Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

"Aik, awalnya turun? Fahmi mana? Dia dah bangun ke belum?" Datin Azizah menyoal anak sulungnya yang turun ke dapur lebih awal daripada biasa.

"Dah! Dia dah bangun lama dah. Sekejap lagi turunlah." Sendu sahaja nada yang keluar dari mulut Adi Fakhri ketika menjawab soalan mamanya. Hari ini dia benar-benar tiada mood mahu beramah-tamah dengan sesiapa.

"Oh! Kalau macam tu, Adi duduklah dulu. Kita sarapan sekali," jemput Datin Azizah seraya mencedok Nasi Goreng Udang yang sudah dia sediakan awal pagi tadi.

"Dah kenapa tak nak makan pula? Tak sedap ke?" Datin Azizah menyoal Adi Fakhri yang terlihat jauh mengelamun di meja makan. Kelakuan anak bujangnya hari ini kelihatan sedikit canggung. Apa tidaknya, belum pun jam merangkak ke angka enam setengah pagi, Adi Fakhri sudah lengkap beruniform. Riak wajah anak lelakinya itu juga tampak kurang ceria seperti selalu di mata Datin Azizah.

"Tak ada apa-apalah. Benda kecik aje." Adi Fakhri menafikan telahan mamanya. Masalahnya ini dilihat terlalu kecil untuk diadukan kepada mamanya.

Minuman panas yang terhidang langsung tidak disentuh malah Nasi Goreng Udang yang ada di depan mata juga terbiar sepi. Sejak kelmarin, rasa bersalah sudah bersarang dalam diri. Dia juga tidak nyenyak tidur memikirkan tingkah kurang sabarnya semalam. Sungguh dia dihurung rasa bersalah.

"Cakap sahajalah pada mama. Kecil ke besar ke, just tell me." Datin Azizah enggan membiarkan Adi Fakhri menyimpan masalahnya sendiri. Musykil pula dia dengan kemurungan yang jelas terpamer di wajah anaknya itu.

"Sebenarnya ma, Abang Adi pukul orang semalam!" sampuk Adi Fahmi tiba-tiba. Adiknya itu telah memecahkan rahsia yang cuba dia sembunyikan dengan jayanya.

"Apa?" Kuat benar bunyi 'apa' yang keluar dari mulut Datin Azizah. Wanita separuh abad ini jelas terkejut dengan penjelasan anak bongsunya itu.

"Fahmi! Adik ni memang mulut tempayan betul, kan?" jeling Adi Fakhri. Sekeping daun salad yang bertamu di atas timbunan nasi goreng itu dibaling geram pada adiknya yang muda lima tahun daripadanya itu. Mujur sahaja daun salad itu tersasar dan berjaya ditangkap oleh Adi Fahmi. Satu sengihan paling ikhlas juga dilayangkan Adi Fahmi kepada abangnya.

"Alah, orang gurau aje. Sensitif betullah abang ni." Daun salad yang dibaling Adi Fakhri tadi dibawa masuk ke dalam mulut. Adi Fakhri dan Adi Fahmi memang begitu. Ada sahaja yang boleh dibuat modal untuk bertengkar.

"Betul ke cakap Fahmi tu? Adi pukul siapa?" Datin Azizah tidak dapat mengawal riak terkejutnya. Dia benar-benar terkejut dengan apa yang disampaikan Adi Fahmi tadi.

"Macam betul tapi taklah semua. Sebenarnya ma, orang tengah dalam dilema ni!" Dek tingkah Adi Fahmi tadi, Adi Fakhri akhirnya terpaksa membuka mulut. Dia sememangnya berada dalam dilema. Rasa bersalahnya mencanak naik apabila dia teringatkan peristiwa semalam. Wajah Najihah asyik terbayang di ruang layar matanya sejak semalam.

"Dilema? Kenapa? Teruk sangat ke Adi Fakhri bergaduh semalam?" Kuali yang sudah sedia ingin dicuci, ditinggalkan sahaja di dalam singki. Risau pula Datin Azizah apabila anak yang bakal menghadapi peperiksaan STPM lagi beberapa bulan mengadu begitu.

"Tak adalah teruk sangat tapi budak tu cedera la juga," adu Adi Fakhri ketika mahu memulakan cerita.

"Okey, sekejap! Bahagian luahan perasaan ni, Fahmi tak nak campur. Fahmi nak kena pergi sekolah dah." Adi Fahmi yang sudah selesai makan, bangun menggalas beg sekolahnya. Dia sebenarnya ada urusan yang perlu ditangani segera.

"Awalnya?" Datin Azizah kurang berpuas hati. Entah apa yang mahu dibuat oleh anak bongsunya pada awal-awal buta di sekolah.

"Fahmi ada kerja rumah subjek Sejarah tapi tertinggal pula buku teks di sekolah. Kena pergi awal, siapkan semua tu," jawab Adi Fahmi. Ini adalah jalan terakhir yang dia ada jika enggan didenda berlari keliling padang sekolah yang penuh dengan rumput kemuncup oleh Cikgu Fadzil.

"Ya Allah. Apa nak jadi ni? Seorang bergaduh dekat sekolah, yang seorang lagi kerja tak siap. Mana satu ni yang mama nak kena urus dulu?" Datin Azizah hampir hilang sabar. Masing-masing punya ragam yang boleh mendatangkan migrain.

"Mama cuma urus abang. Kerja rumah Fahmi tu dua soalan aje. Sepuluh minit siap. By the way ma, that girl putih gebu, ma." Adi Fahmi mengucup tangan mamanya cepat-cepat sebelum mamanya mula menyampaikan kuliah subuh pada mereka berdua pagi ini.

"Blah la kau!" ungkap Adi Fakhri dengan rasa sakit hati yang melimpah-limpah. Adi Fahmi pula sempat menjelirkan lidahnya pada Adi Fakhri sebelum dia menghilang ke ruang tamu. Kini hanya Adi Fakhri dan Datin Azizah sahaja yang tinggal memandangkan abahnya ada urusan di luar kawasan.

"Okey, adik dah pergi. Sekarang giliran Adi cakap dengan mama. Apa jadi sebenarnya? Kenapa sampai cedera pula ni? Cuba Adi cakap dengan mama betul-betul." Datin Azizah mengambil tempat duduk di hadapan anak terunanya yang selama ini jarang timbulkan sebarang masalah.

"Semalam Adi bergaduh dengan sorang budak perempuan ni sebab ada salah faham. Ada orang rosakkan kerja kursus Adi. Mati-mati Adi ingat dia yang buat. Masa kami bergaduh tu, dia pitam sebab demam. Tangan dia cedera la tapi tak teruk pun. At the end, baru Adi dapat tahu yang Adi dah salah tuduh orang la, ma," tutur Adi Fakhri.

Segala apa yang terjadi diluahkan semua kepada mamanya. Tiada satu pun perincian tentang apa yang terjadi dibiarkan tertinggal. Adi Fakhri tahu apa yang terjadi semalam adalah salahnya seorang. Apa yang pasti, dia kini mahukan jalan penyelesaian untuk mengurangkan sedikit rasa bersalahnya.

"Adi nak mama pergi jumpa dia dekat sekolah ke?" soal Datin Azizah setelah Adi Fakhri selesai menceritakan semua yang terjadi. Pada hematnya, memang anaknya Adi Fakhri sudah melakukan kesalahan. Sebagai ibu, dia enggan membiarkan perkara ini berlarutan.

"Taklah, benda dah selesai pun, cuma Adi belum bersemuka dengan dia lagi la untuk minta maaf. Malaslah nanti kalau benda ni jadi isu lain pula kalau mama pergi sekolah," tutur Adi Fakhri secara berterus terang.

"Adi rasa bersalah sebenarnya. Nasi yang dia beli semalam tu, dia tak sempat nak makan pun sebab sikap Adi yang kurang sabar ni. Sekarang ni, Adi nak kena buat apa, ma?" Adi Fakhri melontarkan satu soalan cepumas buat mamanya. Dia yang dihurung rasa bersalah mahu meminta buah fikiran daripada mamanya.

"Adi sendiri dah mengaku kan yang semua ni memang salah Adi? Benda pertama yang Adi kena buat adalah minta maaf dengan dia. Sekarang ni, mama nak Adi makan dulu sarapan yang mama buat ni, sekejap lagi mama fikirkan semula apa yang Adi perlu buat. Paling penting sekarang, Adi kena minta maaf dengan dia," ujar Datin Azizah. Dia perlukan masa untuk mencari sebarang idea.

"Apa ni, ma? Malulah. Takkanlah orang nak kena bawa bekal untuk dia pula?" Adi Fakhri mengerutkan dahi apabila Datin Azizah menghulurkan bekas makanan kepadanya sebelum dia bergerak untuk ke sekolah. Langsung tidak terlintas dalam fikirannya bahawa Datin Azizah akan menyuruhkan membawa bekal untuk Najihah.

"Adi dah buat salah, kan? Adi rampas nasi dia semalam, kan? So, Adi kena minta maaflah. This is kind of a pay back. Suka atau tidak, Adi dah hutang sepinggan nasi dengan dia tau." Datin Azizah mengangkat keningnya. Dia serius dengan cadangannya itu.

"Tapi ma..." Adi Fakhri sekarang dirundung segan. Dia mati akal mahu menolak cadangan mamanya itu.

"Tak ada tapi-tapi lagi. Adi dah cederakan orang tau. Lagipun, orang yang buat salah kena tanggung semua salah yang dia dah buat. Galas beg, pegang bekal ni dan tunggu dia di sekolah. Selesaikan semua ni dan pastikan dia makan." Tegas sekali arahan Datin Azizah.

"Yalah. Orang tahulah apa nak buat." Langkah yang diambil Adi Fakhri terlihat berat. Sesungguhnya dia kini berada dalam dilema yang jauh lebih berat. Bekal yang disediakan mamanya dikelek juga dengan separuh rela.

Sama ada Adi Fakhri rela atau tidak, Datin Azizah mahu anaknya bertanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang telah dia lakukan. Anaknya perlu tahu bahawa setiap tindakan yang diambil bakal ada akibatnya apatah lagi apabila tindakan yang dilakukan menyebabkan orang lain terlibat sama.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro