Bab 6
"Knock!!! Knock!!! Knock!!!" Dengan senyum sumbing, Adi Fakhri sengaja membuat bising sambil mengetuk pintu bilik Adi Fahmi. Niatnya cuma satu, dia tidak boleh melelapkan mata petang ini, maka Adi Fahmi akan menjadi mangsa 'bulinya' seperti biasa. Setelah berkali-kali mengetuk, dia tekad memulas tombol pintu bilik Adi Fahmi. Kali ini dia mahu menceroboh sahaja memandangkan adiknya langsung tidak memberikan sebarang respons.
Adi Fahmi tiada di atas katil, dijenguk pula ke dalam bilik air, namun adiknya tetap tidak kelihatan. Langkah Adi Fakhri akhirnya diatur menuju ke balkoni yang sedang luas ternganga. Langsir yang tergantung dipuput angin secara tiba-tiba. Saat itu, hanya tubuh adiknya yang sudah kaku di atas lantai sahaja menjengah ke ruang mata. Langkah Adi Fakhri bertambah laju manakala suara cukup kuat memanggil abah untuk naik ke atas rumah dengan kadar segera.
"Abah, datang sini cepat!" pekik Adi Fakhri dari tingkat atas rumahnya. Dia yang kononnya sengaja mahu datang menyibuk di dalam bilik adiknya, terkejut melihat tubuh Adi Fahmi yang sudah terjelepok di atas lantai.
"Fahmi! Fahmi!" Pipi anaknya ditepuk lembut beberapa kali namun Adi Fahmi langsung tidak menunjukkan tanda-tanda akan sedar.
"Bila dia jatuh ni?" soal Dato Abdul Jalil yang kelihatan cukup cemas. Segala kemungkinan buruk yang mula muncul di dalam kepalanya cuba ditepis sedaya upaya.
"Tak tahu. Adi tak tahu," geleng Adi Fakhri yang kelihatan cukup terkejut. Inilah kali pertama dia melihat keadaan Adi Fahmi yang sebenar-benarnya kerana sebelum ini Adi Fahmi tinggal di sekolah berasrama. Segala yang terjadi pada adiknya sebelum ini berlaku jauh dari penglihatannya.
"Kita kena bawa adik ke hospital segera. Mama mana?" soal Dato Abdul Jalil. Dia mengerah seluruh tenaga untuk mencempung tubuh Adi Fahmi agar dapat dibawa ke unit kecemasan dengan kadar segera.
"Adi, mama mana?" soal Dato Abdul Jalil sekali lagi dengan nada yang lebih tinggi kepada Adi Fakhri apabila anak sulungnya itu terdiam seribu bahasa.
"Dekat luar. Adi pergi cari mama sekarang." Nada tinggi abahnya berjaya membangunkan Adi Fakhri daripada terus tenggelam dalam emosi. Dalam keadaan cukup gugup, dia menyusun langkahnya laju bagi mendapatkan Datin Azizah. Segala rasa takut, bimbang, cemas, terkejut bercampur baur sehingga menyebabkan dia gagal berfikir dengan waras.
Ketiga-tiga beranak itu, langsung tidak bersuara. Masing-masing cuba untuk menenangkan diri di ruang menunggu hospital. Dato Abdul Jalil menggenggam kemas tangan isterinya manakala kegelisahan jelas terpancar dari riak wajah Adi Fakhri yang semakin galak membuat kesimpulan sendiri.
Dari berdiri, dia duduk dan kemudiannya berjalan mundar-mandir di hadapan unit kecemasan berkenaan. Setelah beberapa lama menunggu, Adi Fahmi akhirnya disorong keluar dari unit kecemasan. Adi Fakhri diminta mengiringi adiknya ke wad manakala abah dan mamanya pula diminta untuk berjumpa dengan Doktor Ismadi bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
"Kenapa?" Adi Fakhri memandang wajah adiknya yang sudah mulai sedar. Adi Fahmi terlihat memandang kosong. Tiada langsung segaris emosi di wajahnya. Hanya dia dan Adi Fahmi sahaja yang ada di dalam bilik ini sementelah ibu bapanya masih berbincang dengan Doktor Ismadi.
"Kenapa apa?" Adi Fahmi melepaskan satu helaan nafas yang cukup panjang. Setelah begitu lama dia meninggalkan ruangan ini, hari ini mereka di sini lagi. Selimut yang menyelubungnya ditolak sedikit kerana panas.
"Masa balik dari sekolah dengan abang semalam, Fahmi nampak macam terlebih sihat aje. Kenapa tak cakap kalau Fahmi tak sihat?" Adi Fakhri kesal sebenarnya. Dia dan Adi Fahmi menghabiskan banyak masa bersama namun adiknya terlalu bijak menyembunyikan keadaannya yang sebenar.
"Adik ingatkan demam biasa aje." Adi Fahmi tergelak kecil melihat wajah serius Adi Fakhri. Abangnya jelas terlihat risau, namun tidak bagi Adi Fahmi. Dia sudah bersedia. Sama seperti ahli keluarganya yang lain, dia juga punya intuisi yang sama. Penyakit lamanya mungkin perlahan-lahan beraksi semula di dalam tubuhnya yang kebelakangan ini rasa lemah tak bermaya.
"Kenapa gelak? Tak ada yang lucu pun, kan? Kalau dah demam tu demamlah. Mana ada demam biasa, demam tak biasa pula. Lain kali cakap. Mama boleh bagi ubat." Adi Fakhri masih serius.
Dia benar-benar tiada mood sekarang. Rekod kesihatan Adi Fahmi yang sememangnya buruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuatkan Adi Fakhri serta ibu bapanya cukup terkesan.
"Abang, penyakit tu dah datang balik, kan? Fahmi rasa kanser itu dah datang balik." Adi Fahmi ternyata sudah bersedia. Bukan dia sengaja cuba mendabik dada, namun sejak mula lagi, semua tahu yang penyakitnya itu berkemungkinan besar akan berulang. Jadi, Adi Fahmi sebenarnya sudah lama mempersiapkan mentalnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
"Dahlah. Tidur la balik! Jangan nak mengarut yang bukan-bukan." Jawapan Adi Fahmi membuatkan Adi Fakhri terkesima. Dia tidak tahu mahu menggunakan perkataan apa bagi menyedapkan hati Adi Fahmi dan hatinya sendiri. Masing-masing cuba menafikan hakikat yang perlu mereka hadapi saat ini.
Adi Fakhri cuba untuk reda dengan apa yang terjadi saat ini kerana sejak rumah lagi, kesemua mereka sudah menjangkakan akan kemungkinan ini berdasarkan sejarah kesihatan Adi Fahmi sejak beberapa tahun lepas. Adi Fahmi adalah bekas penghidap kanser paru-paru. Setelah bertahun-tahun berubat, dia telah disahkan bebas dari penyakit ini kira-kira dua tahun lepas.
"Abang! Boleh tolong potong rambut adik?" Adi Fahmi enggan terus tidur. Jika benar segala telahannya tadi, dia mahu menghabiskan segala sisa hidup yang ada dengan Adi Fakhri, mama dan abahnya sebaik mungkin, selama yang dia ada.
"Rambut adik pendek lagi kan, buat apa nak potong?" Adi Fakhri berusaha mengawal nada suaranya yang mula bergetar. Dia memintal bucu selimut yang menutup separuh tubuh Adi Fahmi. Kekok pula rasanya berbual begini dengan adiknya yang langsung tidak menunjukkan sebarang emosi.
"Adik nak botakkan terus. Kalau simpan pun, nanti kalau kena pergi kemo lama-lama botak juga. Buang masa aje nak kena sapu lantai banyak-banyak kali," jawab Adi Fahmi selamba.
"Jangan merapu la. Kita tak tahu pun lagi kan, apa keputusan doktor." Adi Fakhri tidak suka dengan apa yang didengarnya. Kalau boleh, dia mahu menamatkan perbualan itu serta-merta.
"Abang, kanser tu dah datang balik la. Tak payah tunggu keputusan doktor, adik dah boleh rasa." Adi Fahmi menjawab sambil menyeka air hidung sendiri. Masing-masing cuba menahan tangis sehingga hidung sendiri tersumbat sambil seorang memandang jauh ke luar melalui birai tingkap dan seorang lagi hanya memandang skrin televisyen yang sejak tadi kosong tanpa sebarang siaran.
"Okey, tunggu sini. Abang pergi pinjam pemotong rambut daripada jururawat. Kalau ada, nanti abang minta pinjam. Tunggu sini, jangan pergi ke mana-mana." Adi Fakhri lantas bangun dan berjalan keluar. Air matanya menitik laju saat ini. Dia sudah tidak betah lagi mahu mendengar apa-apa dari bibir Adi Fahmi.
Setelah menunggu beberapa ketika, Adi Fakhri muncul semula.
"Lamanya. Ada ke tidak pemotong rambut tu?" Adi Fahmi menyoal sebaik sahaja abangnya masuk semula ke dalam wad yang dihuninya.
"Memang la lama. Abang kena pergi Blok A nak dapatkan benda ni," dalih Adi Fakhri. Kotak berisi set pemotong rambut yang dipinjamnya daripada jururawat di bilik sebelah diunjukkan kepada Adi Fahmi. Dia sebenarnya menghabiskan kebanyakan masa yang diambil dengan menangis di tepi dinding hospital sebentar tadi.
"Mama dengan abah tak datang-datang lagi ke?" Adi Fakhri memandang ke kanan dan kiri. Kelibat ibu bapanya masih tidak muncul lagi di bilik itu.
"Belum. Ada banyak benda nak bincang kut," jawab Adi Fahmi. Seperti yang dia katakan tadi, penyakitnya sudah kembali. Tentu banyak perkara yang perlu ibu bapanya bincangkan dengan Doktor Ismadi.
"Agaknyalah. Jom, kita potong rambut di dalam bilik air." Adi Fakhri akhirnya menunaikan jua hasrat Adi Fahmi. Dia tidak sampai hati mahu menolak apa yang diminta Adi Fahmi saat itu.
Adi Fahmi duduk di atas satu kerusi kecil dan abangnya mula menjalankan tugas. Rambut yang masih sedikit tebal dinipiskan dengan gunting rambut dan kini Adi Fakhri sudah bersedia untuk membotakkan kepala Adi Fahmi. Dari tegak memandang ke hadapan, Adi Fahmi mula menundukkan wajah. Bahu yang awalnya bidang mula terlihat jatuh. Esakan kecil milik Adi Fahmi terdengar bergema di ruang bilik air yang kecil ini.
"Kenapa penyakit kena dekat adik? Adik berdoa siang malam supaya penyakit ni tak datang balik," geleng Adi Fahmi. Sedikit demi sedikit, tembok yang dibinanya runtuh lantas membuatkan air mata Adi Fakhri juga jatuh. Dia tidak mampu menahan tangis bila Adi Fahmi mula meraung. Emosi yang langsung tidak terlihat tadi, kini gagal dibendung. Adi Fakhri mengetap bibir bawahnya. Dia tidak pernah tahu bahawa akan ada satu waktu di mana dia perlu membotakkan kepala Adi Fahmi sendiri sambil menangis begini.
"It's okay..." Adi Fakhri tidak mampu meneruskan kata-kata. Suaranya bergetar.
"Tak apa! Kita boleh usahakan cara lain," sambung Adi Fakhri. Dia hanya mampu memegang kejap bahu Adi Fahmi bagi memberikan sedikit kekuatan. Pertama kali di dalam hidupnya, dia merasa kalah. Rasa hampa kerana gagal melakukan apa-apa, membuatkan dia hanya mampu berdoa dan terus berdoa. Adi Fahmi bagi Adi Fakhri terlalu muda untuk mengharungi semua itu untuk kali yang kedua.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro