Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

DIA labuhkan punggung di atas kerusi buruk yang ditempatkan di sisi katil besi itu. Wajah insan yang sedang tidur di atas katil itu ditatapnya dengan penuh sayu. Tubuh orang tua itu kelihatan sangat lemah akibat terjatuh tangga tempoh hari. Biarpun dia tak sampai hati untuk terus menatap insan itu dalam keadaan begitu namun, dia harus gagahkan diri.

Zafeeya menyandar dengan perlahan, mengehadkan pergerakan agar dia kekal senyap. Ayahnya yang sedang berehat itu tak ingin dia ganggu. Dia sedia menanti sehingga tiba masanya orang tua itu tersedar tanpa perlu dikejutkan.

Tiba-tiba, dia terasa telefonnya bergetar dari dalam beg. Dengan berhati-hati, dia punggah beg tangannya. Skrin telefon ditatap. Darahnya terus menyirap apabila membaca tulisan yang tertera perkataan 'Andriy (Jangan angkat!)' di skrin telefonnya.

Zafeeya mengeluh. Apa lagi yang lelaki ni mahu? Masuk kali ini, sudah dua kali dalam minggu ini hidupnya diganggu oleh panggilan telefon yang tak diperlukan lagi tak penting. Zafeeya segera menekan butang merah. Namun, sepantas dia menolak panggilan, sepantas itu juga Andriy mendail kembali.

"Apa lagi awak nak?" gerutu Zafeeya yang akhirnya terpaksa mengalah kepada perbuatan Andriy. Dia bingkas lalu berjalan keluar dari bilik yang menempatkan ayahnya.

"Kenapa awak tak call saya?"

"Kenapa saya perlu call awak?"

"Because you agreed to go out with me. I told you to call me when you're free."

"Masalahnya, saya busy."

"It's been a week. Takkan awak tak ada masa terluang?"

"Macam inilah. Saya cakap jujur. Saya tak nak keluar dengan awak," ujar Zafeeya. Nadanya dilembutkan, agar Andriy merasa terpujuk untuk termakan kata-katanya.

"Why?"

"No reason."

"No reason?"

"Yes or no, it's my choice, right? Tak perlu ada sebab."

"Okay. Tak apa. If you change your mind, call me. I'll be waiting," kata Andriy ikhlas.

Zafeeya mematikan talian. Perlahan-lahan dia melangkah semula ke dalam bilik tadi. Jiwanya merasa tak tenteram tiba-tiba apabila mengetahui bahawa ada seorang jejaka di luar sana sedang meletakkan harapan untuk berjumpa dengannya. Sambil menghembuskan keluhan, dia duduk kembali di tempatnya tadi.

"Siapa tu?" Tiba-tiba suara ayahnya nan lemah kedengaran di cuping telinga. Suaranya lesu tetapi tetap garau seperti ghalibnya.

"Penyibuk. Dia sibuk nak jumpa orang. Bukannya ada urusan penting pun."

"Pergilah jumpa dia. Daripada kau duduk menyibuk dekat sini." Tajam nada Encik Zariff. Lelaki tua itu mengalihkan wajahnya ke arah tingkap, enggan memandang wajah Zafeeya.

Zafeeya mendengus perlahan. Encik Zariff nampaknya masih berlagak seperti biasa. Tak mengalukan-alukan kedatangannya sepertimana selalu.

"Pergilah balik. Dah banyak kali dah aku suruh kau jangan datang sini lagi. Aku tak laratlah nak hadap muka kau!" Kasar Encik Zariff menghalau. Matanya masih memandang ke tingkap.

Zafeeya hanya menggelengkan kepala. Tak sedikit pun dia berganjak dari tempat duduknya. Meski terasa geram, dia tabahkan juga hati menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak.

Sudah beberapa tahun hubungan mereka begitu. Dua, tiga kali seminggu Zafeeya akan melawat ayahnya di pusat penjagaan orang-orang tua. Setiap bulan juga dia yang membayar yuran pengasuhan Encik Zariff. Mungkin pada pandangan orang lain, dia seorang anak yang tak berguna kerana sanggup membiarkan ayahnya hidup di rumah kebajikan orang-orang tua sebegitu.

Orang lain memang mudah menilai, menghakimi dengan cara mereka sendiri. Walhal, mereka tak tahu pokok pangkal ceritera kisah hidup mereka.

Zafeeya sendiri pun tak berapa jelas dengan apa yang pernah berlaku antara emak dan ayahnya. Ketika itu, dia masih terlalu mentah untuk mengerti perbualan orang-orang dewasa apatah lagi masalah yang dihadapi oleh ibu bapanya.

Setelah ibu bapanya bercerai, dia membesar dengan ibunya. Persoalan tentang apa yang pernah berlaku antara ibu dan ayahnya dia sematkan dalam jiwa sehingga dia cukup matang untuk mengerti tentang liku-liku kehidupan dan peranan manusia yang hidup di muka bumi sementara ini.

Beberapa tahun dulu...

"MAK, kenapa mak cerai dengan abah?"

Puan Maryam yang ketika itu sedang terlantar di atas katil hospital menoleh lesu ke arah satu-satunya anaknya. Zafeeya perhatikan sahaja raut wajah emaknya yang terkesima. Sudah tentu, pada saat Puan Maryam sedang sakit tenat begini, dia tak mahu mengenangkan kembali kenangan pahit itu.

Namun, Zafeeya perlukan jawapan. Jika bukan daripada emaknya, dia tak pasti siapa lagi yang mampu melunaskan perasaan ingin tahunya tentang keluarganya sendiri.

Dalam ingatannya yang telah kabur, dia terkenang. Sewaktu dia masih terlalu muda, emaknya amat rapat dengan seorang wanita yang dia panggil Mama Fina. Mama Fina ada dua orang anak lelaki. Zafeeya selalu anggap Mama Fina sebagai ahli keluarganya. Mama Fina baik walau anak-anaknya nakal dan suka membuli.

Namun seperti bapanya, kehadiran Mama Fina dalam hidupnya tak kekal lama. Zafeeya tak sedar sejak bila dia mula merindui wanita yang dia anggap emak saudaranya itu. Semasa usianya menjangkau lapan tahun, Zafeeya cuba mencari kedudukan Mama Fina dalam salasilah keluarganya. Mulanya, dia agak keliru kerana Mama Fina bukan adik-beradik dengan emaknya. Bukan juga adik-beradik dengan bapanya.

Ketika itu barulah dia tahu. Mama Fina juga adalah isteri kepada ayahnya. Bermakna, anak-anaknya adalah abang kepada Zafeeya. Dia isteri yang pertama. Maklumat itu, Mak Su Maria, adik kepada Puan Maryam yang beritahu diam-diam.

Satu persoalan terjawab, satu lagi persoalan berganti di minda. Mengapa ibu bapanya berpisah? Adakah kerana emaknya seorang perampas sepertimana yang sering digambarkan dalam drama-drama di televisyen?

Mindanya yang masih terlalu mentah sudah tentu tepu dengan penilaian yang terhad dan bersifat kebudak-budakan. Soalannya yang ini, Mak Su Maria cuma jawab, tidak. Penerangan selanjutnya tak diberitahu.

"Tunggu Yah besar sikit, Mak Su cerita," kata Mak Su Maria dalam nada seloroh.

Zafeeya faham. Waktu itu kalau Mak Su Maria cerita pun, kanak-kanak berumur lapan tahun sepertinya takkan mengerti. Apabila usia sudah semakin meningkat remaja dan fikiran pun sudah kian matang, baru banyak perkara menjadi jelas di mata mindanya.

Sebak juga dada apabila terkenangkan Mak Su Maria. Andai dia masih ada, Zafeeya takkan perlu mengorek rahsia daripada emaknya yang kini semakin lemah akibat berperang dengan penyakit kanser tulang.

Namun, dia tak punya pilihan. Sewaktu dia berusia sepuluh tahun, Mak Su Maria kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya. Maka, hilanglah satu-satunya emak saudara yang rapat dengan keluarganya.

Disebabkan itu, Zafeeya terpaksa bertanya kepada emaknya. Namun, setiap kali dia ajukan soalan, Puan Maryam tak pernah mahu menjawab. Pelbagai dalih dia berikan. Saban tahun dia mengelak sehingga usianya hampir meniti ke pengakhirannya.

Mungkin di saat-saat begini, dia tak patut merunsingkan Puan Maryam yang sedang tenat. Tetapi...

"Zafeeya terdengar kata orang, mak kena fitnah. Betul ke?" tanya Zafeeya. Puan Maryam terus kemam bibir, tetap tak mahu menjawab.

Zafeeya mendengus perlahan. Dia agak tak berpuas hati emaknya enggan berkongsi cerita. Dia cuba faham. Mungkin Puan Maryam cuma mahu menjaga perasaannya. Tetapi, perlukah kisah keluarganya dikuburkan sekali dengan emaknya andai orang tua itu pergi suatu hari nanti?

"Tak adil macam ni, mak. Yah langsung tak tahu latar belakang keluarga Yah. Yah cuma tahu mak ni isteri kedua. Yah tahu mak dengan abah bercerai bukan sebab mak perampas. Sebab kalau mak perampas, Mama Fina yang kena cerai, bukan mak!" Zafeeya membebel tak puas hati.

Puan Maryam hanya memejamkan mata. Wajahnya dipalingkan daripada terus menjadi tatapan Zafeeya. Melihatkan respons emaknya, hati Zafeeya semakin tenggelam.

"Yah tahu Yah belum cukup dewasa, mak. Apa yang Yah cakap tadi, pasal mak bukan perampas pun... Yah rujuk daripada logik drama aje. Yah mengaku Yah memang belum cukup matang," pujuk Zafeeya.

"Tapi, Yah berhak tahu kan apa yang dah jadi dekat keluarga Yah? Yah janji. Walau seteruk mana pun abah, Yah tetap takkan balas dendam. Paling teruk pun, Yah buat tak tahu aje dengan dia macam mana dia buat tak tahu dengan Yah."

Ujaran panjang Zafeeya kali ini berjaya meraih semula perhatian Puan Maryam. Lama dia merenung wajah anaknya sebelum tangannya nan lesu dihulurkan. Dengan hati yang mula berbunga harapan, Zafeeya menyambut tangan emaknya.

Puan Maryam menggenggam tangan anaknya sekuat daya yang masih bersisa. Mata Zafeeya direnung dalam-dalam sedang matanya sendiri mula ditakungi air jernih.

"Janji dengan mak..." Suara lemah Puan Maryam akhirnya kedengaran. Zafeeya mengangguk laju. Tak sabar dia mahu mendengar penjelasan emaknya.

"Walau apa pun yang terjadi, jangan lupakan abah."

Ayat yang menusuk lubang telinganya bagaikan renjatan elektrik. Hati Zafeeya terus jatuh kecewa. Perasaan geram yang turut bangkit juga dapat dirasa. Mahu sahaja dia lepaskan pegangan tangan emaknya. Namun, hatinya tak tergamak apabila sebak mula menyerang pula.

"Hormat dia dalam apa keadaan sekalipun. Jaga dia kalau dia perlukan penjagaan."

"Apa pula macam tu?" hambur Zafeeya. Perasaan tak puas hati ditayang dalam nada suaranya. Air mata pula mula menitis hiba.

"Mak selalu nasihat Yah macam tu tapi apa yang abah pernah buat untuk Yah? Abah tak pernah pedulikan Yah. Dia tak pernah beri nafkah dekat Yah. Yah tak kenal siapa abah Yah!"

"Janji dengan mak, Zafeeya. Berdosa kalau Yah tak hormat dia."

MATANYA masih terhala ke arah Encik Zariff yang masih tertumpu pada tingkap. Terkadang, Zafeeya sendiri rasa meluat mahu menghadap ayahnya yang selalu melayannya dengan begitu dingin. Kalau diikutkan keadaan, tiada budi yang pernah ayahnya taburkan terhadapnya. Mungkin tak salah kiranya dia berpaling dari hidup Encik Zariff. Bukankah kehadirannya tak membawa apa-apa maksud kepada orang tua itu?

Jika bukan kerana pesanan terakhir Puan Maryam, barangkali dia sudah lama berhambus. Namun, dia berpegang teguh pada ajaran arwah emak. Biar dia buat kita, kita jangan buat dia. Segala perbuatan kita di dunia ini akan dibalas, tak kira sama ada perlakuan itu besar atau kecil, baik atau sebaliknya.

Setiap kali mengenangkan arwah emak, Zafeeya sebak. Sehingga ke nafas terakhir, Puan Maryam tetap tak mahu membongkarkan kisahnya. Mulanya, Zafeeya marah kerana dia yakin sama sekali dia mampu menghadapi kebenarannya. Emak sahaja yang menganggapnya terlalu mentah.

Tetapi, semakin dia dewasa... Baru dia sedar mengapa emak tak tergamak meluahkan apa-apa kepadanya. Bukan kerana dia masih dianggap seperti kanak-kanak. Tetapi mungkin, Puan Maryam sendiri yang tak pernah bersedia untuk berkongsi cerita.

Zafeeya tersentap dari angannya tatkala telefon bimbit tiba-tiba berbunyi. Dia capai alat itu dari dalam beg tangan. Tertera pemberitahuan bahawa satu mesej telah diterima. Dengan separuh hati, pesanan daripada Andriy itu dia baca.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro