Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

"MANA pergi cat akrilik warna putih ni?" Zafeeya bermonolog. Habis seisi ruang bilik dia selongkar namun barang yang dicari tak kelihatan.

Walau dalam keseorangan, dia sebenarnya cuba menipu perasaannya sendiri. Tiub cat akrilik dia jadikan alasan bagi menipu jiwanya yang sedikit tak keruan. Hakikatnya, dia tiba-tiba teringatkan Eddie. Kalau diikutkan keadaan, tiada salahnya dia berhenti daripada berlari dan bersemuka sahaja dengan Eddie tempoh hari. Taklah dia dicuit perasaan menyesal hari ini.

Malangnya waktu itu, dia berada dalam keadaan tak bersedia. Dia tak bersedia untuk bertemu dengan lelaki yang pernah menolak kewujudannya. Dia malu. Dia terasa diejek. Lagipun, selama ini memang dia selalu berharap agar dirinya tak dipertemukan lagi dengan Eddie.

Zafeeya menggeleng-gelengkan kepala. Kenangan baharunya dengan lelaki bernama Eddie itu wajar dilupakan serta-merta. Bukan penting pun. Dia sepatutnya tak perlu risaukan perasaannya terhadap jejaka itu lagi. Dia pasti Eddie tak mempunyai nombor telefonnya, maka boleh disimpulkan dirinya bebas daripada tekanan. Dia cuma perlu jalani hidupnya seperti biasa. Hidupnya yang sudah lama melupakan Eddie.

"Apa yang penting sekarang adalah cat aku!" kata Zafeeya sendirian, cuba melenyapkan angannya. Dia perlu meneruskan hidupnya sebagai seorang pelukis, seorang pengkarya seni. Kawannya Imani yang dia temui di hotel dulu memberitahu, lukisannya di galeri sudah habis dijual. Jadi, kalau dia tak terus berkarya, nanti pendapatannya terbantut.

Zafeeya membongkok, cuba melihat ke bawah meja apabila matanya tertancap pada sekeping kad berwarna putih. Tangannya mengutip kepingan itu. Tiub cat yang dicari terus dilupakan. Nama yang tertera dibacanya.

Andriy Kasheef. Zafeeya mengetap bibir. Bukankah dia pernah berniat mahu membuang kad itu ke dalam tong sampah pertama yang muncul di pandangan matanya? Mengapa kad itu terdampar di atas lantai studionya pula?

Call me. Dia lantas teringat dua patah kata yang pernah diluahkan Andriy.

Zafeeya mengeluh. Kad yang terselit di antara jari telunjuk dan ibu jarinya dicampakkan ke dalam bakul sampah berdekatan.

Mahu dia memulakan langkah pertama? Jangan harap. Lelaki semuanya sama. Lebih-lebih lagi yang ada rupa ni. Nanti kalau dia telefon, tiba-tiba ditanya pula siapa dirinya. Seperti yang dialami ketika cuba berkawan dengan Eddie dulu.

Selepas entah berapa tahun, barulah Eddie terhegeh-hegeh mencarinya lagi. Entah apalah yang orang itu mahu, dia tak nak cuba fikir pun. Apa yang dia tahu, hatinya sudah tawar tak berperisa.

Kalau pernah berada sekelas pun orang boleh lupa, inikan pula bertemu dalam tandas. Zafeeya lebih rela jimatkan perasaan malunya daripada mengambil langkah terhadap Andriy. Hati dan perasaannya lebih selamat jika diturutkan ego wanitanya.

Dia sedar diri. Dia bukan si cantik rupawan yang mampu membuatkan orang lain terkenang-kenang akan wajahnya sebelum masuk tidur. Dia tak percayakan cinta pandang pertama. Sebab itu, dia tak pernah berharap akan ada orang yang datang menegurnya begitu sahaja untuk mengurat.

Tetapi, itulah yang dilakukan Andriy. Dia satu-satunya lelaki dalam dunia ni yang berani meminta nombor telefonnya selepas hanya lima minit mereka bersua muka.

Pun begitu, ada dia telefon? Tiada. Memang Zafeeya dah jangka! Sebab itu dia layankan sahaja kehendak Andriy tu. Dia tahu inilah keputusannya.

Sudah, sudah. Lupakan mamat orang putih tu. Fokus balik pada cat anda, Zafeeya! Maka, dia pun menyambung semula operasi yang tergendala sebentar tadi. Di bawah meja dia intai sekali lagi.

Telefon bimbit yang berdering drastik dan memecahkan kesunyian hampir menggugurkan jantung Zafeeya. Akibat terkejut, dia terhantuk pada bahagian bawah meja. Terduduk sekejap. Adoi!

"Siapalah yang call waktu-waktu macam ni?"

Kepalanya yang perit diusap-usap laju. Dalam kekalutan menahan kesakitan, dia gagahkan diri untuk bingkas dan mencapai telefon.

Zafeeya mengetap gigi. Nombor tak dikenali terpampang pada skrin. Hatinya segera berbelah bagi. Mahu angkat atau tak? Kalau orang jual insurans yang telefon, memang tak berbaloi dia terhantuk.

"Helo..." Zafeeya akhirnya mencuba nasib.

"Hi," sapa seorang lelaki di hujung talian.

"Hi?" balas Zafeeya kurang minat. Nyata kepalanya tak berbaloi disakiti dek panggilan telefon yang tak penting dari seseorang yang tak dikenali. Lebih baik dia menyambung misi pencariannya.

"Remember me?"

"No." Zafeeya jawab spontan tanpa berfikir panjang. Memang dia tak mahu fikir siapa sebenarnya di hujung talian.

"It's been over three months. Why didn't you call me?" Andriy tak menghiraukan jawapan Zafeeya.

Three months? Zafeeya pantas mengingat. Tempoh itu... Suara itu... Oh, Andriy ke? Zafeeya baru aje terfikirkan dia.

"Why should I call you?" Soalan berbalas soalan. Mata Zafeeya melirih pada bakul sampah yang mengandungi kad nama Andriy. Kad yang baru sebentar tadi dibelek dan dicampaknya. Panjang pula umur Andriy yang tiba-tiba menelefon.

"You're one tough lass," komen Andriy. Zafeeya tak terkesan langsung dengan pujian itu. Mungkin hatinya sudah terlalu keras untuk dicairkan dengan kata-kata pujian.

"I believe I gave you my number, on your birthday," kata Andriy setelah beberapa saat berlalu tanpa pertukaran kata.

"Yes. And I gave you my number on my birthday," balas Zafeeya sinis. Dia tak boleh terima dirinya dipersalahkan kerana tak menghubungi Andriy. Mengapa dia yang perlu memulakan dahulu?

"Okay, okay... Saya minta maaf. Apa kata kita lupakan semua tu?"

"Bagus. Bolehlah saya letak telefon, ya? Saya sibuk ni."

"Awak sibuk buat apa?" Pertanyaan yang diajukan Andriy itu kedengaran seperti mahu memulakan perbualan di telinga Zafeeya. Sayang, dia tiada hati mahu melayan.

"Saya tak ada masa nak cerita. Saya sibuk," dalih Zafeeya. Hatinya ketawa. Kalaulah Andriy tahu dia sedang sibuk mencari satu tiub cat akrilik...

"Okay. I'll leave it at that. Tapi, kalau awak ada masa nanti, sudi-sudilah call saya. Saya nak ajak awak keluar."

"Fine." Zafeeya meluahkan kata setuju yang tiada niat untuk ditunaikan. Lantas, dia mematikan talian. Telefon itu diletakkannya secara kasar di atas meja.

Dia tak sangka lelaki bernama Andriy itu menghubunginya. Tetapi, mengapa setelah lebih tiga bulan baru dia bertindak? Apapun sebab Andriy, tindakannya berjaya membuatkan Zafeeya merasa dirinya dicuit rasa diingini dan diminati seseorang. Tidak pernah dia impikan perasaan sebegitu mampu menyapa di jiwa.

Namun, dia keraskan hati. Dia tak mahu meletakkan harapan tinggi-tinggi. Dia tak mahu perasan terlebih sebelum apa-apa berlaku.

Andai benar Andriy mahu mendekatinya, dia mahu melihat sejauh mana lelaki itu mampu mengejarnya. Jika dia berhenti di tengah jalan, memang dia jenis yang tak layak pun diberi perhatian. Itu menunjukkan dia tak serius. Jadi, tak guna menghabiskan masa melayan orang yang sebegitu.

Sudah menjadi kebiasaan dalam hidupnya. Mana-mana lelaki yang menyapa takdir dengannya tak pernah mengambil serius tentangnya. Kebanyakannya cuma mahu mengambil kesempatan. Kata mahu berkenalan tetapi nombor telefon kawan baiknya pula yang diminta. Kata berminat dengan dirinya tetapi Facebook sepupunya pula yang dia telaah sampai ke pagi.

Dirinya pula, terus dibiarkan keseorangan. Lelaki yang dia suka tak pernah anggap dia wujud. Memang begitulah cara dirinya dipandang oleh kaum Adam. Mereka selalu melihat menembusi dirinya seolah-olah dia kaca lut sinar. Invisible!

Jadi, maafkanlah andai dia tak mudah terpancing dengan kata-kata manis kaum yang berlainan jantina itu. Dia faham. Mungkin selama ini nasib kurang menyebelahi dirinya. Tak semua lelaki bersikap begitu. Namun, hatinya sudah tawar. Sukar baginya untuk mempercayai sesiapa.

Dia sudah buntu cara untuk harapkan diri mencari lelaki itu. Lagipun, segala pertemuan di tangan Tuhan. Jadi, dia serahkan jodohnya pada Yang Maha Menentukan. Apabila tiba masanya kelak, dia yakin ada cara Allah S.W.T untuk melenturkan hatinya dan mengubah fikirannya lalu mememukan dia dengan cintanya.

Mudah-mudahan. Insya-Allah.

ANDRIY mengeliat, melonggarkan otot-otot badan yang agak terkongkong akibat kerja menaip yang terlalu lama. Puas mengeliat, dia sandarkan tubuhnya pada kerusi.

Pandangannya dialihkan ke segenap ruang pejabat biarpun tiada apa yang luar biasa lagi menarik untuk dilihat. Dari satu objek ke satu objek yang lain dia perhatikan sehingga matanya tertancap pada sebuah kalendar yang terletak di sebelah monitor komputer.

Dia mencapai kalendar itu lalu diselak helaian ke tiga bulan sebelumnya. Bulan Julai. Dia teringat akan pertemuannya dengan seorang gadis yang menyambut hari kelahirannya pada awal bulan itu. Gadis yang telah menjadi punca kemenangan pertaruhannya dengan Chee Keong. Gadis yang dia nantikan untuk menghubunginya.

Sudah lebih tiga bulan, namun jelas gadis itu tak mempedulikan kata-katanya. Andriy tersenyum. Tak ramai wanita yang mampu menolak permintaannya. Tapi, dia tak salahkan mereka.

I mean, who can resist me? I am devilishly handsome. Senyuman Andriy semakin lebar.

Pun begitu, bagi Andriy ini satu progress yang baik. Sebenarnya, semua ini ujiannya untuk Zafeeya. Ujian yang mana Zafeeya telah lulus sebanyak dua kali. Kali pertama dia lulus ujian hanya kerana tarikh lahirnya. Kali ini dia lulus hanya kerana dia tak betah menghubungi Andriy.

Tidak menghubungi Andriy bermakna dia agak keras hati, kalis dengan godaan lelaki walaupun lelaki itu serba-serbi berkelebihan seperti dirinya. Tetapi, ada banyak perkara yang dia perlu lakukan eksperimen dengan sikap Zafeeya sebelum dia boleh melangkah ke peringkat seterusnya. Setakat dua ujian, rasanya belum cukup.

Andriy meletakkan kalendar itu kembali ke tempatnya. Tangannya mencapai pula telefon pintarnya di dalam laci. Nama Zafeeya segera dicari. Tiba masanya untuk eksperimen ketiga.

"Hi," ucap Andriy apabila panggilannya disambut di hujung talian.

"Hi?" Zafeeya kedengaran seperti menyambut panggilan yang tak diundang.

"Remember me?" soal Andriy.

"No," balas Zafeeya tanpa sebarang minat. Andriy tersengih. Melalui nadanya, Zafeeya seperti main jawab sahaja.

"It's been over three months. Why didn't you call me?"

"Why should I call you?" balas Zafeeya. Nadanya mencabar.

Andriy tersenyum kagum. Zafeeya seperti dapat meneka kemahuannya. Setakat ini, dia menyukai setiap respons yang diberikan Zafeeya.

"You're one tough lass," komen Andriy. Dia tahu pujiannya tak seberapa namun walau sekecil mana pun pujian itu, bukankah biasanya perempuan suka? Dia rasa tak salah mencuba. Dia nantikan respons daripada Zafeeya. Pero, nada...

"I believe I gave you my number on your birthday."

"Yes. And I gave you my number on my birthday."

"Okay, okay... Saya minta maaf. Apa kata kita lupakan semua tu," kata Andriy.

"Bagus. Bolehlah saya letak telefon, ya? Saya sibuk ni," respons Zafeeya memang tak disangka-sangka.

Andriy terasa seperti ditampar. Tetapi, itulah respons yang dia mahu sebenarnya. Jelas, Zafeeya tak suka rutin atau rancangannya diganggu.

"Awak sibuk buat apa?" Andriy cuba sekali lagi untuk mengajaknya bersembang.

"Saya tak ada masa nak cerita. Saya sibuk." Zafeeya nyata masih menangkan ego wanitanya.

Andriy menelan liur. Sekali lagi dia ditolak. Seumur hidupnya, inilah rejection yang berkali-kali dia terima dalam satu masa. Ini pertama kali dia ditolak sedemikian rupa. Tak dinafikan yang paling teruk juga.

"Okay. I'll leave it at that. Tapi, kalau awak ada masa nanti, sudi-sudilah call saya. Saya nak ajak awak keluar."

"Fine," balas Zafeeya malas. Lalu, dengan pantas dia mematikan talian sebelum Andriy sempat berkata apa-apa lagi.

"Wow, that was unpredictable." Andriy bermonolog sendirian dalam kekaguman. Hatinya puas.

Zafeeya tak menunjukkan sebarang minat untuk bersua dengannya lagi. Tapi, Andriy benar-benar maksudkan apa yang dia katakan sebentar tadi. Dia mahu bertemu lagi dengan Zafeeya. Dia mahu menilai sekeras mana hati wanita itu.

Jika semuanya berjalan lancar, dia akan cuba melembutkan hati itu sedikit sahaja. Sedikit. Sekadar mengetuk pintu hati. Setakat cukup agar gadis itu mampu menerima lamarannya. Selepas itu, dia akan menjaga jarak perhubungan antara mereka agar tidak terlalu rapat, agar Zafeeya tak jatuh hati dengannya.

Andriy cukup sedar niatnya perlu dilunaskan dengan penuh berhati-hati.

Mereka akan berkahwin bukan kerana cinta. Hanya sekadar masing-masing boleh menerima satu sama lain. Macam kisah kahwin paksa. Cuma, perasaan cinta itu tak akan dipupuk walau selepas berumah tangga.

Ya. Andriy tahu dia agak pentingkan diri dalam hal ini. Namun, dia tak dapat memujuk diri untuk rasa berdosa dengan tindakannya. Dia juga manusia. Punya impian yang perlu dicapai walau pengorbanan yang perlu dilakukan. Dia punya sebab untuk menjayakan rancangannya.

Jadi, dia tak perlu rasa bersalah. Lagipun, bukankah semua orang begitu? Pentingkan diri.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro