu melepaskan amaran. Dalila pasti akan terima balasannya.

Dalila senyum sinis.

"Takutnya..." ajuk Dalila dengan muka takut yang dibuat-buat.

Afifah ketap bibir. Makin meluap kemarahannya.

"Stres ya layan aku, Pipah? Hmmm, aku ada satu tiket ke alam barzakh without return. Nak ke? Sebab bila melihatkan kadar stres kau ni, kau macam perlukan percutian yang panjang atau lebih tepat... Percutian untuk selamanya. Tapi aku tak pastilah sama ada kau dapat bercuti dengan aman atau kena seksa sebab percutian kau ni based on amalan kau," tambah Dalila lagi.

"Mulut kau memang celopar, ya? Fayyad tu memang bodoh sebab kahwin dengan perempuan tak ada adab macam kau!" Afifah sudah sedia kalah namun bukan perangainya untuk terus mendiamkan diri.

"Ya, mulut aku memang celopar untuk tetamu tak diundang macam kau! Dan pintu kat hujung sana ya... Kot-kot kau rasa panas, dipersilakan berambus dari rumah ni. Sebab air cond macam tak mampu nak sejukkan amarah kau tu."

"Eee..." Afifah sudah geram. Tapi tak tunggu lama, terus dia keluar dari rumah Fayyad. Dalam hati sudah merangka pelbagai perkara untuk membalas dendam pada Dalila.

Dalila lepas nafas. Putus nyawa layan kegilaan Afifah kali ini. Dada yang menggila dengan debaran ditepuk lembut.

"I am incharge of how I feel and today I am choosing happiness." Ditepis semua rasa negatif yang menumpang dalam hati. Apa yang berlaku dalam hidupnya adalah tanggungjawabnya sendiri.

Betul kata Jannah. "Kau ingat dengan mengalah, itu adalah kekalahan? Kau ingat dengan kemenangan itu kau menang?"

Kalau dia terus-terusan mengabaikan Fayyad dan Faqih, pasti kemenangan akan berpihak pada Afifah. Dan itu adalah sesuatu yang tak dibenarkan oleh Dalila.

Tak berkelip mata Fayyad melihat makanan yang dihidangkan oleh Dalila. Lambat-lambat dia angkat wajah memandang Dalila. Ini sudah bagus. Balik dari keluar dengan Jannah, dia tengok sikap Dalila sudah berubah sikit. Apa yang Jannah dah basuh Dalila?

"Awak cakap nak saya masak, kan? Ini aje yang saya reti masak." Telur masak kicap. Kira okeylah daripada dia masak air sahaja.

Kalau ikutkan hati, memang Dalila malas turun ke dapur. Tapi apakan daya, dia kalah dengan desakan akal fikirannya yang sangat menyebelahi Fayyad itu. Dia juga sudah membuat keputusan untuk berdamai dengan hati sendiri sekali gus membuka ruang untuk Fayyad.

"Ini pun dah cukup sedap. Abang memang rindukan air tangan Lila."

"Saya tak reti masak." Jujurnya, sebagai anak bongsu, dia memang pandai oder sahaja. Selebihnya, mummy yang menguruskannya. Kadang-kadang si abang dan si daddy pun turun ke dapur untuk menyediakan makanan kepadanya. Haih, rindunya mereka.

"Siapa cakap tak? Petik jari aje, Lila pandai masak macam-macam."

"Ya ke? Apa yang saya selalu masak?" Rasa teruja menghuni cik hati. Yalah, siapa tak bangga bila Fayyad cakap dia pandai memasak.

Seronok pula bila Fayyad melihat respons positif Dalila kali ini.

"Ayam masak merah, gulai, masak lemak, tomyam, sup tulang, percik, eh... Banyaklah. Tak terhitung."

Makin terbeliak biji mata Dalila mendengarnya.

"Awak saja tipu saya, kan?" Rasa tak percaya memang sedang duduk di ruang yang paling dalam. Macam mustahil aje list makanan yang diberikan oleh Fayyad itu.

"Betullah. Awak dah jadi isteri abang lebih empat tahun, kan? Setakat memasak tu... Pejam mata aje awak boleh buat. Kalau tak, takkan badan abang naik mendadak ni."

Kali ini Dalila panggungkan kepala.

"Tapi, apa gunanya. Sekarang saya dah lupa."

"Tak apalah. Nanti kita masak sama-sama."

"Awak pandai masak ke?"

"Tak sepandai Lila. Tapi awak memang boleh berharap pada abanglah. Yalah, masa awak pantang hari tu pun, abang yang jaga tau!" Fayyad mula nak memuji diri sendiri.

"Ya? Kenapa saya tak pantang rumah mak awak?" tebak Dalila sengaja. Mustahil selama mereka berkahwin, Fayyad tidak tahu yang ibunya langsung tidak menyukai Dalila. Atau dia berpura-pura tidak tahu?

"Awak yang nak abang jaga awak. Sebagai bayaran penat lelah kerana melahirkan Faqih." Ya. Itulah permintaan Dalila sendiri.

Diam.

"Nah... Nganga cepat." Disuakan nasi ke mulut Dalila.

"Tak naklah. Saya tak lapar."

"Alah, makanlah sikit. Tak kesian ke saya makan sorang-sorang ni?" Bukan sahaja suara disedihkan tapi dia siap bagi dengan pakej muka kesian. Dan akhirnya Dalila mengalah.

"Oh, lupa nak beritahu. Petang tadi waktu awak keluar kakak ipar awak ada datang." Dalila sendiri keliru sama ada ingin bercerita pada Fayyad atau tak.

"Ya? Dia datang buat apa?"

Serang saya dan sakitkan hati saya. Hampir sahaja ayat itu keluar dari mulutnya.

Akhirnya, hanya bahu diangkat tanda tidak tahu. Adakah ini versi Dalila yang dahulu? Yang mendiamkan diri walau dibuli?

"Tak apalah. Nanti abang telefon dia semula." Sedikit sebanyak Fayyad sudah mampu mengagak. Pasti ada kena-mengena dengan kerja.

Usai makan, mereka sama-sama duduk di hadapan Faqih dan mendodoi si kecil.

"Eh Lila, esok Faqih ada rehabilitasi tau. Awak nak pergi sekali tak?" Fayyad kembali mengingatkan.

"Rehabilitasi? Apa tu?"

"Pemulihan untuk kanak-kanak yang ada spina bifida. Biasanya rehabilitasi ni dilakukan untuk monitor perkembangan untuk mencapai motor kasar seberapa banyak yang boleh. Macam, membantu Faqih untuk duduk atau merangkak jika boleh. Senaman dan aktiviti fizikal macam aktiviti di kolam renang atau senaman untuk menguatkan lengan dan tangan. Latihan untuk kekuatan tangan memang sangat dititikberatkan," jelas Fayyad ringkas.

"Oh..." Dia rasa sangat bodoh saat ini. Lama dia membiarkan emosinya larut tanpa langsung memikirkan si kecil.

Tapak tangan isterinya digenggam. Bagai mengerti apa yang menginap dalam fikiran Dalila.

"Saya ni mak yang teruk, kan?"

"Tak adalah. Lila memang kena betulkan emosi Lila dulu. Barulah Lila boleh tolong Faqih nanti," pujuk Fayyad lembut.

"Boleh lepaskan tangan saya?" Mentang-mentang dia tak marah-marah, cepat aje Fayyad ambil kesempatan.

"Opsss. Terbuat harta pula."

"Kenapa saya macam tak pernah dengar pun pasal penyakit ni?" Jika tidak terkena pada si anak, pasti dia tidak tahu kewujudan penyakit ini.

"Spina bifida ni ada banyak kategori. Tapi untuk kategori spina bifida myelomeningocele macam yang Faqih hidapi, inilah jenis spina bifida yang paling serius. Kira-kira satu dalam seribu bayi yang dilahirkan dengan penyakit ni." Fayyad menerangkan setakat yang dia tahu.

"Satu dalam seribu dan ia terkena pada anak kita..." Perlahan rintihan Dalila.

"Jangan dirintihkan satu dugaan Tuhan pada kita sedangkan Dia dah berikan pada kita sejuta nikmat." Peringatan lembut diberi.

Lama dipandang si anak.

"Macam mana Faqih nak membesar seperti kanak-kanak biasa? Boleh ke dia survive? Kalau saya dengan awak tak ada nanti, siapa nak jaga dia?" Nak harapkan keluarga Fayyad? Memang kirim salamlah. Lagi dibuli Si Faqih ini adalah.

"Apalah awak ni. Jangan pandang rendah pada anak kita. Mereka mungkin ada kekurangan tapi mereka juga diberikan kelebihan. Many children with the disorder have normal intelligence and can walk, usually with assistive devices. Early educational intervention is helpful. Sebab tu dari sekarang, kena ajar Faqih."

"Okey, apa yang saya paling kena tahu sekarang?" Tanggungjawab sebagai seorang ibu, perlu dipikul dengan sebaik mungkin.

Makin lebar senyuman Fayyad apabila melihat semangat Dalila yang berkobar-kobar itu.

"Okey, apa yang paling penting ialah penjagaan kulit dan deria rasa. Penjagaan yang sempurna supaya dapat mengelakkan kudis atau ulser di bahagian yang kehilangan deria rasa. So, kena pastikan kebersihan diutamakan."

"Kejap, saya nak ambil buku."

"Sekarang zaman paperless la, sayang. Ambil iPhone awak aje..." Diajar untuk menulis nota di dalam Note sahaja. Hampir Dalila lupa, dia sudah lima tahun ke depan.

"Penjagaan usus juga penting. Latihan pengawalan air besar dan pemakanan yang sihat. Sebab kalau tak kena makan, Faqih boleh kena sembelit. Dalam telefon Lila tu, ada banyak nota pemakanan Faqih."

Agak kekok sebenarnya untuk menggunakan iPhone ini. Jadi tangannya masih terkial-kial. Fayyad yang menyedari terus membantu. Dari belakang, ditunjukkan cara penggunaan. Haih, tindak-tanduk suaminya ini terus membuatkan tubuh Dalila tegang sendiri. Sudahlah wangian badan Fayyad begitu menusuk hidungnya.

"Awak boleh jauh sikit tak?" Hilang nak belajar nanti, ada juga dia ajar seni mempertahankan diri pada Fayyad kejap lagi.

"Tak bolehlah. Awak ni macam gam. Buat abang rasa nak melekat aje." Dagu disangkut di bahu Dalila. Langsung tanpa rasa bersalah.

"Fayyad..." Diterankan sedikit nada suaranya. Menggertak.

"Okey... Okey... Gurau sikit pun tak boleh." Hilang rasa nak menyakat bila melihat Dalila serius sahaja. Tapi Dalila versi baharu ini mana pernah tak serius.

"Sebenarnya masa kecil dulu, Faqih dah operate di bahagian duburnya bila lubang duburnya itu agak ketat dan sukar untuk membuang air besar. Ada juga kes lubang dubur tidak dibentuk sempurna dan kebiasaannya ini masalah penghidap spina bifida. Kadang-kadang Faqih pun akan ada masalah buang air kecil yang tak terkawal."

Tarik nafas, dan lepas. Aduh, mampu ke dia jadi umi yang baik pada Faqih?

"Walaupun Faqih ada spina bifida ni, tapi kita memang bersyukur sebab selalunya tujuh puluh peratus kes berkaitan dengan hidrocefalus. Otak dan saraf tunjang dialir dan dibekalkan dengan nutrisi oleh cecair serebrospinal. Dalam spina bifida ni, pengaliran cecair serebrospinal tersekat dan menyebabkan pengumpulan cecair dalam otak. Keadaan ni bahaya sebab cecair yang terkumpul itu akan meningkatkan tekanan dan menyebabkan kerosakan pada otak. Tapi alhamdulilah, Faqih tak ada hidrocefalus."

Ternganga Dalila mendengar penerangan Fayyad. Kagum dengan sebutan saintifik Fayyad yang sangat lancar. Macam doktor!

"Tak apa ke dia tidur terlentang?" Walaupun dia lihat kesan benjol di belakang Faqih sudah tidak ada namun tetap dia musykil.

"Dari kecik sampai dekat dua tahun macam tu... Faqih hanya boleh tidur mengiring ataupun meniarap. Kadang-kadang dia tidur meniarap di atas badan kita secara bergilir. Masa tu kesian sangat. Tiap kali Lila nak tidurkan Faqih, mesti Lila akan menangis. Masa tu Faqih pun menangis. Abang sampai tak tahu nak pujuk siapa." Matanya sedikit bergenang. Menggamit kenangan lama. Kalaulah Lila tahu, dia sering lari ke bilik air untuk melampiaskan sedih. Bukan apa, dia bimbang akan melemahkan seorang umi yang hendak berjuang untuk anaknya.

"Kemudian masa umur Faqih dua tahun lebih, kita buat operation kali kedua. Kita buat sebab masa tu Faqih dah agak besar. Alhamdulilah pembedahan tu berjaya. Sejak dari tu, Faqih dah boleh tidur terlentang. Dia dah boleh tidur nyenyak. Tak menangis lagi. Dan sekarang, Faqih dah boleh duduk. Dan abang percaya yang suatu hari nanti... Faqih pun akan boleh berjalan."

Tanpa sedar, air mata singgah di pipinya. Dia telah lupa semua momen indah yang mereka telah harungi bersama.

"Isy... Janganlah menangis. Abang tak cerita semua ni untuk buat Lila menangis tau!" Tapak tangan ligat menepis permata di pipi Dalila. Sama seperti dahulu, Dalila cukup sensitif bila melibatkan Faqih.

Melihatkan Faqih yang lena tidur itu, Dalila labuhkan ciuman. Apa pun yang jadi, dia tekad untuk berjuang bersama Faqih.

"Untunglah Faqih dapat ciuman daripada umi dia. Abang tak dapat ke? Sebagai upah abang jadi cikgu malam ni?"

"Dahlah... Pergi tidur." Kasar Dalila mengarah.

Tubuh si kecil yang tertidur di atas katil mereka itu Fayyad angkat dan diletakkan ke dalam baby cot.

Sedang Dalila menyikat rambut di hadapan cermin, matanya menangkap satu objek yang merupakan sebuah tabung di atas meja solek itu. Dan yang peliknya... Di luar tabung itu tertulis perkataan, tabung dosa. Dari dulu lagi dia tertanya sendiri.

"Awak, ini tabung apa?" Baru hari ini dia berkesempatan bertanya pada suaminya.

"Tabung dosa."

Dia sedia maklum tentang itu. Dia boleh baca tulisan itu. Cuma akalnya gagal mencerna sebarang info. Kenapa boleh wujud tabung dosa ni?

"Abang pun ada satu."

"Dosa dan pahala tu kan rahsia Allah. Siapa kita nak menilai perihal dosa?" Kenapa kehidupan hariannya seakan-akan tidak normal.

Fayyad senyum. Tabung di atas meja solek itu dicapai. "Tabung ni kita buat untuk tampung dosa kita. Andai ada dosa yang berlaku di bawah kesedaran kita. Kita akan masukkan duit dalam ni. Lila tak perlu beritahu apa kesalahan Lila. Cukup Lila sendiri tahu dan sedar bahawa apa yang Lila lakukan itu adalah salah. Contoh, Lila berprasangka buruk pada Tuhan. Jadi, Lila menyesal atas kekhilafan Lila. Jadi, Lila masukkan duit ke dalam tabung ni. Lila lewat solat ataupun Lila buat satu dosa jadi Lila masukkan duit di dalam tabung ini. Setiap hujung bulan, kita akan kumpul dana dan akan sedekahkan pada mereka yang memerlukan. Sedekah tu kan mampu menghapus dosa sebagaimana air mampu memadamkan api."

Oh begitu ceritanya? Kenapa semua ini terasa jauh dari pemikiran Dalila sendiri? Terasa diri jahil tak semena.

"Semakin bersih dari dosa, jadi hati akan makin tenang dalam apa jua situasi. Selalu akan ada jalan keluar dari persoalan apapun dan akan mendapat pertolongan yang tak terduga. Tak disangka-sangka."

Begitukah? Jadi mungkin sedekah merupakan salah satu cara untuk dia hendak keluar dari kemelut perangkap ingatan ini?

"Awak nak tidur mana?" Kali ini soalan ditukar.

"Saya tidur dengan isteri jiran sebelah." Selamba sahaja jawapan itu keluar dari mulut Fayyad.

"Huh?!"

"Tanya lagi soalan tu. Mestilah saya tidur atas katil ni. Sebelah isteri saya." Lantaklah apa yang Dalila nak fikir pun. Kalau boleh, dia tidak mahu lagi tidur secara asing.

"Tapi ini kan katil saya?"

"Salah. Ini katil kita. Dah, baik awak tidur sebelum abang ubah fikiran," ugut Fayyad. Malam terlalu larut untuk dia meneruskan pergaduhan.

"Ubah fikiran?"

"Ya. Mungkin abang tak nak tidur dan mengharapkan benda lain ke?" Kedua-dua belah keningnya terangkat. Dalila yang memahami maksud Fayyad terus bertindak menyelubungkan tubuhnya dalam comforter.

Reaksi yang membuatkan Fayyad menggeleng dalam senyuman. Ada-ada ajelah umi Faqih ni.

"Esok awak kena letak duit dalam tabung dosa."

"Asal pula?" Dari dalam comforter, Dalila hulur soalan.

"Sebab tidur membelakangi suami." Sengaja diusik isterinya itu. Untuk setiap waktu, dia telah redakan segala tindak-tanduk isterinya.

"Eee... Mana boleh ugut macam tu!" Penuh rasa serba salah, Dalila palingkan wajah ke arah Fayyad.

"Now, barulah abang boleh tidur dengan aman." Satu kucupan singgah di dahi Dalila.

Fayyad tersenyum sahaja sebelum melelapkan mata. Mengumpul tenaga untuk meredah hari esok yang entah apa cuacanya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro