Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

"HOW'S it going?" tanya Harraz yang tak pernah melepaskan pandangan matanya dari wajah Andriy. Dia sudah sedia maklum tentang usaha Andriy untuk mendekati gadis yang telah memenangkan pertaruhannya dengan Chee Keong.

Kelakar juga kisah kemenangan itu. Andriy beri nombor telefon gadis yang bernama Zafeeya itu dan mahu Chee Keong sendiri menelefon untuk pengesahan. Chee Keong tak mahu. Disebabkan pemuda Cina itu tak berani, Andriy isytiharkan dirinya sebagai pemenang.

Setiap kali kemenangannya dipertikai, setiap kali itu juga Andriy cabar Chee Keong untuk menelefon Zafeeya. Setiap kali itu juga Chee Keong tak mahu.

Andriy tersenyum kecil memandang telefonnya yang masih belum pernah memaparkan nama Zafeeya di skrin. Gadis itu benar-benar membuktikan dirinya sebagai sebuah cabaran buat Andriy. Sudah agak lama dirinya tak ketemu dengan gadis yang sebegitu. Hatinya puas. Setakat ini, semuanya berjalan lancar mengikut kehendaknya.

Dia mencapai telefon bimbitnya. Satu mesej pesanan ringkas ditaip lalu dihantar kepada Zafeeya. Jika gadis itu balas, dia akan cuba menelefon pula. Dia letakkan alat itu di atas kaunter dapur rumah Harraz sebelum mengembalikan perhatian kepada kawannya itu.

"She's playing hard to get," ujar Andriy selamba. Segelas air diteguknya perlahan.

"Playing hard to get... Kau jangan main-main dengan orang macam tu," kata Harraz. Ada secalit kerisauan di celah suaranya yang membuatkan Andriy memberi perhatian.

"Kenapa pula?"

Dia melabuhkan punggung di atas kerusi di kaunter bar di dapur. Pandangan matanya dihalakan ke arah Harraz yang sedang duduk di atas sofa di ruang tamu hanya beberapa kaki dari ruang dapur.

"Nanti kau pula yang terpikat dekat dia," balas Harraz tanpa mengangkat pandangan matanya daripada muka surat katalog IKEA yang sedang dibelek.

"Jangan senang sangat buat kesimpulan, Harraz," ujar Andriy sambil tertawa kecil. Wajah rakannya itu dijeling sekilas.

"I mean, how can I lose my heart to her when it was already lost to someone else?" soal Andriy sambil mengangkat kening. Soalan mudah Harraz berjaya membuatkan dia merungkai alasan mengapa hatinya takkan dicuri walau rancangan yang dirangka boleh memakan diri.

Harraz menggeleng perlahan, menolak keyakinan yang dipamerkan Andriy. Katalog yang dipegang terus ditutup dan diletakkan ke atas meja kopi di hadapannya.

"Kalau macam tu, bukankah tak elok mainkan perasaan orang lain?" bantah Harraz.

"Kau jangan risaulah. Aku bukan nak mainkan dia. Aku cuma nak cipta hubungan yang rigid antara kami berdua. Cukup setakat dia terima aku untuk jadi husband dia, tapi tak ada perasaan cinta."

"Samalah tu dengan mempermainkan perasaan dia. Sudahlah kau jumpa dia sebab bertaruh dengan Chee Keong."

"No. Our feelings will be mutual. But, it's not love. Lagipun, bertaruh tu bukannya ada apa pun."

"Basically, you're trying to find a female version of yourself." Harraz membuat kesimpulan. Andriy jongketkan bahu. Mungkin ya juga. Tapi, rasanya tak.

"Aku tetap rasa perbuatan kau tak baik. Aku harap kau tak akan dapat apa yang kau cari," sambung Harraz dengan nada yang kesal. Andriy hanya mendiamkan diri, berkeras kepala dengan apa yang dia mahukan tak kira apa yang dikatakan Harraz.

"Kenapa kau perlu buat macam ni? Tak bolehkah kau bercinta macam orang lain? Kan lagi senang? Kau jatuh cinta dengan dia, dia jatuh cinta dengan kau. Kau orang kahwin. Habis cerita," ujar Harraz lagi.

"Berapa kali aku kena beritahu? Dalam hati aku dah ada orang lain!" balas Andriy. Nadanya jelas menunjukkan dia tak selesa dengan apa yang dipujuk Harraz. Kalau soal hatinya semudah itu, dah lama dia laksanakan.

"Habis kenapa kau tak lamar aje dia?"

"Sebab dia dekat luar negara. Kau pun tahu, kan?"

"Tak bolehkah kau tunggu aje dia? Tak perlu la nak mainkan perasaan orang lain. Lagipun, apa pula perasaan dia kalau dia balik dan tengok kau dah kahwin?"

Andriy mengeluh berat. Rasanya dah berkali-kali dia terangkan kepada Harraz tentang alasannya. Dia sayangkan Shasha. Tak ada sesiapa dalam dunia ni untuk seorang Andriy selain Shasha. Sayangnya, Puan Nazmah cukup tak suka dengan pilihan hatinya.

"Lagi satu. Bukankah mak kau tak suka Shasha tu?" tambah Harraz.

"Itulah masalahnya. Aku tak nak kahwin dengan Emilia. Mak aku pula selalu tak suka dengan perempuan yang aku pilih."

"Kalau macam tu, hubungan kau dengan Shasha takkan ke mana pun kalau mak kau tak restu."

"Habis, aku nak buat macam mana? Mak aku dah desak-desak suruh kahwin. Lagipun, aku dah 'terbuat' janji dengan mak aku untuk berkahwin juga walaupun bukan dengan pilihan dia."

"Jadi, perempuan yang kau tengah nak kawan ni pilihan kau?"

"Pilihan yang terpaksa."

Harraz menggeleng-gelengkan kepala sambil mengeluh kecil. Tak hairanlah Andriy keras kepala. Dia mencontohi emak tirinya rupanya.

"Okeylah. Kita cuba bincang dari perspektif girlfriend kau, Shasha. Kau tak rasa ke kalau dia tahu kau nak kahwin, dia akan patah hati?" Harraz cuba merasionalkan fikiran kawan baiknya.

Bibir Andriy melentik, mengukirkan senyuman nipis yang dihadiahkan kepada Harraz. Keyakinan sekali lagi terpancar di wajahnya.

"About that... I am actually way ahead of you."

"SHASHA, baliklah..." pinta Andriy.

Dia keresahan. Selama ini dia cukup teguh berdiri. Tetapi, hari ini dia terancam disebabkan satu janji. Sikap Puan Nazmah yang sering mendesaknya untuk bernikah akhirnya membuatkan dia tertewas. Terlanjur dia mengucapkan kata yang memberi harapan kepada Puan Nazmah. Dia akan terpaksa melunaskan janji itu dalam masa yang terdekat ini walau dia berjaya melarikan diri daripada pilihan hati emaknya.

Kalau bukan dengan Emilia sekalipun, hatinya sakit kerana dia tahu... Tak mungkin dia memiliki harapan dengan kekasih hatinya, Shasha. Shasha kini berada terlalu jauh dari gapaian sama ada dari segi tempat atau masa.

Namun, Andriy tetap mahu mencuba. Tak mungkin dia akan membina sebuah mahligai andai Shasha bukan permaisurinya.

Lalu melalui panggilan telefon yang menghubungkan dua benua, Andriy membuat percubaan untuk memujuk buat kesekian kalinya.

"Dua tahun lagi, I baliklah. I tahu you rindukan I, tapi hormatlah karier I sebagai fashion designer." Nada suara Shasha datar sahaja di corong telefon pintar Andriy.

"Dua tahun tu lamalah. Baliklah sekejap. Kita kahwin. Lepas tu you boleh sambung kerja you kat London sana tu. Kalau you nak I ikut pun boleh."

Shasha meledakkan tawanya manja. Andriy turut tersenyum mendengarkan gelak insan yang amat dia rindui itu. Namun, respons Shasha yang seterusnya dia nantikan dengan penuh debaran.

"You ni kuat berguraulah." Terpukul hati Andriy mendengar kata-kata itu.

"I tak bergurau." Andriy seriuskan nada.

"Kenapa tiba-tiba? I ingat you ni jenis yang understanding. Dulu, you kata you sanggup tunggu I balik." Suara Shasha turut berubah serius.

"Memang I sanggup tunggu you balik. Tapi, mak I dah desak suruh I kahwin. I rasa terkepit. Rasa tak sedap hati juga kalau ingkar cakap dia."

"Kalau I balik pun, mak you bukan suka dengan I."

"Kita boleh pujuk dia sebab kita yang nak kahwin."

Shasha diam. Lama. Dalam tempoh itu, Andriy tanamkan benih harapan agar ia dicambahkan oleh persetujuan daripada Shasha.

"Kalau I tak balik juga?"

Jantung Andriy terasa diperah. Benih harapan yang ditanam tadi hampir tercabut. Namun, Andriy tanamkan benih harapan itu dengan lebih dalam lagi.

"I mungkin terpaksa kahwin dengan orang lain," balas Andriy. Niatnya separuh menggertak. Sekali lagi Shasha membisu.

Baru sahaja Andriy ingat jeratnya mengena, Shasha meluahkan sebaris ayat yang bagaikan memijak benih harapannya dengan kejam, sekali gus menghancurkan hatinya.

"You kahwinlah dengan orang lain dulu."

"What?"

"Yalah. Kalau susah sangat... You kahwinlah dengan orang lain dulu."

"You ingat kahwin ni main-main ke?"

"I tahu kahwin ni bukan perkara main-main. Tapi, kalau you dah terpaksa nak buat macam mana? What's important is, I own your heart. And you own mine. Jadi, tak kira apa yang berlaku... Kita tetap akan bersama akhirnya, kan?" terang Shasha selamba.

Andriy bungkam. Alur jiwanya terasa ditoreh dek nada Shasha yang tenang dan datar. Tak tercelah sebarang perasaan terkilan atau kecewa pada suaranya. Seperti ghalibnya, dia bertutur dengan penuh yakin.

Keyakinan itu yang membuatkan Andriy terpikat padanya. Tetapi tak pernah dia sangka, keyakinan itu juga yang menyinggung perasaannya.

TERCENGANG Harraz mendengar keterangan dari bibir kawan baiknya. Andriy tersengih. Tak perlulah terlopong sampai macam tu sekali. Kalau bukan disebabkan pengetahuan Shasha, Andriy pun takkan meneruskan pelannya ini. Walau sedikit menggores hatinya sendiri, sekurang-kurangnya Andriy tahu perbuatannya tak menduakan Shasha.

Harraz mengangguk separuh percaya.

"Okey... Katalah kalau kau kahwin juga. Nanti bila girlfriend kau balik, apa kau nak buat? Madukan isteri kau?" tanya Harraz.

Andriy terpanar. Mendengar pun dia mahu elak, inikan pula mahu menjawab soalan sedemikan. Bagaimana dia boleh tak terfikir Harraz akan ajukan pertanyaan begitu?

"Atau ceraikan dia? Sebab kalau dilihat daripada tindakan kau sekarang yang nak kau orang masing-masing tak ada perasaan antara satu sama lain, aku rasa kau nak ceraikan dia," tebak Harraz.

Lidah Andriy kelu tak berbahasa. Dia tak mahu mengaku itulah tindakannya nanti. Dia terasa dirinya kejam, tetapi egonya keras menafikan.

Tidak. Dia tak kejam! Kerana wanita yang akan dia lepaskan kelak takkan punya sebarang perasaan terhadapnya!

"Okeylah. Aku minta maaf kalau aku terlebih cakap." Harraz sudah bersedia menamatkan perbincangan mereka demi menghormati perasaan Andriy yang jelas tak mahu meneruskan perbualan.

"Aku rasa Shasha yang kau sayang sangat tu tak cukup sayangkan kau," ujar Harraz. Nampaknya, dia tetap mahu memberi sesuatu untuk Andriy fikirkan.

Andriy terus mendiamkan diri. Matanya dialihkan ke arah lain, tak lagi difokuskan pada Harraz. Hatinya terasa sebal. Tak guna pun dia terangkan panjang-panjang. Tak ada yang akan faham perasaannya. Walaupun orang itu adalah Harraz, kawan baiknya sendiri.

"Tapi, itu pendapat aku aje. Aku harap kau fikir baik-baik tindakan kau ni sebelum terlambat. Aku janji takkan kacau kau lagi dalam hal ni," kata Harraz sekali gus menamatkan bicara antara mereka.

Air dari gelas kaca yang berada dalam tangannya diteguk lagi. Rasa gementar tiba-tiba menyelinap dalam diri apabila dia dapati dirinya tak dapat melarikan angannya dari terus memikirkan pendapat Harraz tadi. Calar dalam hatinya dirasakan semakin mendalam, membentuk sebuah luka. Namun, dia enggan mengakui kebenaran yang mungkin wujud dalam apa yang Harraz katakan tentang kekasihnya.

Rasa cintanya terhadap Shasha dipanggil untuk memujuk diri. Katanya, perbualan mereka melalui telefon itu tak membuktikan apa-apa kerana dia tak melihat wajah Shasha. Tak adil kiranya dia membuat andaian berdasarkan suara semata-mata.

Mungkin waktu itu, Shasha berjaya menyelindungkan perasaan kecewanya daripada didengari. Mungkin juga cadangan yang diberikan, Shasha luahkan dengan hati yang berat. Mungkin juga sepertimana dirinya, hati Shasha juga tergores.

Apapun, Andriy sudah berikrar. Hatinya tetap akan bersama Shasha. Dia tetap akan menunggu kepulangan gadis itu biarpun waktu itu dia sudah pun mendirikan rumah tangga dengan wanita lain. Apa yang penting, dia sentiasa jujur dengan Shasha.

Segala niat dan rancangannya untuk memastikan agar mereka akhirnya bersama telah dia rangkakan. Dia juga sudah maklumkan kepada Shasha bahawa dia menerima cadangan untuk berkahwin dulu dengan perempuan lain dan kekasih hatinya itu menerima dengan hati yang terbuka. Namun, mereka memegang janji untuk sentiasa memiliki hati masing-masing.

Semoga pengorbanan yang dilakukan demi cinta ini tetap menjanjikan kesetiaan antara mereka.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro