Bab 7
DIA memerhatikan wajah Andriy dengan kerutan di dahi. Secalit keraguan terusik dalam hati. Adakah lelaki di hadapannya ini benar-benar berminat dengannya? Separuh hatinya mengeyakan, manakala separuh hatinya lagi menafikan.
Adakah dia sudah tersalah membuat keputusan? Zafeeya cuba menilai kembali pertimbangannya. Beberapa hari yang lalu, dia paksakan diri untuk membalas mesej pesanan ringkas daripada Andriy. Dia juga paksakan diri untuk menjawab panggilan yang kemudiannya dibuat oleh lelaki itu. Andriy mengajaknya untuk bertemu.
This is just too good to be true, bisik hati Zafeeya yang agak tak yakin dengan nasibnya. Bagaimana jejaka setampan itu bisa tertarik dengan gadis biasa sepertinya. Baginya, mereka tak padan.
Pun begitu, dia bersetuju dengan pelawaan Andriy. Perlu diketahui, keputusan yang dia lakukan adalah dengan hati yang terbeban. Dia paksa diri! Namun seberat-berat hatinya, dia lakukan demi memberi peluang kepada dirinya sendiri. Kalau terlalu jual mahal pun susah juga. Daripada orang nak boleh jadi tak nak.
Mana dia tahu niat sebenar Andriy kalau dia tak beri peluang, kan? Kalau Andriy betul-betul ikhlas nanti dia pula yang rugi.
Dia nampak keikhlasan Andriy dari segi kesungguhannya untuk berkenalan. Dia asyik mengacau hidup Zafeeya dengan panggilan telefon dan mesej-mesej sehingga Zafeeya terpaksa mengalah.
Tetapi, apabila mereka bersua muka seperti ini, tak pula si Andriy ini bercakap banyak. Sedikit sebanyak membuatkan hati Zafeeya berbelah bagi terhadap niat sebenar Andriy.
Zafeeya melemparkan tanggapannya jauh di awangan. Mungkin dia sahaja yang gemar berfikir yang bukan-bukan.
"Awak tak puas hati dengan saya ke?" tegur Andriy apabila menyedari cara Zafeeya memandangnya.
"Tak adalah," balas Zafeeya.
"Yakah?" Andriy tersenyum sinis.
Zafeeya menelan liur. Alang-alang Andriy dapat membaca fikirannya, apa kata diluahkan sahaja apa yang sedang bermain di fikiran?
"Awak ni memang pendiam ke? Saya tengok gaya macam tak aje."
"Tak adalah. Saya bukan pendiam."
"Habis, kenapa awak tak banyak bercakap dengan saya?"
"Sebab soalan saya dah habis. Saya rasa dah banyak dah yang saya tahu tentang awak. Tapi, yang paling utama untuk saya tahu cuma... Awak single, awak bukan janda, bukan single mom. Yang penting untuk awak tahu tentang saya... Saya seorang yang berpendapatan stabil, single dan saya tak menipu awak."
"Betul ni dah tak ada apa-apa nak cakap? Sebab lepas ni kalau awak nak cakap apa-apa, saya tak nak dengar," kata Zafeeya, berlagak ego. Zafeeya dapat rasakan ada perkara yang ingin Andriy sampaikan.
"I'm saving the best for last," balas Andriy selamba.
"Cakap ajelah apa yang awak nak cakap tu. Kalau tak, tak guna kita jumpa macam ni kalau awak setakat nak berdiam diri."
Andriy mengangguk akur. Dia betulkan kedudukannya di atas kerusi. Tubuhnya dilunjurkan ke depan. Sebelah siku direhatkan di atas meja lalu dagunya ditongkatkan. Muka Zafeeya direnung dalam.
"Saya berkenan dengan awak," terus-terang Andriy. Penuh yakin. Mata pun tak berkedip.
Zafeeya tersenyum penuh makna. Dia sudah agak. Tetapi, tak semudah itu dia akan menyerahkan hatinya. Dia bukannya budak-budak yang baru mahu belajar bercinta walaupun setakat ini, dia belum pernah bercinta.
"Ah, macam tu ke rupanya?" ujar Zafeeya dalam nada seloroh. Dia tak percaya.
Dia mula tiru perbuatan Andriy tadi. Duduknya dibetulkan. Dagunya ditongkatkan. Matanya terus merenung tepat ke dalam anak mata Andriy yang berwarna kelabu.
"Kalau awak betul-betul serius, pergilah jumpa ayah saya... Minta kebenaran," sambungnya sambil tersenyum. Ini ujian sebenarnya. Kalau cinta murah yang diharapkan Andriy, atau kalau dirinya cuma akan menjadi subjek mainan lelaki itu, dia berani bertaruh Andriy tak akan berani menyahut cabarannya.
"Inilah sebenarnya tujuan saya ajak berjumpa. Kalau saya kenal dengan ayah awak, dah lama saya pergi jumpa dia dulu," balas Andriy, menyahut cabaran.
Terkesima juga Zafeeya dibuatnya. Dia tak jangka Andriy akan menjawab begitu. Antara lelaki yang serius dan tak, inilah ukurannya. Biasanya bagi yang sekadar bermanis mulut, mereka akan goyah apabila pelawaan bertemu wali diusulkan.
Namun, hatinya tetap berasa sangsi. Dia tak tahu mengapa tetapi jiwanya tiba-tiba disapa oleh perasaan takut. Adakah lebih memudahkan hati andai Andriy tak serius?
"Jadi, awak betul-betul serius?"
Andriy mengangguk laju. Zafeeya diam seketika. Satu, dua nafas dihela sebelum setiap nafas itu dilepaskan perlahan.
"Kalau macam tu, biar saya pula berterus terang. Walaupun awak mungkin tak nak tahu perkara ni... Tapi, saya nak beritahu juga," ujar Zafeeya.
"Saya bukan berasal daripada keluarga yang latar belakangnya baik. Saya tinggal berseorangan. Mak saya dah meninggal dunia. Ayah saya pula tak pernah pedulikan saya. Jadi, saya tak perlukan seorang lelaki yang hanya akan mainkan saya."
Andriy mengangguk perlahan. Matanya tak langsung dialihkan dari terus merenung muka Zafeeya. Zafeeya cuba mencari riak gentar pada wajah Andriy. Tiada. Zafeeya tak dapat membezakan sama ada jejaka itu yang bijak menyembunyikan, ataupun dia memang benar-benar serius terhadap dirinya.
Zafeeya akhirnya memilih untuk mempercayakan Andriy. Lebih baik dia bersangka baik, kan?
"Saya tak pernah berniat nak mainkan awak. Saya mungkin layan awak bersahaja aje sebab saya cuma meletakkan limit pada hubungan kita. Mana tahu nanti pinangan saya ditolak keluarga awak? Lagipun, bukankah lebih baik kalau pergaulan kita terbatas?" balas Andriy bersahaja.
Zafeeya mengasah renungan tajamnya pada Andriy. Sepanjang perbualan mereka, Andriy nampak tenang sahaja. Malah, semakin banyak pula ayat-ayat berani yang dia luahkan. Zafeeya pula yang mula merasa gentar. Jika benar Andriy bakal meminangnya, dia sendiri tak pasti adakah dia bersedia menjadi seorang isteri.
Selama ini, dia yang selalu berdoa agar dipertemukan jodoh. Tetapi, apabila jalannya semakin diperjelas, dia pula yang naik takut.
Zafeeya hampir menggeleng. Fikiran yang menyerabutkan otaknya dia buang jauh-jauh. Tak wajar dia bebankan benaknya dengan perkara-perkara yang masih belum pasti.
"Saya bukan apa... Saya rasa macam terlalu drastik pula. I mean, we are still strangers to each other."
"Everyone is a stranger until you give them a chance," balas Andriy ringkas.
Zafeeya tersenyum nipis sebelum menundukkan pandangannya. Jauh di sudut hati, dia gembira kerana menurut kata hatinya untuk memberi peluang kepada Andriy. Mungkinkah ini takdirnya?
Jodoh... Siapa yang mampu menjangka? Namun, Zafeeya tak mahu terlalu yakin. Egonya masih liat untuk dilenturkan. Apapun, dia mahu terus berhati-hati.
"Kalau awak nak beri saya peluang, saya rasa awak perlu tahu siapa saya. Sebab, saya tak nak awak rasa tawar hati lepas ni," ucap Zafeeya. Dia masih agak kurang yakin dengan penerimaan Andriy terhadap dirinya.
"Maksud awak?"
"Saya ni bukan jenis perempuan idaman kebanyakan lelaki. Saya cuma seorang penggiat seni halus. Bekerja sendiri, gaji tak menentu," terang Zafeeya seraya memancing reaksi daripada Andriy.
"Saya tak kesah. Bukannya awak yang akan beri nafkah."
"Saya tak ada kereta macam kebanyakan gadis yang bekerja zaman sekarang. Kenderaan saya cuma sebuah basikal jenama Norton."
"Why are you telling me all this? Awak ingat saya peduli ke?"
"Saya belum cukup kenal awak. Jadi, kalau apa yang saya beritahu ni agak kurang menyenangkan dan tak kena dengan jiwa awak, baik awak jauhkan diri sekarang." Zafeeya rasa perlu untuk dia jelaskan semua ni. Dia tak mahu terlanjur meletakkan harapan jika Andriy tak mampu menerima dirinya seadanya.
"Didn't I say I like you? Saya pilih awak, kan?" pujuk Andriy, ikhlas.
"Okey... Tapi saya ada tabiat suka lepak dekat satu rumah tinggal yang sudah hampir roboh dan dipenuhi semak samun. Kebanyakan orang rasa tabiat tu pelik."
"Oh, tabiat tu memang pelik," akui Andriy. Zafeeya diam. Respons susulan terus dia nantikan dari mulut Andriy.
"Tapi, saya tak kesah. Lain orang, lain cara, kan? Asalkan awak boleh buat kerja rumah sudahlah. Saya puas hati."
Bibir Zafeeya pantas mengulumkan senyuman nipis. Perasaan kurang yakin terhadap Andriy terus terpujuk dalam lubuk jiwa. Setiap kekurangan diri yang dia jelaskan, Andriy memberi respons dalam nada yang cukup ikhlas, membuatkan hatinya terasa sejuk dan selesa.
Tak pernah dia duga, akan tiba waktunya seorang lelaki hadir dalam hidupnya dengan hati yang tulus dan mampu menerima dirinya seadanya.
Tambah lagi, Zafeeya sukakan seorang yang boleh memberi ruang kepadanya. Dia tak suka seorang yang kerap menelefon, selalu tanya di mana dia berada dan dengan siapa dia bersama. Dia tak suka lelaki yang suka menyibuk.
Ada antara kawan-kawannya yang mengatakan lelaki seperti itu tak wujud. Jika adapun, itu jenis lelaki yang tak mengambil berat. Mungkin juga, itu bukanlah lelaki yang sukakan dirinya. Kerana jika dilamun cinta, yang dikatakan tak disukai itu akan bertukar suka. Dan pada saat dilamun cinta, secara semula jadinya hati akan berbunga-bunga apabila si dia memberikan perhatian.
Mungkin masih terlalu awal untuk dia nilai Andriy sebagai seorang yang memberi ruang kepadanya. Tetapi jika dilihat daripada cara Andriy mendapatkan perhatiannya, dia akui, lelaki itu memang jenis yang enggan mengalah. Walau dia tak cuba menghubungi pada setiap hari, tetapi dia tak pernah berhenti. Bagi Zafeeya, ini menunjukkan Andriy jenis yang memujuk, bukan yang memaksa.
Hati sudah terdetik berkenan, namun segalanya masih terlalu awal untuk dikatakan cinta.
Mungkin percintaan yang bakal wujud antara mereka lebih mulia daripada apa yang kebanyakan orang harapkan. Jika benar Andriy mahu meminangnya, adalah lebih mulia andai mereka berkasih selepas berkahwin.
Juga, tak seperti kebanyakan lelaki yang sibuk mahu berkenalan dengan Zafeeya disebabkan mahu mendekati kawan-kawan atau sepupunya, Andriy mahu berkenalan dengannya untuk dirinya. Dan dia nampak bersedia mahu bertemu dengan bapanya. Nyata Andriy seorang yang beradab. Hati Zafeeya kian terpujuk untuk tambah yakin terhadap Andriy.
Kini, dia hanya perlu bersedia dengan keputusan ayahnya. Biar apapun jawapan yang bakal ayahnya berikan, dia akan mempersiapkan diri untuk menerima takdirnya.
DIA menjeling ke arah gadis di hadapannya. Zafeeya diperhatikan masih fokus pada cawan jus oren di atas meja. Entah apa yang menarik dekat situ. Andriy mengeluarkan telefon pintar dari koceknya tanpa tujuan yang pasti. Perbualannya dengan Zafeeya sebentar tadi sedikit sebanyak memberi kejutan yang menggentarkan jiwanya, mendebarkan jantungnya.
Tak sangka pula Zafeeya seperti dapat membaca niatnya. Tajam juga naluri Si Zafeeya ni. Belum apa-apa lagi, dia sudah dipaksa berterus terang. Tambah pula dengan ayat yang diluahkannya tadi...
"Saya bukan berasal daripada keluarga yang latar belakangnya baik. Saya tinggal berseorangan. Mak saya dah meninggal dunia. Ayah saya pula tak pernah pedulikan saya. Jadi, saya tak perlukan seorang lelaki yang hanya akan mainkan saya."
Mujur dia berjaya mengukuhkan reaksinya agar tak kelihatan terpanar atau terpukul biarpun dalam hatinya mula rasa bersalah. Lalu disebabkan itu, dia dengan tak sengajanya telah berjaya melakonkan keseriusan untuk benar-benar meminang Zafeeya. Sudah terlanjur. Mahu tarik balik, dia tak tahu bagaimana.
Eh, apa pula nak tarik balik? Memang aku betul-betul nak pinang dia. Cuma, tak nak bercinta dengan dia lepas kahwin aje, omel Andriy dalam hati cuba menghasut diri agar tak terus merasa berdosa.
Dia yakinkan diri, dia tak akan terpikat dengan Zafeeya yang baginya langsung tak menepati ciri-ciri wanita idamannya. Dia seorang gadis yang pelik dan tak bercita-cita tinggi. Hidupnya bagaikan tiada impian. Dia seorang dewasa yang kebudak-budakan. Bagaimana dia boleh hidup sebagai seorang pelukis adalah persoalan yang tak dapat dijawab Andriy. Mahu ditanya, takut dia akan dianggap memandang rendah pula.
Jadi, siapa yang waras akal fikirannya, pasti akan fikir dua, tiga kali andai benar-benar mahu memenangi hati Zafeeya. Mungkin pada pandangan pertama, dia nampak normal. Tetapi, setelah mengenali dirinya walaupun sedikit, pasti pandangan akan berubah!
Andriy terpaksa pura-pura menunjukkan dirinya yang bertolak ansur dan menerima keunikan sikap gadis itu. Namun dalam kata-katanya, dia tak menipu. Dia maksudkan setiap bait perkataan yang diluahkan. Dia memang tak kesah tentang latar belakang Zafeeya. Dia cuma mahu dapatkan apa yang dia nak.
Andriy pasrahkan hati. Apapun yang terjadi, dia akan mengekalkan jarak hubungannya dengan Zafeeya. Dia percaya dengan mengekalkan jarak itu, sukar bagi Zafeeya untuk jatuh hati padanya.
Biar perasaan mereka kini, yang tak menaruh perasaan antara satu sama lain dikekalkan begini. Selepas nikah nanti pun, dia bertekad tak akan menunaikan harapan Zafeeya, tak memberi layanan yang terlalu baik padanya, tak terlalu mengambil berat, tak mengongkong.
Biar perkahwinan mereka tawar. Biar tiada sebab bagi Zafeeya untuk jatuh hati padanya. Biar dia rasa mereka sebenarnya tak dicipta untuk bersama. Biar apabila mereka harus berpisah, kedua-dua mereka mampu menerimanya dengan hati yang terbuka.
Biar akhirnya, mereka berlalu tanpa sebarang sengketa.
Selembut angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa, sebuah persoalan tersapa lagi dalam hatinya. Tak kejamkah perbuatannya?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro