Bab 8
"MAK..." seru Andriy sewaktu sedang menikmati juadah makan malam bersama keluarganya.
Matanya memandang sekeliling, menyaksikan ahli-ahli keluarganya yang lain turut mengangkat wajah, memberi fokus. Siap menilik wajah adik dan ayahnya, dia mengembalikan tumpuan kepada emaknya yang sudah pun merenung tepat ke wajahnya.
"Andriy nak kahwin," ujarnya selamba. Sekilas pandang, dia terlihat adik perempuannya, Anna tersenyum. Namun, gadis itu cepat-cepat menundukkan wajah apabila emaknya melemparkan pandangan tajam kepadanya.
Encik Noah mengeluh kecil. Dia yang terkaku seketika sewaktu Andriy memanggil emaknya tadi terus menyambung menyuap nasi apabila mendengar penerangan Andriy. Dia malas mahu masuk campur hal yang selalu menyebabkan Andriy dan emaknya bertelagah. Biasanya drama itu dia perhatikan sahaja. Tiba waktu yang sesuai baru dia akan masuk campur.
"Kamu nak kahwin dengan siapa? Emilia?" soal Puan Nazmah separuh teruja. Tumpuannya dikembalikan kepada Andriy.
"Siapa nak kahwin dengan Emilia?" Andriy menyoal dalam bantahan. Sekali lagi, dia ternampak Anna tersenyum. Dia tahu adiknya menyebelahinya.
"Habis tu kamu nak kahwin dengan siapa ni?" nada Puan Nazmah langsung berubah garang.
"Dengan calon pilihan Andriy la. Kan dah cakap dengan mak hari tu. Janganlah buat-buat lupa."
"Siapa? Shasha? Mak tak suka la perempuan tu!"
"Tak. Bukan Shasha..."
"Tak kesahlah siapa pun... Selain Emilia, mak tak suka!" Puan Nazmah mengukuhkan pendiriannya yang memang Andriy sudah sedia maklum.
"Bukannya mak yang nak kahwin dengan dia!"
"Restu aku penting tau!"
"Macam inilah... Mak pilih. Sama ada biarkan Andriy kahwin dengan calon pilihan Andriy, atau... Andriy tak kahwin langsung." Andriy buat rundingan semula.
"Tu aje ke pilihannya?" sampuk Encik Noah tiba-tiba. Andriy angguk.
"Dua-dua mak tak nak pilih," Puan Nazmah berdegil. Hilang seleranya mahu meneruskan santapan.
"Mak... Dah cukup baik kan Andriy ikut cakap mak supaya tak pilih Shasha?" Andriy cuba memujuk namun Puan Nazmah hanya menghadiahkannya sebuah jelingan tajam.
"Sudahlah tu, Mah. Biarlah dia kahwin dengan calon pilihan dia tu. Awak selalu kata awak nak dia kahwin cepat. Tapi, bila dia nak kahwin... Macam ni pula gayanya," omel Encik Noah, mengendurkan ketegangan dan menyebabkan Andriy dan emaknya menghentikan perbincangan.
"Entahnya. Hari tu kata bagi chance kat abang untuk cari calon pilihan sendiri," sampuk Anna.
"Kan? Kita dah deal!" tambah Andriy.
Puan Nazmah mendengus. Jelas sekali dia tak bersetuju tetapi dia enggan berkata apa-apa. Andriy tersenyum dalam hati. Emak sudah terperangkap. Lagipun, bukannya kata-kata abahnya salah. Semuanya benar belaka. Cuma dia tahu emak tak puas hati kerana apa yang sedang berlaku ini tak mengikut kehendaknya.
"Siapa dia? Berapa lama dah kamu kenal dengan dia?" Encik Noah mengambil alih perbualan yang ditinggalkan isterinya. Puan Nazmah memuncungkan bibir.
"Nama dia Zafeeya. Andriy mula kenal dengan dia dalam tiga, empat bulan lepas," jawab Andriy jujur.
"Apa? Tiga bulan? Tiga bulan kenal kau dah ajak dia kahwin?!" teriak Puan Nazmah. Terkejut seisi umat yang sedang duduk di meja makan itu.
"Andriy tak ajak dia kahwin. Andriy nak abah dan mak pergi pinang dia. Sebab tu Andriy beritahu Andriy nak kahwin."
"Isy, budak ni! Samalah tu!" tengking Puan Nazmah penuh berang. Anna tertawa kecil.
"Salah ke kenal tiga bulan aje? Ada orang bercinta sampai bertahun-tahun sudahnya kahwin dengan orang lain juga," hujah Andriy.
"Mak, kalau dah jodoh... Tak payah kenal pun boleh jadi," celah Anna perlahan.
"Kau, budak! Jangan menyibuk!" marah Puan Nazmah. Jari dilentikkan ke arah anak perempuannya. Anna memuncungkan bibirnya. Andriy melepaskan sebuah keluhan berat.
"Andriy dah habis makan. Andriy beredar dulu, ya? Nanti abah tolonglah pujuk-pujukkan mak tu ya?" pinta Andriy sambil tersenyum. Permintaannya dibalas dengan anggukan oleh Encik Noah.
Kemudiannya, dia bingkas bangun dari kerusi sambil membawa pinggannya ke dapur.
"ABANG," panggil Anna yang sedang tercegat di muka pintu bilik Andriy yang terbuka luas.
Andriy yang sedang duduk menghadap komputer menoleh ke belakang. Anna dilihat sedang tersengih-sengih sumbing. Itu satu petanda bahawa dia mahu menyibuk. Andriy tak perlu meneka. Sudah tentunya Anna datang untuk menyoal siasat tentang gadis yang dia sebutkan sewaktu makan malam tadi.
Jujurnya, dia gembira Anna menyebelahinya. Tetapi, dia agak tak selesa untuk berkongsi cerita tentang Zafeeya dengan adiknya. Adalah lebih baik jika Anna tak mengenali siapa gadis yang dikenalinya selama tiga bulan itu sebelum mereka selamat bertunang. Dan sudah tentu, dia tak perlu tahu rancangan hatinya yang sebenar.
"Anna nak apa?"
Dengan wajah yang masih tersengih-sengih, Anna perlahan-lahan melangkah masuk ke dalam bilik abangnya. Dia tak pergi jauh, sekadar di hujung katil. Sampai di situ, dia melabuhkan punggung. Nampaknya, dia sudah lebih daripada bersedia untuk bersembang tentang Zafeeya.
"Sejak bila abang ada girlfriend ni? Kenapa tak beritahu Anna?" Anna memulakan bicara.
"Kenapa abang kena beritahu Anna pula?"
"Yalah. Selama ni abang selalu share cerita dengan Anna. Abang cerita pasal Shasha, pasal Emilia, pasal entah siapa-siapa lagi... Kenapa pasal dia abang tak cerita?"
"Sebab... Dia bukan Shasha atau Emilia atau entah siapa-siapa lagi."
"Ala, abang!" Anna terus merengek tak puas hati.
"Kau ni, Anna. Kalau tak menyibuk, tak boleh ke?" omel Andriy.
"Orangnya macam mana, abang? Macam Kak Shasha ke?" Anna tak menghiraukan omelan Andriy tadi.
Andriy menelan liur. Soalan yang ditujukan kepadanya itu membuatkan dia berfikir. Apakah yang akan difikirkan Anna jika dia mengetahui tentang Zafeeya? Zafeeya sama sekali tiada persamaan dengan Shasha. Anna seorang yang tajam pemerhatiannya. Pastinya dia akan dapat mengesan perubahan yang drastik dalam cita rasanya.
"Tak. Dia sikit pun tak macam Shasha," balas Andriy. Mata Anna lantas nampak bercahaya. Sudah tentu hatinya suka kerana Anna juga tak pernah menggemari Shasha. Satu persamaan yang dia kongsikan dengan Puan Nazmah.
"Habis, dia macam mana? Dia kerja apa? Dia tinggal dekat mana?" soal Anna bertubi-tubi.
"Zafeeya ni biasa aje orangnya. She's not like Emilia. Absolutely nothing like Shasha. Dia bekerja sendiri sebagai seorang pelukis. Dia tinggal dekat rumah teres setingkat kos rendah. Tak ada apa-apa yang istimewa," jelas Andriy.
Anna ternganga, sebuah reaksi yang sudah dijangkakan Andriy. Anna menelan liur sambil cuba mencari ayat-ayat yang sesuai untuk diluahkan.
"Macam mana abang boleh suka dekat perempuan macam tu? Don't get me wrong... Tak ada salahnya abang suka dekat orang macam tu, tapi..." Anna mencuri nafas sebelum meneruskan percakapannya.
"Abang kan suka perempuan yang ambitious, berkarier, pintar... Kalau boleh ada PhD, sombong, ego, bongkak, berlagak diva... Ada rumah besar, ada kereta sendiri," sambung Anna. Sengaja dia menyebut ciri-ciri Shasha agar abangnya merasa diperli.
Andriy menahan darahnya yang mula menyirap apabila mendengar sindiran itu. Dia buat muka tenang. Sememangnya dia sudah agak. Anna akan mempersoal tentang hal ini.
"People change, Anna," ujar Andriy ringkas.
"Wow. She must be something sampai boleh ubah abang aku yang degil ni," komen Anna. Andriy buat tak tahu.
"Boleh Anna jumpa dia?" Soalan yang diajukan memberat kepada permintaan daripada pertanyaan.
"Tak boleh."
"Kenapa?"
"Dah, dah... Time's up. Anna dah boleh keluar. Abang ada kerja ni," halau Andriy. Dia tak mahu berbicara dengan Anna lebih lanjut. Takut-takut nanti terlajak kata pula. Kalau tak terlajak kata pun, dia takut Anna dapat menghidu niat sebenarnya.
Anna dibawanya keluar, lalu pintu bilik ditutup. Rungutan Anna yang tak puas hati dengan tindakannya tak langsung diambil pusing.
Andriy merebahkan tubuhnya di atas katil sambil mengeluh berat. Apa yang dirancangkan tak mudah untuk dijayakan. Dan akan bertambah rumit dengan campur tangan Anna.
Sebenarnya dalam menjayakan rancangan ini, dia perlu lebih berhati-hati dengan Anna.
Dia tahu, pertemuan Zafeeya dengan Anna macam mana sekalipun, tetap tak boleh dielakkan kerana dia telah memilih untuk berkahwin dengan Zafeeya. Namun, jika ada apa-apa yang perlu berlaku antara dua wanita itu, biarlah selepas dirinya selamat bertunang.
Sebabnya... Anna mempunyai potensi untuk merosakkan pelannya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro