Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

SESEKALI dia menjeling ke arah Andriy, memerhatikan abangnya menembusi pintu cermin lut sinar di hadapan rumah. Abangnya yang terlalu fokus pada aktiviti mencuci keretanya di serambi tak langsung memandang ke kiri atau kanan. Anna tersenyum. Siapa tak kenal Andriy? Dia memang sayangkan kereta Hyundai Veloster miliknya itu.

Dia melabuhkan punggung di atas sebuah sofa di ruang tamu. Di tangannya tergenggam telefon pintar milik abangnya. Dia tahu dia tak sepatutnya melakukan apa yang bakal dilakukan. Tetapi, dia agak tak puas hati dengan Andriy yang enggan memberi kerjasama memperkenalkannya kepada Zafeeya.

Satu perkara yang Anna sudah pasti adalah ayahandanya berjaya memujuk ibunda supaya merestui keputusan abang untuk berkahwin dengan pilihan hatinya. Maknanya, perkenalan dirinya dan Zafeeya memang tak boleh dielakkan. Soalnya, lambat atau cepat sahaja.

Orang nak kenal dia tapi kenapa abang tak bagi? Tak salah pun kan kalau berkenalan awal-awal? Anna tertanya sendiri.

Ada satu lagi perkara yang mengganggu fikiran Anna ketika ini. Dia tak dapat memastikan perasaan sebenar abangnya terhadap gadis bernama Zafeeya itu. Andriy tak nampak langsung seperti dilamun cinta.

Bertahun hidup dengan Andriy, Anna kenal benar dengan perangai abangnya. Dia boleh baca andai Andriy sedang dilamun cinta atau jika dia meminati seorang wanita.

Tambah lagi, Zafeeya tak langsung menepati ciri-ciri gadis idaman Andriy. Kalau ya pun mahu bercinta selepas berkahwin, Anna tertanya apakah yang mendorong Andriy untuk memilih Zafeeya? Benarkah begitu kuat tarikan Zafeeya sehingga mampu mengubah cita rasa Andriy terhadap wanita yang mampu menakluk hatinya?

Saat itu, jarinya menyentuh skrin telefon pintar di tangannya. Security pattern yang sepatutnya menjadi rahsia ditembusi dengan jayanya. Sudah berkali-kali dia melihat Andriy melukiskan corak itu. Memang otak udanglah kalau berkali-kali tengok pun tak boleh ingat.

Dia menjeling ke luar sekali lagi. Andriy masih lagi sedang menggosok-gosok keretanya sambil beryanyi-nyanyi. Nyata, dia masih leka dalam dunianya sendiri untuk menyedari apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Anna tak melepaskan peluang. Inilah masanya untuk mengkaji apa yang sedang Andriy fikirkan melalui telefon peribadinya.

Dalam hatinya, dia meminta maaf. Tetapi, dia tak berdaya melawan perasaan ingin tahu yang semakin menghantui diri.

Aplikasi pertama yang diselongkar adalah koleksi foto. Seperti pengguna-pengguna telefon pintar yang lain, Anna dihidangkan dengan lambakan gambar. Kebanyakannya gambar Shasha. Ada juga satu, dua gambar Emilia yang barangkali dikirimkan oleh Puan Nazmah. Namun, daripada banyak-banyak gambar tersebut, tak ada satu pun gambar wanita yang boleh Anna tebak sebagai Zafeeya. Kalau ada pun, mereka nampak seperti rakan sekerja Andriy sahaja.

Anna mencuba lagi. Kali ini, dia cuba mencari imej daripada ID pemanggil pula. Nama Zafeeya dia cari daripada senarai. Jumpa! Sayangnya, Andriy tak memadankan nama dan nombor telefon Zafeeya dengan sebarang gambar.Anna menelan liur. Semakin dia cuba mengumpil, semakin misteri jadinya!

Dia mula mengesyaki sesuatu yang tak kena. Adakah watak Zafeeya hanya rekaan Andriy? Dia boleh tunggu sehingga waktu keluarganya pergi hantar rombongan meminang untuk mengesahkan. Tetapi bagaimana jika gadis itu diupah Andriy untuk berlakon?

Anna menggeleng, cuba menafikan andaiannya. Mungkin, dia sahaja yang terlebih fikir yang bukan-bukan. Ini bukan soap opera. Hakikat biasanya tak sedramatik itu!

Namun, hatinya berdegil. Dia tahu bagaimana Andriy berkeras mahu bernikah dengan Shasha tetapi dibantah emak. Dia tak salahkan Puan Nazmah kerana dia sendiri tak sukakan Shasha. Malah, Encik Noah pun kurang berkenan!

Jadi, tak mustahil andai perkahwinan ini mungkin sandiwara yang ditulis Andriy demi mengisytiharkan peperangan ego dengan Puan Nazmah. Persoalannya, siapa sebenarnya gadis bernama Zafeeya ini? Adakah benar dia seorang yang dibayar Andriy? Atau adakah mereka sudah melakukan sesuatu perjanjian? Untuk berkahwin secara kontrak contohnya?

Aku ni... Kalau nak menyibuk sangat, telefon ajelah Si Zafeeya ni, detik hati Anna. Lama matanya merenung skrin telefon Andriy yang masih memaparkan nombor telefon seorang Zafeeya.

Anna menanam azam. Dia akan mulakan agendanya. Dia tak kira. Kalau Andriy enggan memberitahu, dia tahu dia mampu jalankan siasatannya sendiri.

Jarinya pantas menyentuh skrin telefon. Cekap Anna menaip mesej lalu tanpa sebarang perasaan ragu, dia menghantar pesanan itu.

Saya nak jumpa awak petang ni. Boleh?

ZAFEEYA menatap jam di tangannya. Sudah lebih kurang 10 minit dia duduk termenung menanti Andriy. Tengah hari tadi jejaka itu mengajaknya untuk bertemu. Dalam hatinya yang sentiasa serba salah, dia turutkan juga untuk akur dengan permintaan itu.

Dia mula naik meluat. Perasaan kesal tercuit halus dalam jiwanya. Rasa serba tak kena pun ada. Namun, dia tabahkan hati. Sering kali dia yakinkan diri ada hikmah yang tersirat di sebalik dugaannya yang selalu perlu menanti. Dia yakin, setiap kesabaran pasti ada ganjarannya.

Pandangan mata ditebarkan ke segenap ruang kedai Tutti Frutti, tempat Andriy mengaturkan janji temu mereka. Ruang premis itu lengang sahaja. Tiada manusia lain selain dirinya dan dua orang penjaga kaunter di kedai itu. Zafeeya mula terasa janggal. Dia berharap sangat agar Andriy cepat sampai.

Dia mula mengeluarkan telefon bimbitnya. Dalam hatinya yang berbalah untuk membuat keputusan, tiba-tiba loceng di pintu kedai berbunyi. Zafeeya terus naikkan pandangan. Andriykah?

Hampa. Yang berada di pandangan mata adalah seorang gadis tinggi lampai berselendang biru. Zafeeya mengeluh kecil lalu kembali menekur telefon. Mindanya mula mempertimbangkan semula keputusannya untuk menelefon Andriy.

"Excuse me." Zafeeya mengangkat wajah serta-merta apabila ditegur.

"Zafeeya?" Gadis berselendang biru yang baru masuk tadi dilihat tercegat di hadapannya. Zafeeya merenung wajah gadis itu dengan mata yang terkebil-kebil. Tetapi, dia berupaya memberi respons dengan anggukan perlahan.

Siapa pula ni? Zafeeya tertanya sendiri.

Gadis tadi melabuhkan punggung di sebuah kerusi di hadapan Zafeeya tanpa dijemput. Dia hulurkan mangkuk kertas berisi frozen yogurt yang berada di tangan kanannya kepada Zafeeya, manakala mangkuk yang di tangan kiri dia letakkan di hadapannya. Zafeeya menelan liur. Wajah gadis itu direnung dalam-dalam.

Sekali pandang, dia ingat dia sedang bersua dengan seorang selebriti. Kulit gadis di hadapannya mulus dan cerah. Matanya besar berwarna kelabu kehijauan. Hidungnya mancung terletak. Wajahnya agak seiras dengan Andriy.

"Don't worry. My treat," kata gadis tadi. Matanya dilirikkan pada manisan di hadapan Zafeeya. Zafeeya terkulat-kulat. Bukan itu yang mahu dia dengari daripada gadis itu.

"Oh, I'm sorry. Nama saya Anna. Saya adik Andriy." Anna segera memperkenalkan diri, membantutkan fikiran Zafeeya yang baru sahaja mahu membuat tebakan tentangnya. Dia menghulurkan tangan untuk bersalaman.

"Oh... Saya Zafeeya." Zafeeya menyambut huluran tangan Anna dengan teragak-agak. Padanlah rupa mereka hampir seiras. Adik-beradik rupanya.

"You must be waiting for my brother," kata Anna dengan penuh mesra.

"Yes," balas Zafeeya.

"I'm sorry. He's not coming."

"So he sent you?"

"Actually, I was the one who sent the message. Sorry," jelas Anna dengan senyuman bersalah.

"Oh, awak yang hantar mesej? Bukan Andriy?"

Anna geleng.

"I have my reasons," jelasnya ringkas.

"I see. Thanks for the treat," balas Zafeeya kekok sambil menudingkan jarinya ke arah mangkuk kertas yang berada di hadapannya.

"Awak marah ke?" tanya Anna dengan berhati-hati.

"Tak," jawab Zafeeya ikhlas sambil menggeleng. Entah mengapa, dia rasa sedikit lega dan lebih selesa untuk bertemu dengan Anna berbanding Andriy.

"Andriy dah beritahu mak dan ayah saya dia nak kahwin..." Anna memulakan bicaranya dengan tenang. Sesudu manisan sejuk disuapkan ke mulutnya. Zafeeya hanya memasang telinga.

"Dengan awak, Zafeeya," sambungnya.

Zafeeya terpempan seketika. Dia tak tahu mengapa tetapi dia terasa sukar untuk menerima kata-kata Anna. Barangkali kerana semuanya dirasakan terlalu drastik. Tapi bila difikir balik, Andriy memang pernah memberitahu niatnya untuk melamar.

Cumanya, Zafeeya tak pernah rasa begitu yakin dengan kata-kata Andriy itu. Ada sesuatu dalam dirinya yang meragui keikhlasan Andriy. Dia tak 100 peratus yakin. Namun, dia tak boleh pastikan apakah tindakan Andriy yang mendatangkan sangsi.

Zafeeya cuba menolak egonya ke tepi. Dia faham. Selama ini dia terlalu berhati-hati. Mungkin disebabkan itu, hati kecilnya sudah terbiasa dengan keraguan. Mungkin juga, keperluannya untuk berwaspada jadi tak kena tempat.

"Ya. Dia pernah beritahu dia nak datang masuk meminang. Sebab itukah awak datang cari saya?" soal Zafeeya. Anna membalas dengan anggukan.

"Saya tahu sampai masanya nanti, Andriy akan kenalkan awak pada kami sekeluarga..." Anna jeda sebentar.

"But, I sense something off," tambahnya.

Zafeeya mengangkat kening. Anna berjaya menaikkan keraguan yang sudah sedia bercambah dalam dirinya tentang Andriy. Dia tahu ini percubaan Anna untuk mengenali dirinya tetapi dia dapat merasakan apa yang bakal mereka bincangkan akan menjadi lebih daripada sekadar perbualan biasa.

"Saya rasa tak percaya dengan abang saya tu," kata Anna lagi.

"Tak percaya?"

"Yalah. Dia yang saya kenal takkan bertindak drastik macam ni... Entah-entahkan, kau orang ni berlakon aje," tuduh Anna dalam nada yang berbisik.

"Berlakon?" Zafeeya hampir tersedak. Sangkaannya meleset! Dituduh berlakon tak pernah terlintas langsung dalam fikirannya.

"Ya. Berlakon. Awak tak tahu ke abang saya tak nak kahwin dengan gadis pilihan mak kami?" jelas Anna dengan tegas lagi berterus terang.

Zafeeya pantas menggeleng. Luahan Anna mencambahkan persoalan lain dalam mindanya. Nampaknya perkenalan Andriy dengannya bukan disebabkan alasan mudah seperti yang disangka. Padanlah selama ini dia rasa tak sedap hati!

"Jadi, abang tak bayar awak untuk berlakon jadi girlfriend dia?" tanya Anna.

"Berlakon jadi girlfriend dia? Hidup saya dah cukup merana. Buat apa nak jadi pelakon tak bertauliah pula?" Zafeeya sedikit tersinggung.

"Kahwin kontrak?" Anna memberanikan diri menduga lagi.

"Pun tidak! Siapa yang berani ajak saya main-main kahwin ni, memang saya takkan terima. Ingat saya ni apa?" marah Zafeeya tanpa sengaja. Agak tersinggung hati apabila dituduh begitu.

"Apa yang membuatkan awak rasa abang awak tak serius dengan saya? Sebab dia tak nak kahwin dengan pilihan mak awak semata-mata?" soal Zafeeya. Giliran dia pula untuk menyampaikan apa yang tak diketahui Anna.

Anna jongketkan bahu. Wajahnya mula tayang riak bersalah.

"Well, you don't really know my brother."

"And you... Don't really know me. Mungkin ya, abang awak nak elak daripada kahwin dengan pilihan mak awak. Tapi, dia tak pernah minta saya berlakon atau buat apa-apa rancangan pelik dengan dia," tegas Zafeeya.

"Okey... Baguslah kalau macam tu. Jujurnya, saya pun lega kalau Andriy betul-betul ikhlas dengan awak."

"Dia beritahu saya, pertama kali dia nampak saya dia terus berkenan. Kalau dia menipu sekalipun... Siapa saya untuk menidakkan apa yang dia kata?"

"Yeah. You're right. I'm sorry... Mungkin satu kebetulan dia jumpa awak waktu yang sama dia tolak pilihan mak saya. Saya aje yang fikir yang bukan-bukan." Anna mengakui kesilapannya.

"Mulanya, Anna... Saya pun tak nak kawan dengan dia. Tapi, dia tak reti berhenti menyibuk. Jadi, saya mengalah untuk beri peluang kepada diri saya sendiri."

Anna nampak terpanar seketika sebelum dia mengangkat sebelah keningnya. Bibirnya pula mengukirkan senyuman yang sukar untuk dirungkaikan maksudnya.

"Bila saya bagi dia peluang untuk berjumpa, dia terus minta untuk jumpa dengan ayah saya. Kalau awak di tempat saya, apa yang awak rasa?" hujah Zafeeya lagi.

"Okey. Saya faham maksud awak," balas Anna sambil mengangguk. Senyuman di bibirnya semakin melebar atas alasan yang masih misteri.

"Sebab tu, saya rasa dia serius dengan saya. Saya tak tipu. Dia tak pernah 'melamar' saya untuk 'berlakon'."

"Macam tu rupa-rupanya..." Anna mengangguk kekaguman. Yogurt beku dalam mangkuk kertas di hadapannya dihabiskan.

"Kalau awak nak tahu, semua cara yang awak sebutkan tadi... Sangat berbeza dengan cara Andriy yang saya kenal," beritahu Anna.

"Sebab tu saya gembira. You seemed to changed him somehow," tambahnya.

"Really?" Zafeeya tak sangka.

"Apa pendapat awak tentang Andriy?"

Zafeeya jongketkan bahu. Apa yang boleh dia katakan? Dia pun belum cukup kenal dengan Andriy. Tapi tak dinafikan, dia agak berkenan. Tak susah rasanya untuk dia jatuh cinta pada Andriy.

"I think he's okay. Saya berkenan dengan cara dia menghormati saya. Dan saya rasa dia pun bukan jenis yang mengongkong," ujar Zafeeya.

"Tak mengongkong? Contohnya?" Perkataan kongkong itu bagaikan asing di telinga Anna.

"Dia jarang telefon saya sebenarnya. Saya rasa dia cuma nak bataskan pergaulan dia dengan saya. I'm okay with it. Sebab saya pun tak suka orang kacau saya dengan panggilan telefon. Saya pun tak suka mengacau orang dengan cara macam tu."

"Oh. That's a bit surprising. Sebab Andriy yang saya kenal suka menyibuk terutama kalau dia ambil berat tentang seseorang."

"Macam tu ke? Kenapa saya rasa apa yang saya beritahu awak tentang Andriy tak sama dengan apa yang awak tahu tentang dia?"

"Saya pun rasa macam tu. But, it's not necessarily a bad thing, right? I think you changed him."

"I've always known him like that," kata Zafeeya.

"Susah saya nak percaya. Betul ke dia jarang telefon awak? Awak yang suruh ke? Atau memang dia yang buat macam tu?"

"Saya pernah beritahu dia. Dia kata dia tak kesah. Dia kata dia juga lebih selesa macam tu," jawab Zafeeya. Dia tak pasti mengapa hal ini penting untuk diketahui Anna.

Anna mengangguk. Bibirnya diketap. Riaknya seperti memikirkan sesuatu. Tak lama dia jeda, dia mula bersuara semula.

"Okey... Approach abang saya kali ini sangat berbeza berbanding biasa. Dia biasanya suka berkenalan dulu dengan gadis yang dia suka dalam setahun, dua sebelum buat keputusan yang lebih serius..."

"It's a good thing that he changed his ways. Tapi, saya rasa ada kemungkinan juga dia buat macam tu untuk keselesaan awak seorang. Tak rasa macam tu ke?"

Zafeeya kerutkan dahi. Dia tak dapat menangkap sepenuhnya maksud yang cuba disampaikan oleh Anna.

"Maksud saya, mungkin dia cuba berkorban untuk keselesaan awak. Tak salah kalau dia nak buat macam tu. Cuma... Apa pula usaha awak untuk keselesaan dia?"

Zafeeya gamam. Kata-kata Anna itu berjaya mengumpil mindanya yang sebelum ini tak pernah terfikirkan tentang perkara itu. Rasanya dari mula sehingga ke saat ini, memang Andriy sahaja yang bersungguh terhadapnya.

Andriy cuba untuk menjadi lelaki yang dia suka. Tetapi, Zafeeya sendiri tak pernah ambil tahu pun wanita bagaimana yang Andriy suka.

Dia cuma menadah dan menerima. Tak pernah ada usaha untuk membalas apa-apa.

"Andriy ada beritahu saya, awak hidup sendirian. So, I can understand. Maybe you just don't know how to react properly around some people," sambung Anna dalam nada suara yang lembut.

Zafeeya mengangguk perlahan. Dia rasa bersalah. Tapi sungguh, dia tak sengaja. Memang dia biasanya jarang berhubung dengan sesiapa. Kalau ada pun, jumlahnya boleh dikira dengan jari sebelah tangan.

Dia tiada lagi kawan rapat yang biasa dia kongsikan rahsia. Semua rakan-rakannya sudah selamat mendirikan rumah tangga dan berkeluarga. Mereka tiada banyak masa untuk diluangkan bersamanya. Yang menjadi temannya kini cuma kucing-kucing jalanan yang dia beri makan di belakang rumah.

Betul kata Anna. Setelah lama dia hidup sendirian, dia mungkin kurang peka dengan perasaan orang lain selain perasaannya sendiri.

Jika dia akan meneruskan hubungannya dengan Andriy, dia sedar sikapnya yang satu ini perlu diubah. Mahu tak mahu, sama ada dia biasa ataupun tak dia perlu keluar dari zon selesa dirinya. Dia juga perlu berkorban.

"Awak mungkin selesa kalau tak ada orang yang begitu mengambil berat tentang diri awak. Tapi, Andriy tak macam tu. Dia sebenarnya suka perempuan yang caring."

"Tapi, dia kata dia tak kesah..." Zafeeya cuba membantah halus.

"Memang dia cakap dia tak kesah. Tapi, tak salah kalau awak pun korbankan kepentingan awak dan cuba jadi perempuan yang lebih baik untuk dia, kan?"

Zafeeya diam. Kata-kata Anna tak dia terbantahkan lagi. Memang ada kebenarannya apa yang dia dengari daripada adik Andriy itu.

"Sekali sekala tu, telefonlah dia tanya khabar... Bukan susah pun," saran Anna.

Zafeeya hanya memberi respons dengan anggukan lesu. Dia tahu. Payah dia mahu turutkan permintaan itu.

"Honestly, Zafeeya... Saya sangat berharap awak akan bahagia dengan abang saya." Ucapan ikhlas Anna membuat hati Zafeeya tersentuh.

"Terima kasih."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro