Bab 10
Sedang Fayyad membersihkan kereta. Matanya mengesan kehadiran Dalila yang baru keluar dari rumah. Akhirnya, dia nak juga keluar dari kurungan. Lega rasanya. Namun ada sesuatu yang mengganggu pandangannya.
"Lila, kepala awak terdedah," tegur Fayyad. Suaranya mendatar. Sekadar mengingatkan.
"Alah, bukan orang nampak pun. Still dalam kawasan rumah apa?" Eh geram betullah dengan Fayyad ni. Semua benda tak betul! Takkan nak berkelubung dua puluh empat jam? Mati saraf rambut dia macam ni.
"Memanglah... Tapi jiran-jiran boleh nampak, kan?" Suaranya masih lembut. Selalu diingatkan diri sendiri. Dalila yang sekarang bukan Dalila yang dahulu. Seolah-olah ini adalah Dalila ketika di zaman remajanya. Kuat memberontak.
Dalila buat keras. Sengaja mahu menguji kesabaran suaminya. Nak tengok juga, apa yang Fayyad boleh lakukan? Takkan Fayyad nak heret dia ke dalam rumah pula?
Si isteri didekati.
"Kalau leceh nak sarung tudung, awak boleh alas dengan tuala, kan?" Fayyad berikan inisiatif.
"Rimaslah nak bertuala bagai. Sesekali, rambut saya ni perlukan udara. Kalau tak rosaklah nanti!" Rambut yang mengurai cantik, dilibas-libas di hadapan Fayyad seperti iklan syampu. Sengaja.
Fayyad geleng kepala. Bibir digigit. Geram aje nak tarik rambut yang terlepas cantik itu.
"Abang sedia maklum yang rambut Lila tu memang cantik. Sebab yang cantik tu milik abang seorang aje."
Dalila masih berdiri memeluk tubuh. Langsung tak diendahkan nasihat daripada Fayyad itu. Seronok juga ya buat Fayyad marah?
Bahu diangkat. Baik. Kalau cara baik tak jalan, mungkin perlu cari jalan alternatif. Apa pun, sebagai suami Fayyad tetap perlu bertegas. Hukum Tuhan tak boleh diletak tepi.
Baldi yang masih berbaki air sabun itu dicapai. Melihat si isteri yang ralit membelek pokok bunga itu, terus baldi itu dilingkupkan di atas kepala Dalila.
Gedebush!
Baldi itu kemudiannya dibiarkan sahaja menutup kepala Dalila.
"Wehhh!!! Apa ni?" jerit Dalila kuat sambil membaling baldi yang menutup kepalanya. Wajahnya yang basah digosok kasar. Kuyup!
Fayyad tersenyum nakal.
"Abang bagi option aje. Tutup aurat tu tak semestinya dengan tudung atau beralaskan tuala. Dengan baldi pun boleh. Lagipun abang tengok angin pun boleh masuk dari bawah bila pakai baldi tu. So, rambut awak masih boleh bernafasss, kan?"
Dalila tolak tubuh tegap Fayyad.
"Awak memang melampau! Eee..." Boleh tak dia lempang sedas dua Fayyad ni? Sakitnya hati! Bukannya air paip yang disimbah tapi air sabun!
Dari sekadar tersenyum, Fayyad sudah melepaskan tawa. Comel pula dia tengok Dalila marah-marah seperti ini.
"I hate you!" Satu tumbukan mendarat di hujung dada Fayyad. Dengan dengusan, kaki dihentak geram. Namun lantai yang licin membuatkan dia hilang imbangan.
"Careful..." Tubuh si isteri yang nyaris terjatuh itu dipaut. Kemas tangannya mendarat di pinggang Dalila.
Seketika mereka saling terkesima.
"Dasar lelaki! Awak saja nak ambil kesempatan, kan?" Kemarahan Dalila jadi berganda.
"Erk... Sorry abang tak bermaksud nak ambil kesempatan." Apabila sudah memastikan Dalila sudah berdiri dengan stabil, Fayyad lepaskan pautan.
"Eee... Kenapalah aku ada suami macam dia ni?! Menyakitkan hati aje!" Kali ini Dalila melangkah dengan lebih berhati-hati. Tak sanggup insiden tadi berulang semula.
Fayyad menggeleng. Comel betul Dalila ni.
Diperhatikan Dalila yang berlalu masuk ke dalam. Akalnya sedang menimbang segala hikmah yang tak terjangkau dek fikirannya.
Kesibukan mereka dalam menjaga Faqih yang sakit membuatkan mereka berdua tiada masa untuk berkasih sayang. Mungkin apa yang jadi ini untuk menguatkan lagi kasih sayang antara mereka.
"Lila... Awak kena kuat. Saya percaya awak boleh lalui semua ni." Sekarang, apa yang perlu dilakukan untuk memujuk Dalila? Pandai sangat cari masalah, kan?
Masuk sahaja ke dalam bilik, dia lihat Faqih sedang berada di tempatnya sambil mewarna buku. Kegemarannya. Di satu sudut, Dalila pula sedang memegang telefonnya. Pasti dia baru sahaja lepas membersihkan diri.
"Sorry."
"Sorry?" Dalila ulang dialog pendek Fayyad.
"Mudah aje awak mintak maaf, kan? Macam tu ya cara awak didik seorang isteri? Itu cara nabi ke?" protes Dalila geram. Sewaktu membersihkan diri tadi, sudah berbakul makian diberi kepada suaminya.
Diam.
"Yalah, nak buat macam mana. Dalam dunia ni awak aje yang baik. Saya ni jahat. Teruk. Pendosa. Awak pula sempurna serba-serbi," bebel Dalila lagi. Geram bila Fayyad tidak memberi sebarang kata balas.
Tak guna untuk berbalah dengan Dalila yang sedang diamuk emosi itu. Dikerling sedikit ke arah Faqih. Tidak mahu jika suara speaker uminya mengalih perhatiannya. Ibu bapa yang sedang bertegang urat tak wajar melepaskan kemarahan di hadapan anak-anak.
Dia mendapatkan tempat di sisi Dalila. Tubuh itu dibawa rapat ke tubuhnya.
"Lepaslah..." Sedaya upaya Dalila cuba menolak tubuh Fayyad. Tapi ternyata, tindakannya hanya menemui jalan buntu.
Akhirnya, dia sekadar membiarkan.
"Lila, Allah dah turunkan perintah. Berhijab itu setelah kamu baligh. Bukan setelah kamu baik. Jadi, bukan soal baik ke tak baik sekarang ni. Tapi ini hukum Tuhan. Saya tak boleh pejamkan mata aje. Lagipun, azab Allah tak pernah ada diskaun."
Kali ini giliran Dalila pula yang terdiam. Makan dalam betul ayat Fayyad tu.
Pelukan dileraikan. Kali ini tapak tangannya naik ke pipi Dalila. Mata isterinya dicari.
"Bagi saya, wanita adalah bidadari. Maka seharusnya kami yang lelaki ini menuntun seorang bidadari ke syurga sebab tak wajar rasanya untuk membiarkan bidadari tu ke neraka, kan? Tak sesuai. Abang minta maaf kalau abang keterlaluan."
Diam lagi. Tiada tanda-tanda yang Dalila akan membalas kata-katanya. Dia pun ikut turut bersalah. Mudah kalah dengan bisikan syaitan. Dah tahu emosi isteri sendiri tak stabil, saje nak cari pasal lagi.
"Jadi Lila maafkan abang tak?" Sudahlah mereka sudah tidak semesra dahulu, sekarang dia tambahkan masalah pula.
"Lila tahu tak, orang yang paling banyak menerima maaf daripada Allah ialah orang yang paling banyak memaafkan orang lain. Jadi, tak boleh dendam. Tak boleh simpan. Tak boleh busuk hati dengan orang lain. Kita akan dihormati Allah dengan diberi hati untuk menempatkan Allah yang suci dan bersih. Jadi tak patut rasanya kalau kita kotori hati dengan kebencian dan kemarahan, kan?"
Dalila gigit bibir. Kenapa otak Fayyad ni cepat benar berfungsi? Cepat aje dia cari ayat untuk memujuk. Guna agama pula tu. Sekeras-keras hati dia pun, siapa yang tak nak kemaafan daripada Allah. Dosa dia dahlah menggunung tingginya.
"Lila tahu tak yang Allah mempunyai bekas di atas muka bumi ini. Lila tahu tak apa bekas tu?"
Haih, dia duga aku dengan soalan agama pula! Nak tunjukkan kejahilan aku ke apa mamat ni? Tahulah dia tu bijak pandai.
Dalila keraskan badan. Masih berpura-pura sedang merajuk. Yang sebenarnya, dia ingin mengelat daripada menjawab soalah suaminya. Takkan nak jawab tak tahu?! Malulah dia. Bekas apa, ya? Kalau jawab Tupperware atau baldi mahu kena hempuk. Aduh Lila, bodoh jangan tayang sangat, weh!
"Bayangkan, langit yang terbentang luas tu pun tak boleh tempatkan Allah. Bumi yang lebar ini pun tak mampu menempatkan Allah sebab Allah tu terlalu agung. Tapi bekas yang dimaksudkan oleh abang tadi ialah, hati manusia. Kita yang kerdil ni, yang sakit perut sikit pun dah terbaring macam nak mati, sakit kepala sikit pun dah kemain kalutnya. Apatah lagi sakit gigi, rasa macam nak moody setahun aje. Tapi kitalah yang diberi keajaiban yang tak diberikan oleh langit dan bumi. Hati."
Secara automatik tangan kanan Dalila naik memegang dada yang menempatkan hatinya. Apalah yang ada dalam hatinya. Entahkan bersih, entahkan kotor.
Dah habis ceramah sebegini hebat, takkan dia masih nak berdegil, kan?
"Yalah... Yalah... Saya maafkan awak!" Akhirnya Dalila mengalah.
"Yeay, abang tahu Lila sayang abang." Lega rasanya mendengar suara Dalila. Sesungguhnya, silent treatment daripada Dalila memang boleh membunuh semua organnya.
"Jangan nak perasan. Kalau tak maafkan awak nanti, habis sampai ke pagi awak nak beri ceramah. Telinga saya tak ada ketahanan untuk itu."
Fayyad ketawa.
"Okey apa. Kita kenalah pastikan hati kita bersih. Dengar tazkirah tu salah satu cara nak cuci hatilah. Lagipun tak semua hati boleh menempatkan Allah tau."
"Maksud awak?" Adakah Fayyad sengaja ingin menyakat dirinya?
"Tiga hati yang disukai Allah ialah hati yang kuat berpegang pada agama, bersih dalam keyakinan dan lemah lembut pada kaum al-Mukminin. Ciri-ciri hati yang lemah lembut itu ialah yang boleh memaafkan kesalahan orang lain padanya. Maksudnya hati Lila termasuk dalam ciri-ciri hati yang dapat menempatkan Allah."
Ya ke? Dengan iman yang sebegini punya daif, macam tak mampu aje. Mungkin Fayyad saje untuk menyedapkan hatinya.
"Tapi... Saya maafkan awak bersyarat." Haih, tetap tak mahu tunjuk yang dirinya terlalu baik pada Fayyad. Dia pun nak pastikan supaya Fayyad beringat agar tidak terus menyakitkan hatinya di kemudian hari.
Pula dah.
"Baiklah, tuan puteri. Apakah syaratnya? Patik rela dihukum."
"Hari ni, awak tidur luar!"
"Hah! Denda lain tak ada ke?"
"This is an order."
Fayyad menggeleng. Apalah nasib. Siapa suruh gatal-gatal simbah isteri dengan air sabun tadi. Jadi, mendapatlah cerita dia!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro