Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

Lambat-lambat dibawa langkah keluar dari bilik. Mendapatkan suaminya di luar.

"Saya nak keluar."

"Sekarang ke? Kejap abang siapkan Faqih dulu. Lepas tu kita gerak." Baru sahaja Fayyad ingin berlalu, suara Dalila kembali menahan.

"Siapa cakap saya nak keluar dengan awak?" Dua puluh empat jam memandang wajah Fayyad. Boleh beku otak dia. Kemarahan daripada pergaduhan semalam pun masih bersisa walaupun kesilapan suaminya itu telah dimaafkan.

"Habis tu, awak nak keluar dengan siapa? Pergi mana? Tak minta izin pun?" Siapa yang tak pelik, tiba-tiba aje nak minta keluar. Dalila bukannya mahir dengan jalan di sekitar Kuantan ini. Malah, isterinya itu sudah bersiap.

Satu keluhan dilepaskan.

"Ini minta izinlah ni..." Banyak songeh pula mamat ni. Orang dah beritahu pun kira mujur. Kalau dia lari dari rumah macam mana?

"Kalau dah bersiap macam ni baru nak beritahu, itu bukan minta izin. Itu bagi arahan suruh izinkan."

"Eh, boleh tak jangan berfikiran secara kompleks sangat? Awak kena faham yang saya tak biasa dengan semua ni. Dulu saya nak keluar, saya keluar aje. Tak payah nak minta izin sesiapa. Daddy pun tak pernah kongkong saya sebab dia percayakan saya dan dia pun tahu saya tak akan buat benda yang bukan-bukan." Panjang bebelan Dalila. Tak biasa diarah itu ini. Dia bukannya buta untuk membezakan mana baik dan mana buruk!

"Saya cakap elok-elok, kan?" Ditahan-tahan amarah yang menjentik hati. Cepat sahaja Fayyad beristighfar. Melarang amarah daripada menguasai ruang hati. Syaitan memang menunggu masa yang sesuai untuk memecah belahkan hubungan rumah tangga anak cucu Adam.

"Dah tu, saya pun cakap elok-elok. Ada macam saya tengking awak ke?"

Fayyad lepas karbon dioksida yang bergelut di ruang dada. Diperhatikan pakaian isterinya yang cantik mengenakan jubah berwarna hijau muda. Longgar dan tidak jarang. Okey, baju lulus.

"Kejap... Saya cek dulu sebelum awak keluar," tahan Fayyad. Matanya terus membuat scanning.

"Cek apa benda ni?" Ya Tuhan, kenapa laki dia paranoid macam gini sekali?

"Hmmm... Tudung kena labuh sikit tutup dada." Selamba sahaja Fayyad mencabut jarum yang sudah kemas diselit di selendang Dalila. Dilabuhkan sedikit di bahagian depan.

"What? Labuh macam ni, baik pakai telekung!" Rahang Dalila dah jatuh. Hati rasa nak memberontak.

"Kalau macam tu, abang ambil telekung gantikan tudung ni. Nak?" Sengaja Fayyad mencabar. Tak tahulah sampai bila episod mereka yang gemar bertekak ni akan habis. Mungkin sampai ingatan Dalila pulih. Kalau tetap tak pulih, mungkin mereka akan bergaduh sampai mati.

"Hmmm... Stoking kaki mana?" soal Fayyad apabila melihat kaki Dalila tidak bersarung apa-apa pun.

"Stoking?" Dia jenis minah stoking ke? Maigaddd...

"Hmmm... Stoking tangan?" Giliran lengan pula dibelek.

Stoking tangan? Tangan pun pakai stoking ke? Dalila merengus. Tak boleh jadi macam gini.

"Heiii... Apa benda awak ni, Fayyad? Saya nak keluar kejap aje dengan Jannah. Yang awak belek saya atas ke bawah dah kenapa?" Ringan aje nak lempang pipi Fayyad ni. Dia boleh tayang muka tak bersalah?

Kemarahan Dalila diletakkan ke tepi. Deria hidung digunakan. Tiada wangi-wangian yang berlebihan. Okey lulus. Kakinya melangkah ke pintu almari. Sehelai stoking berwarna coklat dan sehelai sarung tangan warna senada dikeluarkan sebelum disarung ke tubuh isterinya.

Sungguh, Dalila rasa macam nak menangis diperlakukan sebegini rupa.

"Lila, percayalah awak memang dah biasa dengan semua ni. Awak cuma lupa apa yang awak dah biasa." Dia tahu Dalila rasa rimas. Tapi hukum tidak boleh ditidakkan hanya kerana Dalila tidak mampu ingat apa yang sepatutnya dia ingat.

"Kat luar tu panas... Awak nak saya selubung macam ni?" Dalila ingat cukuplah jika dia sarungkan jubah. Rupa-rupanya hampeh! Lagi banyak khazanah yang kena pakai.

"Yup..." Kepala Dalila yang beralaskan selendang itu digosok. Kepala ditundukkan menghadap wajah si isteri yang cemberut.

"Sebab kat akhirat nanti lagi panas!"

Mata menjeling ke atas. Haih, dia rindukan kehidupan yang dahulu. Kehidupan yang membolehkan dia kibas-kibas rambut.

Sekarang, hilang jumpa manusia macam Raif, hidup pula dengan manusia macam Fayyad ni. Tak ada ke lelaki versi yang normal dalam hidupnya?

"Nah..." Beg duit milik Dalila dihulur.

"Lila punya," jelas Fayyad apabila melihat muka terpinga-pinga si isteri.

"Mungkin awak lupa tapi awak ada terima pampasan duit insurans daripada ahli keluarga awak yang dah meninggal. Walaupun saya pegang purse awak, tapi saya tak sentuh sikit pun duit awak dalam ATM tu. Duit elaun awak tiap bulan pun saya ada masukkan macam biasa. So, awak beli aje apa yang awak rasa nak beli, ya?"

Beg duitnya dipandang tanpa perasaan. Sebenarnya, habis bertekak dengan Fayyad tadi, dia telah menelefon Jannah walaupun dia bukannya kenal dengan Jannah tu. Berharap agar Jannah menemaninya untuk keluar. Otaknya perlukan udara. Dan pastinya, dia tidak mahu keluar dengan Fayyad.

"Tu Jannah dah datang. Jangan balik lewat sangat sebab malam ni Lila kena masak. Abang dah boring makan masakan sendiri. Lepas tu, malam ni turn Lila tidurkan Faqih. Opsss... Tidurkan abang sekali. Ataupun lebih afdal tidur dengan abang." Kata-katanya nyata mengundang jelingan tajam daripada Dalila.

Tanpa mempedulikan Fayyad, Dalila keluar dari rumah dan masuk ke dalam perut kereta. Jannah pula bertindak untuk keluar dari kereta dan mendapatkan Fayyad.

"Awak, sorry sebab mengejut. Tiba-tiba aje dia telefon saya ajak keluar. Awak okey ke?" Bersungguh-sungguh Jannah memberi penjelasan.

"Tak apa, Jannah. Awak keluar aje dengan dia. Dia perlukan kawan untuk luahkan perasaan. Jangan balik lambat. Anything, call me."

Jannah senyum sahaja sebelum kembali mendapatkan keretanya.

Bingung untuk membawa Dalila ke mana, akhirnya Jannah membawa Dalila ke Teluk Cempedak. Mungkin angin pantai mampu untuk melembutkan hati Dalila. Mereka ke Loteng untuk minum.

Dari tingkat atas, mereka dapat melihat pemandangan pantai.

"Are you okay?" Di hadapannya ini bukan Dalila yang dahulu, jadi itu membuatkan Jannah sedikit teragak-agak untuk terlebih mesra.

"Entahlah."

"You know what? You are so lucky. Dapat suami macam Fayyad dan anak macam Faqih." Jannah mengemudi perbualan sebelum melempar pandangan ke pantai.

"Kau dah kahwin?" Hilang membincangkan tentang dirinya, Dalila hulur soalan lain pada Jannah.

Hanya gelenggan yang diterima sebagai jawapan.

"Dah berapa lama kita kenal, Jannah?"

"Almost five years."

"Kau kawan aku ke atau kau kawan Fayyad? Yalah... Sebab aku tengok kau macam rapat juga dengan Fayyad." Dari dahulu Dalila agak ragu-ragu dengan Jannah. Kenapa gadis ini kelihatan sangat rapat dengan Fayyad? Adakah dia menyimpan perasaan pada Fayyad?

"Aku kawan Fayyad. Tapi lepas kau kahwin dengan dia, aku lebih rapat dengan kau. Lagipun, kadang-kadang aku selalu tolong jaga anak kau kalau kau orang berdua nak dating ke? Aku ni cikgu kanak-kanak istimewa. Jadi, sejak kau lahirkan Faqih, kita makin rapat sebab kadang-kadang kita share ilmu untuk beri yang terbaik pada Faqih."

Kepala Dalila terangguk sendiri. Menyimpan kemas semua maklumat yang diterima.

"Kau... Sukakan Fayyad ke?" Serba salah untuk Dalila hulurkan pertanyaan. Tapi, tak mampu rasanya untuk dia tinggal diam dalam tanda tanya.

"Taklah. Merepek aje kau." Minuman di hadapan dicapai dan dihirup kasar. Mata dijauhkan dari memandang Dalila. Bimbang jika Dalila menduga lagi.

"Okey, kau kawan baik aku, kan? Kau tahu tak yang... Mak mentua aku tak sukakan aku? Tak sukakan Faqih?"

Kali ini lama Jannah terdiam sebelum mengangguk.

"Fayyad tahu tak pasal ni?" Satu lagi keraguan yang menendang fikirannya.

Kali ini Jannah menggeleng. "Fayyad tak tahu sebab di depan dia, mak mentua kau layan kau baik."

"Tapi, kenapa aku sendiri tak pernah beritahu Fayyad? Takkanlah aku membabi buta ikut aje telunjuk mak Fayyad tu?"

"Kau tak nak Fayyad serba salah. Sebab tu kau diamkan diri."

"Eee... Tipikal perempuan lemah!" rengus Dalila. Tiba-tiba dia rasa benci dengan diri sendiri. Dalila versi dahulu tu tak ada otak ke apa? Otak letak tepi ke otak dah mati?

"Tak, Lila. Kau tak lemah. Tapi sebab kau cukup sayangkan Fayyad dan Faqih. Jadi, kau sanggup lakukan apa sahaja untuk dia orang walau kau yang disakiti." Jannah kembali membetulkan fikiran Dalila.

"Merepek."

"Terserah kau. Tapi kau tak boleh terus menerus macam ni Lila. Faqih perlukan kau. Dia tu sakit. Fayyad pun perlukan sokongan. Satu demi satu jadi dalam hidup dia. Mula-mula hilang kerja, kau pula hilang ingatan. Jangan biar dia rasa hilang kau Lila. Dari dulu dia perjuangkan cinta dia pada kau. Jangan jadikan semua perjuangan dia ni perkara yang sia-sia." Sungguh-sungguh Jannah meyakinkan Dalila.

Kali ini Dalila sandarkan belakang badan ke kerusi. Mata menjelajah wajah Jannah yang diserang panik kerana dipandang begitu.

"Kau betul-betul sukakan Fayyad," rumus Dalila yakin. Itu yang dia rasa tika ini dan dia tak rasa firasatnya salah.

Satu keluhan dilepaskan.

"To be frank, aku dengan Fayyad memang ada sejarah. Mak dia dan Afifah nak jodohkan kami. Tapi aku dengan dia saling tak suka antara satu sama lain. Lagipun waktu tu, dalam hati Fayyad hanya cintakan..." Jeda. Menggeleng. Jannah rasa dia tak sepatutnya membuka lembaran lama tentang Afia.

"Cintakan siapa?"

"Fayyad pernah cintakan seseorang. Tapi lepas tu kau muncul. Kaulah penyelamat aku. Dan kaulah penyelamat jiwa Fayyad."

Pula dah.

"Kalau kau kahwin dengan Fayyad, mesti aku tak akan terjebak dengan situasi macam ni. Tapi semua tu masih belum terlambat. Apa kata kalau kau kahwin dengan Fayyad? Selesai masalah. Aku pun boleh bebas." Cadangan dikemukakan tanpa sekelumit rasa bersalah.

"Semudah ni kau mengalah Lila? Lila yang aku kenal tak macam ni." Suara Jannah separa kecewa. Rasa macam nak ketuk aje kepala Dalila ni. Idea yang dia hidangkan langsung tak masuk akal.

"Eh, tak kuasa aku nak jadi Lila versi lemah yang kau cerita tu. Aku. Tak. Berminat." Yakin Dalila menuturkannya.

"Kau ingat dengan mengalah, itu adalah kekalahan? Kau ingat dengan kemenangan itu kau menang? Kau silap Lila." Jannah sendiri sudah kering liur untuk terus menasihati Dalila.

Berbelit betul ayat Jannah. Dia ingat aku ambil sastera ke dulu nak diagnose ayat tu?

"Lila..." Kali ini tangan Dalila yang berada di atas meja itu ditarik dan digengam erat. Jannah akan lakukan apa sahaja untuk menebus kesilapannya. Kalaulah Dalila tahu, Jannahlah punca Dalila hilang ingatan seperti ini.

Ini sahaja cara untuk menebus dosanya. Iaitu untuk memastikan perkahwinan Fayyad dan Dalila terus bertahan.

"Kau ada dua pilihan sekarang, Lila. Sama ada kau lari dari masalah atau kau belajar untuk selesaikan masalah. The choice is yours. Apa pun yang jadi, bila-bila pun kau perlukan aku, aku ada, Lila. Aku. Ada."

Kata-kata Jannah itu berjaya membuatkan otak Dalila kembali menyala. Jannah kelihatan ikhlas. Mungkin benar, dia kena belajar untuk selesaikan masalah. Lagipun, dia tak mungkin dapat pulang pada lima tahun yang lepas. Itu sesuatu yang sangat mustahil.

Haih.

Mata dipejam.

Perkara pertama yang perlu Dalila lakukan ialah, berhenti berperang dengan hati sendiri. Kedua, balik rumah nanti minta maaf dengan Fayyad. Aduh, mampu ke dia lakukan? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro